Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 18 November 2009

Erti berkemampuan dalam haji

Posted by epondok di November 18, 2009

Oleh WAN NAJMIAH WAN MOHAMED ALI

Jemaah haji dari pelbagai negara menunggu pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Jeddah.

IBADAT haji merupakan Rukun Islam kelima; menunaikan haji di Baitullah bagi orang yang berkemampuan. Ulama salaf telah banyak membincangkan orang yang wajib mengerjakan haji dan umrah terutamanya syarat berkemampuan yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW.

Syarat-syarat wajib haji dan umrah itu adalah sama sahaja iaitu:

1. Islam – tidak wajib atas orang kafir dan murtad.

2. Baligh – tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah hajinya dan tidak gugur wajibnya bila baligh.

3. Berakal – tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga, tidak sah hajinya

4. Merdeka – hamba abdi tidak diwajibkan, tetapi sah hajinya dan diberi pahala.

5. Berkuasa/Kemampuan

– berhubung dengan berkuasa atau berkemampuan, ini ialah berdasarkan kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Dan menjadi kewajipan bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan di antara mereka. (ali-‘Imran: 97)

Dalam masalah berkuasa atau berkemampuan untuk mengerjakan haji dan umrah ini adalah terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

a. Berkuasa atau berkemampuan dengan sendiri:

i. Berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain untuk melakukan pekerjaan haji dari mula hingga akhir;

ii. Mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang di bawah tanggungannya;

iii. Ada kenderaan pergi dan balik;

iv. Aman dalam perjalanan, yakni tidak ada merbahaya yang mengancam keselamatan diri dan harta. Ini termasuklah juga tidak ada penyakit yang membahayakan tubuh badan,

v. Sihat tubuh badan; dan

vi. Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dari Anas R.A. katanya: Rasulullah SAW ditanya: Apakah yang dimaksudkan dengan sabil”? Rasulullah SAW menjawab: “Bekalan dan perjalanan”. (eiwayat Daruqutni)

b. Berkuasa dengan bantuan orang lain:

i. Orang yang mempunyai cukup syarat wajib haji, tetapi tidak dapat mengerjakan hajinya sendiri kerana keuzuran dan sakit yang tidak ada harapan akan sembuh, atau telah terlalu tua umurnya serta telah putus asa tidak dapat pergi sendiri menunaikan hajinya.

ii. Orang yang telah meninggal dunia yang berupaya semasa hidupnya, tetapi tidak mengerjakan haji, maka terhutanglah fardu haji atasnya sehingga warisnya atau orang yang menerima wasiatnya menunaikan hutang hajinya itu dengan upah atau secara sukarela.

Kesimpulan

Sesungguhnya Allah SWT menjadikan umat manusia dengan kemampuan yang berbeza-beza. Justeru itu zimmah atau beban tuntutan mengerjakan ibadat haji adalah berbeza atas seorang Muslim dengan Muslim yang lain.

Bagaimanapun, usaha dan keazaman untuk mengerjakan ibadat haji ini perlu ada pada setiap orang Islam

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Bataskan sumber hukum rugikan umat

Posted by epondok di November 18, 2009

Oleh Hasliza Hassan

Perbezaan pendapat hasil kajian, penyelidikan boleh pertingkat ilmu pengetahuan ummah

TINDAKAN mengehadkan sumber hukum hanya akan menyempitkan pandangan terhadap syiar Islam dan membantutkan penyuburan ilmu, sedangkan Islam menggalakkan umatnya meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya, berkata sikap membataskan pandangan terhadap sumber hukum juga akan merugikan umat Islam.

Katanya, perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.

“Islam sendiri membenarkan perbezaan pandangan atas perkara tertentu dan ia hendaklah dilakukan mengikut caranya. Jangan pula apabila berbeza itu kita mendabik dada mengatakan kita lebih baik dan mencemuh orang lain.

“Dalam bab hukum ini, jika hendak faham belajarlah usul fiqh,” katanya pada seminar dakwah Memperkukuhkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah: Isu dan Cabaran Semasa anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar al Hikmah, Sungai Ramal, Kajang, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.

Hashim berkata, dalam masalah cabang yang menjadi amalan umat Islam ada yang tidak mempunyai dalil khusus tetapi hujah berpandukan kepada dalil umum yang dikembangkan dan disusun dengan sempurna oleh ulama nusantara.

Antaranya, amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan.

Mengenai susunan zikir pula, Hashim berkata, ia adalah ijtihad ulama yang menyusunnya dengan tujuan memudahkan masyarakat umum yang mungkin tidak tahu apa hendak dibaca untuk meningkatkan amalan serta mendekatkan diri kepada Allah.

Begitu juga katanya, dengan amalan lain yang dikatakan tidak dilakukan Rasulullah SAW tetapi ulama melihat akan kebaikannya untuk mengembalikan dan mendekatkan umat Islam kepada ajaran Islam.

“Tidak ada dalil khusus tetapi ada dalil umum, jadi jangan terkeliru kerana ini akan merugikan umat Islam. Perlu faham kenapa ada galakan membaca Yasin yang menjadi amalan sejak dulu, kerana ketika Islam mula datang tidak ramai boleh membaca al-Quran.

“Jadi ulama kata, mari kita berkumpul dan baca ayat al-Quran iaitu surah Yasin. Jika dihalang, apa yang hendak dibaca jika yang dia tahu hanya surah Yasin. Sekurang-kurangnya ada ayat al-Quran yang dia boleh baca dan janganlah kata amalan itu bidaah,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan berkaitan perkara cabang dalam amalan agama jika dijadikan bahan untuk diperbahaskan hingga kiamat tidak akan selesai dan sebaiknya tenaga itu sepatutnya ditumpukan ke arah membanteras kemungkaran yang lebih jelas.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady, berkata gerakan aliran tidak bermazhab sudah bertapak di negara ini hampir satu abad tetapi tidak nampak sumbangan mereka dari sudut keilmuan dan pembangunan masyarakat.

Katanya, disebabkan tiada hasil karya ilmu berwibawa dan muktabar daripada golongan aliran tidak bermazhab menyebabkan ia tidak dapat diterima dalam arus perdana sama ada pada peringkat pemerintah atau masyarakat.

“Aliran tidak bermazhab ini sebenarnya tidak mempunyai asas kuasa yang kuat dari sudut keilmuan atau tidak cukup wibawa ulamanya jika dibanding dengan ulama beraliran mazhab serta karya mereka.

“Malah, aliran ini juga tidak berlaku dalam pengalaman negara Islam selepas penerimaan mazhab tertentu dalam masyarakat. Arab Saudi masih bermazhab Hambali, Turki dan Pakistan bermazhab Hanafi sementara Libya dan Tunisia bermazhab Maliki,” katanya.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pengaruh Fiqh Mazhab Syafie Dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia dan Cabaran Masa Kini’ menjelaskan cabaran berlaku terhadap mazhab Syafie melalui tiga gelombang.

Gelombang pertama berlaku pada 20-an dan 30-an apabila golongan muda cuba mengemukakan idea baru yang berbeza dengan pegangan sedia ada oleh pelajar yang melanjutkan pengajian di Arab Saudi, Mesir dan India kerana terpengaruh pemikiran gerakan Islam di sana.

Usaha itu kemudian disambung gelombang kedua yang berlaku antara 1940-an dan 1960-an yang banyak menumpukan persoalan khilafiyyah lebih khusus hingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat awam tetapi ulama akhirnya sepakat bersetuju dengan pendirian ulama aliran mazhab Syafie.

Gelombang ketiga berlaku dari 70-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie.

“Golongan ini tidak mengikat diri mereka dengan mana-mana mazhab muktabar yang diiktiraf dunia Islam dan mazhab Syafie di negara ini. Mereka anggap mereka layak berijtihad mutlak seperti imam muktabar kerana mereka adalah manusia dan tiada bezanya.

“Bagi orang yang mengkaji ilmu mengetahui ulama muktabar yang berijtihad lengkap dari segi ilmu asas syariah. Berijtihad tanpa ilmu yang lengkap dari sudut syariah, bahasa Arab dan kaedah usul fiqh boleh membawa kepada penyelewengan.

“Hal ini dapat dilihat bibitnya kebelakangan ini dengan kemunculan kelompok liberal yang tidak mahu terikat dengan kaedah epistemologi Islam dan kaedah usulnya memahami al-Quran dan sunnah hingga akhirnya membawa kecelaruan tafsiran sumber ajaran Islam,” katanya.

Abdul Halim berkata, golongan berkenaan hakikatnya sudah melanggar adab berdakwah kerana tidak menghargai sumbangan ulama aliran mazhab Syafie, malah memperkecil serta memperlekehkan sumbangan mereka dari sudut ilmu dan pembangunan masyarakat.

Katanya, golongan itu juga menganggap ulama aliran mazhab Syafie membawa ilmu yang menjadikan umat Islam tidak tepat memahami Islam dan tidak ada usaha ijtihad dalam ilmu mereka tetapi hanya mengikut mazhab membabi buta atau disebut bertaqlid buta.

INFO:

# Perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.

# Amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan.

# Jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.

# Gelombang ketiga berlaku dari 1970-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie.

Posted in Fokus Isu | 2 Comments »

Iman kuat, sabar hebat hadapi ujian

Posted by epondok di November 18, 2009

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zali Engku Alwi
Seseorang insan bertakwa perlu terima bahagian rezeki Allah dengan ikhlas

SELEPAS dua bulan kita meraikan Aidilfitri, hari kemenangan ke atas tuntutan nafsu, tidak lama lagi kita menyambut hari kegembiraan dan pengorbanan mengingati Allah, iaitu Aidiladha. Pengajaran terpenting Aidiladha ialah memperingatkan diri kita mengenai pengorbanan, seorang ayah dan anaknya dalam melaksanakan perintah Allah.
Peristiwa Nabi Ibrahim diuji dengan perintah supaya menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail, disebut dalam surah As-Saffat, ayat 102 hingga 109: “Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama, dengannya, Nabi Ibrahim berkata:
“Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar.
Maka apabila keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tompok tanah (untuk disembelih), ketika itu Kami (Allah) menyerunya: “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu” – Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
“Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim,”.
Pengertian ayat diatas menyingkap keimanan tinggi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam melaksanakan segala perintah Allah, walaupun ia hanya satu ujian. Pengorbanan dan kesabaran seperti ini yang sepatutnya diterapkan dalam jiwa kita supaya kita berjaya mengharungi segala ujian dan cabaran dalam kehidupan dunia ini, dalam kita melaksanakan segala perintah Allah.
Lihat saja bagaimana ibadat haji meminta kita menunjukkan kesungguhan, ketabahan, kesabaran dan pengorbanan yang tinggi. Sifat mulia ini sudah sewajarnya kita tunjukkan dalam semua jenis amal perbuatan kita. Ingatlah bahawa ganjaran yang sebenarnya bukan datang daripada makhluk dan manusia lain. Ganjaran sebenarnya adalah dari Allah semata-mata.
Apakah dia nilai pengorbanan? Apakah sifat murni yang dapat kita semai dalam melakukan pengorbanan? Untuk menjawab persoalan ini, marilah kita renungkan akan peristiwa korban Nabi Ibrahim serta puteranya Nabi Ismail yang diabadikan Allah di dalam surah As-Saffat: 102-109. Begitulah pengorbanan yang ditunjukkan Nabi Ibrahim dan juga puteranya Nabi Ismail. Di mana kedua-duanya membuat satu pengorbanan yang besar dalam kehidupan.
Jika kita lihat akan pengorbanan Nabi Ibrahim, beliau sanggup untuk mengorbankan anak kesayangannya kerana Allah. Begitu juga dengan puteranya Nabi Ismail, beliau pula sanggup mengorbankan nyawanya bagi mendapat keredaan Allah.
Lihatlah nilai yang tersemai dalam jiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
# Pertama, kedua-duanya dengan keteguhan iman dan takwa berkeyakinan penuh akan ketetapan Allah dan tidak berganjak sedikitpun dalam menjalankan perintah-Nya.
# Kedua, nilai kesabaran. Nabi Ibrahim dan Ismail amat sabar dalam mengharungi cabaran dihadapi serta tabah dalam menunaikan tanggungjawab. Sanggup berkorban inilah nilai dikehendaki setiap Muslim dalam membangunkan diri untuk menuju ke arah masyarakat cemerlang. Nilai ini amat penting dan perlu disemai dalam diri kita, keluarga serta masyarakat.
Marilah kita lihat akan kepentingan nilai pengorbanan ini supaya kita sama-sama menghayatinya dalam kehidupan seharian. Nilai iman dan keyakinan penuh akan ketetapan Allah bermaksud reda akan ketetapan dan takdir Allah.
Kita sebagai seorang yang beriman perlu percaya akan semua ketetapan ditetapkan Allah. Seorang hamba mestilah sentiasa menerima akan bahagian rezeki yang Allah kurniakan. Inilah sebenarnya kekuatan yang ada pada seorang yang beriman di mana dengan kekuatan iman pada Allah dan prinsip yang teguh dalam dirinya, dia akan menjadi seorang yang mampu untuk berkorban atas dasar mendapat keredaan Allah.
Seorang bapa dengan penuh keimanan akan berkorban sedaya upaya berusaha dalam mencari nafkah bagi keluarganya dan membangunkan mereka dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa apa saja usaha dilakukan adalah untuk mendapat keredaan Allah dan dengan usahanya keluarga yang dibangunkan menjadi sebuah keluarga Islam yang boleh menjadi tunjang kekuatan masyarakat.
Begitu juga seorang ibu pastinya dengan keimanan yang teguh akan mendidik anak-anaknya dengan prinsip agama dan sentiasa berdoa kepada Allah agar menjadikan anak-anak itu orang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.
Inilah pengorbanan yang sering kita lakukan. Pengorbanan ini akan lebih bermakna apabila tersemat di dalam hati bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan hanya untuk mendapatkan keredaan Allah.
Sabar pula adalah satu lagi nilai yang besar dalam kita membuat pengorbanan mengharungi hidup yang berbagai cubaan dan rintangan. Inilah nilai yang dipancarkan oleh Nabi Ismail apabila ketika ditanya oleh Ibrahim akan perintah Allah untuk menjadikan beliau sebagai korban. Lantas Nabi Ismail menjawab: Wahai ayah! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar. � (As Saffat: 102)
Pengorbanan yang kita lakukan dalam kehidupan ini hendaklah kita tempuh segala cabarannya dengan kesabaran. Kita mengorbankan masa, tenaga, wang dan akal fikiran, semua ini memerlukan kesabaran, dengan pengorbanan inilah terhasil pelbagai kenikmatan dari Allah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »