Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 14 November 2009

Pembunuh wanita bertudung dipenjara seumur hidup

Posted by epondok di November 14, 2009

Drama mengejutkan pembunuhan wanita seorang wanita Muslim akibat prejudis kini semakin menarik perhatian dunia Islam selepas pembunuhnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol pada Rabu, 11 November di Jerman.

Di Mesir hari ini, Marwa al-Sherbini, yang dibunuh kejam di Dresden, Jerman kini dikenali ramai sebagai tokoh yang syahid kerana pemakaian hijabnya.

Berita hukuman penjara seumur hidup ke atas pembunuhnya selepas perbicaraan dua minggu mendapat tempat istimewa di saluran televisyen nasional Mesir.

Di Berlin, duta mesir ke Jerman, Ramzi Izzudin memberitahu media pembunuh Marwa, Alexander Wiens telah menerima “hukuman paling keras.”

Jurucakap kementerian luar Mesir, Hossam Zaki menerima berita hukuman itu senang, menegaskan bahawa “keadilan telah terlaksana” dan hukuman itu merupakan “satu amaran kepada mereka yang terdorong oleh kebencian.”

Wiens, warga Jerman berketurunan Rusia menikam Marwa sekurang-kurangnya 16 kali di sebuah mahkamah di Dresden Julai lalu, ketika wanita itu memberi keterangan terhadap beliau dalam satu kes fitnah.

Wiens memanggil Marwa “teroris” dan “Islamis” – istilah popular yang membawa konotasi negatif walaupun masih didebatkan penggunaannya oleh komuniti akademik – di sebuah taman permainan kanak-kanak hanya kerana wanita Muslim itu memakai tudung.

Marwa ketika itu meminta Wiens memberi ruang untuk anak lelakinya, Mustafa yang berusia tiga tahun untuk bermain di buaian.

Marwa, ahli farmasi berusia 31 tahun sedang hamil tiga bulan ketika dia dibunuh. Anaknya ada bersama di mahkamah tersebut ketika itu, dan suaminya ditikam dan secara tidak sengaja ditembak oleh seorang pengawal Jerman ketika cuba membantu.

Mustafa hanya mampu melihat ibunya ditikam dengan kejam oleh Weins.

Suami Marwa, Alwi Akaz, kini tempang akibat kecederaan dialami dalam insiden itu.

Perincian kejadian itu mengejutkan warga Mesir dan tercetus kemarahan terhadap tindak balas perlahan pihak berkuasa Jerman menghulurkan simpati dan menangani dakwaan Islamofobia.

Hakikat bahawa suami Marwa ditembak kerana disangka penyerang mendedahkan prejudis yang wujud di negara Eropah itu.

Seminggu selepas kejadian, pemimpin Jerman, Canselor Angela Merkel mengucapkan simpati kepada Presiden Mesir, Hosni Mubarak, tetapi Merkel tidak membuat komen secara terbuka.

Pada masa sama, ribuan menghadiri pengkebumian Marwa di kampung halamannya di Iskandariah. Ramai membawa kain rentang dengan slogan menuntut pembalasan.

Ada juga yang berdemonstrasi di luar kedutaan Jerman dan di Masjdi al-Azhar di Kaherah, dengan sebilangan mencela Jerman sebagai “peradaban zalim” dan menjeritkan tuntutan hak asasi dan keadilan.

Perbicaraan Wiens mendapat liputan luas media Mesir, dan sekumpulan peguam Mesir hadir di Dresden dan dibenarkan mengemukakan hujah perundangan.

Beberapa orang tokoh perundangan Mesir memuji keputusan mahkamah Jerman menjatuhkan hukuman ke atas Wiens, tetapi ramai warga Mesir melahirkan perasaan alangkah baiknya sekiranya Jerman melaksanakan hukuman mati.

Suami Marwa memberikan keterangan yang meruntun jiwa, menceritakan bagaimana anaknya, yang kini tinggal di Mesir bersama keluarganya, merindui ibunya.

Alwi sekeluarga berpindah ke Jerman untuk dia meneruskan kajian doktoral biologi melekul tetapi kini melahirkan kemungkinan akan meninggalkan Dresden.

Tarek Sherbini, abang Marwa, berkata “imej rakyat Jerman sangat buruk” ekoran kejadian serangan itu dan mendakwa kejadian itu menunjukkan kebencian terhadap Muslim.

Hubungan Jerman dengan Mesir dan dunia Islam mampu terjejas akibat kejadian ini, terutama sekiranya reaksi lanjutan tercetus dan membakar sentimen.

Jerman didiami oleh 4 juta Muslim, komuniti Muslim kedua terbesar di Eropah Barat selepas Perancis.

Sebagai memperingati wanita digelar “Syahidah jilbab” ini, nama Marwa kini dirancang untuk dijadikan nama jalan di Iskandariah, Mesir. (BBC, Agensi)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

5 Golongan DiTolak Doanya

Posted by epondok di November 14, 2009

SEBAGAI manusia ada saja perkara yang diperlukan, tetapi setiap yang diperlukan itu tidak mungkin boleh didapati dengan mudah. Pada saat dan ketika itulah manusia akan berharap dan mula mengadu nasib.

Bagi mereka yang mengakui dirinya makhluk (yang dicipta) pasti mengadu pada Penciptanya iaitu Allah Yang Maha Berkuasa.
Mereka yang beriman tidak jemu berharap dan berdoa walaupun permintaannya belum berhasil. Doa bagi golongan ini adalah senjata dalam menghadapi sebarang situasi, membuatkan mereka tidak pernah putus harapan.

Sementara golongan yang lemah iman akan patah semangat untuk berdoa. Dalam benaknya, kenapa Allah tidak memakbulkan doanya?

Di sinilah kita harus menilai diri sendiri. Siapa kita sebenarnya? Adakah kita ini termasuk orang yang bersih jiwa? Adakah kita mematuhi perintah Allah atau sebaliknya, sedangkan doa akan dimakbulkan (diterima) daripada hamba-Nya yang benar-benar ikhlas.

Andai kita bekerja di sebuah perusahaan, tetapi kita seorang pemalas, ingkar dan banyak melanggar peraturan di perusahaan itu, apakah ketua perusahaan itu akan menunaikan dengan mudah permintaan kita, seperti kenaikan gaji?

Sebagai ketua tentulah dia akan memberi dengan mudah jika pekerjanya itu seorang yang disayanginya, taat peraturan kerja dan rajin.

Demikian juga kita mengandaikan Allah dan hamba-Nya. Jika manusia itu seorang yang taat segala perintah, malah dalam masa yang sama menjauhi larangan-Nya dan rajin beribadat, insya-Allah mudahlah Allah memakbulkan segala doanya.

Jika kita melakukan banyak dosa, akan terhijablah (terdinding) doa kita. Dengan perkataan lain, sia-sia kita berdoa.

Ada lima perkara yang membuatkan kita terhijab atau ditolak doa oleh Allah s.w.t. iaitu:

  • Dosa kerana mengingkari pemimpin.Pemimpin terbahagi kepada dua iaitu pemimpin atasan dan pemimpin bawahan. Perintah mereka wajib ditaati selagi tidak bercanggah dengan syariat.

    Pemimpin yang dimaksudkan di sini ialah pemimpin yang adil kepada orang bawahannya, soleh lagi berjiwa tauhid, bukan pemimpin yang fasiq dan berbuat mungkar kepada Allah s.w.t. Jadi ukurlah diri masing-masing sejauh mana ketaatan kepada pemimpin.

  • Dosa kerana tidak taat guru.Guru orang yang bertanggungjawab mendidik dan mengasuh kita. Segala ajarannya perlu diikuti. Jangan sampai guru berasa muak dengan kita, supaya kita tidak ditimpa malapetaka seperti susah menerima ilmu, gelap hati, keras hati, malas beribadat, doa dan amalan tidak terangkat dan tidak dapat memperbaiki akhlak.
  • Dosa kerana menderhaka dengan ibu bapa.Ibu bapa berkorban untuk menjadikan kita insan yang berguna di dunia dan akhirat. Jika kita menderhaka atau menyakiti hati mereka, sedangkan perintahnya bertepatan dengan syariat Islam, Allah pasti murka pada kita.

    Awas, doa anak derhaka tidak diangkat malaikat ke hadrat Ilahi. Oleh itu, tidak ada perubahan atau peningkatan pada diri kita kerana doa mereka ditolak. Jadilah kita orang yang rugi di dunia dan akhirat.

  • Dosa kerana derhaka kepada suami.Isteri yang menderhakai suaminya tidak layak mencium bau syurga. Allah murka dan melaknat isteri yang membelakangi suaminya.

    Rasulullah bersabda, maksudnya: “Jika Allah membenarkan manusia sujud kepada manusia selain-Nya, aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.”

    Besarnya kedudukan seorang suami di sisi Allah. Seorang isteri walaupun ibadatnya sehebat ibadat Siti Maryam (ibu Nabi Isa), tiada nilai sedikitpun di sisi Allah jika masih menderhakai suami.

  • Dosa kerana menganiaya atau menzalimi orang.Golongan yang suka menganiaya dan menzalimi orang termasuk juga orang yang gemar menabur fitnah, mengadu domba, buruk sangka sesama manusia, suka menyakiti hati orang lain, sama ada dengan lidah, perbuatan atau tingkah laku.

    Jika kita melakukan satu daripada lima perkara ditegah di atas, terhijablah doa dan amalan kita. Oleh itu, jika ingin doa kita dimakbulkan Allah, jauhkan diri daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah itu.

  • Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

    Sifat Ujub Mesti DiHindari

    Posted by epondok di November 14, 2009

    SALAH satu sifat mazmumah yang amat dibenci Islam dan tidak disenangi dalam masyarakat ialah sifat ujub (perasan diri lebih). Ujub dapat diertikan sebagai ‘menganggap dan melihat diri lebih daripada orang lain’. Dengan menganggap diri lebih, seperti dari segi pengetahuannya, kealimannya, ibadatnya atau lebih kekayaannya daripada orang lain.

    Ujub ini sifat tercela, ia perlu segera dikikis dan dijauhi umat Islam kerana boleh mendorong kepada pelbagai sifat yang lebih buruk lagi, misalnya sombong, takbur, gila hormat, meremehkan orang lain dan sebagainya. Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang dapat merosakkan, iaitu bakhil yang diturut; hawa nafsu yang diperturuti dan mengagumi diri sendiri (ujub).” – (Hadis Baihaqi)

    Jenis ujub termasuklah:
    Bangga atau kagum dengan kecantikan rupa paras, kegagahan atau suara merdu. Hal sedemikian perlu dijauhi kerana ia adalah sangat tercela. Menjauhinya hendaklah dengan kesedaran bahawa apa juga yang dibanggakan itu adalah anugerah dan nikmat Allah yang perlu disyukuri. Seseorang itu dikatakan bersyukur apabila ia memanfaatkan anugerah Allah itu pada tempatnya yang wajar lagi diredai-Nya.

  • Ujub disebabkan ketinggian ilmu atau kecerdasan otak dan menganggap dirinya paling pandai. Sikap sedemikian perlu dijauhi dengan kesedaran bahawa ilmu yang kita miliki ini adalah masih terlalu sedikit. Kalau difikirkan, ulama dan intelektual lain adalah lebih dari itu. Dan perlu kita hayati firman Allah: “Dan tidaklah kamu diberi ilmu, kecuali sedikit.” – (Surah al-Israa’: 85)
  • Ada pula ujub lantaran keturunan. Umpamanya seseorang itu bangga terhadap dirinya disebabkan berketurunan bangsawan, raja, ulama, hartawan dan sebagainya. Sebenarnya semua itu tidak patut dibangga-banggakan. Bukankah Allah berfirman: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih berketurunan atau bangsanya).” – (Surah al-Hujurat: 13).Sifat ini hendaklah dijauhi dan dihilangkan dari diri seseorang individu muslimin kerana ia boleh menjejaskan amal ibadat kita kepada Allah. Semoga dengan menjauhinya kita akan mendapat keredaan Allah di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.
  • Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »