Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 11 November 2009

Kiamat dari perspektif agama

Posted by epondok di November 11, 2009

Oleh ADHAM SHADAN

Walaupun sifat sebenar hari kiamat tidak diketahui, namun terdapat gambaran-gambaran yang diberikan dalam al-Quran tentang hari kemusnahan yang juga disebut sebagai as-Sa’ah.

 

DIRIWAYATKAN dalam hadis, banyak bencana alam terjadi sebelum kiamat. – Gambar hiasan

 


TIDAK ada sesiapa boleh menyangkal bahawa kepercayaan kepada hari kiamat turut didasari dengan unsur keagamaan. Justeru, kupasan berdasarkan perspektif agama adalah perlu untuk mengelakkan tersasar pemahaman.

Bagi sesetengah agama yang menyeru umatnya mengimaninya, hari kiamat merujuk kepada hari berakhirnya dunia dan bermulanya alam akhirat.

Berdasarkan Islam, hari kiamat adalah hari semua manusia dibangkitkan selepas kematian dan segala amalan ketika di dunia dihitung. Bagi mereka yang berbuat baik dan beramal soleh diberikan ganjaran syurga dan bagi mereka yang ingkar dibalas neraka.

Menurut Ketua Jabatan Usuluddin, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Abu Zaki Ismail, sebelum manusia dibangkitkan seluruh alam dan isinya akan dibinasakan.

“Sehingga pada saat itu, disebutkan dalam al-Quran, hanya Allah sahaja yang hidup, malaikat-malaikat turut dimatikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, hanya Allah yang tahu bila ia akan berlaku. Turut disebutkan di dalam al-Quran bahawa hari itu tidak akan datang melainkan secara tiba-tiba.

“Justeru, kalau ada orang yang meramal, ramalan itu pasti tidak benar,” ujarnya sambil memberitahu hari kiamat disebut sebagai yaumul qiyamah dalam bahasa Arab.

ABU ZAKI ISMAIL

 

Walaupun sifat sebenar hari itu tidak diketahui, namun terdapat gambaran-gambaran yang diberikan dalam al-Quran tentang hari kemusnahan atau juga disebut sebagai as-Sa’ah.

“Misalnya disebutkan langit runtuh dalam surah al-Infitor, langit terbelah dalam surah al-Insyiqaq, langit digulung dalam surah al-Anbia’, bumi bergegar dalam surah al-Zalzalah dan sebagainya,” tambahnya.

Katanya, walaupun Allah berfirman ‘la ta’tiikum illaa baghtah’ (Tidaklah ia datang melainkan secara tiba-tiba), namun Islam turut menggariskan beberapa tanda sebelum kedatangannya.

Antara tanda-tanda kecil adalah zina bermaharajalela, ramai orang soleh meninggal dunia, negara Arab berpadang rumput, banyak saksi palsu dan lain-lain. Antara tanda-tanda besar pula adalah matahari terbit di sebelah barat, lahirnya Dajal dan turunnya Nabi Isa.

Abu Zaki menjelaskan, antara tanda-tanda lain kiamat semakin tiba juga adalah berlakunya banyak bencana alam.

“Diriwayatkan dalam satu hadis, sebelum tibanya hari kiamat, berlaku banyak bencana sehinggakan manusia yang hidup apabila melalui tepi kubur berharap agar mereka (manusia yang hidup itu) yang berada di dalam kubur tersebut. Mereka bukan berkata demikian kerana hendak mati tetapi berkata begitu kerana tidak tahan untuk terus hidup,” ujarnya.

Berhubung ramalan yang digembar-gemburkan, Abu Zaki berkata, ia bukanlah satu perkara yang penting untuk difikirkan.

“Apa yang penting ialah kita berusaha melengkapkan amal dan bersedia menghadapinya. Walaupun kita tidak tahu bila ia akan berlaku, tetapi ia tetap akan berlaku,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Hari kiamat turut ada dalam kepercayaan Kristian dan ia lazim disebut The Last Judgement, Final Judgement atau Day of Lord.

Sementara itu, menurut penasihat Malaysia Hindu Sangam, Datuk A. Vaithilingam, berdasarkan perhitungan Hindu, dunia kini sedang berada dalam fasa terakhir kitaran iaitu kali yuga.


Menurutnya, dunia telah melalui fasa pertama, kiru thayuga; fasa kedua, thiretha yuga; fasa ketiga, thuvabara yuga dan kini melalui fasa terakhir iaitu kali yuga.

“Tetapi, kali yuga merangkumi tempoh 432,000 tahun dan tahun ini, baru 5,111 tahun kali yuga. Ada beratus ribu tahun lagi untuk ia berakhir,” kata Vaithilingam.

A. VAITHILINGAM

 

Bagaimanapun, Vaithilingam berkata, menurut ajaran Hindu, dunia ini tidak akan musnah terus sebaliknya akan melalui satu kitaran baru.

“Dalam agama Hindu, kemusnahan dunia 100 peratus atau secara sekali gus tidak mungkin berlaku. Dalam dunia ini, ada orang yang baik dan kami percaya Tuhan tidak akan membuat kemusnahan begitu.

“Selepas tamat tempoh kali yuga, kitaran lengkap akan berakhir dan dunia akan berubah kepada bentuk yang lain yang hanya diketahui Tuhan,” katanya.

Vaithilingam menggesa orang ramai agar tidak berasa takut dengan ramalan-ramalan bila berlakunya kemusnahan dunia.

“Manusia tidak perlu bimbang dengan ramalan-ramalan ini. Mereka harus fokus dalam menjalani kehidupan harian tanpa berasa takut,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Teori bila berlakunya kiamat

Posted by epondok di November 11, 2009

Oleh ADHAM SHADAN

Kalendar kaum Mayan meramalkan kiamat berlaku pada 2012 dan seluruh dunia kini berbicara mengenainya. Apakah bentuk-bentuk kemusnahan yang mungkin boleh terjadi pada dunia?


RAMALAN tarikh kiamat bukan perkara baru. Sudah acap kali penduduk dunia dimomokkan dengan ramalan hari kiamat berlaku pada tarikh tertentu, namun ternyata nafas dunia belum terhenti. Seorang petani di New England pernah meramalkan kiamat berlaku pada 23 April 1843 sehingga memiliki pengikut yang digelar The Millerites. Tarikh 1 Januari 2000 juga tidak terkecuali antara yang pernah diramalkan.

Terdahulu, riuh pada tahun 1806 apabila seorang penternak di Leeds, Britain mendakwa seekor ayam betinanya mengeluarkan telur bertulis ‘Christ is coming’ dan masyarakat dunia menjangkakan itu petanda kiamat hampir tiba. Pengasas gereja Mormon pernah menggemparkan dunia apabila memberitahu kiamat bakal berlaku sebelum tahun 1891.

Tahun ini, ramalan kedengaran lagi. Kali ini berdasarkan teori ‘pengakhiran kalendar’ kaum Mayan, Mexico, kiamat akan berlaku pada 21 Disember 2012. Filem berkisar mengenainya ‘2012’ bakal ditayangkan di pawagam esok. Sama ada ramalan itu benar atau tidak, kita hanya akan mengetahuinya tiga tahun lagi.

RUPA salah satu asteroid yang terapung di angkasa.

 


Bagaimanapun, keadaan kali ini agak berbeza kerana manusia sedang digomol ketakutan ekoran alam bagaikan menunjukkan tanda-tanda enggan lagi bersahabat dengan manusia. Siri bencana alam luar biasa dan perubahan cuaca yang agak ekstrem menggamit resah.

Bagi mereka yang beriman dengan hari kiamat, hari itu pasti akan tiba. Meski kita tidak tahu bagaimana dan bila ia sebenarnya akan berlaku, namun hari kiamat paling rapat dikaitkan dengan peristiwa kehancuran dunia. Di sini, kita membicarakan tentang kehancuran dunia dan apakah yang memungkinkan ia berlaku.

Saintis mula menjangkakan dunia ini bakal hancur menerusi teori big bang yang diperkukuhkan oleh Edwin Hubble pada tahun 1929. Teori itu mengatakan alam semesta ini terbentuk daripada satu letupan dan ia sedikit sebanyak menggambarkan begitulah juga pengakhirannya atau big crunch. Jika benar teori itu, saintis menjangkakan alam semesta yang kini berusia 13.7 bilion tahun akan ‘mati’ pada 20 bilion tahun dari sekarang.

AIS yang mencair boleh menyebabkan banjir besar di bumi.

 


Namun begitu, ia bukanlah satu-satunya cara kemusnahan dunia khususnya bumi. Planet yang didiami manusia itu terlalu kerdil untuk dibandingkan dengan seluruh alam semesta. Bumi ibarat setitik pada satu galaksi dan terdapat berbilion-bilion galaksi di alam semesta.

Menurut Pegawai Sains di Agensi Angkasa Negara, Mohd. Zamri Shah Mastor yang ditemui di Putrajaya baru-baru ini, kehancuran dunia atau bumi boleh berlaku menerusi beberapa cara.

Hentaman objek

“Pertama adalah menerusi hentaman objek-objek yang terapung di angkasa lepas seperti komet atau asteroid. Terdapat bukti bahawa objek-objek ini boleh memusnahkan,” katanya sambil menunjukkan sekeping gambar terbaru permukaan bulan yang pernah dirakamkan oleh misi angkasa Jepun, Selena.

“Kawah-kawah yang terbentuk pada bulan planet bumi adalah hasil hentaman daripada objek-objek ini. Bulan dan bumi kita terletak berhampiran. Bumi kita terselamat kerana memiliki atmosfera. Setiap kali komet dan asteroid cuba menerjah astmosfera bumi, ia akan musnah terlebih dahulu. Bayangkan apa akan terjadi jika manusia berterusan memusnahkan atmosfera dan lapisan ozon bumi?” soal Zamri yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang sains angkasa.

“Saintis turut mengaitkan kepupusan dinosaur di muka bumi satu ketika dahulu dengan peristiwa hentaman komet. Peristiwa Tunguska yang menyebabkan kewujudan kawah seluas 2,150 kilometer persegi di Siberia pada tahun 1908 dipercayai disebabkan hentaman objek dari angkasa lepas,” katanya.

GAMBARAN bencana besar di bumi yang dipaparkan dalam filem 2012 yang bakal ditayangkan di pawagam esok.

 


Menurut Zamri, berdasarkan laporan Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) di laman web http://neo.jpl.nasa.gov, boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja asteroid yang bergerak menghampiri bumi dan berpotensi melanggarnya. Namun ia tidak berlaku kerana atmosfera kita masih menjadi perisainya. Terdapat 1,077 asteroid yang dikenal pasti berpotensi menghentam Bumi. Namun, lazimnya kata Zamri, saintis hanya menyedari kehadiran sesuatu asteroid apabila ia telah melepasi bumi.

“Antara asteroid yang paling hangat diperkatakan kini adalah asteroid Apophis. Ahli astronomi pada mulanya menjangka ia akan melanggar bumi pada tahun 2029 sebelum diubah kepada 2036.

“Asteroid ini dikatakan akan berada kira-kira 30,000 kilometer (dianggap hampir) dari bumi dan boleh mencetuskan bencana yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Bagaimanapun, berdasarkan saiznya, ia dijangka tidak akan memusnahkan bumi sepenuhnya,” kata Zamri.

Perlanggaran galaksi

Selain daripada hentaman komet atau asteroid kata Zamri, bumi juga boleh musnah apabila berlakunya perlanggaran antara galaksi. Kejadian pertembungan antara galaksi memang pernah berlaku.

ZAMRI menunjukkan satu gambar permukaan bulan terbaru yang teruk dihentam objek terapung di angkasa seperti asteroid dan komet.

 


“Jika ia berlaku, seluruh isi galaksi berkenaan akan berlanggar dan tunggang terbalik. Lebih teruk daripada tsunami pun boleh berlaku,” katanya.

Bagaimanapun Zamri berkata, kalangan saintis juga percaya ada kemungkinan alam semesta ini tidak akan berakhir, sebaliknya terus berkembang pesat. Bahkan, ada yang mendakwa bahawa bukti-bukti lebih terarah kepadanya.

PERBUATAN manusia menjadi salah satu punca berlakunya bencana alam. – Gambar hiasan. (KANAN) Hampir setiap hari, ada asteroid yang cuba menghampiri bumi.

 


Sementara itu, menurut bekas Ketua Jabatan Geologi, Universiti Malaya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan, bencana yang dahsyat dan besar boleh berlaku apabila plat-plat bumi bergerak semakin pantas dan mengakibatkan pertembungan sesamanya.


“Plat-plat itu kini bergerak lebih pantas dan bertembung dengan kerap berbanding sifat tabiinya sebelum ini. Sebab itulah kini semakin kerap berlaku gegaran gempa bumi dan kita biasa mendengar tentang tsunami. Malaysia yang tidak terletak di Lingkaran Api Pasifik pun sudah boleh merasai gegarannya. Apa akan terjadi sekiranya plat-plat itu bergerak semakin pantas?” soalnya sambil memberitahu bumi kini berusia 4.5 bilion tahun.

Fenomena alam berangkai

Mohamad Ali menerangkan, plat bumi bergerak semakin pantas ekoran tindakan manusia sendiri seperti pemusnahan hutan, penggondolan bukit, ujian nuklear dan penggerudian dasar laut.

“Suhu bumi yang semakin panas boleh mencairkan bongkah ais di kawasan kutub. Jika ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan mencair, ia boleh menyebabkan banjir besar pada dunia,” katanya ketika dihubungi.

Mohamad Ali tidak menolak kemungkinan berlakunya kemusnahan alam besar-besaran kerana teori kepupusan haiwan dan tumbuhan purba bagai menunjukkan jawapannya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlakunya fenomena alam berangkai yang dinamakan chain reaction sekali gus mencetuskan bencana yang amat dahsyat.

“Gempa bumi boleh menolak air laut ke atas permukaan bumi. Apabila ia berlaku, bumi berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaan itu lalu menghasilkan ‘tindakan-tindakan’ melampau. Kejadian hujan batu dan salji turun di benua Afrika adalah antara tanda-tanda yang menunjukkan penyesuaian itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, NASA baru-baru ini menafikan kewujudan planet Nibiru atau planet X yang dikatakan muncul berhampiran bumi dan bakal melanggarnya pada tahun 2012 berdasarkan teori kaum Mayan.

“Planet ini tidak wujud,” kata saintis NASA, Dr. David Morrison yang mendakwa menerima beribu-ribu e-mel berunsur kebimbangan berhubung kiamat yang dikatakan akan berlaku pada 2012.

Terma Kosmofobia

Morrison berpendapat, minat manusia yang semakin berkembang terhadap angkasa lepas telah membawa kepada satu terma iaitu ‘kosmofobia’.

“Semakin manusia mengenali angkasa lepas, manusia semakin takut kepada ancaman cakerawala seperti ribut solar, lubang hitam dan Milky Way.

“Ramalan kiamat mungkin boleh meninggalkan kesan yang paling buruk iaitu membuatkan manusia takut terhadap unsur-unsur kosmos iaitu bidang astronomi dan alam semesta,” ujarnya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ulama’ pembangun tamadun

Posted by epondok di November 11, 2009

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Setiap Muslim perlu rujuk orang alim  elak perpecahan, perdebatan agama

 

ULAMA adalah pewaris tugas dan peranan nabi dan rasul dalam menyampaikan amanah Islam kepada seluruh umat manusia. Di tangan ulama penentu kepada maju mundurnya sesebuah negara, terang gelapnya sesebuah bangsa, baik buruknya sesuatu umat di bumi ini.

Jika ulama berperanan sebagaimana tanggungjawab nabi dan rasul, maka akan baiklah umat itu. Sebaliknya, jika ulama itu tidak berfungsi dan berperanan jelek, nescaya akan buruk dan binasalah umat berkenaan.

// //

 

Rasulullah SAW bersabda: “Ulama itu ibarat pelita yang menerangi bumi, pengganti (pewaris) para nabi dan rasul, ahli warisku dan ahli waris nabi dan rasul.” (Hadis Ibnu Adiy)

Ulama, seorang yang luas dan mendalam ilmu pengetahuan agamanya dan berupaya menggarapkan dan seterusnya mengembangkan ilmu itu bersesuaian dengan bidang kepakarannya sehingga lahir beberapa disiplin ilmu lain sama ada dalam bidang ilmu keagamaan atau keduniaan. Hasilnya, disiplin ilmu itu menjadi rujukan utama umat manusia zaman berzaman.

Inilah ciri utama seorang ulama yang berwibawa dan berhemah tinggi dalam sebuah masyarakat Islam. Allah berfirman: “Dan orang yang tetap teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya dalam ilmu agama berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran (Ulul Albab).” (Surah Ali Imran: 7).

Seterusnya, ciri terpenting yang dianggap sebagai garis pemisah antara seorang ulama dengan bukan ulama ialah ciri keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Seorang ulama adalah seorang yang cukup mantap imannya dan tebal takwanya kepada Allah, tidak takut kepada sesiapa kecuali Allah ketika menegakkan kebenaran.

Oleh kerana imannya yang bertapak kukuh dalam sudut jiwa itulah yang mendorongkan ulama itu untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan berbekalkan sebanyak mungkin amalan kebajikan kerana dia menginsafi bahawa bekalan ilmu saja belum memadai. Maka tidak dapat tidak, amalan kebajikan wajib ditunaikan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa (amal bakti untuk mencapai keredaan Allah). Bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya (Ulul Albab).” (Al-Baqarah: 197).

Dengan kemuliaan yang dianugerahi Allah kepada seorang ulama, maka dia mempunyai peranan yang cukup besar dalam membimbing dan memimpin hala tuju masyarakat dan negaranya ke arah keredaan Allah. Semakin kreatif seseorang ulama, maka semakin meningkatlah tamadun dan peradaban manusia dalam hidup ini.

Justeru, setiap Muslim hendaklah merujuk terlebih dulu kepada ulama dalam sebarang persoalan hidup sama ada persoalan duniawi mahupun ukhrawi.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »