Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 6 November 2009

15 Tanda Kiamat

Posted by epondok di November 6, 2009

Kalau kita masih ingat lagi dalam peristiwa Israk dan Mikraj ketika Rasulullah SAW dibawa menaiki kenderaan yang bernama Buraq yang terpantas sepantas kilat baginda menoleh dan melihat bumi tempat tinggal manusia dan segala makhluk yang lain seumpama seorang wanita tua.

Tasybih (disamakan) bumi dengan seorang wanita tua ada kaitannya dengan usia bumi. Ditasybihkan agar manusia segera dan pantas memahami kehendak Allah melalui lisan baginda Rasulullah SAW.

Semoga dengan demikian manusia hendaklah mengambil iktibar dan pengajaran serta langkah-langkah yang sewajarnya dalam menjaga dan memelihara alam tabie yang menjadi amanah kepada manusia.

Maksudnya bumi diumpakan seperti wanita tua, dari sudut biologinya wanita tua kebiasaannya semestinya uzur. Bila uzur ada kaitan dengan keaktifan seseorang, yang pastinya yang muda tidak sama dengan yang atau dari segi kudrat dan tenaga, apatah lagi dari segi kesihatannya.

Bermula dengan tsunami dari tahun 2004 yang meragut jutaan nyawa manusia hinggalah yang terakhir gempa bumi di Padang dan banyak lagi.

Ditambah suhu panas yang semakin meningkat, atmosfera dan ozon yang semakin menipis sehingga suhu semakin membahang dari hari ke sehari.

Walaupun sebahagian kerosakan berpunca dari tangan-tangan manusia seperti firman Allah SWT yang bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (al-Rum: 41)

Punca kerosakan di daratan dan lautan adalah kerana ketamakan manusia merakusi bumi Allah SWT atas alasan pembangunan dan pemodenan kawasan. Maka berlakulah banjir kilat di beberapa tempat, tapi manusia tidak belajar.

Kebanyakan perkara yang dinyatakan telah pun berlaku dan ada yang masih berlaku, antaranya adalah tanda-tanda kiamat kecil.

Tanda-tanda kiamat

Tanda-tanda kiamat ada dua: tanda-tanda kiamat besar dan tanda-tanda kiamat kecil.

Tanda kiamat kecil adalah tanda yang datang sebelum kiamat dengan waktu yang relatif lama, dan kejadiannya biasa, seperti dicabutnya ilmu, dominannya kebodohan, minum khamr, berlumba-lumba dalam membangun, dan lain-lain. Terkadang sebahagiannya muncul menyertai tanda kiamat besar atau bahkan sesudahnya.

Tanda kiamat besar adalah perkara besar yang muncul mendekati kiamat yang kemunculannya tidak biasa terjadi, seperti muncul Dajjal, Nabi Isa a.s., Yakjuj dan Makjuj, terbit matahari dari Barat, dan lain-lain.

Para ulama berbeza pendapat tentang permulaan yang muncul dari tanda kiamat besar. Tetapi Ibnu Hajar berkata, “Yang kuat dari sejumlah berita tanda-tanda kiamat, bahawa keluarnya Dajjal adalah awal dari tanda-tanda kiamat besar, dengan terjadinya perubahan secara menyeluruh di muka bumi. Dan diakhiri dengan wafatnya Isa a.s.

“Sedangkan terbitnya matahari dari Barat adalah awal dari tanda-tanda kiamat besar yang mengakibatkan perubahan keadaan langit. Dan berakhir dengan terjadinya kiamat”.

Ibnu Hajar melanjutkan, “Hikmah dari kejadian ini bahwa ketika terbit matahari dari barat, maka tertutuplah pintu taubat”.

Di antara tanda-tanda kiamat kecil adalah:

1. Diutusnya Rasulullah SAW

Jabir r.a. berkata, “Adalah Rasulullah SAW jika beliau menyampaikan khutbah matanya merah, suaranya keras, dan penuh semangat seperti panglima perang, beliau bersabda, “(Hati-hatilah) dengan pagi dan petang kalian”. Beliau melanjutkan, Aku diutus dan hari Kiamat seperti ini. Rasulullah SAW mengibaratkan seperti dua jarinya antara telunjuk dan jari tengah (kiamat sangat hampir). (riwayat Muslim)

2. Disia-siakan amanah

Jabir r.a. berkata, tatkala Nabi saw. berada dalam suatu majlis sedang berbicara dengan para sahabat, maka datanglah orang Arab Badwi dan berkata, “bilakah masanya akan terjadi kiamat?” Rasulullah SAW terus melanjutkan bicaranya. Sebahagian sahabat berkata, “Rasulullah mendengar apa yang ditanyakan tetapi tidak menyukai apa yang ditanyakannya”.

Berkata sebagian yang lain, “Rasulullah tidak mendengar”. Setelah Rasulullah menyelesaikan bicaranya, baginda bertanya: “Mana yang bertanya tentang kiamat tadi?” Berkata lelaki Badwi itu, “Saya, wahai Rasulullah”. Rasulullah SAW berkata, “Jika amanah disia-siakan, maka tunggulah kiamat”. Lelaki itu bertanya lagi, “Bagaimana menyia-nyiakannya?” Rasulullah menjawab, “Jika urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat”. (riwayat Bukhari)

3. Penggembala menjadi kaya

Rasulullah ditanya oleh Jibril tentang tanda-tanda kiamat, lalu beliau menjawab: “Seorang budak melahirkan majikannya, dan engkau melihat orang-orang yang tidak beralas kaki, telanjang, dan miskin, penggembala binatang berlumba-lumba saling tinggi dalam bangunan. (riwayat Muslim).

6. Banyak terjadi pembunuhan

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidak akan terjadi kiamat, sehingga banyak terjadi haraj.. Sahabat bertanya apa itu haraj, ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “haraj adalah pembunuhan, pembunuhan”. (riwayat Muslim).

7. Munculnya kaum Khawarij

Dari Ali ra. berkata, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, Akan keluar di akhir zaman kelompok orang yang masih muda, bodoh, mereka mengatakan sesuatu dari firman Allah. Keimanan mereka hanya sampai di kerongkong mereka. Mereka keluar dari agama seperti anak panah keluar dari busurnya. Di mana saja kamu jumpai, maka bunuhlah mereka. Siapa yang membunuhnya akan mendapat pahala di hari kiamat. (riwayat Bukhari).

9. Perang antara Yahudi dan Umat Islam

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tidak akan terjadi kiamat sehingga kaum muslimin berperang dengan yahudi. Maka kaum muslimin membunuh mereka sampai ada orang yahudi bersembunyi di belakang batu-batuan dan pohon-pohonan. Dan berkatalah batu dan pohon, “Wahai muslim, wahai hamba Allah, ini yahudi di belakangku, kemari dan bunuhlah ia”. Kecuali pohon Gharqad kerana ia adalah pohon Yahudi. (riwayat Muslim).

11. Sedikitnya ilmu

12. Merebaknya perzinaan

13. Banyaknya kaum wanita

Dari Anas bin Malik ra. bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya di antara tanda-tanda kiamat adalah ilmu diangkat, banyaknya kejahilan, banyaknya perzinaan, banyaknya orang yang minum khamr (arak), sedikit kaum lelaki dan banyak kaum wanita, sampai nisbah bagi 50 wanita seorang lelaki. (riwayat Bukhari)

14. Bermewah-mewah dalam membangun masjid.

15. Berleluasnya riba dan harta haram

Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah bersabda, “Akan datang pada manusia suatu waktu, setiap orang tanpa kecuali akan makan riba, orang yang tidak makan langsung, pasti terkena debu-debunya“. (riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah bersabda, Akan datang pada manusia suatu saat di mana seseorang tidak peduli dari mana hartanya didapati, apakah dari yang halal atau yang haram. (riwayat Bukhari dan Ahmad)

Advertisements

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Kewajipan mencintai keluarga Nabi SAW

Posted by epondok di November 6, 2009

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

RATA-RATANYA masyarakat Islam keliru mengenai apakah pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap ahli keluarga Nabi SAW. Kekeliruan ini membuatkan ramai di kalangan kita tidak mahu menyentuh permasalahan mengenai hak-hak Ahli Bait barangkali kerana khuatir terlibat dengan fahaman puak Syiah dan Rafidhah.

Sebahagian yang lain menganggap ia bukanlah suatu permasalahan yang penting untuk diambil berat dan diperbahaskan dengan panjang lebar.

Walau apa pun alasannya, perbuatan dan perkataan salafussoleh serta ulama telah bersalahan dengan pendirian mereka. Pendapat salaf juga menjadi bukti dan hujah bahawa mereka tidak pernah meletakkan perbahasan mengasihi Ahli Bait sebagai perkara sampingan dan hal remeh-temeh.

Sebabnya, mereka sedar dengan sebenar-benar kesedaran bahawa mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW adalah perintah yang wajib dijunjung walau di mana mereka berada.

Secara umumnya perintah memulia dan mencintai ahli keluarga Nabi SAW termaktub di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Nabi Muhammad): Bahawa aku tidak meminta sebarang upah di atas seruan dakwahku ini melainkan agar kalian mencurahkan rasa kasih sayang terhadap al-Qurba (kaum kerabat Rasulullah SAW). (as-Syuura: 23)

Demikian juga diriwayatkan dalam banyak hadis mengenai tuntutan mencintai dan memuliakan Ahli Bait seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: Aku ingatkan kamu kepada Allah (agar mencintai dan memuliakan) ahli keluargaku. (riwayat Muslim, Tarmizi, al-Nasa’i, Ahmad dan al-Hakim).

Di dalam hadis yang lain pula Baginda SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya aku tinggalkan buat kalian dua bekalan iaitu Kitabullah dan keturunanku Ahli Bait. Sesungguhnya Allah Yang Maha Pelembut dan Maha Mengetahui telah memberitahuku bahawa kedua-duanya tidak akan berselisih sehinggakan kedua-duanya masuk ke syurga, maka lihatlah bagaimana kalian melanjutkan kepimpinanku terhadap dua perkara ini”. (Dikeluarkan oleh al-Haytami dalam Majma’ al Zawaid)

Daripada dalil-dalil di atas, nyatalah kepada kita bahawa mencintai dan memuliakan Ahli Bait adalah merupakan perintah yang terbit dari pelita al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Salafussoleh dan Ahli Bait

Para salafussoleh r.a tidak membiarkan firman Allah SWT dan hadis-hadis yang terlalu banyak menekankan peri pentingnya mencintai dan memuliakan Ahli Bait sebagai kalam yang sia-sia. Mereka telah mempraktikkan semua ini sepanjang kehidupan mereka dan menyemai rasa kasih dan penghormatan terhadap Ahli Bait ke dalam hati anak-anak mereka sejak kecil lagi.

Saidina Abu Bakar al Siddiq r.a pernah berkata: “Demi jiwaku yang berada di dalam kekuasaan-Nya, aku lebih suka menyambungkan silaturrahim dengan kerabat Rasulullah SAW daripada kerabatku. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Saidina Umar ibn al-Khattab r.a pula pernah menyatakan kepada Saidina Abbas r.a dengan katanya: “Demi Allah! Keislaman kamu pada hari kamu memeluk Islam lebih aku sukai daripada pengislaman al-Khattab (iaitu bapanya), kerana keIslaman kamu lebih dikasihi oleh Rasulullah SAW daripada pengislaman al-Khattab”. (riwayat Ibnu Saad di dalam al-Tobaqat).

Demikian juga perbuatan Saidina Zaid ibn Thabit r.a yang mencium tangan Ibnu Abbas r.a lalu berkata: “Beginilah kami diperintahkan agar menghormati ahli keluarga Nabi kami”.

Seorang cucu Rasulullah SAW yang bernama Abdullah ibn Hasan ibn Hasan berkata: “Aku telah datang menemui Umar ibn Abdul Aziz dengan membawa hajatku. Maka dia berkata kepadaku: Sekiranya kamu mempunyai sebarang hajat, maka utuskanlah seorang utusan kepadaku dan tulislah hajatmu itu kerana aku malu kepada Allah tatkala melihatmu berada di depan pintu rumahku”.

Kecintaan Imam Mazhab Terhadap Ahli Bait

Imam-imam mazhab fiqh yang muktabar juga sentiasa meletakkan kedudukan Ahli Bait di tempat yang selayaknya seperti yang telah diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya.

Mereka hidup bergaul dengan zuriat Baginda SAW yang mendiami kota Madinah, Mekah dan bumi Syam dengan pergaulan yang baik, penghormatan dan kasih sayang demi meraih keredaan nenda mereka, Rasulullah SAW.

Imam Abu Hanifah r.a adalah di antara imam-imam Ahli Sunnah yang begitu mengasihi ahli keluarga Nabi SAW. Beliau telah berfatwa agar umat Islam memberikan wala’ (kesetiaan), melazimi dan mentaati Saidina Ibrahim ibn Abdullah ibn al-Hasan ibn al-Hasan al-Muthanna ibn Ali r.a. Fatwanya ini menyebabkan beliau dipenjara tetapi diuar-uarkan bahawa beliau dihukum penjara kerana menolak jawatan kadi yang ditawarkan kepadanya.

Imam Malik ibn Anas r.a juga telah memuliakan dan berfatwa agar umat Islam memberi ketaatan kepada Saidina Ibrahim ibn Zaid ibn Ali Zain al-Abidin ibn al-Husain ibn Ali r.a. Lantaran daripada itu, beliau dipenjarakan selama beberapa tahun.

Imam Muhammad ibn Idris al-Syafie pula adalah di kalangan imam yang paling tebal kecintaannya terhadap ahli keluarga Nabi SAW. Beliau menegaskan di dalam serangkap syairnya yang bermaksud: “Sekiranya mencintai ahli keluarga Nabi SAW menjadikan seseorang itu digelar Rafidhah, maka saksikanlah wahai manusia dan jin bahawa aku adalah Rafidhah”.

Di dalam sebuah syairnya yang lain beliau menyatakan: “Wahai Ahli Bait Rasulullah! Cinta terhadap kalian adalah satu kewajipan di dalam al-Quran yang diturunkan Allah, Cukuplah bukti betapa tingginya kedudukan kalian, sesiapa yang tidak bersalawat ke atas kalian di dalam solat, maka tidak sempurnalah solatnya”.

Diriwayatkan oleh muridnya bernama al-Rabi’ bahawa: Ketika kami pergi mengerjakan haji bersama Imam Syafie r.a, kami melihat beliau tidak akan mendaki suatu tempat yang tinggi atau turun ke kawasan lembah, melainkan beliau akan menangis dan mendendangkan syairnya yang bermaksud: “Ahli keluarga Nabi adalah perisaiku dan mereka adalah wasilahku kepada Allah, aku berharap kelak dengan keberkatan mereka, agar diserahkan sahifah (catatan amalan) di tangan kananku”.

Mencintai Ahli Bait di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah

Sesungguhnya Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah kelompok umat Islam yang paling benar dan tepat dalam mempersembahkan kasihnya terhadap ahli keluarga Nabi SAW.

Kecintaan mereka pada hakikatnya berbeza dengan pegangan kaum Syiah yang bersifat melampau dalam mengagungkan Ahli Bait. Kecintaan mereka yang berpaksikan kepada al-Quran dan Sunnah ini merumuskan kepada kita kepada beberapa perkara:

1. Ahli Sunnah mewajibkan pengikutnya mencintai dan memuliakan semua Ahli Bait dan sahabat-sahabat Baginda SAW kerana tanda kasih yang tulus terhadap Nabi SAW ialah dengan mengasihi dan memuliakan Ahli Bait dan para sahabat baginda.

2. Ahli Sunnah berlepas diri (tiada kena mengena) dengan jalan orang yang melakukan pelampauan ke atas keluarga Nabi SAW seperti mana amalan kaum Rafidhah yang tercela.

3. Ahli Sunnah memuliakan isteri-isteri Nabi SAW serta mendoakan agar Allah SWT meredai mereka setiap kali disebut nama-nama mereka. Pemilihan mereka sebagai isteri adalah dari perbuatan Nabi SAW yang maksum. Sekiranya kita mencerca mereka seperti amalan kaum Syiah, secara tidak langsung kita mempertikaikan kemaksuman Rasulullah SAW.

4. Ahli Sunnah menyifatkan Ahli Bait sebagaimana yang disyariatkan dan digariskan oleh al- Quran dan Sunnah, bukan mengasihi mereka untuk menjayakan syiar dan muslihat politik seperti mana amalan kaum Syiah.

5. Ahli Sunnah tidak mengiktikadkan bahawa Ahli Bait adalah maksum, bahkan mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas dari melakukan dosa sebagaimana manusia yang lain.

6. Ahli Sunnah beriktikad bahawa perkataan dan pendapat yang menyebut tentang kelebihan atau kemuliaan Ahli Bait tidaklah bermaksud melebihkan mereka pada setiap keadaan atau setiap orang. Bahkan dari beberapa sudut yang lain terdapat individu-individu lain yang lebih afdal daripada mereka.

Demikian juga terdapat banyak kitab karangan ulama fiqh, hadis dan tafsir mengenai gesaan mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW. Di antara mereka ialah al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti r.a.

Beliau telah menulis sebuah risalah bertajuk Ihya’ al-Mayyit Bi Fadhail Aalil Bait yang menghimpunkan 60 buah hadis yang membicarakan tentang tuntutan mengasihi, keutamaan dan kelebihan ahli keluarga Nabi SAW.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hukum tahan berhadas kecil, besar ketika solat

Posted by epondok di November 6, 2009

Soalan

APAKAH hukum menahan buang air kecil ketika solat.

Jawapan.

Menahan air kecil antara perbuatan menahan hadas termasuk membuang air besar atau kentut. Hukum menahan hadas adalah makruh. Perkara ini boleh terjadi apabila seseorang masih mempunyai waktu untuk keluar solat bagi memenuhi keperluan itu.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Janganlah seseorang mengerjakan solat apabila makanan sudah dihidangkan dan apabila mendesak keinginan buang air besar atau kecil.” (Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

Hukum makruh ini berubah kepada harus jika waktu solat terlalu sempit kerana dia terlambat. Ia harus menahan hadas itu dan terus bersolat.

Jika menahan hadas boleh mengakibatkan bahaya seperti penyakit, wajib baginya memberhentikan solat.

Menurut kitab Busyral Karim Bi Syarhi Masa’ilit Ta’lim: “Makruh solat dalam keadaan menahan air kencing atau membuang air besar atau menahan angin. Disunatkan agar melapangkan diri sebelum solat , walaupun khuatir terluput daripada solat berjemaah. Ini bagi yang mendapati ada keluasan waktu.

“Jika tidak wajib baginya menyempurnakan solat kerana kehormatan waktu kecuali jika bimbang ditimpa mudarat, haram baginya meneruskan solat.”

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »