Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 5 November 2009

Takabbur Punca Tidak Syukur

Posted by epondok di November 5, 2009

BAYANGKAN, sedang kita enak bersandar di kerusi empuk dan menghela nafas panjang sambil menghirup kopi panas segar, masih ramai lagi umat di luar sana diuji dengan pelbagai dugaan berat, tidur di khemah, makan seadanya, berhujan, berpanas terik tanpa bekalan air bersih dan elektrik sama ada akibat musibah bencana alam mahupun keganasan manusia seperti di Palestin dan Iraq.

Namun, dalam keadaan seperti itu, berapa ramaikah daripada kita yang mahu merenung dan mensyukuri nikmat Allah sehingga berterus-terusan membuat kerosakan dan kehancuran di muka bumi ini.

Keselamatan, keamanan dan kebaikan yang diperoleh ini adalah tanda kekuasaan dan kebesaran Allah yang wajib kita syukuri. Bersyukur adalah pengakuan atas nikmat kurnia Allah dengan penuh tawaduk diiringi keyakinan bahawa syukur itu sendiri adalah nikmat Allah yang berhak disyukuri.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu.” � (Surah Ibrahim, ayat 14)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu menjadikan hati sentiasa bersyukur, lisan selalu berzikir.” � (Hadis riwayat Ahmad, Thabrani dan Ibnu Majah)

Apabila kita mampu menghayati konsep kesyukuran kepada Allah dengan sebenar-benarnya, maka barulah timbul rasa keinsafan, toleransi dan keprihatinan kepada nasib dan masa depan kita sebagai individu Muslim, keluarga dan umat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang beriman di dalam kasih sayang dan prihatin antara mereka adalah seperti satu jasad yang jika sebahagian daripada anggota itu mengadu sakit, ia membawa seluruh jasad itu berjaga malam dan deman.” � (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Bertanyalah kepada diri sendiri, apakah hati nurani kita tidak tercuit tatkala membaca berita umat yang ditimpa musibah atau dibunuh dengan ganas di Palestin dan di Iraq atau saudara kita ditimpa penyakit berat, miskin hingga hidup melarat tanpa makan minum dan tempat berteduh.

Perihal keprihatinan dan sikap mengambil berat nasib dan masa depan umat ini sudah tertanam dalam peribadi Rasulullah SAW sendiri yang tatkala berbaring sebelum melelapkan matanya menangis hingga telapak tangannya dipenuhi air mata.

Detik-detik terakhir sebelum menghembuskan nafasnya, Baginda SAW mengungkapkan kalimah “ummati, ummati, ummati” (umatku, umatku, umatku), begitulah keprihatinan Baginda SAW.

Allah berfirman yang bermaksud: “Orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Rabb kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.” � (Surah Ali Imran, ayat 3)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Maka yang mana antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” � (Surah Ar-Rahman, ayat 69)

Konsep kesyukuran ini juga merealisasikan sikap tunduk dan patuh hamba kepada sang penciptanya, sekali gus menjadikan kita insan kerdil yang sekuat mana sekalipun tenaga dan upayanya atau sekaya manapun hartanya, akhirnya akan kembali kepada Yang Maha Sempurna.

Kebimbangannya ialah apabila kita gagal menyatakan dan menunjukkan kesyukuran kepada Allah, kita akan tenggelam dalam kenikmatan dan keseronokan hidup sehingga akhirnya hanyut dan tidak lagi berupaya berpesan-pesan kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Rasulullah SAW memberi amaran bahaya fenomena ini dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi: “Demi jiwaku yang berada di dalam tangan-Nya, benar-benar kalian menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, atau Allah benar-benar akan mengirimkan bencana, lalu kalian berdoa dan tidak dikabulkan.”

Pada ketika itu, janganlah kita menyalahkan alam jika kita ditimpa musibah bencana atau tragedi, janganlah menyalahkan orang lain jika terasa dianiayai, janganlah dituding jari kepada sesiapa melainkan melihat ke dalam diri sendiri.

Gagal mensyukuri nikmat Allah adalah petanda sifat angkuh dan sombong, sesungguhnya sifat angkuh dan sombong adalah milik Firaun, Haman, Qarun, Abu Jahal dan Abu Lahab!

Advertisements

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Lenggok Tubuh Semasa Berzikir

Posted by epondok di November 5, 2009

SOALAN : Bolehkah laku zikrullah secara menari-nari?

SELESAI satu ceramah di masjid kami, dalam isu zikrullah ada seorang bertanya penceramah, bolehkah majlis zikrullah dilakukan dalam keadaan berdiri dan menari-nari macam bekhayal-khayalan seperti yang pernah dilakukan oleh sesetengah golongan tarikat sufi. Penceramah tersebut secara spontan menjawab: Rasa saya itu adalah haram, mana boleh zikrullah yang begitu murni dicampurkan dengan tarian, tarian itu haram. Kami menjadi keliru, minta pandangan Dato’, terima kasih.

JEMAAH RAGU,
Sepang

JAWAPAN oleh Dr Harun Din:

SETIAP soalan memang ada jawapan. Jawapan itu bergantung kepadaa pengetahuan yang ada pada penjawabnya.

Kadang-kadang ada yang mengikut ‘rasa’, seperti soalan anda di atas, penjawab itu berkata rasanya tidak boleh. Mungkin juga ada orang lain yang akan menjawab rasanya boleh.

Jawapan bagi persoalan agama bukan boleh dimain dengan ‘rasa’. Ia memerlukan sandaran hukum yang perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.

Berkenaan dengan zikrullah, Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.'” (Surah ‘Ali-‘Imran ayat 191).

Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya.

Ummul Mukminin Aisyah r.ha. pernah melaporkan bahawa Rasulullah SAW berzikrullah (berzikir kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas kenderaan, berbaring, duduk dan bermacam lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Dalam satu riwayat pernah diceritakan bahawa Jaafar bin Abi Talib r.a (sepupu Rasulullah), pernah menari-nari melenggok lentuk di hadapan Rasullullah SAW sebaik sahaja beliau mendengar Rasulullah SAW menyebut kepada beliau, “Allah menjadikan rupa parasmu seiras dengan Allah menciptakan daku.”

Mendengar kata-kata yang seindah dan semurni itu, terus dita’birkan dengan menari-nari di hadapan Rasullullah SAW. Tingkah laku beliau itu atau ‘body language’ beliau tidak ditegah atau ditegur oleh Rasulullah SAW.

Di sinilah dikatakan atau dijadikan asal usul sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir kepada Allah yang dilakukan oleh ahli tarikat atau golongan sufiyah, ada sandarannya.

Sahlah berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar. Antara mereka ialah al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak diengkarinya.

Ditanya Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang persoalan tari-menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan.

Ditanya al-A’llamah Burhanuddin al-Abnasi, perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.

Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, “Tidak mengapa dan boleh dilakukan.”

Semua jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat dalam Surah ‘Ali-‘Imran di atas berserta hadis yang diriwayatkan oleh Jaafar bin Abi Talib r.a.

Adapun tarian yang dilarang adalah tarian yang bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ia diadakan dalam majlis yang kemaksiatannya ketara seperti berpakaian tidak menutup aurat, diiringi dengan muzik dan suasana yang mengundang kepada syahwat dan lain-lain.

Itulah yang disebut haram. Haram bukan soal tarian, tetapi dilihat dari aspek persembahan, suasana dan dilihat dengan jelas kemaksiatan.

Adapun tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang lahir daripada rasa kesyahduan kepada Allah, dengan kelazatan munajat dan bertaladdud (berseronok kerana zikrullah).

Perasaan seronok dan lazat itu yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya, merupakan anugerah Allah kepada mereka.

Mereka hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokan, tetapi dibuat kerana Allah SWT.

Inilah yang disebut di dalam Al-Quran (mafhumnya): “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28).

Ketenangan adalah suatu kenikmatan. Hendak menghargai kenikmatan itu adalah sesuatu yang boleh dita’birkan dengan isyarat, dengan kata-kata, dengan bahasa badan yang dijelmakan dalam bentuk tarian untuk menyatakan kesyukuran dan kenikmatan yang mereka perolehi hasil anugerah Allah.

Atas itulah pada pendapat saya bahawa tarian dalam majlis-majlis sufi itu adalah harus.

Untuk menyatakan haram atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil. Jika tidak ada dalil atau hujah, berbaliklah kepada hukum fekah bahawa, “Asal semua perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikannya haram.”

Oleh itu berzikrullah yang difahami dari ayat al-Quran di atas, hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama muktabar, maka saya menyatakan ia harus dan bukanlah haram.

Wallahu ‘alam.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »