Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 4 November 2009

Jauhi ajaran sesat bertopengkan tasauf, tarekat

Posted by epondok di November 4, 2009

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Pengamal ajaran sebenar tak akan lakukan perbuatan bercanggah hukum syarak

ISU ajaran sesat bukanlah satu perkara asing dalam kehidupan umat Islam kerana ia datang seiringan dengan kehidupan manusia. Namun, masih ramai di kalangan umat Islam mudah terjebak dengan fenomena ajaran sesat.

Sehingga kini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyenaraikan 125 kumpulan ajaran sesat yang bertapak di negara ini, sebahagian besarnya berselindung di sebalik ajaran tarekat dan tasauf yang terkenal.

Pada hal tasauf menurut perspektif Islam adalah satu kaedah tertentu untuk mendekatkan diri kepada Allah. Al-Sya’rani mendefinisikan tasauf sebagai ilmu yang terhasil di dalam hati wali apabila mereka mempraktikkan al-Quran dan sunnah.

Sebagaimana ilmu yang terhasil daripada ulama fekah, setiap amalan yang dilakukan dengan panduan kedua-duanya akan menghasilkan pelbagai ilmu, adab, rahsia dan hakikat yang tidak dapat diungkapkan secara lisan dengan syarat amalan itu bebas daripada kecacatan dan kehendak hawa nafsu.

Tarekat pula menurut huraian ulama tasauf mempunyai beberapa pengertian iaitu umum, khusus dan lebih khusus. Pengertian yang umum bagi tarekat itu merujuk kepada jalan agama Allah iaitu jalan Islam itu sendiri. Ibn Khaldun menggunakan perkataan tarekat dengan makna ini.

Beliau menjelaskan asal ilmu tasauf itu ialah tarekat kaum sufi di sisi golongan terdahulu daripada umat ini dan pemimpinnya daripada kalangan sahabat, tabi’in dan golongan selepas mereka adalah tarekat kebenaran dan hidayah. Asal tarekat ialah tekun beribadah, menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah, berpaling daripada perhiasan duniawi, bersifat zuhud terhadap apa yang dicari oleh orang ramai yang berupa kelazatan, harta dan pangkat serta menyendiri daripada makhluk dalam bersendirian untuk beribadat.

Pengertian khusus bagi tarekat pula ialah tata cara yang khusus atau himpunan adab dan ajaran yang diamalkan sesuatu kumpulan ahli tasauf. Tarekat dengan pengertian yang lebih khusus pula ialah perjalanan dan peningkatan tahap kejernihan rohani manusia dengan menempuh pelbagai halangan, melalui pelbagai peringkat dan maqam dan merasai pelbagai hal kerohanian.

Kadang-kadang, sesuatu ajaran tarekat dinamakan dengan nama pengasasnya sendiri, kemudian digabungkan dengan nama kumpulan tarekat yang terkenal di kalangan umat Islam sebagai satu pendekatan untuk mengaburi pandangan umat Islam mengenai ajaran dan kumpulan tarekat yang didukung itu, sedangkan pada hakikatnya terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Di antara ciri-ciri kesesatan yang menghiasi ajaran tarekat yang menyeleweng adalah pegangan terhadap istilah tasauf yang secara terang-terangan bercanggah dengan syarak di samping istilah falsafah, kebatinan dan takwil tasauf yang menyimpang jauh daripada kebenaran terhadap persoalan akidah dan ibadah.

Di samping itu, ajaran tarekat itu juga menganjurkan pengikutnya agar meringankan atau tidak melaksanakan amalan ibadat dan kewajipan syarak yang dituntut. Begitu juga pengikut ajaran tarekat yang sesat tidak segan silu melakukan maksiat. Lebih jauh dari itu, ajaran tarekat yang sesat juga membentuk gerakan politik bawah tanah yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan umat Islam.

Abu Yazid al-Bistami, seorang tokoh terkenal dalam bidang tasauf menjelaskan bahawa ada hubungan rapat antara syariat dan tasauf sehingga tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Menurutnya, syariat itu adalah asas utama yang diperlukan dan tidak boleh ditinggalkan dalam perjalanan menuju kepada Allah.

Beliau pernah berkata, jika kamu melihat seorang lelaki yang diberikan kekeramatan sehingga dia terbang di udara, maka janganlah kamu terpedaya dengannya sehinggalah kamu melihat bagaimana keadaannya atau sifatnya di sisi perintah dan larangan Allah, menjaga sempadannya dan menunaikan syariat.

Beliau juga dikatakan pernah mengajak anak muridnya untuk menemui seorang lelaki yang memasyhurkan dirinya dengan kewalian dan kezuhudannya. Apabila orang itu keluar dari rumahnya dan memasuki masjid, lalu dia meludah ke arah kiblat, tiba-tiba Abu Yazid berpaling meninggalkannya dan tidak mengucapkan salam kepadanya seraya berkata, “Bagaimana dia boleh dipercayai terhadap apa yang didakwanya itu”.

Pada umumnya, setiap insan ingin mendekatkan dirinya kepada Tuhannya. Begitu juga, dalam kehidupan dunia, seorang anak akan berasa senang bila berada dekat dengan kedua-dua orang tuanya.

Oleh kerana itulah, pengamal tasauf haruslah orang yang bersih hatinya, suci perbuatan dan tingkah lakunya daripada hal yang subahat apatah lagi perkara haram, serta tidak terpesona dengan segala urusan dunia. Bagi pengamal tasauf, dunia hanyalah jambatan menuju Allah.

Demikian pengertian sebenar tasauf dan tarekat, jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, setiap Muslim wajib berhati-hati dengan ajaran sesat yang bertopengkan tasauf dan tarekat yang semakin bercambah. Marilah sama-sama kita kembali kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah dalam usaha kita menjejaki keredaan Ilahi dunia akhirat.

Advertisements

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Bersatu merdekakan Masjid Aqsa

Posted by epondok di November 4, 2009

Oleh Hasliza Hasan


PELANCONG melihat pekarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis yang menjadi rebutan pelampau Zionis untuk dibina kuil.

Masyarakat Islam perlu turut serta mengekang pencerobohan Zionis di bumi Palestin

PELAMPAU Zionis tidak akan berhenti menceroboh Masjid al-Aqsa sehingga cita-cita mereka menguasai, seterusnya merobohkan masjid terletak di tanah suci ketiga umat Islam untuk digantikan dengan kuil Yahudi itu tercapai.

Pencerobohan pada 27 September lalu bersamaan hari sambutan upacara suci agama Yahudi, Youm Kippor, menggambarkan tekad melaksanakan pelan yang disusun atur bagi membolehkan mereka menjajah al-Aqsa.

Kejadian terbaru, pihak berkuasa Israel menyerbu masuk ke perkarangan Masjid al-Aqsa kelmarin, menembak gas pemedih mata dan memancut air untuk menyuraikan ratusan rakyat Palestin yang didakwa melempar batu ke arah mereka.

Pengarah Yayasan al-Quds, Igshaan Hendricks, berkata usaha berterusan sejak 1967 itu sepatutnya menyedarkan umat Islam seluruh dunia bahawa mereka tidak boleh berdiam diri dengan tekanan yang dikenakan pelampau Zionis terhadap rakyat Palestin.

Katanya, tanggungjawab mempertahankan tanah suci umat Islam itu bukan tanggungjawab rakyat tempatan saja sementara masyarakat dunia hanya melihat apa yang berlaku tanpa usaha tegas untuk menghentikan pencerobohan Masjid al-Aqsa.

Igshaan Hendricks

“Sejak bertahun-tahun kita mewarisi masjid itu tiba-tiba ada orang datang mengatakan ia bukan hak kita lagi. Apakah kita akan mendiamkan diri dan berserah begitu saja. Dalam hal ini kita kena faham bahawa kita tidak boleh berlembut dengan orang yang hendak merampas hak kita.

“Matlamat mereka ialah memusnahkan Masjid al-Aqsa tetapi itu mustahil dan mereka juga tahu. Namun, mereka tidak pernah putus asa bagi mencapai hasrat itu,” katanya kepada jemaah Masjid Tengku Kelana Putera, Kelana Jaya, baru-baru ini.

Beliau yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Perancangan Penjajahan: Untuk Membahagi Dua al-Aqsa’ berkata, idea untuk menguasai masjid itu juga didorong kejayaan diraih di Masjid Ibrahim yang kini sebahagian kecil dikuasai Yahudi.

Masjid Nabi Ibrahim terletak di kota al-Khalil (Hebron), Tebing Barat, dibahagikan kepada dua bahagian iaitu di sebelah barat menempatkan makam Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Sarah, manakala di sebelah timur menempatkan makam Nabi Ishak dan isterinya, Lea.

Lokasi makam Nabi Ibrahim dimiliki Yahudi sementara bahagian makam Nabi Ishak untuk orang Islam bagi menjaga sentimen dua kaum yang mengakui kerasulan Nabi Ibrahim.

Persetujuan itu menyaksikan bagaimana kawasan kuil Yahudi diperbesarkan dan kawasan Masjid Ibrahim atau kawasan solat orang Islam semakin mengecil. Lebih parah lagi, bilangan tentera rejim Zionis yang mengawal kawasan masjid dan makam itu, semakin bertambah.

Pada ceramah itu juga Igshaan menunjukkan gambar rajah kedudukan Masjid al-Aqsa dan pergerakan pelampau Zionis yang sentiasa berusaha untuk menceroboh masuk ke masjid itu melalui pintu Burak (lokasi Nabi Muhamad SAW menaiki Burak untuk meneruskan perjalanan Isra’ Mikraj).

Bagaimanapun, sehingga kini mereka tidak berjaya disebabkan kesungguhan rakyat Palestin mempertahankan pintu masuk penting itu.

Beliau turut mengingatkan jemaah mengenai cubaan pernah dilakukan untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa termasuk tindakan lelaki Yahudi Australia, Michael Dennis Rohan yang membakar masjid itu dan memusnahkan Mimbar Salahuddin al-Ayyubi.

Pada peristiwa 21 Ogos 1969, pelampau Yahudi itu menyalakan api di dalam Masjid al-Aqsa untuk membakar hangus masjid dan sekali gus memusnahkannya. Api yang marak membakar hampir memusnahkan keseluruhan bangunan Masjid al-Aqsa.

Kesan pedih pembakaran Masjid al-Aqsa pada 1969 masih terus dirasai dunia Islam sehingga ke saat ini. Pada 27 Januari 1982, sekelompok Yahudi radikal berjaya masuk ke Masjid al-Aqsa untuk membakarnya sekali lagi, namun usaha mereka berjaya dipatahkan.

Kemudian pada 14 Januari 1989, beberapa orang anggota (Parlimen) Knesset Israel masuk ke Masjid al-Aqsa dengan kawalan ketat pasukan rejim Zionis Israel dan di dalam masjid itu mereka membaca kitab suci agama Yahudi mereka.

Seterusnya pada September 2000, bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon, dengan kawalan tentera rejim Zionis Israel melakukan kunjungan ke Masjid al-Aqsa dan masuk ke dalam masjid itu. Beliau mengatakan lawatan itu adalah hak rakyat Israel melawat sebahagian dari tanah negara mereka. Kunjungan tokoh pengganas Sabra dan Shatila itu menyebabkan tercetusnya Intifada al-Aqsa (kebangkitan rakyat Palestin).

Kini, masih ada ribuan lagi anggota kelompok pengganas Zionis dan Yahudi radikal yang tidak mengenal erti putus asa untuk menceroboh seterusnya merobohkan Masjid al-Aqsa bagi meneruskan projek membina kuil Yahudi dikenali sebagai ‘Solomon Temple’ atau Haikal Sulaiman di dataran Baitulmaqdis itu.

Justeru, menurut Igshaan, isu pencerobohan Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis adalah kemelut yang menyedihkan apabila 1.5 bilion umat Islam tidak boleh bersatu padu mengalahkan musuh daripada menduduki kota suci itu.

Katanya, selain menjadi kiblat pertama umat Islam, Masjid al-Aqsa menjadi saksi peristiwa bersejarah Isra’ iaitu persinggahan perjalanan Nabi Muhammad dari Makkah sebelum dinaikkan ke ruang angkasa (Mikraj) dan menerima perintah solat wajib lima waktu.

“Kesucian dan kepentingan Masjid al-Aqsa kepada umat Islam tidak dapat dipertikaikan. Oleh itu, adakah kita akan membiarkan usaha zalim terus menerus Zionis yang ingin melenyapkan al-Aqsa dari muka bumi ini.

“Menjadi kewajipan untuk memahami isu ini, menjelaskannya dan mengajak umat Islam turut serta dalam agenda memperjuangkan kesucian al-Aqsa. Ia akan menjadi ‘aib’ kepada umat Islam jika Zionis dapat menguasai Masjid al-Aqsa,” katanya.

Sementara itu katanya, bagi Zionis, misi mereka akan lengkap apabila dapat mendirikan ibu negara dan kuil, selagi mimpi itu tidak menjadi kenyataan umat Islam terutama rakyat Palestin akan terus berdepan cubaan demi cubaan untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Kaki terdedah batal sembahyang

Posted by epondok di November 4, 2009

Soalan

APAKAH hukum wanita yang bersolat sedangkan tapak kakinya kelihatan.

Jawapan.

Aurat seseorang perempuan dalam solat dan di luar solat adalah seluruh anggotanya melainkan wajah dan tapak tangan. Tapak kaki wanita juga aurat. Cuma waktu berdiri dianggap tertutup kerana melekat di lantai ataupun tempat solat, di mana dia berdiri.

Apabila sujud, tapak kaki yang terdedah itu menyebabkan solat terbatal. Dalam kitab Hasyiatul Bajuri, menjelaskan: “Selain muka dan dua tapak tangannya, ertinya rambut dan kedua-dua tapak kaki. Memadailah menutupnya dengan bumi ketika ia berdiri.”

Jika nyata daripadanya sesuatu daripada tapak kaki ketika sujud atau nyata tumit ketika rukuk atau sujud, batal solat.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »