Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 3 November 2009

Keistimewaan Golongan siddiq di sisi Allah

Posted by epondok di November 3, 2009

Oleh Ibrahim Abdullah

SIFAT siddiq (benar) adalah inti sari daripada kebaikan. Sifat inilah yang dimiliki sahabat yang paling disayangi Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as-Siddiq. Dari Abdullah bin Masud, Baginda bersabda bermaksud: “Sesungguhnya siddiq itu membawa pada kebaikan, dan kebaikan akan menunjukkan pada syurga. Seseorang berperi laku siddiq, hingga ia dikatakan sebagai seorang yang siddiq. Pendustaan pula akan membawa kepada keburukan, dan keburukan akan menghantarkan pada neraka. Seseorang berperi laku dusta, hingga ia dikatakan sebagai pendusta.” (Hadis Bukhari).

Abu Bakar as-Siddiq, sahabat Rasulullah SAW yang mempunyai keistimewaan berbanding sahabat yang lain. Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam Syu’abul Iman, dari Umar bin al-Khattab: “Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan seluruh umat maka akan lebih berat keimanan Abu Bakar.”

Rasulullah SAW sendiri juga pernah memuji keislaman Abu Bakar, seperti dinyatakan oleh Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wal al-Nihayah: “Tidak aku mengajak seorang masuk Islam, tanpa ada hambatan, keraguan, tanpa me-ngemukakan pandangan dan alasan, hanyalah Abu Bakar. Ketika aku menyampaikan ajakan itu, dia langsung menerimanya tanpa ragu-ragu sedikitpun. Puncaknya adalah pada peristiwa Israk dan Mikraj, di mana semua manusia mendustai Rasulullah SAW, namun Abu Bakar yang membenarkan kejadian itu.”

Oleh itu, Abu Bakar mendapat jolokan as-Siddiq. Gelaran as-Siddiq ini adalah pemberian Allah melalui lisan Rasulullah SAW, sebagaimana yang dikatakan Ali Abi Talib. Dengan demikian hal ini menunjukkan bahawa siddiq merupakan sifat yang mempunyai nilai tertinggi di sisi Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah menyediakan untuk mereka ampunan dan ganjaran yang besar.” (Surah al-Ahzab: 35).

Selain mendapatkan keampunan dan ganjaran yang besar dari Allah, golongan siddiqin juga akan mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah di akhirat. Mereka akan disatukan bersama nabi, orang syahid, serta salihin.

Firman Allah bermaksud: “Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu nabi, golongan siddiqin, syuhada dan salihin, mereka itulah teman sebaik-baiknya.” (Surah al-Imran: 69).

Kedudukan apakah yang paling mulia di akhirat selain nabi dan syuhada serta orang salih. Hal ini menunjukkan betapa siddiq adalah sifat yang sangat disukai Allah SWT. Jika tidak, tentu Allah tidak akan menjanjikan sesuatu yang sangat tinggi kepada mereka.

Orang yang siddiq memiliki beberapa ciri, di antaranya adalah:

  • Teguh dan tegar terhadap apa yang diyakininya.
  • Tidak ragu untuk berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa.
  • Memiliki keimanan kepada Allah, Rasulullah SAW, berinfak (sedekah atau sumbangan), mendirikan solat, menunaikan zakat, menepati janji dan sabar.
  • Mempunyai komitmen yang kuat terhadap Islam.Cara meraih sifat siddiq ialah :
  • Sentiasa memperbaharui keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT. Kerana asas dari sifat siddiq ini adalah kuatnya keyakinan kepada Allah.
  • Melatih diri untuk bersikap jujur, ikhlas di mana pun berada dan bila-bila masa saja, kerana kejujuran dan keikhlasan adalah karakter mendasar sifat siddiq.
  • Melatih diri untuk sentiasa membenarkan sesuatu yang datang dari Allah (al-Quran dan Sunnah), kerana kebenaran mutlak hanya milik Allah. Sementara ijtihad manusia masih sangat memungkinkan adanya kesalahan.
  • Sentiasa melatih diri untuk komitmen dengan Islam dalam segala aspeknya, akidah, ibadah, akhlak dan syariah. Kerana salah satu ciri siddiqin adalah memiliki komitmen yang tinggi terhadap Islam.
  • Selalu menghayati ayat Allah, hadis Rasulullah SAW mengenai sifat siddiq, kerana menghayati ayat dan hadis juga cara tersendiri yang sangat membekas dalam jiwa manusia.
  • Sentiasa membuka kehidupan salafus salih, terutama pada sikap mereka yang menunjukkan jujur dan benar.
  • Memperbanyak zikir dan amalan sunnah, kerana ia akan menjadikan hati tenang dan tenteram serta mudah dihiasi sifat siddiq.Yang dikhuatirkan adalah munculnya sifat kazib (dusta) dari dalam jiwa. Ini kerana tabiat hati, jika tidak dihiasi dengan sifat yang positif, maka ia akan terisi dengan sifat negatif. Oleh kerana itu mengawal hati dengan menjauhi sifat munafik dan pendustaan, boleh menjadi seseorang memiliki sifat siddiq.
  • Advertisements

    Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

    Kaedah Hindari Suka Mengumpat

    Posted by epondok di November 3, 2009

    Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

    MENGUMPAT ialah menceritakan, menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain yang dilakukan sama ada disedari atau tidak.

    Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui orang yang mendengarnya. Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, “Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya” (Hadis Muslim).

    Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

    Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat. Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.

    Sabda Rasulullah, “Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis Abu Daud).

    Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka, akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

    Sabda Rasulullah bermaksud, “Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering”. Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.

    Maka, dia berkata kepada Allah, “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab, “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”.

    Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.

    Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.

    Oleh itu, banyakkan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini.

    Antaranya ialah:

  • Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.
  • Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.
  • Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:
  • Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;
  • Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;
  • Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;
  • Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan
  • Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.
  • Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

    Kem Cuti Sekolah / IPT sudah penuh

    Posted by epondok di November 3, 2009

    Pendaftaran samada melalui mesej atau e-mail bagi program Halaqah Ilmu ‘09 di Pondok Pasir Tumboh dan Pondok Intensif ‘09 di Pondok Tunjung telah pun ditutup setelah bilangan peserta melebihi had yang telah ditetapkan. Mohon maaf kepada yang baru tahu dan baru mahu daftar kerana kami tak mampu menampung peserta melebihi had yang telah ditetapkan

    Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

    Islam agama penyatuan

    Posted by epondok di November 3, 2009

    Oleh Mohd Shauki Abd Majid

    SECARA literalnya, perkataan “agama” membawa maksud “tidak kacau dan selamat.” Sifat itu memungkinkan kita memahami bahawa agamalah yang berperanan mengatur kehidupan aman dan damai.

    Setiap pengikutnya adalah diminta atau diwajibkan hidup dalam keadaan damai. Tidak melakukan kekacauan atau huru-hara terhadap orang lain. Dari situlah lahirnya tatacara kehidupan bermasyarakat yang harmoni, tersusun kemas dengan segala nilai dan norma kehidupan bersama.

    Demikian disyurga Al-Quran menggambarkan kaum beriman akan menperolehi buah-buahan dan menperolehi apa yang mereka minta. Kepada orang-orang beriman itu dikatakan: “Damai, damai”, sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha penyayang (Al-Quran Surah Yasin ayat 57-58). Bahkan disana, mereka orang-orang beriman tidak mendengar ucapan yang tidak bermanfaat dan tidak pula hujatan tuduhan berdosa, melainkan tegur sapa,’ damai, damai’, selamat, selamat’ (Al-Quran Surah Al-Waqiah ayat 25-26).

    Agama mengajar manusia menjauhi sifat-sifat tercela dan mengkhianati orang. Setiap orang wajib menghormati hak orang lain dan menjauhkan diri daripada sebarang tindakan yang boleh mengakibatkan permusuhan dan kekacauan. Menghasut dan menyebarkan permusuhan atau mencipta kekacauan adalah perbuatan yang sangat dibenci oleh agama. (Maksud al-Quran, Surah Al-Raa‘d, ayat 25)

    Tidak hairanlah apabila sesuatu kekecohan berlaku dalam masyarakat, perbezaaan pendapat atau tindakan akan dituntut diadakan satu usaha damai. Usaha mendamaikan mereka yang bermusuh, berbeza pendapat dan berkonflik akan mengembalikan kehidupan bermasyarakat yang harmoni. Walau bagaimanapun, keresahan dan kekalutan pendirian disebabkan oleh kegagalan kita mengawal rasa hati dan keserakahan batin.

    Ingatlah bahawa apabila kita ingin memperkasakan kedudukan bangsa, kita haruslah bermula dengan usaha membangunkan pola hidup masyarakat. Kita perlu menyemai benih-benih budaya dan nilai kehidupan yang harmoni, ianya tetap bermula dengan niat. Niat bermula daripada kesanggupan hati dan iltizam kita. Secara berlawanan, jika hati resah atau kacau bilau, maka akan lumpuh dan hancurlah masyarakat.

    Bukankah Erich Fromm pernah mengatakan bahawa apabila hendak menbangun bangsa, maka bangunlah masyarakatnya; bila hendak membangun masyarakat, bangunlah ‘hati’ nya. Bila hati kacau, masyarakat lumpuh, bangsa dan negara akan hancur. Apabila masyarakat hancur, bangsa dan negara porak peranda. Jika hati masing-masing sejuk dan tenang, maka dengan sendirinya ia telah mencipta masyarakat yang damai. Demikian juga bangsa dan negara akan memperolehi kesejahteraan dan keadilan. Rakyat telah memperjuangkan ketenangan dan dari ketenangan itulah melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

    Dalam hal ini, Allah swt berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 24 hingga 27 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman sahut dan sambutlah (seruan) Allah (dan seruan) Rasul-Nya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna (maju dan kuat) dan ketahuilah bahawa Allah (berkuasa) mengubah atau menyekat antara seorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya pada-Nya kamu akan dihimpunkan kembali dan jagalah diri kamu dari berlakunya dosa (yang menbawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim dari kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu semua secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah amat hebat azab seksa-Nya. Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya (lemah) serta tertindas di bumi sendiri kamu takut orang-orang (musuh-musuh) menangkap dan menculik kamu, maka Allah memberi tempat untuk kamu bermastaitin dan diperkuatkan kamu dengan pertolongan-Nya serta dikuniakan kamu daripada rezeki yang baik-baik supaya kamu bersyukur. Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengkianati (amanah) Allah dan Rasulnya dan (jangalah) kamu mengkianati amanat kamu sedangkan kamu mengetahui salah dan bahayanya.”

    Renungan

    Peringatan daripada Allah itu amatlah wajar dijadikan renungan setiap umat Islam, termasuk dalam kalangan yang berkepentingan dan berasa angkuh dengan kekuatan sendiri. Ini kerana, kehidupan kita di Malaysia adalah kehidupan yang diasaskan secara bermasyarakat. Ini bermakna, tidak ada satu kumpulan pun yang boleh mendabik dada mengaku secara sombongnya bahawa kekuatan diri dan kumpulannya sahajalah yang mampu bertahan, tanpa memerlukan bantuan orang lain.

    Peringatan itu memberikan kita teladan untuk mengenali dan menyedari kedudukan dan kekuatan kita sebenarnya. Masa inilah kita harus berusaha untuk memperbetulkan kesilapan, kerana mereka yang kenal dirinya akan berusaha menerima seruan Allah dan Rasul-Nya demi kemajuan dan kerukunan hidup.

    Amat malang sekali kerana perbezaan fahaman politik peluang kemasan yang terbuka untuk mengukuhkan perpaduan dan kekuatan ummah ditolak begitu sahaja.

    Kerana sikap kita sendiri yang tidak berharmoni bertimbang rasa ,malah dipenuhi dendam kesumat yang tak kunjung padam .Ini sangatlah bertentangan dengan ajaran Islam dan sifat (rahmat) dan rahim, rahman Allah dan RasulNya sebagai mana firmanNya bermaksud “Tuhan kamu telah mewajibkan atasNya rahmat” (Al-Quran Surah Al-An‘aam ayat 12) dan dalam satu firman-Nya yang lain yang bermaksud “dan tiada Aku utuskan kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk alam semasta (Al-Quran surah Al-Anbia ayat 107). Jangan akhirnya rahmat Tuhan pun akan kian menjauh dari haribaan kita.

    Dalam masa yang sama, kita sentiasa berdoa dan memohon Allah memberikan kita kebaikan kemajuan. Kita amat menginginkan kesejahteraan dan kekuatan, tetapi apabila Allah membuka peluang, tanpa kita sedar, kita sendiri telah menolaknya.

    Inilah yang dimaksudkan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Bahawa Allah akan memalingkan hati seseorang dan memisahkannya daripada dirinya sendiri.”

    Di sinilah terbukti akan kebesaran Allah swt yang dapat melakukan segala kehendak-Nya seperti firmannya dalam surah Al-Anfal ayat 53 yang bermaksud: “Yang demikian sebenarnya Allah tidak mengubah sebarang nikmat yang dilimpahkan atas sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri yang merubahnya dengan pilihan sendiri.”

    Oleh hal yang demikian, tidak ada sebab untuk kita cuba menolak seruan dan peluang yang terbuka luas demi merintis jalan ke jalan perpaduan. Dengan merintis jalan itu, ruang jaminan hidup sejahtera akan terlaksana. Lupakanlah alasan peribadi, takutkan pisang berbuah dua kali, atau hakisan kuasa politik, kerana itu adalah dugaan kita dalam mempersiapkan sebuah kehidupan bermasyarakat.

    Rasulullah saw dalam sebuah hadis baginda, pernah menggambarkan fitnah itu adalah seperti raksasa yang sedang tidur. Allah akan mengutuk mereka yang mengejutkannya, kerana apabila terbangun daripada tidur, raksasa itu akan melahap apa yang ada di depannya. Kerana itulah, apabila adanya fitnah, kita bukan sahaja wajib menghalangnya, kerana ia akan menyebabkan kebinasaan dan kehancuran (kiamat).

    Agar kita insaf dan berlapang dada, Allah sentiasa mengingatkan hamba-Nya supaya selalu mengenang kembali kelemahan dan kekurangan masing-masing. Nasib malang yang menimpa mereka yang sentiasa dalam ketakutan dan terancam oleh musuh, akan segera mempersiapkan diri dan mental agar bersedia untuk memperbaiki nasib malang yang menimpa, mudah-mudahan Allah memperbaiki nasib malang itu dengan melimpahkan rezeki dan memberikan kekuatan sebagai nikmat-Nya.

    Ikutilah jejak langkah orang tua-tua kita yang telah berjaya meletakkan batu asas perpaduan, bukan saja antara satu bangsa dan agama, malah antara semua kaum di negara ini.

    Demi menyahut seruan suci keamanan dan perpaduan, kita pelu berpegang kepada firman Allah swt yang bermaksud: Sekiranya mereka (musuh bukan Islam) cenderung untuk perdamaian, maka hendaklah kamu juga bersedia menerimanya dan bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (al-Anfal: 61)

    Bertawakal dan berserahlah kepada Allah dalam melaksanakan arahan-Nya dengan menerima cadangan dan seruan secara tenang dan lapang dada. Menyerahkan diri kepada Allah swt untuk menentukannya, kerana Dialah yang akan menentukan keputusannya. Inilah apa yang diakukan oleh pihak Saidina Ali kw semasa menghadapi tentangan daripada Muawiyah. Suasana sebegini juga turut dialami oleh banyak pemimpin dan pejuang Islam terdahulu. Berkat kesabaran dan tawakal mereka, Islam memacu kecemerlangan dan kejayaan yang besar dalam sejarah peradaban manusia.

    Di dalam ayat seterusnya, Allah berfirman yang bermaksud: Dan sekiranya mereka bermaksud mengkhianatimu, maka Allah akan mencukupimu. Dia sahaja yang dapat menolongmu dengan pertolongan-Nya dan orang mukmin sekalian (yang berada di belakangmu). (al- Anfal: 62)

    Hakikat ini merupakan amanat Allah dan Rasul-Nya kepada kita untuk dipraktikkan sepanjang kehidupan bermasyarakat. Kita juga ditegah daripada mengabaikan kesungguhan dalam memperjuangkan langkah mempertahankan agama, tanah air dan negara. Sekiranya amanat suci ini dikesampingkan, maka ia akan menggugat dan meruntuhkan apa yang sedang kita nikmati sekarang. Ia akan menjadi sejarah duka yang penuh dengan penyesalan dan kekecewaan.

    Menerusi ayat tersebut juga Allah menyebut pengkhianatan terhadap amanat itu adalah sebagai fitnah atau musibah. Malapetaka akan menimpa semua pihak yang ingkar dan tidak mengambil peluang memperbetulkan kesilapan.

    Oleh hal demikian itu, sama-samalah kita renung dan fikir sedalam-dalamnya, semoga Allah selamatkan kita dan memberikan rahmat sepanjang kehidupan ini.

    Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »