Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for November 2009

Kedudukan Tauhid 3 serangkai

Posted by epondok di November 30, 2009

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

WAlau di mana kita berada, ketauhidan kepada allah yang esa tetap sama.
– gambar hiasan

MINGGU ini kita menyambung kembali persoalan tauhid tiga serangkai yang telah pun diberikan lontaran awal pada dua minggu lepas. Sebelum soalan pertama dilontarkan mengenai tauhid tiga serangkai atau tauhid tiga bahagian yang diformulasikan atau direka oleh Ibnu Taimiyyah ini,

sebaiknya kita melihat dahulu secara ringkas definisi yang diberikan kepada ketiga-tiga tauhid ini.

Tauhid rububiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada ciptaan, pemerintahan, takdir, pentadbiran dan perbuatan-Nya serta dalam memberikan suatu kesan.

Manakala tauhid uluhiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah dalam hal peribadatan tanpa mengambil seorang manusia pun bersama Allah sebagai sembahan.

Tauhid Asma’ dan Sifat pula didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada apa yang dinamakan dan disifatkan dengan diri-Nya, sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya atau yang didapati daripada lidah nabi-Nya yang telah menetapkan dengan apa yang telah ditetapkan bagi diri-Nya.

Dalam membincangkan pembahagian ini, maka perkara utama yang perlu dipersoalkan dan bincangkan ialah adakah pembahagian ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Adakah pembahagian ini merupakan perkara yang disyariatkan ataupun perkara baru yang dicipta (bidaah)?

Persoalan ini, mengandungi beberapa jawapan:

Jawapan Pertama

Ibnu Taimiyyah yang merupakan pereka pembahagian tauhid ini mendakwa dirinya bermazhab Hanbali.

Namun Imam Ahmad ibnu Hanbal r.a. sendiri, yang dikatakan menjadi tempat sandaran bagi orang-orang yang melakukan pembahagian tauhid bidaah ini, tidak pernah menyatakan bahawa tauhid itu mempunyai beberapa bahagian; tauhid rububiah, tauhid uluhiah dan tauhid asma’ dan sifat.

Beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah, tidak dikira makrifatnya tentang tauhid rububiah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin.

Sesungguhnya akidah Imam Ahmad ibn Hanbal r.a telah disusun di dalam kitab-kitab karangan pengikutnya. Misalnya, di dalam kitab biografinya yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dan lain-lainnya, tidak terdapat langsung pembahagian tauhid rekaan ini. Maka dari manakah Ibnu Taimiyyah mengambil tauhid ini?

Jawapan Kedua

Tidak berkata walau seorang daripada Sahabat-sahabat Nabi r.a: “Sesungguhnya tauhid itu ialah tauhid rububiah dan tauhid uluhiah, dan sekiranya seseorang tidak mengetahui tentang tauhid uluhiah, maka tidak dikira makrifahnya tentang tauhid rububiyyah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin”.

Justeru, saya mencabar kepada setiap orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, supaya menaqalkan kepada kami pembahagian yang diada-adakan ini daripada sahabat-sahabat Nabi r.a, sekalipun dengan mengemukakan satu riwayat yang lemah.

Jawapan Ketiga

Tidak terdapat dalam sunnah Nabi SAW yang luas dan menjadi penjelas kepada kitab Allah, sama ada dalam kitab-kitab hadis sahih, sunan-sunan, musnad-musnad dan mu’jam-mu’jam yang menyebut bahawa Nabi SAW pernah bersabda dan mengajar sahabat-sahabatnya, bahawa tauhid itu terbahagi kepada tauhid uluhiah dan juga rububiah yang telah diketahui oleh orang musyrik.

Sekiranya berkumpul jin dan manusia bersama-sama mereka untuk menetapkan bahawa pembahagian ini adalah datang daripada Nabi SAW dengan isnadnya, sekalipun dengan isnad yang lemah, nescaya mereka tidak akan mampu untuk mendatangkannya walaupun dengan satu jalan.

Jawapan Keempat

Telah tercatat dalam sunnah yang banyak, bahawa dalam dakwah Rasulullah SAW mengajak manusia kepada Allah, Baginda SAW menyeru mereka ke arah penyaksian kalimah syahadah: Tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Baginda SAW juga mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala.

Di antara hadis yang paling masyhur menyebut tentang perkara ini ialah hadis Muaz ibnu Jabal r.a. Ketika beliau diutuskan oleh Nabi SAW ke Yaman, Baginda SAW bersabda kepadanya: Serulah mereka kepada penyaksian “Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah”. Sekiranya mereka mentaatinya, maka hendaklah kamu khabarkan kepada mereka bahawa diwajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. (riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya)

Diriwayatkan oleh pengarang kitab Sunan dan Ibnu Hibban, bahawa seorang Arab Badawi memberitahu Rasulullah SAW bahawa dia telah melihat anak bulan. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan supaya berpuasa dan Baginda SAW tidak menyoalnya melainkan tentang pengakuannya terhadap kalimah syahadah. (diriwayatkan oleh Abu Daud, al Nasaei, al Tirmizi dan lain-lain)

Sekiranya tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian sebagaimana yang mereka perkatakan, maka sudah tentulah Nabi SAW menyeru sekelian manusia kepada tauhid uluhiah yang tidak mereka ketahui dan bukannya tauhid rububiah kerana mereka telah mengetahuinya.

Demikian juga, perlulah Baginda SAW bersabda kepada Muaz r.a, “Serulah mereka kepada tauhid uluhiah,” dan Baginda SAW bertanya terlebih dahulu kepada orang Arab Badawi yang melihat anak bulan Ramadan, “Adakah kamu mengetahui tentang tauhid uluhiah dan perbezaan di antara tauhid ini dengan tauhid rububiah, dan adakah kamu mengetahui tauhid asma’ dan sifat?”

Jawapan Kelima

Di dalam kitab Allah yang ternyata tidak dicemari dengan kebatilan, tidak membezakan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.

Begitu juga tidak dikatakan kepada mereka: Sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah tidak dikira imannya, bahkan dia adalah lebih kafir daripada Firaun dan Haman. Tetapi Allah SWT memerintahkan dengan kalimah tauhid secara mutlak sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi-Nya dalam surah Muhammad ayat 19: Ketahuilah, bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah. Begitu jugalah dengan keseluruhan ayat tauhid yang disebut di dalam al-Quran.

Sekiranya kamu kehendaki, maka bacalah surah al-Ikhlas yang menyamai sepertiga al-Quran. Adakah kamu mendapati di dalamnya ayat yang membezakan di antara uluhiah dan rububiah sebagaimana yang mereka sangkakan?

Jawapan Keenam

Melalui pembahagian yang direka ini, memberi kefahaman kepada kita, seolah-olah Allah masih belum lagi menyempurnakan agama-Nya. Kemudian, datang seseorang yang kononnya untuk menyempurnakan agama Allah yang masih lagi mempunyai kekurangan dan menjelaskan tentang tauhid dan pembahagiannya kepada manusia pada kurun ke-7 Hijrah.

Pada kurun ini, lahirnya pembahagian tauhid uluhiah, rububiah, asma’ dan sifat yang dicetuskan oleh Ibnu Taimiyyah (661- 724 H). Seolah-olah semua umat tidak mengetahui tentang apa yang diperkenalkan oleh pemuka-pemuka pembahagian tauhid rekaan ini.

Selepas kita mengetahui jawapan daripada soalan pertama ini, yakinlah kita dengan sempurna bahawa tauhid ini tidak mempunyai sumber yang sah daripada al-Quran dan hadis.

Ia menunjukkan bahawa pembahagian ini hanyalah rekaan semata-mata. Persoalan kedua akan dikemukakan pada minggu hadapan, insya-Allah.

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Cinta dunia lupakan pengorbanan kepada Allah

Posted by epondok di November 27, 2009

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Peristiwa 10 Zulhijah sebagai ingatan tetapkan iman

PERISTIWA korban mengajar kita supaya taat kepada perintah Allah, beriman dan berserah kepada-Nya. Ia juga membawa erti kesanggupan seseorang itu melepaskan dengan ikhlas sesuatu yang amat disayangi atau dihargai untuk memberi manfaat kepada orang lain. Sudah tentulah menjadi korban untuk mendapatkan cinta Ilahi adalah kesanggupan yang tiada galang gantinya, berkorban untuk keredaan-Nya juga tidak mampu dilakukan oleh setiap hamba, malah pengorbanan menuntut desakan hati yang kasihnya hanya pada Yang Esa.

Kerana kuasa ‘korban’ yang begitu besar, sering kali ada yang bertanya, apa ganjaran berkorban? Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata bahawa sesungguhnya suatu hari sahabat Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?” Jawab Rasulullah: “Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim.”

Mereka berkata: “Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab: “Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Hadis di atas mengingatkan kita kepada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup bergadai nyawa demi reda Ilahi dan akur bahawa setiap khazanah bumi hanyalah milik Allah dan Dia berhak mengambil dan menganugerahkan apa saja. Kitab Tafsir Ibn Kathir merakamkan pada awalnya, Nabi Ibrahim tidak dikurniakan zuriat walaupun ketika itu baginda sudah lanjut usia.

Namun baginda tidak pernah berputus asa untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat. Maka dengan kuasa Allah yang tidak dapat diduga baginda dikurniakan cahaya mata pertama bernama Ismail. Siapalah yang tidak gembira mendapat cahaya mata? Kisah ini dinyatakan dalam surah al-Soffat ayat 101 yang bermaksud: “Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar”.

Ulama termasuk ahli kitab bersepakat bahawa Nabi Ismail dilahirkan terlebih dulu berbanding Nabi Ishak. Bahkan tercatat di dalam kitab ahli kitab bahawa Nabi Ismail dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berumur 86 tahun dan Nabi Ishak dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berumur 99 tahun. Selepas Nabi Ismail meningkat remaja, satu ujian yang amat berat diturunkan oleh Allah SWT ke atas dua beranak itu, dengan tujuan menguji keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah.

Allah SWT memerintah Nabi Ibrahim supaya menyembelih putera kesayangannya. Walaupun terlalu berat hati Nabi Ibrahim untuk menyatakan perintah Allah itu kepada anaknya, Ismail, tetapi ia adalah perintah Allah SWT yang wajib dilaksanakan.

Dengan hati yang sedih, Nabi Ibrahim menyatakan mengenai perintah Allah itu kepada Nabi Ismail, namun tiada apa yang mengejutkan Nabi Ismail sebaliknya baginda berkata: “Wahai bapaku laksanakanlah apa yang diperintahkan oleh Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan orang yang sabar”.

Ada dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar, iaitu seorang ayah yang terpaksa mengorbankan perasaan cinta dan kasih kepada anak yang sudah lama ditunggu-tunggu dengan ‘mengorbankannya’, demi patuh dan redanya terhadap perintah Allah SWT. Seterusnya, ketaatan dan keyakinan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasihnya kepada ibu dan ayahnya dan zaman keseronokan remajanya, malah sanggup mengorbankan nyawanya sendiri, semata-mata kerana ketaatan baginda terhadap perintah Allah dan perintah seorang ayah.

Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah SWT yang tidak berbelah bahagi. Sebab itulah, seandainya seorang Muslim itu mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT iaitu imam yang adil, pemuda yang mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’, lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian.” (Riwayat Muslim).

Sesungguhnya sumber cinta daripada Allah adalah sumber cinta yang paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta mereka kepada Allah tanpa ragu-ragu. Baginda mengetahui bahawa bukan mudah meletakkan cinta pada pemiliknya tetapi keyakinan terhadap Ilahi memungkinkan segala-galanya dan ia hanya akan dimiliki oleh sesiapa yang sudah cukup kenal Allah SWT.

Menurut Imam al-Ghazali, ma’rifah (ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta kerana cinta tanpa ma’rifah tidak mungkin berlaku kerana manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya saja. Sebab itulah kita perlu rasional memilih cinta yang sementara, agar ia tidak mengatasi cinta yang kekal sampai bila-bila.

Takut mengorbankan dunia kerana akhirat pernah menjadi peringatan kepada setiap Muslimin. Sifat tamak terhadap cinta dunia lumayan menjerumuskan kita ke lembah yang sia-sia, tiada apa pun menjadi milik kita, walau pasir sebesar zarah pun. Di dalam al-Quran Allah SWT memberi amaran kepada manusia melalui firman-Nya dalam surah At-Taubah, ayat 24 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad) jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasiq”.

Justeru, biarlah peristiwa 10 Zulhijjah yang mengimbau sebuah pengorbanan menjadi zikir untuk kita menetapkan hati agar sentiasa beringat bahawa segala khazanah dunia ini pemiliknya hanya satu saja dan kita perlu sentiasa bersedia untuk berkorban apa saja.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hudud dianggap hukuman mandatori bagi pesalah syariah

Posted by epondok di November 25, 2009

DALAM fiqh Islam, istilah Qanun (kanun) atau syariah ialah perundangan Islam atau perundangan syarak termasuk di bawah perundangan ‘Undang-Undang Jenayah Syariah’ atau ‘Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah’ – undang-undang syarak bersabit dengan kesalahan yang dilakukan seseorang yang boleh didakwa di bawah kes jenayah syariah.

Ia membabitkan perbuatan atau perilaku jahat yang dilakukan seseorang untuk mencerobohi atau mencabul kehormatan jiwa atau tubuh badan seseorang yang lain dengan sengaja.

Jenayah mengikut takrifan fuqaha adalah khusus pada kesalahan membabitkan perlakuan seseorang membunuh atau menghilangkan anggota tubuh badan seseorang yang lain atau mencederakan atau melukakannya yang wajib dikenakan hukuman qisas atau diyat.

Bagi kesalahan yang membabitkan harta benda, akal fikiran dan sebagainya adalah termasuk dalam jenayah yang umum, yang semua kesalahan wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta’zir.

Mengikut peruntukan hukum syarak yang disebutkan di dalam Quran dan hadis yang dikuatkuasakan dalam undang-undang jenayah syariah, penjenayah didakwa apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat, atau ta’zir. Hukuman itu adalah tertakluk kepada kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah berkenaan.

Hukuman hudud adalah hukuman yang ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Quran dan hadis. Hukuman hudud ini adalah hak Allah yang tidak boleh ditukar ganti hukumannya dan tidak boleh diubah suai dan dipinda. Hukuman hudud tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun. Mereka yang melanggar aturan hukum Allah yang sudah ditentukan dan ditetapkan Allah dan Rasul-Nya yang disebutkan di dalam Quran dan hadis adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim.

Firman Allah SWT, “Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” – (Al-Baqarah: 229)

Kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud ialah:

1. Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak.

2. Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya, dan tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.

3. Minum arak atau minuman yang memabukkan, sama ada sedikit atau banyak, mabuk atau tidak.

4. Mencuri, iaitu memindahkan secara bersembunyi harta alih daripada jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.

5. Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan itikad kepercayaan.

6. Merompak (hirabah), iaitu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.

7. Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada Ulil Amri yang menjalankan syariat Islam dan hukum Allah.

(Sumber Qanun Jinayah Syariyah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam Berdasarkan Quran dan Hadis oleh Bekas Mufti Sabah, Haji Said Ibrahim).

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Qiamat jauh lebih dahsyat daripada filem 2012

Posted by epondok di November 24, 2009

Oleh Abdul Razak Idris

FILEM selain untuk hiburan, ia juga menjadi sumber rujukan dan satira dalam masyarakat. Namun ada kalanya ia dilihat sudah bersifat melampaui akal logik manusiawi yang dahagakan hiburan sambil mengutip sedikit pengajaran. Di negara ini penerbit dan pengarah filem sering menguar-uarkan filem mereka sebagai penuh elemen moral dan Islamik walaupun ia sebenarnya memerlukan lebih penjelasan daripada mereka sebelum kita bulat-bulat menerima pernyataan itu.

Filem dari barat selepas berakhirnya era fobia kepada Y2K banyak memaparkan elemen kepercayaan agama tertentu mengenai tanda awal kiamat seperti dalam filem End of Days, Stigmata, Knowing dan terbaru 2012. Lupakan apakah moral filem sedemikian melainkan ia hanya ingin menonjolkan bahawa tamadun kita sudah mencapai tahap optimum dan segala-galanya akan berakhir tidak lama lagi, hanya Allah SWT yang maha mengetahui.

Kehebatan imej janaan komputer (CGI) menghasilkan filem mega dari Hollywood hasil tangan manusia kreatif seperti Star Wars, Terminator, Titanic, Spiderman, Batman dan berpuluh lagi filem fiksyen yang ada ‘sumbangan’ ikhlas sebahagian daripada kita yang membeli tiket wayang. Kehadiran filem 2012 yang menggambarkan kiamat bukan sesuatu yang boleh dianggap remeh. Gambaran CGI yang memaparkan kemusnahan alam maya ini dibuat dengan penuh teliti. Tsunami setinggi Everest, gempa yang membelah bumi dan letusan gunung berapi yang membadai hebat amat menggetarkan hati sesiapa yang menontonnya.

Sebagai seorang Muslim, kita wajib percaya kepada hari kiamat dan kepercayaan ini perlukan keyakinan yang sebenar-benarnya bahawa kita akan melaluinya tidak kira kiamat kecil (kematian) atau kiamat yang sebenar-benarnya. Kita sebagai insan wajib mempercayai bahawa filem adalah gambaran hasil ilmu yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia. Daripada penulis cerita, lalu diangkat menjadi skrip dan lakon layar diadun pula oleh pengarah dan pasukan kreatifnya lalu jadilah sebuah filem yang kelihatan hidup tetapi bukan yang sebenar-benarnya.

Ia tetap rahsia Allah SWT walau bermacam ramalan dilakukan manusia sejak berzaman. Seperti dalam filem 2012 ramalan kiamat berlaku dibuat oleh kaum Maya melalui kalendar ortodoks mereka. Ada juga ajaran sesat yang percaya kiamat akan berlaku menelan racun beramai-ramai untuk mengelakkan diri menghadapi situasi apabila kiamat berlaku. Akhirnya mereka mati katak atau mati sesat mengikut pemimpin songsang mereka.

Kiamat dalam agama Islam juga disebut sebagai hari pembalasan, hari pengadilan atau hari kebangkitan, hari di mana manusia dan bumi ini akan musnah sekelip mata lalu dibangkitkan dari kematian untuk diadili di Padang Mahsyar. Namun bencana yang melanda dunia yang kita diami pada hari ini seakan riak-riak kecil atau petanda awal bahawa kiamat dan mati tidak jauh dari kita hanya kita yang seakan ego tidak bertepi.

Tsunami yang melanda Sumatera pada Disember 2004 meragut ratusan ribu nyawa dan sesungguhnya ia tidak jauh dari negara kita dan ada juga korban nyawa dan kemusnahan fizikal turut membabitkan rakyat negara ini. Kita tidak boleh lagi mendabik dada mengatakan kita jauh dari bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami lagi kerana ia semakin dekat dan semakin menggegarkan kita seperti yang berlaku di Bukit Tinggi Pahang dan gempa bumi di Padang, Sumatera.

Gempa bumi di Padang adalah realiti yang tidak dapat disangkal lagi. Bumi atau tanah merekah dan menimbus hidup-hidup semua penduduk kampung dan menghilangkan langsung landskap sebahagian tanah adat perpatih yang asal.

Kita sebagai umat Islam perlu lebih bertaqwa dan beriman dengan Rukun Iman yang satu daripadanya ialah percaya kepada hari kiamat dan percaya kepada qada dan qadar. Kiamat adalah realiti yang belum lagi berlaku dan wajib bagi kita mempercayai sebagai sebahagian dari akidah kita.

Tragedi yang berlaku akibat taufan yang semuanya bernama wanita seperti Katrina, Wilma dan sebagainya adalah gambaran hidup yang boleh kita saksikan di televisyen bahawa manusia tidak dapat menentang kuasa Allah SWT walau sehebat mana mereka membina teknologi.

Kisah 25 rasul dalam menyebarkan ajaran Islam turut menyaksikan peristiwa dahsyat yang menimpa umat manusia yang tidak beriman dengan Allah SWT.

Kaum Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir besar, begitu juga kaum Nabi Musa yang diketuai Firaun tenggelam kelemasan bersama bala tenteranya ketika memburu Nabi Musa yang menyeberang laut yang terbelah dua setelah dipukul permukaan laut dengan tongkat baginda.

Begitu juga dengan takdir yang menimpa kaum Nabi Lut yang diterbalikkan bumi ke atas mereka kerana nafsu rakus mereka yang mengamalkan seks sejenis. Kisah kaum Nabi yang menerima balasan kerana kufur nikmat dan tidak beriman dengan Allah SWT selalunya berakhir dengan balasan bencana fizikal yang dahsyat dan mengerikan.

Gambaran yang dibuat oleh filem mutakhir tidak lebih daripada gambaran berasaskan rujukan bersifat keagamaan dan realiti kiamat yang digambarkan dari kaca mata manusia yang terhad pengamatannya.

Sesungguhnya kiamat yang sebenarnya jauh dari realiti yang digambarkan di layar perak oleh sutradara Barat. Filem 2012 sendiri hanya gambaran peristiwa kiamat yang belum sampai takdirnya yang mana dalam filem itu ia berakhir dengan muka bumi Allah SWT ini berubah dari kedudukan asalnya dan manusia masih berjaya meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Lambang makhluk yang memiliki ego yang tidak bertepi. Secara mudahnya moral filem mengenai kemusnahan duniawi seperti filem 2012 menunjukkan kepada kita bahawa kemusnahan dunia ini akan berlaku apabila kita tidak lagi bersifat manusiawi atau berlakunya kiamat dalam sifat kemanusiaan. Mungkin itu moralnya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Insentif Ilahi menjana kebahagiaan hidup

Posted by epondok di November 22, 2009


JEMAAH haji beribadat ketika Wuquf di padang Arafah.

Masa dihubungkaitkan dengan pelaksanaan ibadat supaya manusia tidak alpa

ADA persamaan yang ketara antara Aidiladha dan Aidilfitri tetapi ada juga perbezaan ketara antara kedua-duanya ketika diraikan umat Islam. Persamaan antara kedua-duanya ialah umat Islam di seantero dunia merayakannya dengan penuh kegembiraan dan kebahagiaan, manakala perbezaannya ialah sebelum Aidilfitri ada ibadah puasa Ramadan selama sebulan penuh tetapi sebelum Aidiladha tidak nampak sebarang aktiviti ibadah di kalangan umat Islam. Mengapa demikian? Padahal pada 10 hari pertama Zulhijah sudah ditetapkan Nabi SAW yang bermaksud: “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari ini � iaitu 10 Zulhijah.” Sahabat Baginda bertanya: “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah?” Jawab Baginda: “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.” � (Hadis riwayat al-Bukhari).

Kita memahami situasi di atas kerana puasa Ramadan adalah salah satu rukun Islam yang lima dan ia sudah sehati dengan seluruh umat Islam. Tetapi apa salahnya 10 hari pertama bulan Zulhijah? Padahal Allah bersumpah dengannya dalam Surah al-Fajr ayat 1 dan 2 bermaksud: “Demi waktu fajar, dan malam yang 10 (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).

Jika umat Islam menunaikan ibadah puasa Ramadan sebelum Aidilfitri mengapa pula mereka tidak mahu mengaplikasinya kepada Aidiladha dan mereka mengagungkan 10 hari pertama Zulhijjah dengan amalan yang lazim dilakukan pada Ramadan? Padahal sudah jelas kepada kita sabda Nabi yang bermaksud: “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh itu perbanyakkanlah padanya tahlil (Lailahaillallah), takbir (Allahu Akbar), dan tahmdid (Alhamdulillah).” � (Hadis riwayat Ahmad)

Sepuluh adalah angka yang mempunyai kesignifikannya sendiri dalam ajaran Islam. Angka 10 digunakan untuk lipatan ganda ganjaran satu amal soleh, 10 digunakan untuk menyebutkan kelebihan membaca Surah al-Kahfi bagi yang ingin terselamat dari dugaan Dajal (baca 10 ayat pertama atau 10 ayat terakhir); 10 digunakan untuk menyebut kelebihan Surah al-Baqarah bagi menjaga dan memelihara rumah daripada godaan syaitan yang terkutuk (10 ayat yang lazimnya dibaca umat Islam); 10 juga digunakan untuk fidyah haji (Surah al-Baqarah: 196), edah suami meninggal (Surah al-Baqarah: 234), hukuman kafarah sumpah (Surah al-Maidah: 89), penyempurnaan jumlah hari pertemuan Allah SWT dengan Nabi Musa AS (Surah al-A’raf: 142), dan 10 digunakan untuk menyebut kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah (Surah al-Fajr: 2) serta kelebihan 10 terakhir Ramadan. Ada apa dengan bilangan 10?

Allah telah menetapkan bahawa jumlah bulan adalah 12 seperti termaktub dalam Surah al-Taubah ayat 36 yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)…”

Penjelasan mengenai 12 bulan ini telah diberikan kepada Nabi Adam as kemudian ditetapkan dengan suhuf yang diturunkan kepada Nabi Syits AS untuk kepentingan anak cucu mereka.

Allah telah menghubungkaitkan peredaran hari dengan mendirikan agama yang betul lagi lurus dalam ayat di atas. Ini bermakna pelaksanaan agama tidak terlepas daripada masa dan Allah telah menetapkan sesetengah masa sebagai insentif untuk umat manusia beramal salih di dalamnya.

Ramadan dengan ibadah puasanya selama sebulan penuh; Zulhijjah dengan ibadah hajinya dalam ayyam ma’dudat (hari tasyriq) dan ayyam ma’lumat (10 hari pertama Zulhijjah) yang mana di dalamnya ada hari Arafah dan penyembelihan binatang korban; bulan Muharram dengan ‘Asyuranya, dan bulan Rejab dengan syahrullah (bulan Allah); dalam seminggu ada solat Jumaat dan dalam setiap hari ada solat fardu lima kali. Semua masa ini dijadikan insentif agar manusia selalu dekat dengan Penciptanya dan tidak terlepas daripada kawalan-Nya selama mengharungi kehidupan mereka.

Penciptaan dan menjadikan masa sebagai satu insentif untuk mendekatkan diri kepada Allah dapat kita fahami daripada sepotong ayat al-Quran yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya).” (Surah Yunus: 5)

Kebahagiaan yang sebenar-benar kebahagiaan ialah ada pada diri kita ketika kita melaksanakan apa yang perlu kita laksanakan dengan petunjuk syarak. Dan kecelakaan yang sebenar-benar kecelakaan adalah ada pada tidak mengendahkan petunjuk syarak. Semua petunjuk syarak ini adalah insentif agar kita selalu dengan kepada Allah dan sebagai balasannya kita mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Insentif Ilahi demi menjana kebahagiaan duniawi dan ukhrawi tidak hanya ada pada masa saja tapi ada pada semua ciptaannya. Bahkan segelas air pun boleh ditukar dengan satu kerajaan yang penuh dengan hingar bingar seperti dalam kisah Khalifah Harun al-Rasyid.

Ibnu Sammak seorang yang pandai memberi nasihat menemui Harun al-Rasyid. Saat itu al-Rasyid sedang haus dan meminta segelas air. Maka Ibnu Sammak bertanya: “Seandainya anda dicegah untuk minum air itu apakah anda akan menebusnya dengan separuh kerajaan anda?” Khalifah menjawab: “Ya!” Setelah selesai minum, Ibnu Sammak bertanya lagi: “Jika anda dicegah untuk mengeluarkan air yang telah anda minum dari perut anda, apakah anda rela membayar dengan separuh kerajaan anda yang lain?” Harun menjawab: “Ya!” Ibnu Sammak pun berkata: “Tidak ada ertinya sebuah kerajaan yang nilainya tidak lebih berharga daripada segelas air.”

Jika dunia ini tidak ada keimanan di dalamnya, maka dunia tidak berguna, tidak berharga, dan tanpa makna. Agar dunia ini bermakna, berharga dan berguna maka tidak ada cara lain kecuali kita mencari insentif Ilahi dalam semua peraturan-Nya tanpa kita mencuba untuk mengabaikannya.

Keimanan akan mengarahkan kita kepada pencarian insentif itu dan insentif itu pula yang akan mendorong kita untuk mempertingkatkan lagi keimanan kita. Jika ia berlaku, maka tujuan dari penciptaan jin dan manusia seperti ditegaskan Allah bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku,” �(Surah al-Zariyat: 56) akan nampak menjolok mata juga. Wallahu alam

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Berbuat baik kepada ibu bapa amalan dituntut

Posted by epondok di November 22, 2009

Oleh Wan Hishamudin Wan Jusoh
Seseorang anak mesti taat segala kemahuan orang tua selagi tidak langgar syarak
BERIMAN dan mentauhidkan Allah adalah syarat yang perlu dipatuhi agar segala ibadat yang dilakukan seseorang tidak menjadi sia-sia. Seterusnya, Allah memerintahkan supaya manusia melakukan kebaikan (ihsan) kepada kedua ibu bapa. Ihsan kepada ibu bapa dengan mentaati segala kemahuan mereka selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Begitu juga, apabila bercakap dengan ibu bapa, si anak diharamkan meninggikan suara, mengherdik, mencaci dan berkata dengan perkataan yang tidak baik. Malah, mereka juga tidak boleh menunjukkan ‘bahasa badan’ yang boleh mengguris perasaan kedua-duanya.
Ia menggambarkan ibu bapa mempunyai kedudukan yang amat istimewa menurut perspektif agama sebagaimana firman Allah SWT, bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua di dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan `Uhh`, dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang ketika memelihara dan mendidikku semasa kecil. ” (Al-Isra’ : 23 � 24)
Ulama mempunyai pendapat tersendiri mengenai persoalan berbuat baik kepada ibu bapa. Imam Malik berpendapat kedudukan ibu dan bapa adalah sama dari sudut hak untuk mendapatkan ihsan daripada anak. Al-Layth bin Sa’d menyatakan berbuat baik kepada ibu adalah tiga kali ganda lebih utama jika dibandingkan dengan berbuat baik kepada bapa.
Pendapat al-Layth dikuatkan dengan pandangan al-Imam al-Qurtubi yang membawa satu hadis mengenai seorang sahabat yang bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai siapakah yang paling utama untuk berbuat baik kepadanya. Di dalam hadis berkenaan, jawapan yang diberikan Rasulullah SAW adalah ibu dan Baginda mengulangi jawapannya sebanyak tiga kali apabila ditanya lagi oleh sahabat berkenaan.
Selanjutnya, beliau berhujah bahawa si ibu adalah lebih utama untuk dicurahkan kebaikan kepadanya kerana kesusahan ketika mengandung, penderitaan ketika melahirkan dan pengorbanan yang dilakukan ketika membesarkan dan mendidik si anak. Justeru, ketaatan kepada ibu adalah lebih utama jika dibandingkan dengan bapa. Sementara bagi perkara haram, seseorang mesti meninggalkannya walaupun disuruh ibu bapa.
Melakukan ketaatan kepada ibu bapa meliputi pelbagai aspek yang boleh dilaksanakan, iaitu:
# Sentiasa berbuat baik dan menjalinkan hubungan mesra dengan mereka walaupun terdapat sedikit pergeseran pendapat dan kurang bersefahaman. Abdullah bin Amru berkata, Rasulullah SAW bersabda: Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan ibu bapanya. Dan kemurkaan Allah adalah bergantung kepada kemurkaan ibu bapanya.” (Hadis al-Tirmizi).
# Berlemah-lembut ketika bercakap dengan mereka dan tidak meninggikan suara. Apatah lagi, seseorang diharamkan daripada membantah, berdebat, berdusta dan mendahului percakapan mereka.
# Sentiasa berdoa kepada Allah agar mereka sentiasa diampunkan. Berdoa yang dimaksudkan di sini bukan hanya terbatas ketika mereka masih hidup saja, malah dituntut juga berdoa selepas kedua-duanya meninggal dunia. Ini kerana doa anak yang soleh untuk ibu bapanya akan diterima Allah.
# Membantu mereka dari sudut kebendaan mengikut kadar kemampuan yang dimiliki. Ia akan membuatkan ibu bapa merasa gembira sekali gus akan membawa keberkatan di dalam hidup seseorang anak.
# Menunaikan segala wasiat apabila mereka meninggal dunia. Begitu juga, si anak sepatutnya terus menjalinkan silaturahim dengan saudara-mara dan rakan-taulan ibu bapa mereka. Ia akan dapat melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan hidup dalam keadaan harmoni.
Tegasnya, setiap insan perlu melakukan segala kebaikan kepada ibu bapa mereka. Ini kerana, dengan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, mereka akan dimurahkan rezeki dan mendapat kasih sayang dan ihsan daripada isteri dan anak-anak. Ini bertepatan dengan satu hadis daripada Ibn Umar , Rasulullah bersabda, “Berbuat baiklah kepada ibu bapamu, nescaya anakmu akan berbuat baik kepadamu. Dan bersikap jujurlah kepada ibu bapamu, nescaya isteri kamu akan bersikap jujur kepada kamu.” (Hadis al-Tabarani)
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin, Universiti Darul Iman Malaysia, Terengganu.

leh Wan Hishamudin Wan Jusoh
Seseorang anak mesti taat segala kemahuan orang tua selagi tidak langgar syarakBERIMAN dan mentauhidkan Allah adalah syarat yang perlu dipatuhi agar segala ibadat yang dilakukan seseorang tidak menjadi sia-sia. Seterusnya, Allah memerintahkan supaya manusia melakukan kebaikan (ihsan) kepada kedua ibu bapa. Ihsan kepada ibu bapa dengan mentaati segala kemahuan mereka selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Begitu juga, apabila bercakap dengan ibu bapa, si anak diharamkan meninggikan suara, mengherdik, mencaci dan berkata dengan perkataan yang tidak baik. Malah, mereka juga tidak boleh menunjukkan ‘bahasa badan’ yang boleh mengguris perasaan kedua-duanya.
Ia menggambarkan ibu bapa mempunyai kedudukan yang amat istimewa menurut perspektif agama sebagaimana firman Allah SWT, bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua di dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan `Uhh`, dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang ketika memelihara dan mendidikku semasa kecil. ” (Al-Isra’ : 23 � 24)
Ulama mempunyai pendapat tersendiri mengenai persoalan berbuat baik kepada ibu bapa. Imam Malik berpendapat kedudukan ibu dan bapa adalah sama dari sudut hak untuk mendapatkan ihsan daripada anak. Al-Layth bin Sa’d menyatakan berbuat baik kepada ibu adalah tiga kali ganda lebih utama jika dibandingkan dengan berbuat baik kepada bapa.
Pendapat al-Layth dikuatkan dengan pandangan al-Imam al-Qurtubi yang membawa satu hadis mengenai seorang sahabat yang bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai siapakah yang paling utama untuk berbuat baik kepadanya. Di dalam hadis berkenaan, jawapan yang diberikan Rasulullah SAW adalah ibu dan Baginda mengulangi jawapannya sebanyak tiga kali apabila ditanya lagi oleh sahabat berkenaan.
Selanjutnya, beliau berhujah bahawa si ibu adalah lebih utama untuk dicurahkan kebaikan kepadanya kerana kesusahan ketika mengandung, penderitaan ketika melahirkan dan pengorbanan yang dilakukan ketika membesarkan dan mendidik si anak. Justeru, ketaatan kepada ibu adalah lebih utama jika dibandingkan dengan bapa. Sementara bagi perkara haram, seseorang mesti meninggalkannya walaupun disuruh ibu bapa.
Melakukan ketaatan kepada ibu bapa meliputi pelbagai aspek yang boleh dilaksanakan, iaitu:
# Sentiasa berbuat baik dan menjalinkan hubungan mesra dengan mereka walaupun terdapat sedikit pergeseran pendapat dan kurang bersefahaman. Abdullah bin Amru berkata, Rasulullah SAW bersabda: Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan ibu bapanya. Dan kemurkaan Allah adalah bergantung kepada kemurkaan ibu bapanya.” (Hadis al-Tirmizi).
# Berlemah-lembut ketika bercakap dengan mereka dan tidak meninggikan suara. Apatah lagi, seseorang diharamkan daripada membantah, berdebat, berdusta dan mendahului percakapan mereka.
# Sentiasa berdoa kepada Allah agar mereka sentiasa diampunkan. Berdoa yang dimaksudkan di sini bukan hanya terbatas ketika mereka masih hidup saja, malah dituntut juga berdoa selepas kedua-duanya meninggal dunia. Ini kerana doa anak yang soleh untuk ibu bapanya akan diterima Allah.
# Membantu mereka dari sudut kebendaan mengikut kadar kemampuan yang dimiliki. Ia akan membuatkan ibu bapa merasa gembira sekali gus akan membawa keberkatan di dalam hidup seseorang anak.
# Menunaikan segala wasiat apabila mereka meninggal dunia. Begitu juga, si anak sepatutnya terus menjalinkan silaturahim dengan saudara-mara dan rakan-taulan ibu bapa mereka. Ia akan dapat melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan hidup dalam keadaan harmoni.
Tegasnya, setiap insan perlu melakukan segala kebaikan kepada ibu bapa mereka. Ini kerana, dengan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, mereka akan dimurahkan rezeki dan mendapat kasih sayang dan ihsan daripada isteri dan anak-anak. Ini bertepatan dengan satu hadis daripada Ibn Umar , Rasulullah bersabda, “Berbuat baiklah kepada ibu bapamu, nescaya anakmu akan berbuat baik kepadamu. Dan bersikap jujurlah kepada ibu bapamu, nescaya isteri kamu akan bersikap jujur kepada kamu.” (Hadis al-Tabarani)
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin, Universiti Darul Iman Malaysia, Terengganu.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Oren perisa arak

Posted by epondok di November 21, 2009

Oleh Amir Abd Hamid

TUNJUK...Subbarow menunjukkan minuman ringan berperisa arak.
TUNJUK…Subbarow menunjukkan minuman ringan berperisa arak.

KUALA LUMPUR: Luaran nampak seperti minuman ringan biasa, namun ia sebenarnya minuman berperisa arak yang kini menjadi kegilaan remaja terutama di kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Mendedahkan perkembangan membimbangkan itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N V Subbarow, berkata hasil siasatan pihaknya mendapati minuman itu mengandungi alkohol 5.5 peratus.

Menurutnya, ramuan arak yang ditin dan dibotolkan itu menggunakan pewarna seperti warna oren, epal dan campuran buah tropika bagi menarik perhatian pembeli membelinya dengan harga antara RM5 hingga RM12 sebotol.

“Ibu bapa terutama mereka yang beragama Islam perlu memberi perhatian serius kerana peratusan alkohol dalam minuman ringan ini melebihi kandungan (alkohol) yang terkandung dalam setin ‘beer’ iaitu 5 peratus saja.

“Kajian yang dilakukan CAP mendapati lebih 50 peratus murid dan pelajar sekolah kini menyukai minuman ini. Lebih serius ia mudah didapati di pasar raya mini dan kedai serbaneka.

“Pejabat CAP dihujani panggilan daripada golongan ibu bapa yang risau dengan penjualan minuman ringan itu kerana ada di antaranya mendakwa anak-anak mereka berasa pening lalat selepas meminumnya,” katanya di Balai Berita di sini, semalam.

Selain itu, pihak CAP turut mendapat aduan daripada pihak sekolah yang mengatakan segelintir murid dan pelajar membawa minuman ini ke sekolah untuk tujuan mengadakan jamuan hari jadi.

Menurutnya, tinjauan CAP mendapati terdapat lebih 25 jenama minuman ringan berperisa alkohol dijual di pasaran negara ini.

“Undang-undang negara jelas menyatakan sebarang minuman yang mengandungi alkohol dilarang penjualannya secara terbuka kepada golongan berumur 18 tahun ke bawah.

“Tetapi murid dan pelajar sekolah secara biasanya tidak gemar membaca kandungan label dan terus minum sebaik saja membelinya.

“Justeru, CAP bimbang dengan perkara ini kerana ia tahap permulaan untuk mereka minum arak apabila meningkat dewasa,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ibadat haji lambang sejarah rasul, kesamarataan

Posted by epondok di November 21, 2009

Allah SWT memerintahkan supaya setiap jemaah haji berniat ihram kerana memuliakan Tanah Haram dan bumi Makkah selaku tempat yang paling mulia di sisi Allah SWT. Mereka juga tidak dibenarkan melakukan perkara keji didalamnya walaupun melakukan perkara yang harus ketika berada di luar seperti memakai wangian, memotong kuku, memburu dan sebagainya.

Dengan memakai pakaian ihram yang sama melambangkan kesatuan umat Islam tanpa mengira bangsa dan keturunan. Pemandangan ini tidak dapat dilihat pada hari-hari lain. Pakaian ini juga sama seperti kain kafan putih ketika si mati dibawa bertemu Allah SWT pada Hari Kiamat. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Nabi SAW memakai pakaian ihram dari Madinah dan meniatkannya di Miqat bernama Zul Hulaifah. Mereka yang berihram menuju ke Makkah yang dijanjikan keamanan oleh Allah SWT daripada ketakutan dan kelaparan. Firman Allah, “Di sana ada tanda-tanda kemuliaan yang nyata dan sesiapa yang masuk ke sana akan mendapat ketenteraman” (Ali-Imran: 96)

Tawaf di Kaabah pula adalah kerana adanya Baitullah dengan pakaian yang sama bagi mengingatkan kita mengenai kematian yang pasti bagi setiap yang hidup. Ini juga untuk menyatakan bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah SWT melainkan mereka yang bertakwa. Ada riwayat menyatakan Nabi SAW mengucup Hajarul Aswad sebelum melakukan Tawaf Qudum.

Mengucup Hajarul Aswad adalah pelengkap kepada ibadat tawaf di Kaabah kerana mengikut perbuatan Nabi SAW jika memungkinkan kita berbuat demikian. Nabi SAW mengucup sebelum bermulanya tawaf dengan meletakkan kedua bibir Baginda sambil menangis dan berkata kepada Saidina Umar yang bersamanya, “Wahai Umar, di sinilah tempat terkumpulnya dosa”. Ada riwayat mengatakan bahawa asalnya batu ini berwarna putih dan bertukar menjadi hitam dengan dosa manusia.

Selepas selesai tawaf, Nabi SAW bersolat di belakang makam Ibrahim dengan dua rakaat sunat Tawaf dan meminum air Zamzam sambil berdoa ke ada Allah SWT lalu berjalan ke Bukit Safa untuk bersai. Sai antara Safa dan Marwa adalah bagi menghidupkan peristiwa Hajar berulang alik sebanyak tujuh kali bagi mencari sumber air yang diperlukan. Begitu juga berlari anak padanya seperti dilakukan Nabi SAW bagi menzahirkan kekuatan dan kecerdasan kaum Muslimin.

Doa Nabi Ibrahim ketika meninggalkan Hajar: “Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari keturunanku di sebuah lembah yang kering kontang di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohnya. Wahai Tuhan kami, semuanya agar mereka mendirikan solat dan memakmurkannya. Oleh itu, jadikanlah sebahagian dari hati manusia tertarik ke sana dan kurniakan rezeki dari berbagai jenis buah-buahan agar mereka bersyukur” (Ibrahim: 37).

Wukuf adalah salah satu rukun haji yang mesti dilakukan jemaah haji. Sejarah membuktikan bahawa hari itulah Allah SWT menyempurnakan nikmatnya kepada kaum Muslimin dan menjadikannya hari raya untuk mereka. Allah SWT berfirman, “Pada hari ini Kami sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku sempurnakan nikmatku ke atas kamu dan Aku reda bahawa Islam ialah agama bagi kamu” (Al Maidah:3).

Bermalam di Muzdalifah yang ada padanya Masyha’ril Haram, tempat berkumpulnya manusia selepas wukuf bagi menghabiskan satu malam di sana seperti yang dilakukan Baginda SAW. Suasana tenang dalam kegirangan dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT sehingga fajar menyinsing.

Melontar jamrah adalah simbolik kepada kemenangan Nabi Ibrahim dan Ismail daripada gangguan syaitan. Begitulah perbuatan yang dilakukan Ibrahim dan Ismail ketika menghalau Iblis Laknatullah.

Menyembelih korban adalah mesej bagi menyatakan kesyukuran kita terhadap nikmat Allah SWT ke atas Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail serta seluruh kaum Muslimin. Ia juga bagi menghidupkan nikmat yang besar atas kejayaan dari ujian yang begitu hebat.

Di sinilah bermulanya keturunan yang membawa kepada Nabi yang terakhir (Muhammad SAW). Di sinilah Nabi SAW menghadiahkan seratus unta untuk dikorbankan serta menyembelih dua kambing untuk dirinya dan keluarga dan satu untuk umatnya.

Umrah pula adalah ibadat ringkas bagi mereka yang menziarahi Baitullah kerana tidak memberatkan bagi kaum Muslimin. Allah mengharamkan bagi mereka meninggalkan Makkah tanpa melakukan ibadat. Jadi yang lebih ringan dari ibadat haji adalah umrah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Roh pengorbanan dalam diri umat Islam kian luntur

Posted by epondok di November 21, 2009

Oleh Nazri Hussein

Contohi Nabi Ismail meletakkan perintah Allah, kewajipan taati ibu bapa perkara utama

KEHADIRAN Zulhijah yang turut dikelompokkan dalam bulan haji, umat Islam dituntut menghayati nilai pengorbanan sejati sebagai wadah untuk membina kecemerlangan diri, agama, bangsa dan negara. Islam meletakkan kepentingan umat itu perlu didahulukan daripada kepentingan puak, kumpulan atau peribadi seseorang. Firman Allah: “Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya ke jalan Allah sebagai sebuah benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu ada seratus buah. Dan Allah melipatgandakan ganjaran untuk siapa yang disukai-Nya dan Allah luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” – (Surah Al-Baqarah: 261)

Sambutan Hari Raya Korban yang diraikan seluruh umat lslam sebagai mengenang sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail. Ia mempunyai nilai pengajaran yang tidak mampu dirungkaikan dengan akal semata-mata. Sebagai orang yang beriman, kita tidak wajar melihat dari sudut kehidupan dunia yang meletakkan nilai kebendaan sebagai landasan sebenar. Justeru, perhatikan firman Allah yang menggambarkan mengenai nilai pengorbanan sejati.

“Tidak akan sampai daging dan darahnya itu kepada Allah, hanya yang sampai kepada Allah adalah takwa (kepatuhan menjalankan kewajipan) dari kamu. Begitulah dijadikan unta itu untuk keperluan kamu, supaya kamu membesarkan Allah kerana kamu telah dipimpin-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira untuk orang yang berbuat kebaikan.” – (Al-Hajj: 35)

Dalam kehidupan moden yang serba mencabar ini, konsep pengorbanan yang diterapkan Nabi Ibrahim sepatutnya menjadi contoh umat mutakhir ini. Sebagai insan berjiwa hamba, Baginda tidak pernah mempertikaikan suruhan Allah itu meskipun yang akan menjadi korban adalah anak kesayangan Baginda sendiri. Hari ini dapat kita perhatikan bagaimana roh pengorbanan dalam diri umat Islam semakin luntur dan kabur.

Anak Muslim terbiar tanpa didikan agama sehingga sanggup mencemarkan maruah lslam dengan perlakuan keji dan batil. Budaya negatif seperti merempit, pergaulan bebas, minum arak, berpakaian mendedahkan aurat seperti yang diamalkan remaja lslam hari ini tidak mungkin akan berleluasa sekiranya nilai pengorbanan untuk melihat imej lslam dipandang tinggi menjadi keutamaan.

Contoh yang ditunjukkan Nabi Ismail yang meletakkan perintah Allah dan kewajipan mentaati ibu bapa sebagai perkara utama hingga sanggup menggadai diri sendiri dalam kesusahan, perlu menjadi iktibar sebagai cermin moral kepada anak generasi masa kini. Tanpa pengorbanan tulus ikhlas daripada ibu bapa, tentulah ramai anak yang tidak mampu mencapai kejayaan sama ada dalam pendidikan, kerjaya mahu pun kehidupan berkeluarga.

Ibu bapalah yang bersusah payah mengorbankan seluruh tenaga, masa dan wang ringgit demi anak yang dikasihi hingga mereka mampu berdikari.

Persoalannya, sejauh manakah letaknya nilai pengorbanan dalam diri anak pula apabila membiarkan ibu bapa mereka yang tua dan uzur tinggal di rumah kebajikan. Apakah sudah hilang perasaan kasih sayang terhadap insan yang membesarkan kita dengan segala susah payah, sebagaimana yang ditunjukkan Nabi Ismail yang patuh dengan suruhan dan tuntutan bapanya, Nabi Ibrahim hingga Allah mensyariatkan tanggal 10 Zulhijah sebagai takwim mengenang sirah pengorbanan yang tiada tolak bandingnya dalam kehidupan anbia.

Semua itu menjadi iktibar kepada umat lslam akhir zaman yang perlu menanamkan semangat jihad dan sanggup berkorban mempertahankan maruah lslam yang semakin diperlekeh masyarakat bukan lslam di seluruh dunia.

Kesimpulannya, umat lslam perlu menjadikan nilai pengorbanan sejati sebagaimana yang ditunjukkan Nabi dan Rasul sebagai benteng mengukuhkan cinta dan kasih sayang di antara umat lslam. Janganlah kita berbantah-bantah atau menuding jari mencari salah ketika umat lslam sedang berhadapan dengan krisis dan bencana dari Allah. Sifat dengki-mendengki, irihati, dan dendam dikikis dalam hati setiap umat agar maruah lslam kembali dihormati sebagaimana yang berlaku di zaman kegemilangan lslam dulu.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pemakanan seimbang, sihat ikut sunnah Rasulullah

Posted by epondok di November 20, 2009

Oleh Dr Irfan Mohamad

Makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang beri impak rasa syukur kepada rezeki

DALAM kehangatan delegasi Persidangan Keselamatan Makanan anjuran Pertubuhan Makanan dan Kesihatan Sedunia (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersidang di Rome, Itali, pelbagai perkara dibincangkan. Antara permasalahan kronik ialah ketidakcukupan makanan yang melanda masyarakat dunia yang menyumbang kepada angka kebuluran sebagai penyebab kematian bagi berjuta-juta nyawa saban tahun.

Ironinya, di Malaysia banyak masalah kesihatan dicetuskan berpunca daripada tabiat makan. Pengambilan makanan berlebihan, kurang bersih, tidak seimbang dari sudut gizi dan kelas makanan antara penyebab berlaku penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan obesiti.

Pepatah yang mengungkapkan ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’ sebenarnya mempunyai maksud tersirat. Di sebalik tersurat yang mengajar manusia berhati-hati dengan kata yang dilontarkan kerana mungkin mendatangkan masalah dalam konteks fizikal yang mengakibatkan badan binasa, mulut juga perlu dilihat sebagai pintu masuk kepada makanan yang bakal menjadi darah daging kita yang ada kalanya merosakkan badan.

Masyarakat mengetahui penting dan akrabnya hubungan menjaga pemakanan dalam menjaga kesihatan seseorang. Dalam hal ini, Islam sebagai agama yang syumul dan sarat ajaran yang penuh dengan hikmah dan rahsia menggariskan panduan dalam kita menjayakan program makan untuk hidup dan bukan hidup untuk makan.

Firman Allah bermaksud: “Makanlah dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Surah Al-A’raf: 31) dan “Sesungguhnya orang yang membazir itu saudara syaitan dan syaitan itu kufur dengan Tuhannya.” (Surah Al-Israk: 27)

Islam mengajar kita berpada-pada apabila menghadap dan mengambil makanan. Betapa banyak penyakit kronik seperti diabetes mellitus (kencing manis) dan hipertensi (darah tinggi) berpunca daripada pemilihan dan jumlah makanan tidak betul.

Jika menggunakan panduan yang dianjurkan Islam, bukan saja kita akan berupaya menguruskan budaya pemakanan yang lebih berhemah bahkan unsur pembaziran juga dapat dielakkan.

Ia juga akan mengurangkan potensi mendapat kegemukan yang menjadi faktor risiko kepada pelbagai masalah lain seperti pernafasan ketika tidur, penyakit berkaitan jantung dan salur darah tersumbat, masalah sendi yang terpaksa menanggung beban berat badan yang berlebihan dan sebagainya.

Dari segi pemilihan jenis makanan pula, Islam mengajar kita panduan yang secara umumnya perlu mempunyai dua ciri utama iaitu halal dan baik. Ia termasuk makanan yang terjamin kebersihannya, kaedah sembelihan, cara penyediaannya yang jika kita tidak mengambil perhatian daripadanya boleh mengundang penyakit bawaan kuman seperti hepatitis A, gastroenteritis, taun dan kepialu.

Aspek memilih premis makanan yang bersih dan terjamin mutu halal dan kita harus melihatnya secara serius dan belajar apa yang tersirat di sebaliknya.

“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik (halalan toyyiba) daripada apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah: 168)

“Hai orang beriman, makan antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah.” (Surah al-Baqarah: 172)

Apabila aspek pemilihan sumber, jenis, kumpulan makanan dibuat, maka kita juga perlu meneliti bilakah masanya yang sesuai perlu kita makan dan berhenti makan.

Rasulullah memberikan panduan mengenai cara makan ideal supaya kita lebih mensyukuri nikmat makanan yang dikurniakan dan pada masa yang sama tidak memudaratkan kesihatan.

Makan ketika lapar lebih memberi kita impak rasa bersyukur dengan kurniaan rezekinya dan menginsafi serta mewujudkan rasa ingin membantu kepada mereka yang saban hari berada dalam keadaan lapar.

“Kami adalah kaum yang tidak akan makan kecuali apabila lapar dan apabila kami makan tidak sampai terlalu kenyang.” (Hadis Abu Daud)

Selain aspek lahiriah, amalan pemakanan yang tidak mementingkan pematuhan panduan Islam menyebabkan kesan sampingan yang lain termasuk kerosakan mutu rohani dan spiritual. Apa yang jelas daripada hadis Baginda ialah doa seseorang tubuhnya terbina daripada makanan yang bersumberkan suatu yang haram, tetapi tetap juga disuap ke mulutnya akan tertolak.

“Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu. Dia menadah tangannya dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram, bagaimana akan diperkenankan permohonannya?” (Hadis Muslim, Ahmad dan Tirmizi)

Sikap sambil lewa terhadap apa yang disuap ke mulut kita bukan saja menyebabkan tertolaknya doa bahkan tubuh kita juga merana pada hari akhirat nanti.

Walaupun ada yang memegang prinsip ‘membujur lalu melintang patah’, ‘rezeki jangan ditolak’ namun kita harus memikirkan dua kali adakah rezeki yang lalu atau terhidang di depan mata benar-benar rezeki kita atau hak orang lain yang berjaya kita manipulasikan.

Dalam hal ini, Rasulullah memberi amaran bahayanya makan makanan haram baik dari segi lahiriah haram atau batiniah seperti sumber haram. Sabda Rasulullah: “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak dengannya.” (Hadis At-Thabarani)

Jelaslah kepada kita perlu meneliti setiap apa yang ingin disuapkan ke mulut kita atau tanggungan yang berada di bawah kita. Amat besar kerugian dan penyesalan jika aspek yang diajar Islam ini kita ambil remeh.

Sesungguhnya kecantikan ajaran itu terserlah pada hikmah yang terkandung di dalamnya, dan akan zahir keunggulannya apabila umatnya mengamalkannya.

Penulis ialah Pensyarah Perubatan ORL, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu, Kelantan

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »