Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 31 Oktober 2009

Tiada syariat baru selepas wafat nabi

Posted by epondok di Oktober 31, 2009

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

KAEDAH golongan ajaran sesat beroperasi untuk mencari pengaruh di tengah-tengah masyarakat ialah dengan menggembar-gemburkan kehebatan tuan guru yang mengetuai gerakan mereka. Untuk meyakinkan orang ramai mengenai ajaran itu, mereka akan mendakwa bahawa tuan guru itu belajar secara terus daripada Nabi SAW atau wali tertentu menerusi mimpi. Justeru tiada yang perlu dikhuatiri sekiranya ajaran mereka dilihat berbeza dengan apa yang terdapat di dalam kitab fekah yang lazimnya menjadi rujukan kerana ajaran atau amalan mereka ini di dapati secara terus daripada Rasulullah SAW. Bolehkah kita menerima dakwaan bahawa setelah wafatnya Rasulullah masih tersisa ajaran baru yang hendak disampaikan pada umatnya menerusi mimpi?

 

Bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah mimpi itu pada dasarnya terdapat tiga jenis sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Mimpi itu tiga jenis, iaitu mimpi yang benar berbentuk khabar gembira daripada Allah; mimpi sedih daripada syaitan dan mimpi yang disebabkan mainan jiwa seseorang.” – (Hadis Imam Muslim).

Mimpi dari syaitan dan mainan jiwa sememangnya tiada memberi sebarang erti, namun bagi mimpi yang berbentuk khabar gembira daripada Allah, ia mimpi benar dan perlu diberikan perhatian sewajarnya.

//

Nabi SAW bersabda, “Tiada lagi kenabian setelah aku kecuali al-Mubasysyiraat (berita yang menggembirakan).” Sahabat bertanya apakah yang dimaksudkan al-Mubasysyiraat? Sabda Nabi, “Mimpi yang benar yang dimimpikan oleh orang soleh” – (Hadis Imam al-Bukhari).

Ada yang menjadikan hadis ini sebagai bukti bahawa mimpi guru atau syeikh mereka boleh dijadikan dalil dalam membawa ajaran baru.

Namun sebenarnya al-Mubasysyiraat atau mimpi benar adalah berupa khabar gembira daripada Allah bagi hamba-Nya dengan memberi gambaran perkara baik yang bakal berlaku. Mimpi benar ini akan menjadi kenyataan dalam hidup seseorang itu. Mimpi benar juga boleh terjadi dalam bentuk peringatan terhadap hambanya mengenai perkara buruk yang bakal berlaku agar dia boleh berusaha untuk mengelaknya dari terjadi ataupun berbentuk amaran supaya jangan melakukan sesuatu maksiat.

Inilah lapangan skop mimpi benar dan ia tidak lebih dari itu. Al-Mubasysyiraat bukan bertujuan untuk menggubal hukum baru kerana segala ajaran mengenai Islam ini sudah sempurna sebelum Rasulullah wafat. Allah SWT memerintahkan Rasulullah menyampaikan apa yang diwahyukan kepadanya kepada seluruh umat manusia.

Firman-Nya: “Wahai Rasulullah! Sampaikan apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), bermakna engkau tidak menyampaikan perutusan-Nya; dan Allah jualah yang akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” – (Al-Maaidah: 67)

Rasulullah sebagai seorang yang maksum pasti melaksanakan perintah Allah itu. Sebelum Baginda wafat, Allah SWT menyempurnakan agama Islam sehingga tidak lagi memerlukan apa-apa bentuk penambahan menerusi mimpi.

Mimpi bertemu dengan Nabi SAW juga sebahagian daripada al-Mubasysyiraat yang terjadi kepada sesetengah manusia yang beruntung. Nabi bersabda, “Sesiapa melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku secara benar. Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku. Sesiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja maka dia telah mengambil tempat duduk dalam neraka.” – (Hadis Imam al-Bukhari)

Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa seseorang itu hanya dianggap benar-benar bertemu Rasulullah di dalam mimpi sekiranya paras rupa Rasulullah yang ditemuinya itu sesuai dengan sebagaimana yang digambarkan di dalam hadis sahih. Telah menjadi amalan umat Islam terdahulu (generasi salaf) apabila seseorang mengaku bertemu Nabi, dia dikehendaki untuk memberikan gambaran paras rupanya dalam mimpi itu.

Ibnu Sirin umpamanya akan bertanya kepada seseorang yang mengaku bertemu Nabi SAW dalam mimpi: “Ceritakan kepadaku apa yang anda lihat.” Sekiranya diceritakan kepada beliau sifat Rasulullah SAW yang tidak diketahuinya, beliau akan menegaskan: “Anda sebenarnya tidak bermimpi bertemu dengan Baginda SAW.” Ini adalah kerana syaitan hanya tidak boleh menyerupai paras rupa sebenar Nabi SAW, namun syaitan boleh yang menyerupai insan lain tetapi mengaku sebagai Nabi lalu mengelirukan orang yang bermimpi tadi dengan perkara yang bercanggah dengan syarak.

Seterusnya kandungan mimpi bertemu dengan Rasulullah itu tetap perlu dipertimbangkan dengan neraca al-Quran dan al-Sunnah. Jika bertepatan ia boleh diterima tetapi jika sebaliknya yang menjadi hujah tetap perkara yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Mimpi hanya untuk menggembirakan atau menjinakkan hati saja.

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi lagi, “Perkara yang hanya dipertanggungjawabkan (taklif) oleh Allah supaya kita meyakini dan beramal dengannya ialah sesuatu yang diwahyukan kepada Rasul-Nya semasa hayat Rasul tersebut, bukan berdasarkan kepada apa yang dibawa mimpi di dalam tidur setelah kewafatannya.”

Terdapat juga kelompok tertentu yang mendakwa bahawa ajaran mereka ini diambil oleh tuan guru mereka daripada Rasulullah SAW dalam keadaan sedar atau terjaga. Mereka berhujah dengan sebuah riwayat yang mana Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga dan syaitan tidak mampu menyerupaiku.” – (Hadis al-Bukhari). Walaupun hadis ini sahih namun tafsiran mereka terhadapnya tidak benar.

Rasulullah SAW wafat sebagaimana manusia lain. Firman Allah, “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula). Kemudian sesungguhnya kamu pada hari Kiamat akan berbantah-bantah di hadapan Tuhanmu.” – (al-Zumar: 30-31). Baginda hanya akan dibangkitkan semula di alam akhirat setelah terjadinya kiamat.

Maka tiada nas yang menunjukkan bahawa Baginda boleh bangkit di dunia dan boleh bertemu dengan seseorang secara fizikal dan mengajar mereka ajaran Islam. Al-Hafiz Ibnu Hajar juga menempelak dakwaan golongan yang mengaku bertemu dengan Rasulullah dalam keadaan sedar menerusi kitabnya Fathul Baari.

Menurut beliau, “Hal ini begitu aneh. Jika dimaksudkan (pertemuan itu) secara zahir maka mereka (yang mendakwa bertemu Nabi secara sedar) itu boleh dianggap sahabat Nabi, sedangkan tidak mungkin sahabat Nabi itu akan ada terus menerus sehingga hari kiamat.”

Mengenai maksud sebenar ‘maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga’, Imam al-Nawawi memberikan tiga pendapat: Pertama, ia berkaitan dengan mereka yang hidup pada zaman Rasulullah SAW. Oleh itu sesiapa yang bermimpi bertemu dengan Nabi sedangkan dia belum berhijrah maka Allah akan memberi taufik kepadanya untuk berhijrah dan bertemu dengan Nabi secara zahir. Kedua, dia akan melihat kenyataan mimpinya itu dalam keadaan terjaga pada hari kiamat, kerana semua umat Baginda akan melihatnya pada hari kiamat. Ketiga, dia akan melihat Nabi pada hari akhirat secara khusus dalam keadaan dekat dan mendapat syafaat daripadanya.

Allah menyempurnakan syariat agama Islam dengan penurunan wahyu kepada Nabi ketika hayat Baginda. Kesempurnaan syariat agama Islam ini diakui sendiri Allah melalui firman-Nya, “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda Islam menjadi agama kamu”. (al-Maaidah: 3) Sempurna dalam ayat ini bererti ia sudah lengkap. Sekiranya agama itu sempurna, mengapa kita masih memerlukan mimpi untuk dijadikan perantaraan bagi menerima amalan baru yang tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah dan para salafussoleh (ulama terdahulu)?

Justeru, mereka yang mendakwa sesuatu ajaran baru itu masih boleh diterima menerusi mimpi hanya mencerminkan gambaran pemikiran mereka yang menganggap Islam ini belum sempurna sehingga memerlukan ritual baru. Sungguh rosak pemikiran berkenaan.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Bayaran Dam dalam ibadat haji

Posted by epondok di Oktober 31, 2009

Oleh Mohd Fadly Samsudin

MENUNAIKAN ibadat haji diwajibkan kepada individu Muslim sekali seumur hidup. Haji tidak hanya menjalani kursus serta membaca buku panduan semata-mata.

Bagi mendapatkan haji terbaik, kita perlu ada inisiatif tersendiri seperti membuat kajian terperinci, berbincang dan menimba pengalaman dengan mereka yang pernah menunaikan haji.
Haji bukannya amalan ritual biasa yang bersifat fardu (individu) semata-mata namun ia berbentuk jamaie (berkumpulan).

Di Tanah Suci, kita diuji dengan pelbagai cara seperti cabaran emosi bagi melihat keimanan hamba-Nya.

Jemaah haji perlu memantapkan diri dengan ilmu sejarah nabi supaya penghayatan kita lebih kukuh di Makkah.

Yang paling penting mereka perlu melengkapkan satu persatu rukun haji dan kegagalan mengerjakan salah satu daripadanya secara sengaja atau tidak akan menyebabkan terbatal hajinya.

Antara rukun haji adalah niat, wukuf di Arafah, tawaf (rukun ini juga dikenali sebagai tawaf ifadah), saie, bercukur atau bergunting dan tertib.

Selain itu, haji terbahagi kepada tiga jenis iaitu Haji Tamatuk, Haji Ifrad dan Haji Qiran yang berbeza setiap satunya.

Haji Tamatuk bererti bersenang-senang iaitu mengerjakan umrah dahulu dalam bulan haji dan selepas selesai mengerjakan umrah mereka tidak terikat lagi dengan pantang larang ihram.

Hanya apabila sampai waktu, barulah berihram untuk mengerjakan haji. Haji Tamatuk dikenakan dam iaitu menyembelih seekor kambing atau berpuasa 10 hari (tiga hari di Makkah dan tujuh hari di tanah air).

Allah berfirman yang bermaksud: “Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan umrah (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa mengerjakan ibadah haji, (dia boleh melakukannya kemudian wajiblah dia menyembelih dam yang mudah didapati. Jika dia tidak dapat mengadakan (dam), hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing), semuanya itu sepuluh hari cukup sempurna.” (Surah al-Baqarah ayat 196).

Dam yang dikenakan itu bukan merujuk kepada kesalahan tetapi ketetapan syarak.

Haji Ifrad maknanya berasingan iaitu mengerjakan haji dan umrah secara berasingan di mana mengerjakan haji dahulu hingga selesai dan mengerjakan umrah dalam tahun itu atau dikerjakan umrah sebelum menjelang bulan haji.

Jemaah perlu berniat di Miqat sebelum masuk ke Makkah (jika dari Malaysia naik kapal terbang Miqatnya di Qarnul Manazil) sebelum kapal terbang sampai di Jeddah. Haji Ifrad tidak dikenakan dam.

Manakala Haji Qiran bererti bersama-sama, jadi ibadat haji dan umrah dikerjakan secara serentak dan haji jenis ini wajib dikenakan dam.

Sewaktu di Miqat jemaah perlu berniat serentak haji dan umrah. Berhubung dengan kebolehan mengerjakan haji Qiran ini Rasulullah bersabda: Dari Ibnu Umar r.a berkata, bahawa Rasulullah bersabda: Sesiapa mengerjakan haji bersama umrah (Qiran) maka sah dia kerjakan satu tawaf dan satu saie sahaja untuk kedua-dua haji dan umrah itu,” (Riwayat Tarmizi).

Perbezaan ketara dalam melakukan ketiga-tiga haji itu adalah, bagi cara Ifrad, umrah dilakukan di luar bulan haji sama ada dilaksanakan dahulu dalam tahun yang sama ataupun selepas bulan haji. Manakala bagi cara Tamatuk dan Qiran pula umrah dilakukan dalam bulan haji.

Manakala dam yang disebutkan di atas adalah adalah darah sembelihan yang merujuk kepada binatang tertentu. Penggantinya adalah makanan atau puasa yang wajib ditunaikan oleh orang yang meninggalkan satu atau perkara wajib dalam ibadat (haji dan umrah) ataupun perkara yang dilarang semasa berihram atau melakukan Haji Tamatuk dan Qiran. Dam turut dikenali sebagai fidyah.

Antara sebab-sebab seseorang dikenakan dam adalah:

1. Meninggalkan perkara-perkara wajib haji dan umrah.

2. Melakukan perkara-perkara yang dilarang sewaktu dalam ihram.

3. Memilih Haji Tamatuk dan Qiran.

4. Tidak dapat wukuf di Arafah.

5. Tertegah (ihsar) perjalanan ke Makkah sedangkan seseorang itu sudah berihram.

6. Meninggalkan tawaf wadak bagi mereka yang tidak uzur syar’ie.

Syarat binatang yang boleh dijadikan dam adalah (berkaki empat ) seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Jangan hanya kejar gelaran haji

Posted by epondok di Oktober 31, 2009

Oleh Abdul Razak Idris

SERUAN haji bergema lagi, tanda musim haji sudah bermula. Ibadah haji wajib bagi umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan dan memenuhi syarat ulil amri dan pihak berkuasa Arab Saudi menjadi medan penuh ujian dalam mematuhi rukun wajib haji. Menunaikan haji bukan perjalanan yang mudah bagi Muslim yang membawa bersamanya segala beban pengalaman hidup sama ada kehidupannya dihabiskan dengan melakukan dosa dan culas memburu pahala sama ada wajib atau sunat.

 

Jika seruan haji disambut hanya kerana ikut-ikutan maka ibadah yang dilakukan hanya separuh hati dan haji mabrur yang menjadi cita-cita semua bakal haji dan hajah akan hanya akan menjadi ‘haji sangkut’ yang hanya dipakai hingga hembusan nafas terakhir.

Gelaran haji yang dibawa bersama setelah selesai ibadah di bumi Makkah akan menjadi kenangan abadi dan diingati bukan saja oleh diri kita sendiri malahan orang yang menghantar kita pergi dulu dan orang yang menyambut kita pulang. Bagi setiap bakal haji yang sedang bersiap sedia menyambut panggilan haji selain mempersiapkan diri dengan segala bacaan dalam rukun haji kita harus ‘membersihkan’ diri daripada segala dosa dan memohon ampun dan maaf daripada semua pihak terutama yang terasa hati dan berpotensi tersinggung oleh perbuatan dan lisan kita.

//

Sebagai seorang Muslim yang berada dalam zaman ekonomi tidak menentu, kesempatan untuk menunaikan fardu haji atau umrah bukan perkara mudah. Selain kos mengerjakan haji tinggi, kos untuk waris dan tanggungan yang ditinggalkan turut perlu difikirkan juga. Jika tidak akan timbul pula fitnah orang mengatakan langkah kita mengejar akhirat mencicirkan dunia yang juga kewajipan kita. Sebaiknya bakal haji menyelesaikan segala hutang dan belanja tanggungan sebelum meneruskan cita-cita menyahut seruan haji di Makkah. Gelaran haji yang bakal diraih akan kelak menjadi suatu gelaran sinis yang akan memalukan diri kita sendiri.

Jika boleh biarlah gelaran haji yang dianugerahkan kepada kita kerana mendapat haji mabrur tanpa memerlukan kita apabila pulang dari tanah suci terpaksa membayar hutang keliling pinggang sedang kita semua tahu bahawa salah satu syarat haji ialah berkemampuan dari segi kewangan dan kesihatan.

Membawa pulang gelaran haji atau hajah biarlah tanpa kontroversi atau isu yang mampu membuatkan gelaran yang menjadi idaman semua umat Islam di seluruh dunia itu dipertikaikan. Jangan pula apabila balik dari haji, perangai buruk sebelum menjejak kaki ke sana diulangi. Atau setelah mendapat gelaran haji sikap angkuh dan bangga diri menjadi hiasan diri. Lebih buruk lagi jika ada yang mempunyai gelaran haji tidak berubah langsung sikap buruk mereka malahan lebih teruk apabila pulang dari Tanah Suci sikap buruk baru pula tercipta.

Bukankah ia memalukan agama Islam yang syumul ini. Kita takut ada orang Islam sendiri yang akan merasakan gelaran haji adalah lesen untuk mendapat kemegahan dan bukannya menjadi motivasi untuk yang masih belum menjejakkan kaki bertawaf mengelilingi di setiap empat penjuru Kaabah.

Sikap dan pekerti sebagai Muslim yang memegang gelaran haji perlu diubah dari buruk menjadi baik, dari cantik lebih indah budi dan sikahnya. Bagi yang bersifat bakhil tidak bertempat, singkirkan sikap yang tidak baik itu, bagi yang bersikap keras selama ini lembut-lembutkan sedikit adab kita dengan pekerja atau pihak yang berhubung dengan kita. Cara kita bertindak adalah datang dari cara kita berfikir dan cara kita berfikir datang dari hati kita yang suci dan bersih dari syak dan wasangka sama ada sesama Islam dan bukan Islam.

Jika boleh dikatakan seorang haji sepatutnya membawa imej seorang Muslim yang lengkap sebagai seorang Muslim sejati. Sesungguhnya dirinya telah lulus ujian sebagai Muslim yang memenuhi lima rukun Islam.

Justeru menunaikan haji bukan sekadar mengejar gelaran yang tidak akan memberi manfaat jika disalahgunakan atau disalah pembawaannya. Haji adalah gelaran yang perlu dibawa hingga ke liang lahad dan biarlah pahala kita menunaikan haji itu berpanjangan hingga kita dipanggil Yang Maha Esa di satu hari di mana kita tidak mampu untuk berkata-kata melainkan ibadah kita di dunia ini yang akan menilai kita dan gelaran kita.

Ingatlah bahawa seruan haji bukan saja bergema sebelum dan semasa kita di tanah suci saja, ia adalah seruan yang perlu diingati hingga kita selesai menunaikan rukun haji dan di saat liang lahad terpateri dengan tanah dan hanya gelaran haji dan nama kita yang ditinggalkan. Jadilah haji yang dimuliakan dan bukan sebaliknya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »