Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 27 Oktober 2009

5 resolusi martabatkan perundangan syariah

Posted by epondok di Oktober 27, 2009

KUANTAN – Isu bantahan yang dibuat SIS dan JAG terhadap hukuman sebatan ke atas Kartika Dewi Shukarno kerana kesalahan meminum arak di khalayak ramai telah berjaya menyatukan 14 buah NGO Islam di Negeri Pahang. Kejayaan pertama kumpulan ini ialah dengan berlangsungnya sidang media pada Oktober 2 yang lalu.Semalam, kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Sekretariat Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO)

Negeri Pahang ini sekali lagi mengambil langkah terkedepan bila menganjurkan Seminar Perlaksanaan Perundangan Syariah: Isu dan Cabaran, di Dewan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini.

Dalam sidang media selepas usai seminar tersebut, jurucakap sekretariat, Amidi Abdul Manan, Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan rasa gembira kerana seminar telah berjaya meluluskan lima resolusi penting.


Lima resolusi tersebut adalah pertamanya memberi kuasa dan kebebasan sepenuhnya kepada penguatkuasa Agama Islam dan mahkamah syariah dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagaimana diperuntukkan oleh Enakmen Syariah Negeri tanpa dipengaruhi dan ditekan oleh mana-mana pihak.

Kedua, menyeru kepada ahli politik beragama Islam supaya bertindak secara proaktif dalam memperjuangkan kedaulatan Agama Islam dan institusi mahkamah syariah, juga memperjuangkan perluasan bidang kuasa mahkamah syariah.

Seminar, melalui resolusi ketiga menurut Amidi mendesak supaya pihak berkuasa negeri dan kerajaan memberi tekanan kepada media supaya menyokong dan menghulur kerjasama sepenuhnya kepada NGO Islam dalam mendidik dan memahamkan masyarakat tentang segala isu yang menyentuh kepentingan umat Islam.

Keempat, kerajaan diminta supaya berusaha menaikkan taraf institusi kehakiman syariah supaya setanding dan seiring dengan institusi kehakiman sivil, sesuai dengan semangat pemisahan perlembagaan persekutuan, supaya nanti ia tidak lagi dipandang sebagai institusi kehakiman kelas dua sama ada dari segi kepakaran dan bidang pendakwaan, perjawatan atau jumlah kakitangannya.

Resolusi terakhir pula, jelas Amidi, mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan satu badan pemantau yang berkuasa mengawasi organisasi-organisasi yang menggunakan nama Islam supaya objektif dan matlamat organisasi-organisasi tersebut selari dengan prinsip Islam serta bukan bertujuan mengelirukan umat Islam dengan ideologi-ideologi dan pendekatan yang nyata terpesong.

Amidi dalam kenyataannya memberitahu bahawa naskhah resolusi yang dinamakan sebagai “Memartabatkan Perundangan Syariah Pahang” ini akan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, selaku Ketua Agama Islam Negeri, yang mewakili seluruh umat Islam di Negeri Pahang.

Sekretariat, tambah Amidi kini hanya menunggu perkenan Tuanku Sultan untuk menghadap. Ini juga ujar beliau adalah tanda sokongan 14 NGO Islam Pahang kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).

Seminar Perlaksanaan Perundangan Syariah ini berlangsung sehari dan dirasmikan penutupannya oleh Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dengan kehadiran kira-kira seramai 300 orang peserta.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Amidi dalam sidang media yang sama mengumumkan yang  seminar serupa akan terus dianjurkan di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai, terutamanya bukan Islam mendapat kefahaman tentang perbezaan perlaksanaan hukuman di antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Pada minggu hadapan sahaja, seminar serupa ini dijadualkan berlangsung di negeri-negeri seperti Selangor, Kelantan dan Perak, atas usaha NGO-NGO Islam negeri-negeri tersebut.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Selamatkan Generasi Buta Agama

Posted by epondok di Oktober 27, 2009


GENERASI muda perlu dididik dan didedah dengan ilmu agama secukup supaya mereka tidak terpengaruh persekitaran yang tidak Islamik.

Syor wujud dialog ilmiah bersifat kasih sayang bukan menghukum untuk selesai masalah

BUTA agama dan rabun dunia, kedua-duanya akan berakhir dengan kegagalan dunia akhirat. Generasi Islam yang membesar tanpa ilmu dan maklumat agama yang sahih akan mudah dipengaruhi pemikiran yang bertentangan dengan ajaran Islam. Lihatlah kebebasan bersuara di alam siber, mereka mempersoalkan pengharaman arak, zina, judi, syirik dan sebagainya yang jelas dalilnya di dalam al-Quran dan Sunnah. Boleh jadi selepas ini mereka akan mempersoalkan tidak wajibnya sembahyang lima waktu atau puasa dan zakat mengikut kebebasan berfikir yang diagungkan generasi pintar berfalsafah ini.

Mereka lahir dari rahim wanita Islam yang memahami agama secara tradisi, kemudian ia berkembang mengikut rangsangan persekitaran yang membentuk pemikiran dan perasaan. Jika mereka disentuh dengan al-Quran dan Sunnah yang sempurna maka tidaklah mudah pemikiran jahiliah yang bertopengkan kebebasan akal mempengaruhi hati dan jiwa yang memang sebati dengan agama.

Tetapi, jika pendedahan agama terbatas, setakat belajar membaca muqaddam dan sekali seumur hidup khatam al-Quran kemudian tidak dilanjutkan dengan pencarian maklumat Islam sahih, akhirnya generasi Islam ini terpaksa beradaptasi dengan persekitaran yang tidak Islamik. Persekitaran jahiliah moden itu secara tidak langsung membentuk pemikiran baru yang mula menafikan sentuhan Islam tradisi yang diajarkan orang tua mereka. Mengapakah keadaan sebegini terjadi sehingga melemahkan semangat agama dalam jiwa generasi baru?

Adakah kerana kesilapan orang tua menyemai keindahan Islam di sanubari kita? Atau sistem pendidikan yang tidak menyebelahi agama dan terlalu hebat mengagungkan ilmu mengurus dunia saja? Pada hal kesempurnaan insan bergantung dengan kebijaksanaannya mengurus dunia dan akhirat tanpa melebihkan satu dari yang lain. Ilmu menjadi teras keimanan seseorang, agama ini menyanjung setinggi-tingginya usaha meneroka khazanah ilmu duniawi dan ukhrawi tanpa membeza-bezakan satu dengan yang lain.

Generasi Islam yang buta agama tapi celik IT, pakar ekonomi, peneraju politik, ahli astronomi, pencetus teknologi nuklear dan persenjataan canggih dikhuatiri mencampakkan terus nilai Islam dari pemikiran dan pendiriannya kerana menganggap agama memandulkan usaha kemajuan, membelenggu kebebasan berfikir dan membius akal dengan angan-angan akhirat yang tidak nyata sifatnya. Akhirnya mereka mengadaptasikan ilmu yang dimiliki untuk kepuasan peribadi, menonjolkan kehebatan melalui persaingan haiwan yang membunuh terus nilai kemanusiaan.

Semua pendedahan agama yang diusahakan orang tua secara tradisi tidak mampu membendung lonjakan protes yang ditunggangi faham kebebasan berfikir untuk mempersoalkan hukum hakam agama yang bagi mereka cukup merimaskan gaya hidup mereka. Malangnya orang yang memiliki ilmu agama pula tidak mampu menjawab dan mendedahkan kesilapan generasi buta agama ini, ada yang terus memfatwa kafir dan memilih pendekatan menyerang, bukan berdialog dengan hikmah dan mau’izah hasanah (cara yang baik).

Pada hal semangat agama ini terletak pada unsur kasih sayang dan khabar gembira melebihi ancaman sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkan ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” � (Surah Ali Imran: 159)

Akhirnya generasi buta agama ini tidak lagi menghormati ulama konservatif yang membenci mereka dan menambahkan lagi ketidakpercayaan mereka terhadap agama sendiri. Dalam pada itu datanglah gelombang pemikiran bebas yang cuba menghentam Islam, sikap umat Islam yang bermasalah dijadikan dalil bahawa agama itu bermasalah. Negara Islam mundur yang dipersalahkan ajaran Islamnya, lelaki Muslim kahwin cerai sesuka hati, dituduh Islam yang menghalalkannya, pengeboman yang didalangi pengganas Muslim dijadikan dalil kekejaman ajaran Islam. Kalau yang mengganas orang Nasrani dan Yahudi pula langsung tidak timbul isu agama mereka ganas dan kalau yang miskin itu di negara bukan Islam tidak pula agama mereka dikatakan kolot.

Generasi Islam sudah mengalami bermacam-macam ujian yang secara tidak langsung melunturkan warna Islam sebenar dari pemikiran dan perasaan mereka. Cubaan indoktrinasi fahaman sesat cebisan dari kumpulan Islam yang menyeleweng dari al-Quran dan Sunnah kemudian usaha orientalis yang meracuni sejarah Islam, propaganda fahaman sosialis komunis, kapitalis dan liberal yang cuba memomokkan Islam. Semua itu memberi impak yang cukup dahsyat dalam melunturkan kecintaan generasi Islam kepada agamanya.

Tidak hairan jika seorang sosialis Muslim akan lahir seramai kapitalis Muslim di seluruh dunia yang langsung mengetepikan ajaran Islam dari kehidupan. Generasi ini bernafas dengan nafas Karl Marx walau nama depannya Muhammad atau menyokong idea kebebasan Barat walau harus menginjak al-Quran dan Sunnah. Ke manakah arah tuju umat ini? Apakah identiti mereka tetap kekal walaupun pemikiran dan perjuangan jelas menyokong fahaman kuffar?

Belum terlambat untuk kembali kepada Islam yang dibawa Rasulullah SAW. Kembali kepada asal dan lupakan kecelaruan iman akibat terikut-ikut dan berbangga-bangga dengan fahaman yang menyimpang dari jalan Sunnah. Pelajari fakta dan data Islam yang mencakupi ilmu tafsir al-Quran, hadis, aqidah, fekah, sejarah dan maklumat perkembangan Islam yang sahih. Setiap Muslim bukan diwajibkan membaca saja tetapi bertanggungjawab menjadikan ilmu Islam sebagai penyelesaian terhadap persoalan hidup manusia.

Untuk itu diperlukan dialog ilmiah yang bersifat kasih sayang antara ulama dan umat kerana agama ini bukan penghukum tetapi penyelesai masalah manusia. Kekuatan orang alim bergantung dengan kukuhnya penguasaan ilmu mereka dan tanggungjawab peribadi sebagai ulama pewaris Nabi, penyelesai masalah umat bukan merabunkan Islam dari pandangan generasi baru dengan sikap membenci dan menghukum.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Perubahan Sikap Tanda Haji Mabrur

Posted by epondok di Oktober 27, 2009

Oleh Mastura Mohd Zain

MENUNAIKAN haji ke Makkah menjadi kewajipan bagi mereka yang berkemampuan. Beruntunglah mereka yang menjadi tetamu Allah SWT tahun ini. Tentunya sudah mempersiapkan diri dari awal lagi hingga memasuki hari berangkat ke Tanah Suci kerana ibadat haji memerlukan suatu pengorbanan rohani, jasad dan juga harta.

Jemaah haji yang menunaikan ibadat haji sebenarnya berhadapan dengan untung nasib mereka di akhirat. Mereka meninggalkan pakaian yang berjahit, menitiskan air mata keinsafan di Padang Arafah, melaungkan kata-kata taubat dan penyesalan dengan semua bahasa manusia yang ada di bumi ini. Bersama-sama bermalam di Mudzalifah, berlumba-lumba melontar Jamrah serta berusaha tawaf dan bersaie tanpa mengenal erti penat dalam menghadapi rintangan dan cabaran ketika mengerjakan haji.

Setiap orang yang menunaikan haji pastinya mengharapkan untuk mendapat haji mabrur. Sabda Rasulullah SAW, “Haji mabrur itu tiada balasan yang lain kecuali syurga.” Hadis Abu Hurairah. Orang yang menunaikan ibadat haji dengan sempurna akan mendapat haji mabrur.

Dari segi bahasa, mabrur mempunyai dua makna. Pertama, bererti baik, suci dan bersih. Kedua, bererti diterima dan mendapat keredaan Allah SWT. Orang yang memperoleh haji mabrur semakin kuat imannya serta meningkat amal ibadatnya.

Tidak mudah untuk mendapatkan haji mabrur, sebagaimana yang dikatakan Umar bin al-Khattab, yang menyatakan ramai yang hanya makan angin (melancong) sedangkan yang melakukan haji sedikit. Ini bermakna ramai yang mengerjakan haji tetapi sedikit saja yang benar-benar melakukan ibadat haji dan memahami setiap amal ibadat haji sehingga memperoleh haji mabrur.

Setiap orang yang mengerjakan ibadat haji sebenarnya mengunjungi tempat paling suci di dunia ini. Maka mereka haruslah berusaha agar haji yang diperoleh tidak tercemar selepas pulang ke tanah air. Ibadat haji yang dilakukan memberinya peluang untuk membuat perubahan yang baik untuk dirinya.

Kesannya, kehidupan beragama akan bertambah serta kuat beriltizam dengan amalan Islam. Mereka ini menjadi contoh dalam kehidupan harian. Apabila seseorang itu bergelar haji, bertambahlah tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

Mereka mesti menunjukkan perilaku baik, bertutur dengan kata-kata yang manis serta menahan diri daripada mengeluarkan kata kesat yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Hendaklah bertegur sapa dengan orang di sekeliling dan berbudi bahasa dengan semua orang.

Perubahan pada jemaah haji yang pulang dapat dilihat dari kelakuannya. Jika dulu pemarah sudah bertukar menjadi pemaaf. Menjadi seorang yang pemurah serta suka bersedekah jika dahulunya kedekut. Menjadi seorang yang berbudi bahasa jika dulunya jenis yang suka memaki hamun orang. Juga berubah menutup aurat jika dahulunya tidak kisah tentang hal tersebut.

Sebaliknya, jika sekembalinya dari menunaikan haji, masih juga melakukan dosa besar, takbur dan tidak beramal dengan amalan Islam, ia memberi tanda haji dikerjakan itu tidak mabrur.

Jika ibadat hajinya tidak membawa apa-apa perubahan, ini bererti tidak ada pengajaran yang diambil. Jika sifat buruk, syirik dan keji masih ada dalam dirinya, maka itu menunjukkan bahawa hajinya tidak mencapai matlamat. Ada yang pergi menunaikan haji untuk mendapatkan gelaran dalam lingkungan masyarakat sekelilingnya. Niat yang begini sudah pasti tidak akan mampu membawa apa-apa perubahan pada dirinya.

Haji mabrur yang diterima oleh Allah bagaikan seseorang itu baru keluar (dilahirkan) daripada perut ibu iaitu tidak berdosa. Apa yang penting haji mabrur bukan sekadar membawa perubahan pada diri, tetapi juga mampu membawa perubahan kepada keluarga dan masyarakat.

Penulis ialah penyelidik di Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »