Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Jangan terpengaruh kisah tahyul, khurafat – Jakim

Posted by epondok di Oktober 22, 2009


KUALA LUMPUR 21 Okt. – Umat Islam diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan kisah-kisah ajaib seperti sejadah berdiri kerana dikhuatiri ia tergolong dalam perkara-perkara khurafat dan tahyul.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana terdapat beberapa dakwaan yang serupa sebelum ini terbukti tidak benar.

Beliau berkata, paling dibimbangi umat Islam yang termasuk dalam golongan taksub akan mudah percaya dengan kisah-kisah seperti itu.

”Saya amat berharap umat Islam tidak terperangkap dengan kisah-kisah yang boleh dikategorikan khurafat dan tahyul. Kita tidak tahu sama ada kisah ini benar atau tidak.

”Kita juga boleh mempersoalkan sejauh mana kredibiliti dan sumber pembawa kisah ini. Ini semua perlu diambil kira. Oleh itu saya amat berharap umat Islam lebih berhati-hati apabila mendengar kisah-kisah ajaib seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Di Pasir Mas, Kelantan semalam, orang ramai dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Sangkut di sini gempar apabila kejadian sejadah berdiri seperti yang dilaporkan di beberapa tempat termasuk di Bukit Mertajam pada 2 Oktober lalu, berlaku di surau sekolah itu.

Jika sebelum ini hanya sehelai sahaja yang didakwa berdiri tetapi kali ini sebanyak 35 helai sejadah dikatakan berdiri mengikut saf iaitu 15 helai di ruang solat lelaki dan 19 helai di ruang solat wanita dengan sehelai daripadanya berada di hadapan seolah-olah mengimamkan solat.

Bagaimanapun, Pembantu Penguat Kuasa Pejabat Agama Pasir Mas, Kamaruddin Zakaria mendakwa kejadian tersebut sengaja direka oleh individu tidak bertanggungjawab untuk mencipta suasana gempar.

Dalam pada itu Wan Mohamad berkata, umat Islam perlu mengukuhkan kekuatan akidah mereka supaya dapat menepis serta menapis segala bentuk cerita atau kisah luar biasa dan ajaib.

”Kita tidak mahu kisah-kisah yang boleh dikategorikan sebagai khurafat dan tahyul ini mudah dipercayai oleh masyarakat kita. Budaya ini perlu disisihkan kerana ia amat berbahaya dalam konteks akidah.

”Oleh itu, saya minta kita semua sentiasa berusaha memantapkan lagi kekuatan akidah supaya ia menjadi pelindung kita daripada terpengaruh dengan kisah-kisah sebegini.

”Walau apa jua keadaan, kita wajib memohon pertolongan, perlindungan dan hidayah dari Allah dan itulah tuntutan paling utama dalam Islam,” katanya lagi.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 18,033 other followers

%d bloggers like this: