Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 22 Oktober 2009

Mufti Rusia komen ayat pada kulit bayi

Posted by epondok di Oktober 22, 2009

 

GAMBAR menunjukkan ayat al-Quran muncul pada kulit Ali.

 


 

ALI

 

MOSCOW – Majlis Mufti Rusia kelmarin sebulat suara menyatakan bahawa ayat suci al-Quran yang muncul dua kali seminggu pada kulit Ali Yakubov iaitu seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di wilayah Dagestan, selatan Rusia merupakan amaran tuhan kepada semua penduduk Islam di Rusia dan Dagestan.

Menurut kenyataan majlis itu, mengikuti perintah Allah dan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan dengan jiran, membersihkan diri daripada dosa dan mula mengamalkan prinsip kejiranan selain bermaaf-maafan menyebabkan penduduk Islam di negara tersebut akan mendapat keampunan Allah.

Menurut beberapa laporan, ibu bapa Ali yang tinggal di bandar Kizlyar di wilayah Dagestan dan kalangan imam tempatan mendakwa ayat suci al-Quran itu muncul pada hari Isnin dan Jumaat sebelum hilang dan digantikan dengan ayat baru.

Salah satu ayat itu bermaksud: “Allah ialah Pencipta segala yang ada.”.

Apabila ayat suci seterusnya muncul, Ali tidak dapat tidur sepanjang malam dan mengalami demam dengan kepanasan badannya tidak dapat dikurangkan walaupun dengan menggunakan ubat-ubatan kuat.

Semasa dia dilahirkan, Ali didapati menghidap penyakit jantung dan berkaitan dengan otak tetapi dia sembuh sepenuhnya selepas ayat al-Quran mula muncul pada tubuhnya. – Agensi

Posted in Fokus Isu | 5 Comments »

Kerajaan digesa pinda Perlembagaan Martabatkan Islam

Posted by epondok di Oktober 22, 2009

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa meminda segera beberapa Artikel dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memperjelaskan beberapa isu termasuk soal status negara yang mengamalkan dwi-sistem (sistem perundangan hybrid) dan bukannya sebuah negara sekular seperti yang didakwa beberapa pihak.

Pindaan ke atas Perlembagaan juga perlu dibuat bagi mewujudkan garis perbezaan antara Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan dengan pelaksanaan undang-undang dan syariat Islam.

Desakan itu antara 24 senarai rang undang-undang persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Bandar Baru Kulim, Zulkifli Noordin yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat yang bersidang kini.

Zulkifli berkata, Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memastikan fakta mengenai kedudukan agama Islam tidak lagi diputar belit golongan tertentu untuk menggambarkan Malaysia kononnya negara sekular.

Beliau menyarankan supaya perkataan ‘Islam adalah agama bagi Persekutuan termasuk dari segi undang-undang dan syariatnya’ ditambah bagi menepis keraguan mengenai kedudukan status negara.

“Hakikatnya, Malaysia bukan negara sekular tetapi negara yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, maka dengan pindaan Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan seperti yang dicadangkan akan memperjelaskan perihal kedudukan status negara ini tanpa sebarang keraguan lagi,” katanya.

Beliau berkata Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan pula perlu dipinda bagi menambah perkataan ‘Perlembagaan adalah undang-undang utama Persekutuan dan kecuali undang-undang dan syariat Islam, apa-apa undang-undang yang diluluskan berlawanan dengannya hendaklah terbatal setakat ia berlawanan itu’.

“Dewan perlu mengambil maklum bahawa banyak keadaan di mana hukum syarak’ syariat Islam telah terbatal dan atau tidak dapat dilaksanakan kerana Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan ini meletakkan undang-undang negara mengatasi semua undang-undang dan peraturan lain.

“Ini termasuk undang-undang dan syariat Islam seperti pengharaman pemakaian serban di sekolah kebangsaan, pemakaian purdah dan jilbab di jabatan kerajaan, pelaksanaan Undang-undang Syarak seperti khalwat, zina, qazaf yang bercanggah dengan hukum syarak dan lain-lain,” katanya.

Turut dicadang untuk dipinda ialah Artikel 11 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai soal pertukaran agama bagi orang Islam. – Bernama

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Jangan terpengaruh kisah tahyul, khurafat – Jakim

Posted by epondok di Oktober 22, 2009

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Umat Islam diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan kisah-kisah ajaib seperti sejadah berdiri kerana dikhuatiri ia tergolong dalam perkara-perkara khurafat dan tahyul.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana terdapat beberapa dakwaan yang serupa sebelum ini terbukti tidak benar.

Beliau berkata, paling dibimbangi umat Islam yang termasuk dalam golongan taksub akan mudah percaya dengan kisah-kisah seperti itu.

”Saya amat berharap umat Islam tidak terperangkap dengan kisah-kisah yang boleh dikategorikan khurafat dan tahyul. Kita tidak tahu sama ada kisah ini benar atau tidak.

”Kita juga boleh mempersoalkan sejauh mana kredibiliti dan sumber pembawa kisah ini. Ini semua perlu diambil kira. Oleh itu saya amat berharap umat Islam lebih berhati-hati apabila mendengar kisah-kisah ajaib seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Di Pasir Mas, Kelantan semalam, orang ramai dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Sangkut di sini gempar apabila kejadian sejadah berdiri seperti yang dilaporkan di beberapa tempat termasuk di Bukit Mertajam pada 2 Oktober lalu, berlaku di surau sekolah itu.

Jika sebelum ini hanya sehelai sahaja yang didakwa berdiri tetapi kali ini sebanyak 35 helai sejadah dikatakan berdiri mengikut saf iaitu 15 helai di ruang solat lelaki dan 19 helai di ruang solat wanita dengan sehelai daripadanya berada di hadapan seolah-olah mengimamkan solat.

Bagaimanapun, Pembantu Penguat Kuasa Pejabat Agama Pasir Mas, Kamaruddin Zakaria mendakwa kejadian tersebut sengaja direka oleh individu tidak bertanggungjawab untuk mencipta suasana gempar.

Dalam pada itu Wan Mohamad berkata, umat Islam perlu mengukuhkan kekuatan akidah mereka supaya dapat menepis serta menapis segala bentuk cerita atau kisah luar biasa dan ajaib.

”Kita tidak mahu kisah-kisah yang boleh dikategorikan sebagai khurafat dan tahyul ini mudah dipercayai oleh masyarakat kita. Budaya ini perlu disisihkan kerana ia amat berbahaya dalam konteks akidah.

”Oleh itu, saya minta kita semua sentiasa berusaha memantapkan lagi kekuatan akidah supaya ia menjadi pelindung kita daripada terpengaruh dengan kisah-kisah sebegini.

”Walau apa jua keadaan, kita wajib memohon pertolongan, perlindungan dan hidayah dari Allah dan itulah tuntutan paling utama dalam Islam,” katanya lagi.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ayat suci al-Quran di badan bayi

Posted by epondok di Oktober 22, 2009

MAKHACHKALA: Seorang bayi Dagestan membingungkan doktor apabila ayat suci al-Quran ditemui pada tubuhnya.

Ibu bapa kanak-kanak berusia sembilan bulan itu, Ali Yakubov, berkata mereka terkejut apabila perkataan Allah timbul pada dagunya sejurus selepas dia dilahirkan.

Sejak itu, beberapa ayat suci dalam bahasa Arab muncul pada belakang, lengan, kaki dan perut Ali.

Keluarganya mendakwa, ayat lama akan hilang dan ayat baru pula muncul.

Biasanya, ia berlaku dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan malam Jumaat.

Pegawai perubatan berkata, mereka tidak dapat menjelaskan kejadian misteri itu tetapi menolak kemungkinan ditulis seseorang pada kulit kanak-kanak itu.

Ibunya, Madina, berkata dia dan suaminya semakin patuh dalam melakukan suruhan agama selepas kejadian itu.

Madina dan suaminya pada mulanya tidak menunjukkannya kepada sesiapa penemuan itu sehinggalah baru-baru ini apabila perkara itu didedahkan kepada doktor.

Ali kini menjadi tumpuan masyarakat Islam di Dagestan.

Anggota Parlimen tempatan, Akhmedpasha Amiralaev, berkata kanak-kanak itu adalah tanda kebesaran Tuhan.

“Allah menghantarnya ke Dagestan dalam sebagai tanda untuk menghentikan keganasan dan ketegangan di negeri kami,” katanya.

Menurut Madina, Ali biasanya meragam apabila kejadian aneh itu berlaku.

“Dia akan menangis dan suhu badannya meningkat. Sukar untuk memegangnya ketika itu.

“Tubuhnya pula bergerak aktif, memaksa kami meletakkannya dalam buaian.

“Sungguh sedih melihat dia menderita ketika itu,” katanya.

Seorang imam tempatan, Abdulla, memberitahu penduduk tempatan, memang ada ayat dalam al-Quran yang menyatakan, Tuhan akan menunjukkan kekuasaan-Nya di pelbagai tempat dalam dunia, selain pada diri manusia sendiri untuk membuktikan bahawa al-Quran itu kitab yang benar.

“Kejadian itu tidak sepatutnya disembunyikan,” katanya. – Agensi

Posted in Fokus Isu | 8 Comments »

Penjenayah insaf tidak terlepas hukuman

Posted by epondok di Oktober 22, 2009

Oleh Musa Awang


HUKUMAN bertujuan mendidik manusia supaya tidak mengulangi kesilapan lampau.

Kesalahan dilakukan tetap perlu dihukum, tidak boleh dimaafkan

JIKA anda melakukan kesalahan, dibicarakan, bersediakah anda untuk menerima hukumannya? Jika anda disabitkan bersalah, apakah anda bersedia menerima hukumannya? Apakah yang akan anda lakukan? Merayu hukuman atau dengan rela hati membiarkan diri dihukum kerana sedar dan insaf dengan kesalahan anda?

Syabas kepada pesalah yang melakukan kesalahan dan kemudian bertaubat dan bersedia menerima hukuman dijatuhkan. Tidak semua orang boleh melakukan tindakan seperti itu, melakukan kesalahan, kemudian bertaubat, membuat pengakuan bersalah, dihukum dan bersedia menerima hukumannya, malah meminta hukuman terhadapnya disegerakan.

// //

Hukuman bagi pesalah yang melakukan jenayah tetap perlu dilaksanakan dan tidak boleh dimaafkan, walau sesiapapun pelakunya dan walaupun selepas pesalah mengaku salah dan bertaubat.

Dalam satu riwayat, Fatimah ak-Makhzumiyyah melakukan kesalahan mencuri, dan sepatutnya beliau dihukum potong tangan (hudud).

Ada segelintir sahabat yang berusaha supaya wanita itu dilepaskan daripada hukuman. Usaha sahabat ini sampai ke telinga Rasulullah SAW dan menimbulkan kemarahan Baginda. Dalam suatu Hadis riwayat Muslim, an-Nasai dan Ahmad, Rasulullah SAW menempelak mereka dengan bersabda, “Musnahnya orang yang sebelum dari kamu semua ialah kerana apabila seorang yang mulia dari kalangan mereka mencuri, mereka akan biarkan begitu saja. Tetapi apabila seorang yang lemah daripada mereka mencuri, mereka akan mengenakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Kalau Fatimah Binti Muhammad sekalipun mencuri, aku akan potong tangannya”.

Dalam riwayat yang lain, seorang perempuan dari suku al-Ghamidiyyah membuat pengakuan kepada Rasulullah bahawa dia melakukan berzina. Pada hari pertama Rasulullah SAW menolak pengakuan itu. Keesokan harinya wanita itu datang lagi membuat pengakuan sama dan berkata, “Ya Rasulullah, janganlah tuan menolak pengakuan saya ini seperti tuan menolak pengakuan Ma’iz. Demi Allah sesungguhnya saya sudah mengandung”.

Rasulullah SAW menerima pengakuan itu tetapi memerintahkan wanita itu balik dan datang semula selepas bersalin. Apabila selesai bersalin, wanita itu datang bersama bayi yang berbalut dengan kain dan berkata:

“Inilah anakku. Sesungguhnya aku sudah bersalin”. Tetapi Baginda masih mengarahkan wanita itu balik menyusukan anak itu sehingga tamat tempoh penyusuan. Apabila tempoh penyusuan tamat dan bayi itu mula memakan roti, wanita itu bersama anaknya pergi lagi kepada Rasulullah dan berkata, “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya aku sudah menamatkan tempoh susuan dan sekarang dia boleh makan makanan lain”.

Nabi SAW mengambil anak itu dan menyerahkan kepada salah seorang sahabatnya. Kemudian Baginda menyuruh sahabatnya menanam wanita tersebut sehingga ke paras dada dan menyuruh mereka merejamnya.

Kisah ini membuktikan bahawa walaupun seseorang itu insaf dan bertaubat, dia masih dikenakan hukuman atas kesalahan hudud yang dilakukan, kerana hudud itu adalah hak Allah. Ketika sahabat melaksanakan hukuman rejam itu, ia turut disertai Khalid al-Walid. Apabila Khalid melempar batu ke arah wanita berkenaan, darahnya terpercik ke muka Khalid, lalu memaki wanita itu. Makian itu didengar Rasulullah lalu Baginda menegur Khalid “Ingat wahai Khalid, demi Tuhan sesungguhnya dia sudah bertaubat”. Kemudian Nabi SAW menyuruh supaya dia disembahyangkan dan dikebumikan.

Kisah ini menunjukkan betapa murni dan suci hati seseorang yang melakukan kesalahan kemudian mengakui kesalahan dan bertaubat, serta sanggup menerima apa saja hukuman yang bakal dijatuhkan. Kisah ini juga membuktikan bahawa darah seseorang pesalah yang bertaubat adalah suci bersih daripada kesalahan yang pernah dilakukannya, dan ia perlu dilayan seperti layanan kepada insan lain, yakni disembahyangkan, dikafankan dikebumikan menurut Islam, walaupun pesalah itu pernah melakukan dosa besar.

Ia juga membuktikan kepada kita betapa agungnya keampunan dan kemaafan yang diberikan Allah kepada hamba-Nya yang bertaubat dan insaf di atas kesalahan yang pernah dilakukan hamba-Nya, walaupun hamba-Nya melakukan dosa besar.

Sedangkan begitu besar keampunan Allah, kenapa kita sebagai manusia tidak mengambil peluang sebesar itu untuk memohon keampunan kepada Allah atas kesalahan yang pernah kita lakukan? Kenapa pula sebagai manusia kita memperkecil-kecilkan keikhlasan taubat dan keinsafan rakan kita yang pernah melakukan kesalahan? Siapakah kita untuk menjadi penghukum di atas muka bumi ini, sedangkan hanya Allah adalah sebaik-baik Penghukum.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Mempelbagai Sumbangan Sedekah

Posted by epondok di Oktober 22, 2009

MUSLIM yang bersedekah, menderma dan menginfak harta semata-mata kerana Allah SWT akan menerima ganjaran besar di akhirat nanti. Firman Allah SWT, dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud, “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”.

Usaha menginfak harta bukan hanya difahami dalam konteks yang biasa dilakukan masyarakat kita, iaitu memberi sumbangan kepada golongan fakir miskin, anak-anak yatim, pembinaan masjid serta surau dan sebagainya. Kita boleh meluaskan ufuk pemikiran kita mengenai konsep infak ini apabila kita menyumbangkan sedikit harta kurniaan Allah SWT itu untuk pembangunan dan pembinaan minda, intelek, fizikal, sosial dan emosi umat dan masyarakat.

Ini termasuklah pembinaan institusi pendidikan, kesihatan, aktiviti penyelidikan ilmiah dan sebagainya. Melalui ayat 262, surah al-Baqarah, Allah SWT mengingatkan bahawa hasrat untuk menginfak kurniaan Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam ayat sebelumnya itu perlu mematuhi syarat tertentu agar ia mencapai tahap dan piawaian keredaan Allah SWT.

// //

Kegiatan infak harus berlandaskan keikhlasan tanpa ada unsur riak, mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti perasaan serta emosi penerima. Pemberian seperti itu tidak memberi makna apa-apa dan tidak bernilai di sisi Allah, seperti yang ditegaskan, “Wahai orang yang beriman, jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir” (al Baqarah: 264).

Ini menunjukkan bahawa walaupun pada zahirnya pemberi menyumbang sesuatu kepada penerima tetapi pada hakikatnya pemberian itu tidak bernilai. Malah Allah menyatakan bahawa pihak penerima lebih baik kedudukannya jika dia menolak dengan baik dan memaafkan kesalahan yang dilakukan pemberi seperti itu. Firman Allah SWT, “Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima), Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun”. (Al-Baqarah:263).

Dalam keadaan lain pula, Allah SWT menyatakan bahawa orang yang menginfak hartanya dengan penuh keikhlasan akan dikurniakan lagi harta lebih banyak. Firman Allah SWT, “Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebidang kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha melihat apa yang kamu lakukan”. (Al-Baqarah: 265).

Keghairahan seseorang menginfak hartanya sebenarnya tidak menghalangnya mendermakan atau memberi sumbangan sesuatu yang terbaik dan bukannya barangan terpakai yang tidak mahu digunakan atau disimpan lagi.

Fenomena memberi sumbangan barangan terpakai seperti pakaian dapat kita saksikan apabila ada kempen sumbangan untuk golongan tertentu. Ini bertentangan dengan firman Allah SWT, “Wahai orang yang beriman, nafkahkanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”. (Al-Baqarah:267).

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Sejadah Berdiri Peringatan Allah

Posted by epondok di Oktober 22, 2009

Kejadian sejadah berdiri seolah-olah sedang solat yang terjadi silih berganti di beberapa buat tempat di Kelantan agak menggempar dan menarik minat banyak pihak. Jika sebelum ini hanya di sebuah rumah, semalam di sebuah surau sekolah. Menurut suatu sumber yang lain pada hari ini turut terjadi pada waktu solat Dhuha di Sekolah Menengah Agama Rahmaniah, Kubang Kerian, Kota Bharu bila sejadah yang telah dilipat tiba-tiba berdiri solat. Ada juga dikatakan berlaku di Yayasan Islam Kelantan, Nilam Puri.Cuma berita yang telah tersiar di tv dan akhbar ialah di Pasir Mas. Peristiwa ini masih disiasat samada benar-benar berlaku atau permainan manusia nakal. Cuma bagi umat Islam yang kuat imannya sentiasa berpegang bahawa ia tidak mustahil berlaku kerana Allah berkuasa membuat sesuatu diluar pemikiran manusia. Ambillah pengajaran sewajarnya daripada peristiwa yang berlaku bukannya dijadikan bahan khurafat. Jika sejadah sembahyang bererti sebagai mengingatkan manusia supaya mereka mesti menjaga solat

35 ‘sejadah berdiri’ di surau sekolah

ANTARA murid dan penduduk kampung yang berpeluang melihat kejadian sejadah berdiri di surau Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas, semalam.

PASIR MAS 20 Okt. – Orang ramai dan warga Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut di sini hari ini gempar apabila kejadian ‘sejadah berdiri’ seperti yang dilaporkan di beberapa tempat termasuk di Bukit Mertajam pada 2 Oktober lalu, kini berlaku pula di surau sekolah berkenaan.

Jika sebelum ini hanya sehelai yang didakwa berdiri tetapi kali ini sebanyak 35 helai sejadah dilihat berdiri mengikut saf iaitu 15 helai di ruang solat lelaki dan 19 helai di ruang solat wanita dengan sehelai daripadanya berada di bahagian hadapan seolah-olah mengimamkan solat.

Kejadian disedari pada pukul 10.55 pagi oleh seorang murid tahun dua, Nurul Huda Mat Jali, 8, yang mengikuti kelas pemulihan di pondok berdekatan, ternampak sesuatu yang ganjil melalui celah pintu cermin surau berkenaan lalu memberitahu kawan-kawan dan mereka memaklumkan kepada guru.

Ia bukan sahaja menarik perhatian warga sekolah yang tidak percaya ia ‘dibuat-buat’ oleh seseorang malah penduduk tempatan mula berduyun-duyun ke sekolah itu untuk menatap insiden yang dianggap fenomena luar biasa.

Menurut seorang guru di sekolah berkenaan, Adnan Abdullah, sebaik membuka pintu surau, dia terkejut apabila terpandang kedudukan sejadah tersebut dalam susunan seperti jemaah lelaki dan perempuan sedang mengerjakan solat dan duduk di antara dua sujud.

”Kejadian ini pertama kali saya lihat dan amat terkejut kerana kedudukannya terpisah antara jemaah lelaki dan wanita manakala kedudukan imam di bahagian hadapan.

”Lebih menghairankan ketinggian sejadah itu berdiri juga berbeza seolah-olah menunjukkan yang tinggi itu jemaah dewasa dan yang rendah adalah jemaah kanak-kanak,” katanya.

Katanya, surau tersebut sudah seminggu tidak digunakan kerana dijadikan kelas sementara kerana ada bilik darjah yang dalam proses baik pulih.

Seorang lagi guru, Mat Yuti Hamid mendakwa, dia orang yang terakhir menggunakan surau itu petang semalam pada pukul 3.40 petang untuk solat zuhur dan ketika meninggalkan surau, dia melihat kesemua sejadah terletak di raknya.

”Semasa saya masuk, semua sejadah berlipat di atas rak bahagian belakang surau dan saya mengambilnya sehelai untuk digunakan. Selesai solat saya hanya melipat sejadah itu dan meninggalkan di ruang solat dan ketika itu tidak ada sebarang perkara aneh berlaku,” katanya.

Sementara itu Pembantu Penguat Kuasa Pejabat Agama Pasir Mas, Kamaruddin Zakaria mendakwa, kejadian tersebut sengaja direka oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk mencipta suasana gempar.

”Berdasarkan pengamatan saya, insiden ini sengaja direka-reka untuk mengelirukan pandangan orang ramai dan mewujudkan suasana gempar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »