Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 21 Oktober 2009

Wajib tunaikan haji bila cukup syaratnya

Posted by epondok di Oktober 21, 2009

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Jemaah wajib persiap bekalan ilmu, sentiasa bersabar laksana ibadat Rukun Islam kelima

MUSIM haji menjelang kembali. Pada waktu ini, bakal haji pastinya sibuk membuat pelbagai persediaan terakhir sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Ibadat haji adalah satu daripada lima Rukun Islam yang wajib dilaksanakan setiap Muslim yang berkemampuan sekali seumur hidup.

Allah berfirman bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan barang siapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu apapun) dari sekalian makhluk”. (Ali Imran: 97)

Menyedari akan kewajipan ibadat haji yang terpikul pada bahu setiap Muslim di samping kemampuannya yang melayakkannya untuk menyahut seruan Ilahi ke Tanah Suci, sepatutnya tidak melengah-lengahkan lagi. Rasulullah bersabda, “Hendaklah kamu bersegera menunaikan ibadat haji iaitu haji fardu kerana sesungguhnya seseorang itu tidak mengetahui apakah rintangan yang akan menghalang kamu (pada masa akan datang jika sengaja melengahkan). (Hadis Ahmad)

Jelas Rasulullah memberi peringatan keras berkaitan kesudahan dan akibat yang akan diterima mereka yang sengaja melengah-lengahkan dan cuai daripada menunaikan ibadat haji biarpun sudah memenuhi segala syarat-syaratnya. Oleh demikian, setiap Muslim berkemampuan dinasihatkan supaya tidak melengah-lengahkan masa lagi untuk membuat persiapan haji seperti menyimpan wang secukupnya, mendaftar dengan Tabung Haji untuk urusan haji, menghadiri kursus bersiri haji dan menyelesaikan segala masalah berkaitan ketika ketiadaannya kelak.

Amat mendukacitakan apabila ada sebahagian umat Islam yang sengaja melambat-lambatkan pemergian mereka ke Tanah Suci dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah, kononnya belum sampai seruan lagi atau kerana kesibukan kerja seharian atau bimbangkan kepada siapa dan ke mana hendak ditinggalkan anak atau memikirkan kepada siapakah yang akan mengendalikan projek pertanian dan perniagaan sedang meningkat atau takut kalau ditinggalkan begitu saja akan mengakibatkan kerugian besar.

Walaupun semua alasan dikemukakan adalah punca yang akan mendatangkan keuntungan besar di dunia ini, perlulah diinsafi bahawa keuntungan itu hanya kecil jika dibandingkan dengan ganjaran pahala berlipat ganda diperoleh seorang Muslim melalui ibadat haji yang mabrur. Bukankah Rasulullah pernah bersabda maksudnya: Haji yang mabrur itu tidak ganjarannya melainkan syurga penuh kenikmatan. (Hadis riwayat Bukhari)

Selain itu, ada juga kebimbangan sebahagian umat Islam terhadap pelbagai kesusahan dan kesulitan yang akan dihadapi ketika berada di Tanah Suci, terutama apabila kedengaran rungutan dan aduan daripada jemaah yang balik menunaikan ibadat haji lalu. Mereka begitu terpengaruh dengan cerita berkenaan sehingga membantutkan azam untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Perlu ditegaskan bahawa ibadat haji menyingkap pelbagai hikmah pengajaran dan falsafah yang wajib difahami dan dihayati setiap Muslim bertakwa. Oleh itu, setiap Muslim seharusnya memahami dan bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan dan dugaan ke atas dirinya sejak dari mula mendaftar di Tabung Haji, menghadiri kursus bersiri haji, menjalani pemeriksaan kesihatan, ketika di lapangan terbang, dalam perjalanan haji hinggalah sampai ke Tanah Suci.

Menjadi kebiasaan di dalam setiap perjalanan seseorang akan berhadapan dengan pelbagai dugaan yang akan menguji kesabarannya. Sehubungan itu, Rasulullah bersabda bermaksud, “Perjalanan atau pelayaran yang jauh itu sebahagian daripada penderitaan”. (Hadis riwayat Bukhari).

Itulah sebahagian perkara yang perlu diingat setiap Muslim, bukan saja dalam haji, bahkan ia juga amat penting sebagai bekalan hidup Muslim mendepani pelbagai ujian yang terhampar sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi.

Oleh itu, setiap Muslim perlu bersedia dan bersabar menghadapinya kerana semua itu mempunyai hikmah dan rahsia tersirat. Malah, perlu diinsafi semua berlaku itu adalah kehendak Allah sebagai ujian kepada hamba-Nya untuk memperoleh haji yang mabrur. Dalam hal ini, setiap Muslim yang beriman akan menerimanya dengan penuh sabar dan reda di samping berdoa ke hadrat Allah agar dilimpahi kekuatan, keampunan, keselamatan dan kejayaan dalam menunaikan perintah-Nya.

Barangkali inilah hikmah dan pengajaran yang cukup sinonim dengan ibadat haji iaitu kesabaran seseorang yang menunaikan ibadat haji dan ketenangannya dalam menghadapi apa juga cabaran yang mendatang. Kesabarannya itu sebenarnya hasil atau buah yang diperolehnya dari perjalanan spiritualnya menuju keredaan Ilahi. Sehubungan itu, kesabaran seseorang akan menjadi neraca piawaian sama ada seseorang itu memperoleh haji mabrur atau sebaliknya.

Akhirnya, ibadat haji sebagai satu ibadat yang ditegakkan di atas landasan kesabaran, maka amatlah wajar bagi setiap jemaah haji membuat persiapan dan persediaan awal supaya tidak terjebak dalam perangkap sikap mudah marah, tidak sabar, perilaku maksiat dan dosa atau segala perbuatan yang dilarang Allah. Oleh itu, setiap jemaah haji wajib mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu secukupnya, perhiasan akhlak terpuji terutamanya sifat sabar dan ketakwaan serta keikhlasan yang kudus ke hadrat Ilahi agar ibadat hajinya diterima Allah.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Solat DiJaga Kebahagiaan Dirasa

Posted by epondok di Oktober 21, 2009

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

KALAU diteliti secara jujur dalam masyarakat kita hari ini, ternyata solat yang menjadi tiang agama belum lagi serasi dan membudaya terutama di kalangan remaja. Kesedaran mengenai hikmahnya belum meresap di jiwa dan keimanan belum benar-benar mantap. Akibatnya, bercambah dari sehari ke sehari pelbagai perbuatan keji dan maksiat dalam masyarakat, seperti menderhaka ibu bapa, minum arak, bergaul bebas, mengadakan hubungan seks secara haram, pembuangan bayi tanpa rasa belas, lumba haram, ragut dan lain-lain. Keadaan ini tidak asing lagi bagi kita dan sungguh membimbangkan. Sebelum lebih parah, usaha ke arah pencegahan sangat perlu dan diharapkan oleh semua pihak terutama ibu bapa.

Sekiranya solat dilaksanakan atas dasar kesedaran, keimanan dan keikhlasan, seseorang akan terhalang daripada melakukan perkara maksiat yang mengundang dosa, yang sudah tentu mencemarkan imej Islam. Masyarakat Islam dipandang tinggi dan berakhlak terpuji sekiranya setiap individu taat dan tekun dalam melaksanakan ibadah solat seperti dijelas dalam ayat suci bermaksud:

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan perkara yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan sungguh-sungguh); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar” (Al-Ankabut: 45)

Bagi merealisasikan masyarakat yang sopan, berakhlak mulia, mengenali Allah dan patuh dengan suruhan agama, peranan ibu bapa mendidik anak dengan tanggungjawab dan penuh kasih sayang sangat diperlukan. Lantaran didikan awal manusia itu bermula di rumah. Apabila keimanan sudah tertanam di jiwa anak, dan diasuh dengan nilai agama suci, ia akan mendorong mereka membenci sebarang bentuk maksiat dan kehidupannya selalu berpandukan kepada al-Quran dan ajaran Rasulullah. Kewajipan solat fardu pasti disempurnakannya dengan sebaik mungkin. Lantaran itulah, Rasulullah memerintahkan setiap ibu bapa supaya menitikberatkan soal akhlak dan solat ini terhadap anak seperti maksud hadis berbunyi:

“Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur” (Hadis Abu Daud)

Perintah menunaikan solat juga termaktub dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, bahkan Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa” (Toha: 132)

Memang tidak dinafikan kebanyakan ibu bapa tidak mendidik anaknya di rumah kerana selalu sibuk dengan urusan kerja sehingga tidak mempunyai waktu. Sebenarnya itu hanya alasan semata-mata. Bukankah kita diperintah supaya mengurus masa dengan bijaksana? Oleh itu, ibu bapa sebenarnya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hala tuju dan corak hidup anaknya.

Di samping itu, ibu bapa yang beriman, bertanggungjawab dan kaya dengan sifat kasih sayang, selalu mengharap dan berdoa kepada Allah supaya dikurniakan anak yang taat melaksanakan solat, lantaran ibadah itu akan memberi kesan yang sangat baik bukan saja terhadap diri, bahkan juga kehidupan masyarakat seluruhnya.

“Wahai Tuhanku. Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku” (Surah Ibrahim: 40)

Orang yang solat bermakna selalu ingat dan dekat kepada Allah Taala, cinta semakin bertambah dan jiwanya sentiasa tenang dan lapang. Dalam dirinya tumbuh sifat mahmudah, berbudi pekerti mulia, sabar, tahan diuji, suka memberi pertolongan, tidak sombong dan lain-lain. Inilah gambaran sahsiah Muslim yang dibentuk oleh kewajipan solat dalam agama.

Dengan demikian, soal keruntuhan akhlak dan gejala sosial lainnya akan pasti lenyap. Masyarakat dapat hidup dalam suasana aman dan bahagia, dan dapat menjalani kehidupan dengan selesa dengan rahmat dan keredaan-Nya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »