Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 18 Oktober 2009

Haram Kahwini Bekas Mertua

Posted by epondok di Oktober 18, 2009

Soalan :

SEORANG lelaki menikahi seorang wanita tetapi selang beberapa bulan, bertindak menceraikan wanita itu. Dalam tempoh perkahwinan yang singkat itu, lelaki berkenaan belum pernah mengadakan hubungan seks dengan isterinya. Apakah lelaki ini dibolehkan menikahi bekas ibu mentuanya iaitu ibu bekas isterinya itu.
Jawapan :

HARAM seorang lelaki menikahi bekas ibu mentuanya, sama ada dia sudah pernah berjimak dengan anak wanita itu ataupun belum.

Pengharaman ini adalah pengharaman yang berterusan berpandukan ayat ke 23 surah al-Nisa yang bermaksud: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang sudah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu dan ibu-ibu isteri kamu.”

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT tidak membezakan antara mentua yang anaknya sudah disetubuhi atau belum. Dalam Sahih Tafsir Ibn Kathir, diperjelaskan mentua diharamkan dengan hanya semata-mata akad dengan puterinya. (Rujuk Sahih Tafsir Ibn Kathir jilid 2 halaman 473).

Hal ini berbeza apabila seseorang lelaki berkahwin dengan seseorang yang belum pernah disetubuhinya lantas terjadi perceraian ataupun kematian, maka lelaki ini diharuskan berkahwin dengan anak perempuan bekas isterinya itu. Hal ini disebutkan secara tegas dalam ayat yang sama yang menetapkan mengenai wanita-wanita yang haram dikahwini.

Firman Allah berikutnya dalam ayat yang sama : “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang sudah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu dan ibu-ibu isteri kamu dan anak-anak tiri yang dalam peliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu sudah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu sudah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya).

Inilah ketetapan Islam yang dipersetujui kalangan ulama. Selain itu, kita juga memahami dalam kaedah syarak yang disepakati fuqaha` : Akad nikah dengan anak mengharamkan ibu dan bersetubuh dengan ibu mengharamkan anak.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Jauhi Fitnah Dajjal

Posted by epondok di Oktober 18, 2009

DAJAL ini sebenarnya satu nama dalam bahasa Arab yang berada dalam acuan kata yang merujuk kepada makna terlalu atau melampau atau berlebihan (sighah mubalaghah).

Dalam kamus bahasa Arab contohnya Lisanul Arab, Ibn Manzur mengemukakan salah satu makna perkataan Dajal itu merujuk kepada menutup kebenaran dengan ramainya pengikut.

Dalam kamus al-Wasit pula, Dajal bermaksud pembohong besar. Yusuf al-Wabil menjelaskan dalam karya beliau Asyrat al-Sa’at, yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa nusantara oleh Pustaka Ibn Kathir, dajal ini membawa makna mencampur adukkan. (Rujuk buku Kiamat sudah Dekat, terbitan Pustaka Ibn Kathir, Jakarta).

Mengikut hadis riwayat Imran bin Husain ra, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sejak penciptaan Adam sampai ke hari kiamat tidak ada suatu makhluk yang lebih dahsyat fitnahnya dari dajal.” (Riwayat Muslim No 7582).

Berdasarkan takrifan dan hadis di atas, kesimpulannya, dajal adalah seorang lelaki kecenderungannya untuk menutup kebenaran dengan kebatilan atau dia menutup kejahatannya di hadapan manusia dengan pembohongannya.

Berkaitan dengan perkara ini Nabi SAW su-dah bersabda yang bermaksud: “Dan sesungguhnya akan ada pada umatku, 30 orang Daj-jal iaitu pembohong besar. Setiap mereka me-ngaku menjadi nabi. Semuanya akan berbo-hong terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Aku adalah penutup sekalian nabi. Tidak ada seorang nabi pun selepasku. (Riwayat Ahmad No 10073, Abu Daud No 4336, Abu Ya’la No 5810).

Dalam kitab Dalail an-Nubuwwah karangan al-Baihaqi, Nabi SAW sudah menyenaraikan nama mereka, antaranya al-Aswad al-Ansi, Musailamah, al-Mukhtar dan lain-lain. Nabi SAW turut menyebut dalam hadis yang sama, kabilah Arab paling jahat iaitu Bani Umayyah, Bani Hanifah dan Thaqif kerana menolong kalangan pendusta itu. (Riwayat al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah No 2825).

Menurut keterangan yang dikemukakan oleh Nabi SAW dalam banyak hadis dajal ini adalah seorang lelaki yang masih muda, berkulit merah, pendek, keningnya lebar, dadanya lebar, mata kanannya buta dan keadaannya seperti buah anggur yang menonjol, sementara di atas mata kirinya ada daging yang tumbuh, antara dua matanya tertulis huruf kaf, fa` dan ra` secara terputus-putus. Jarak antara dua betisnya berjauhan dan rambutnya kerinting. Huruf-huruf yang terpampang di atas dahinya itu dapat dibaca oleh setiap Muslim. Dan antara sifatnya yang lain adalah dia mandul dan tidak memiliki anak.

Imam Nawawi menjelaskan dalam Syarah Muslim, tulisan pada dahi dajal ini nampak dengan jelas. Ia adalah hakiki, yang dijadikan Allah SWT sebagai tanda pelbagai kekufuran, pembohongan dan kejahatannya.

Dajal ini suatu ujian yang timbul pada akhir zaman kepada manusia. Dajal turut dikurniakan oleh Allah SWT kelebihan yang amat luar biasa seperti menghidup dan mematikan manusia. Dia juga mampu memberikan kesenangan kepada pihak yang menyokongnya dan menganiayai pihak yang menentangnya. Dia memiliki syurga dan neraka dan kemampuan menurunkan hujan. Bagaimanapun, semuanya terjadi dengan kehendak Allah SWT. Dalam hadis, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya bersama dengannya ada air dan api, maka apinya adalah api yang dingin dan airnya seperti api. Maka janganlah kamu terpedaya.” (Riwayat Muslim No 7553).

Kesimpulannya, saya kemukakan penjelasan al-Qadhi Iyadh, beliau berkata, maksudnya: “Hadis-hadis diriwayatkan Imam Muslim dan yang lain adalah hujah yang benar yang menetapkan kewujudan dajal.

Sesungguhnya dia adalah manusia secara hakiki dijadikan Allah SWT sebagai ujian untuk hamba-hamba-Nya dengan cara yang sudah ditentukan, berupa kemampuan menghidupkan orang yang dia sudah bunuh dan kelihatan segala macam kegemerlapan dunia dengan kesuburan bersamanya, syurga dan nerakanya, dua sungainya dan khazanah bumi yang mengikutinya, perintahnya agar hujan diturunkan sehingga turunlah hujan

dan kemampuannya menumbuhkan pokok di muka bumi semuanya atas keizinan Allah SWT.

Kemudian Allah SWT akan melemahkannya selepas itu hingga dia tidak lagi mampu membunuh orang itu dan selainnya. Kemudian datanglah Isa untuk misi membunuhnya lalu Allah SWT menetapkan keimanan orang-orang yang beriman.

Demikianlah mazhab ahli Sunnah dan semua ulama hadis serta fuqaha, berbeza daripada pandangan golongan yang mengingkari seperti Khawarij, Jahmiyyah dan sebahagian Muktazilah beranggapan semua perkara luar biasa itu adalah khayalan.

Akhirnya menyedari bahaya tipu daya dajal ini, Nabi SAW sudah mengemukakan panduan yang wajar diambil berat oleh umat Islam iaitu:

1. Berpegang teguh dengan Islam. Hanya golongan mukmin yang benar-benar memahami aqidah Islam saja yang akan dapat menolak fitnah dajal. Contohnya mengenali sifat-sifat Allah SWT akan menyebabkan seseorang membezakan antara manusia yang hodoh ini dengan Allah SWT yang tidak dapat digambarkan dengan apa juga gambaran.

2. Memohon perlindungan daripada fitnah dajal. Nabi SAW menganjurkan kita mengamalkan doa perlindungan kepada Allah SWT dalam tasyahud akhir sebelum memberikan salam. Diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Nabi SAW kerap berdoa dalam solat baginda, yang bermaksud: “Ya Allah ku pohon perlindungan dari azab api neraka dan azab kubur dan fitnah kehidupan dan kematian dan fitnah Al-Masih Al-Dajal. Ya Allah, ku pohon perlindungan dari dosa dan hutang. (Ya Allah aku sudah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar dan tidaklah dapat mengampunkan aku melainkan Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada-Mu dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau maha pengampun lagi maha penyayang). (HR al-Bukhari No 832 ,834, 6326, 7387, 7388 dan Muslim No 589, 2705).

3. Menghafaz beberapa ayat dari surah al-Kahfi. Sebagai contoh dalam hadis Nabi bersabda maksudnya: Barang siapa yang bertemu dengan dajal itu maka bacakanlah olehmu permulaan surah al-Kahfi. (Riwayat Muslim)

4. Menjauhi Dajjal. Lebih utama daripada itu, kita digalakkan berada atau mendiami Makkah dan Madinah kerana Allah SWT mengharamkan Dajjal daripada memasuki ke dua-dua tempat ini. Seperti sudah dijelaskan, dajal mampu mempengaruhi sesiapa menyaksikan kehebatannya untuk mentaatinya. Maka wajarlah bagi setiap Muslim menghindari atau mendekati dajal ini.

Akhir sekali saya mencadangkan kepada penanya dan pembaca agar mengkaji peristiwa akhir zaman yang berlaku menerusi penjelasan Nabi SAW daripada kitab-kitab hadis contohnya Riyadhus Salihin susunan al-Imam al-Nawawi.

Tulisan Yusuf al-Wabil dalam kitab Asyratus Sa’ah juga adalah sebuah kajian amat baik menerusi penelitian dan susunan amat jelas juga akan membantu memahami peristiwa akhir zaman akan berlaku. Kedua-dua karya ini sudah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai Riyadhus Salihin dan Hari Kiamat Sudah Dekat, diterbitkan Pustaka Ibn Kathir.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »