Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 7 Oktober 2009

Fahami agama melalui tokohnya

Posted by epondok di Oktober 7, 2009

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Setiap fasa atau generasi umat ini pasti menghadapi ujian dan cabaran tersendiri. Sebagai antara generasi akhir umat ini yang terpisah jauh dari Nabi Muhammad SAW dari sudut masa, antara cabaran utama umat ini adalah untuk memahami Islam dengan setepat dan seutuhnya.

Sudah lumrah, semakin jauh kita dari Nabi SAW dan daripada generasi didikan baginda, semakin mencabar bagi kita untuk mendapa dan mencari kefahaman dan penghayatan Islam yang benar.

Pada masa yang sama, kita diajar untuk tidak sekali-sekali meragui keadilan Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang dan Maha Pengasih dan segala sifat-sifat kesempurnaan yang ada.

Jika kita sedia mengikut panduan dan ajaran yang ditentukan-Nya, risalah dan nur Islam hakiki sedia untuk ditemui dan dihayati oleh generasi demi generasi tanpa terputus hinggalah ke hari kiamat.

Sebaliknya sesiapa yang dinafikan rahmat-Nya akan enggan mengikut naluri iman dan lebih yakin dengan akal sendiri atau dikelabui oleh keegoan dan terkeliru oleh pelbagai sentimen, inilah hakikat yang menjadi latar di sebalik pelbagai salah faham dan kekeliruan tentang Islam dan ajarannya.

Selain daripada ajaran-ajaran yang jelas menyeleweng seperti mengaku dilantik menjadi rasul dan menerima wahyu yang lebih mudah dikenal pasti dan dijauhi, dengan izin Allah SWT, yang lebih membimbangkan adalah tersebarnya fahaman dan kecenderungan yang tidak begitu zahir berbahayanya.

Di antara fahaman sebegitu yang dapat dirasakan kehadirannya dalam masyarakat kita adalah kecenderungan terlalu liberal atau terlalu literal dalam memahami Islam.

Terlalu liberal

Kecenderungan terlalu liberal bererti seseorang itu menghayati dan memahami Islam dengan terlalu bebas dan tanpa mematuhi kaedah dan disiplin ilmu Islam yang benar.

Kecenderungan ini boleh mengakibatkan seseorang itu menolak ajaran dan prinsip agama yang sudah tetap sehingga ketahap mengambil sikap yang bercanggah dengan nas-nas wahyu yang jelas.

Di antara gejala kecenderungan liberal di negara kita termasuklah sikap menolak dan mempertikaikan hukum jenayah Islam berkaitan kes Kartika Sari yang heboh diperkatakan akhir-akhir ini.

Sebelum ini kita juga ada mendengar ‘ayat-ayat’ liberal ini di sekitar isu-isu seperti murtad, poligami, pencegahan maksiat dan sebagainya. Mujurnya di negara kita kecenderungan seumpama ini rata-ratanya dijuarai oleh individu dan kumpulan yang bukan berlatar belakangkan pendidikan agama yang menyebabkan masyarakat umum tidak akan mudah menerima tafsiran dan ‘ijtihad’ mereka.

Alhamdulillah, orang kita tidak akan mudah menerima hujah agama daripada mereka yang tidak berkelulusan dan berimej agama. Ini berbeza dengan situasi di Indonesia di mana kecenderungan liberal ini turut menghinggapi sebahagian para lulusan pesantren dan pendidikan tinggi Islam.

Akhirnya kesan gejala ini dirasakan lebih menggawatkan dan mengancam dalam masyarakat Islam Indonesia. Kita memohon kepada Allah SWT agar menyelamatkan para agamawan negara kita khasnya dan masyarakat amnya daripada dihinggapi virus kecenderungan terlalu liberal ini.

Nas lawan pandangan tokoh?

Adapun kecenderungan terlalu literal dalam menafsirkan Islam nampaknya semakin kelihatan di kalangan segelintir agamawan di negara kita. Oleh kerana mereka berkelulusan dan berimej agama, jika tidak diawasi mungkin fahaman ini akan mempengaruhi sejumlah besar masyarakat Islam.

Apakah yang kita maksudkan dengan kecenderungan terlalu literal ini? Ia boleh dirujuk kepada sikap terlalu berpegang kepada maksud zahir atau literal nas-nas hukum tertentu sambil mengenepikan tafsiran dan takwilan (makna di sebalik yang zahir) ulama-ulama muktabar terhadap nas-nas tersebut.

Ia juga bermaksud kecenderungan seseorang merujuk terus kepada al-Quran dan al-Sunnah tanpa perantaraan tafsiran ulama muktabar di atas nama berpegang kepada dua sumber asasi agama.

Ini secara tidak langsung juga akan membawa kepada pemahaman sendiri yang lebih literal atau zahiri terhadap nas-nas ini kerana tanpa merujuk kepada khazanah ilmu warisan untuk memahami nas-nas ini, kemampuan seseorang itu memahaminya secara mendalam dan halus akan lebih terbatas.

Golongan berkecenderungan ini kadang-kadang mendakwa bahawa dengan sikap begini, maka mereka lebih mengutamakan nas daripada pandangan tokoh. Nas-nas wahyu tentunya lebih utama daripada pandangan mana-mana tokoh tanpa mengira sebesar mana tokoh tersebut.

Ini adalah kata-kata yang bunyinya benar tetapi hakikatnya membawa kepada kebatilan. Ia mengingatkan kita kepada tempelakan Saidina Ali r.a kepada dakwaan puak Khawarij yang melaungkan slogan daripada ayat al-Quran, surah al-An’am, ayat 57 yang bermaksud, Hanya Allahlah yang membuat penentukan hukum. Saidina Ali r.a menjawab, Kalimatu Haqqin Uriida biha Batil (Kata-kata yang benar tetapi digunakan untuk yang batil).

Dakwaan ini kita katakan batil kerana adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa nas-nas al-Quran dan hadis tidak akan dapat difahami dengan tepat dan benar tanpa merujuk kepada pandangan tokoh-tokoh.

Kita tidak akan dapat berlaku adil kepada dua sumber utama Islam ini tanpa sumbangan kajian dan pandangan para tokoh-tokoh ulama. Malah ilmu-ilmu alat dan kaedah berkaitan dengan kedua-dua sumber ini pun disusun dan diperkembangkan oleh para tokoh ulama dari zaman ke zaman.

Oleh itu sebenarnya tindakan mempertentangkan antara nas dan pandangan tokoh ulama adalah suatu yang janggal dan asing dalam tradisi ilmu Islam. Nas dan pandangan tokoh yang muktabar adalah suatu yang harmoni dan berjalan seiring. Yang penting pandangan dan tokoh yang kita rujuk haruslah pandangan yang muktabar dan diiktiraf.

Memilih pandangan dan tokoh yang terbaik pula bukanlah mudah kecuali bagi mereka yang dibantu dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Walau bagaimanapun, jika tradisi keilmuan, budaya ilmu dan berguru dalam Islam benar-benar diikuti, insya-Allah kefahaman dan penghayatan Islam yang murni sentiasa ada dan boleh dicapai oleh umat Islam di sepanjang zaman.

Memperlagakan

Tindakan memperlagakan nas dan pandangan tokoh salah kerana hakikatnya tiada siapapun yang dapat membebaskan diri daripada merujuk dan bersandar kepada pandangan tokoh dalam memahami nas, memahami Islam malah mana-mana persoalan khusus atau ilmiah.

Hakikatnya mereka yang mendakwa merujuk dan berpegang kepada al-Quran dan al-sunnah juga sebenarnya bersikap demikian kerana mengikuti pandangan dan saranan tokoh tertentu.

Dalam menafsirkan nas dengan pendekatan yang lebih literal atau mendekati sunnah dengan manhaj tertentu pun mereka kuat berpegang dan bersandarkan tokoh tertentu.

Ini jelas daripada nama beberapa tokoh ulama yang sering mereka ulangi dan jadikan rujukan utama dalam tulisan dan bahasan mereka. Akhirnya realiti yang berlaku adalah sekadar peralihan daripada pandangan sebaris tokoh kepada mengikuti pandangan tokoh-tokoh lain.

Malah yang selalu berlaku adalah sikap meninggalkan pandangan tokoh-tokoh yang sudah menjadi pandangan yang muktabar dan menonjolkan pandangan-pandangan yang lebih lemah dan dipertikaikan.

Sikap ini juga akan menimbulkan satu kesan sampingan buruk yang bukannya kecil iaitu perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam dalam memahami dan mengamalkan agama mereka.

Ini kerana jika pandangan dan tokoh yang muktabar dalam Islam cuba dilayan dengan tidak wajar sudah tentu akan ada tindak balas dari kalangan umat Islam yang sedar bangkit mempertahankannya.

Jika pihak yang cenderung mempersalahkan para tokoh muktabar ini berkeras dan berterusan melakukannya maka rosaklah hubungan dan persaudaraan di kalangan mereka yang mahukan Islam.

Saranan dan prinsip untuk memahami dan mengambil ajaran agama daripada tokoh-tokohnya yang muktabar adalah suatu yang ditetapkan oleh nas-nas yang banyak dan hujah aqli yang kukuh. Insya-Allah, ruangan ini akan menghuraikannya dalam kesempatan yang mendatang.

Tulisan kali ini sekadar lontaran awal melihatkan adanya kecenderungan sesetengah pihak untuk mengkritik tokoh-tokoh, kitab-kitab dan institusi warisan muktabar dalam Islam.

Memanglah mana-mana tokoh selain Nabi SAW akan ada kelemahan mereka. Soalnya menumpukan perhatian dan menonjolkan kelemahan mereka hanya akan menenggelamkan kehebatan dan kelebihan mereka yang jauh lebih penting dan lebih kita perlukan

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Memorandum JAG, SIS Hina Islam

Posted by epondok di Oktober 7, 2009

Peguam Syarie Menulis oleh Musa Awang

Pihak bantah pelaksanaan hukuman syariah cemar Islam, cabar kedudukan Raja Melayu

ISU sebat Kartika Sari Sukarno kembali bergolak dan menjadi tumpuan masyarakat selepas Kumpulan Bertindak Bersama Bagi Persamaan Gender (JAG) yang turut disertai Sisters in Islam (SIS) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menghantar memorandum kepada Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu, mendesak Kerajaan Persekutuan dan negeri memansuhkan undang-undang jenayah Syariah yang sekian lama berkuatkuasa di negara kita.

Tuntutan itu menimbulkan bantahan di kalangan umat Islam di seluruh negara termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam. Tindakan JAG itu mencemarkan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang Islam bukan baru diadakan dan ia wujud sejak empayar Kesultanan Melayu Melaka. Melaka bukan saja berperanan sebagai pusat penyebaran Islam, malah sistem pentadbirannya juga berteraskan Islam dengan melaksanakan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang berpaksikan Islam.

Sekiranya umat Islam menerima cadangan pemansuhan JAG ini bermakna kita bakal kembali ke zaman sebelum kedatangan Islam. Ia juga akan menjadikan Malaysia seperti negara yang walaupun majoriti rakyatnya Islam, tetapi tidak mempunyai undang-undang yang boleh membendung kesalahan syariah, perilaku moral dan akhlak, sehingga masalah sosial semakin berleluasa dan meruncing.

Memorandum JAG ini juga mencabar kedudukan Raja Melayu sebagai ketua agama Islam bagi negeri-negeri di Malaysia, bercanggah dengan prinsip dalam Perkara 3 (2) dan (5) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 (2) memperuntukkan: “Dalam tiap-tiap negeri melainkan negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam dalam negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga, tertakluk kepada Perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua Agama Islam tidaklah tersentuh dan tercatat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua Agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.”

Perkara 3 (5) memperuntukkan: “Walau apa-apa juga dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam dalam Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh mengadakan peraturan mengenai hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan agama Islam.”

Sebenarnya tanggungjawab utama Yang di-Pertuan Agong dan Raja Melayu sebagai ketua agama Persekutuan dan negeri adalah bagi mempertahankan Islam di Malaysia. Ia dipamerkan dengan jelas melalui sumpah syarak atau ikrar Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya ketika menaiki takhta.

Sumpah itu turut dimulai dengan menyebut nama Allah dengan lafaz ‘wallahi wabillahi watallahi’ yang istilah mudah menunjukkan Islam agama tonggak negara ini.

Sebagai ketua eksekutif, sumpah ini juga mengikat pihak eksekutif (kerajaan), sama ada pada peringkat Persekutuan atau negeri dalam mempertahankan kesucian Islam, dan tidak melakukan sesuatu tindakan yang memudarat, menghakis atau mencemarkan kedudukan dan kesucian Islam di Malaysia.

Memorandum JAG ini juga ternyata menghina hukum syarak yang menjadi tunjang kepada akta dan enakmen syariah negeri. Seksyen 2 Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 dan Seksyen 2 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan: “Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan di dalam akta ini dan tidak ditakrifkan dalam akta ini tetapi ditakrifkan dalam akta tafsiran 1948 dan 1967 hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing setakat yang erti itu tidak bercanggah dengan hukum syarak.”

Seksyen 230 (1) dan (2) Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah (wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan:”Mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah akta ini yang tidak konsisten dengan hukum syarak hendaklah terbatal setakat yang tidak konsisten itu. Jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh akta ini, mahkamah hendaklah menggunakan hukum syarak.”

JAG dianggotai SIS, WAO dan beberapa NGO lain, sebahagian besarnya diterajui bukan Islam. Penulis turut berasa sedih apabila SIS yang menggunakan nama Islam bersekongkol dengan NGO ini. Sepatutnya SIS memperjuangkan Islam dan perundangan Islam di Malaysia, bukan mencanangkan supaya ia dimansuhkan. Cadangan JAG ini ternyata mengguris perasaan dan sensitiviti masyarakat beragama Islam di negara ini.

Apa pun cadangan yang melihat sensitiviti umat Islam dan kerangka Perlembagaan Negara perlu diteliti dari segi sejarahnya. Islam bertapak kukuh lebih 400 tahun sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal. Orang bukan Melayu dan bukan Islam tidak perlu khuatir kerana undang-undang jenayah syariah tidak dikenakan ke atas mereka.

Selagi ia tidak menghakis ciri istimewa Perlembagaan Persekutuan ini, orang bukan Islam berhak mengecapi nikmat yang sama sebagai warganegara Malaysia.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »