Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Oktober 2009

Tiada syariat baru selepas wafat nabi

Posted by epondok di Oktober 31, 2009

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

KAEDAH golongan ajaran sesat beroperasi untuk mencari pengaruh di tengah-tengah masyarakat ialah dengan menggembar-gemburkan kehebatan tuan guru yang mengetuai gerakan mereka. Untuk meyakinkan orang ramai mengenai ajaran itu, mereka akan mendakwa bahawa tuan guru itu belajar secara terus daripada Nabi SAW atau wali tertentu menerusi mimpi. Justeru tiada yang perlu dikhuatiri sekiranya ajaran mereka dilihat berbeza dengan apa yang terdapat di dalam kitab fekah yang lazimnya menjadi rujukan kerana ajaran atau amalan mereka ini di dapati secara terus daripada Rasulullah SAW. Bolehkah kita menerima dakwaan bahawa setelah wafatnya Rasulullah masih tersisa ajaran baru yang hendak disampaikan pada umatnya menerusi mimpi?

 

Bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah mimpi itu pada dasarnya terdapat tiga jenis sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Mimpi itu tiga jenis, iaitu mimpi yang benar berbentuk khabar gembira daripada Allah; mimpi sedih daripada syaitan dan mimpi yang disebabkan mainan jiwa seseorang.” – (Hadis Imam Muslim).

Mimpi dari syaitan dan mainan jiwa sememangnya tiada memberi sebarang erti, namun bagi mimpi yang berbentuk khabar gembira daripada Allah, ia mimpi benar dan perlu diberikan perhatian sewajarnya.

//

Nabi SAW bersabda, “Tiada lagi kenabian setelah aku kecuali al-Mubasysyiraat (berita yang menggembirakan).” Sahabat bertanya apakah yang dimaksudkan al-Mubasysyiraat? Sabda Nabi, “Mimpi yang benar yang dimimpikan oleh orang soleh” – (Hadis Imam al-Bukhari).

Ada yang menjadikan hadis ini sebagai bukti bahawa mimpi guru atau syeikh mereka boleh dijadikan dalil dalam membawa ajaran baru.

Namun sebenarnya al-Mubasysyiraat atau mimpi benar adalah berupa khabar gembira daripada Allah bagi hamba-Nya dengan memberi gambaran perkara baik yang bakal berlaku. Mimpi benar ini akan menjadi kenyataan dalam hidup seseorang itu. Mimpi benar juga boleh terjadi dalam bentuk peringatan terhadap hambanya mengenai perkara buruk yang bakal berlaku agar dia boleh berusaha untuk mengelaknya dari terjadi ataupun berbentuk amaran supaya jangan melakukan sesuatu maksiat.

Inilah lapangan skop mimpi benar dan ia tidak lebih dari itu. Al-Mubasysyiraat bukan bertujuan untuk menggubal hukum baru kerana segala ajaran mengenai Islam ini sudah sempurna sebelum Rasulullah wafat. Allah SWT memerintahkan Rasulullah menyampaikan apa yang diwahyukan kepadanya kepada seluruh umat manusia.

Firman-Nya: “Wahai Rasulullah! Sampaikan apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), bermakna engkau tidak menyampaikan perutusan-Nya; dan Allah jualah yang akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” – (Al-Maaidah: 67)

Rasulullah sebagai seorang yang maksum pasti melaksanakan perintah Allah itu. Sebelum Baginda wafat, Allah SWT menyempurnakan agama Islam sehingga tidak lagi memerlukan apa-apa bentuk penambahan menerusi mimpi.

Mimpi bertemu dengan Nabi SAW juga sebahagian daripada al-Mubasysyiraat yang terjadi kepada sesetengah manusia yang beruntung. Nabi bersabda, “Sesiapa melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku secara benar. Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku. Sesiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja maka dia telah mengambil tempat duduk dalam neraka.” – (Hadis Imam al-Bukhari)

Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa seseorang itu hanya dianggap benar-benar bertemu Rasulullah di dalam mimpi sekiranya paras rupa Rasulullah yang ditemuinya itu sesuai dengan sebagaimana yang digambarkan di dalam hadis sahih. Telah menjadi amalan umat Islam terdahulu (generasi salaf) apabila seseorang mengaku bertemu Nabi, dia dikehendaki untuk memberikan gambaran paras rupanya dalam mimpi itu.

Ibnu Sirin umpamanya akan bertanya kepada seseorang yang mengaku bertemu Nabi SAW dalam mimpi: “Ceritakan kepadaku apa yang anda lihat.” Sekiranya diceritakan kepada beliau sifat Rasulullah SAW yang tidak diketahuinya, beliau akan menegaskan: “Anda sebenarnya tidak bermimpi bertemu dengan Baginda SAW.” Ini adalah kerana syaitan hanya tidak boleh menyerupai paras rupa sebenar Nabi SAW, namun syaitan boleh yang menyerupai insan lain tetapi mengaku sebagai Nabi lalu mengelirukan orang yang bermimpi tadi dengan perkara yang bercanggah dengan syarak.

Seterusnya kandungan mimpi bertemu dengan Rasulullah itu tetap perlu dipertimbangkan dengan neraca al-Quran dan al-Sunnah. Jika bertepatan ia boleh diterima tetapi jika sebaliknya yang menjadi hujah tetap perkara yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Mimpi hanya untuk menggembirakan atau menjinakkan hati saja.

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi lagi, “Perkara yang hanya dipertanggungjawabkan (taklif) oleh Allah supaya kita meyakini dan beramal dengannya ialah sesuatu yang diwahyukan kepada Rasul-Nya semasa hayat Rasul tersebut, bukan berdasarkan kepada apa yang dibawa mimpi di dalam tidur setelah kewafatannya.”

Terdapat juga kelompok tertentu yang mendakwa bahawa ajaran mereka ini diambil oleh tuan guru mereka daripada Rasulullah SAW dalam keadaan sedar atau terjaga. Mereka berhujah dengan sebuah riwayat yang mana Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga dan syaitan tidak mampu menyerupaiku.” – (Hadis al-Bukhari). Walaupun hadis ini sahih namun tafsiran mereka terhadapnya tidak benar.

Rasulullah SAW wafat sebagaimana manusia lain. Firman Allah, “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula). Kemudian sesungguhnya kamu pada hari Kiamat akan berbantah-bantah di hadapan Tuhanmu.” – (al-Zumar: 30-31). Baginda hanya akan dibangkitkan semula di alam akhirat setelah terjadinya kiamat.

Maka tiada nas yang menunjukkan bahawa Baginda boleh bangkit di dunia dan boleh bertemu dengan seseorang secara fizikal dan mengajar mereka ajaran Islam. Al-Hafiz Ibnu Hajar juga menempelak dakwaan golongan yang mengaku bertemu dengan Rasulullah dalam keadaan sedar menerusi kitabnya Fathul Baari.

Menurut beliau, “Hal ini begitu aneh. Jika dimaksudkan (pertemuan itu) secara zahir maka mereka (yang mendakwa bertemu Nabi secara sedar) itu boleh dianggap sahabat Nabi, sedangkan tidak mungkin sahabat Nabi itu akan ada terus menerus sehingga hari kiamat.”

Mengenai maksud sebenar ‘maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga’, Imam al-Nawawi memberikan tiga pendapat: Pertama, ia berkaitan dengan mereka yang hidup pada zaman Rasulullah SAW. Oleh itu sesiapa yang bermimpi bertemu dengan Nabi sedangkan dia belum berhijrah maka Allah akan memberi taufik kepadanya untuk berhijrah dan bertemu dengan Nabi secara zahir. Kedua, dia akan melihat kenyataan mimpinya itu dalam keadaan terjaga pada hari kiamat, kerana semua umat Baginda akan melihatnya pada hari kiamat. Ketiga, dia akan melihat Nabi pada hari akhirat secara khusus dalam keadaan dekat dan mendapat syafaat daripadanya.

Allah menyempurnakan syariat agama Islam dengan penurunan wahyu kepada Nabi ketika hayat Baginda. Kesempurnaan syariat agama Islam ini diakui sendiri Allah melalui firman-Nya, “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda Islam menjadi agama kamu”. (al-Maaidah: 3) Sempurna dalam ayat ini bererti ia sudah lengkap. Sekiranya agama itu sempurna, mengapa kita masih memerlukan mimpi untuk dijadikan perantaraan bagi menerima amalan baru yang tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah dan para salafussoleh (ulama terdahulu)?

Justeru, mereka yang mendakwa sesuatu ajaran baru itu masih boleh diterima menerusi mimpi hanya mencerminkan gambaran pemikiran mereka yang menganggap Islam ini belum sempurna sehingga memerlukan ritual baru. Sungguh rosak pemikiran berkenaan.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Bayaran Dam dalam ibadat haji

Posted by epondok di Oktober 31, 2009

Oleh Mohd Fadly Samsudin

MENUNAIKAN ibadat haji diwajibkan kepada individu Muslim sekali seumur hidup. Haji tidak hanya menjalani kursus serta membaca buku panduan semata-mata.

Bagi mendapatkan haji terbaik, kita perlu ada inisiatif tersendiri seperti membuat kajian terperinci, berbincang dan menimba pengalaman dengan mereka yang pernah menunaikan haji.
Haji bukannya amalan ritual biasa yang bersifat fardu (individu) semata-mata namun ia berbentuk jamaie (berkumpulan).

Di Tanah Suci, kita diuji dengan pelbagai cara seperti cabaran emosi bagi melihat keimanan hamba-Nya.

Jemaah haji perlu memantapkan diri dengan ilmu sejarah nabi supaya penghayatan kita lebih kukuh di Makkah.

Yang paling penting mereka perlu melengkapkan satu persatu rukun haji dan kegagalan mengerjakan salah satu daripadanya secara sengaja atau tidak akan menyebabkan terbatal hajinya.

Antara rukun haji adalah niat, wukuf di Arafah, tawaf (rukun ini juga dikenali sebagai tawaf ifadah), saie, bercukur atau bergunting dan tertib.

Selain itu, haji terbahagi kepada tiga jenis iaitu Haji Tamatuk, Haji Ifrad dan Haji Qiran yang berbeza setiap satunya.

Haji Tamatuk bererti bersenang-senang iaitu mengerjakan umrah dahulu dalam bulan haji dan selepas selesai mengerjakan umrah mereka tidak terikat lagi dengan pantang larang ihram.

Hanya apabila sampai waktu, barulah berihram untuk mengerjakan haji. Haji Tamatuk dikenakan dam iaitu menyembelih seekor kambing atau berpuasa 10 hari (tiga hari di Makkah dan tujuh hari di tanah air).

Allah berfirman yang bermaksud: “Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan umrah (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa mengerjakan ibadah haji, (dia boleh melakukannya kemudian wajiblah dia menyembelih dam yang mudah didapati. Jika dia tidak dapat mengadakan (dam), hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing), semuanya itu sepuluh hari cukup sempurna.” (Surah al-Baqarah ayat 196).

Dam yang dikenakan itu bukan merujuk kepada kesalahan tetapi ketetapan syarak.

Haji Ifrad maknanya berasingan iaitu mengerjakan haji dan umrah secara berasingan di mana mengerjakan haji dahulu hingga selesai dan mengerjakan umrah dalam tahun itu atau dikerjakan umrah sebelum menjelang bulan haji.

Jemaah perlu berniat di Miqat sebelum masuk ke Makkah (jika dari Malaysia naik kapal terbang Miqatnya di Qarnul Manazil) sebelum kapal terbang sampai di Jeddah. Haji Ifrad tidak dikenakan dam.

Manakala Haji Qiran bererti bersama-sama, jadi ibadat haji dan umrah dikerjakan secara serentak dan haji jenis ini wajib dikenakan dam.

Sewaktu di Miqat jemaah perlu berniat serentak haji dan umrah. Berhubung dengan kebolehan mengerjakan haji Qiran ini Rasulullah bersabda: Dari Ibnu Umar r.a berkata, bahawa Rasulullah bersabda: Sesiapa mengerjakan haji bersama umrah (Qiran) maka sah dia kerjakan satu tawaf dan satu saie sahaja untuk kedua-dua haji dan umrah itu,” (Riwayat Tarmizi).

Perbezaan ketara dalam melakukan ketiga-tiga haji itu adalah, bagi cara Ifrad, umrah dilakukan di luar bulan haji sama ada dilaksanakan dahulu dalam tahun yang sama ataupun selepas bulan haji. Manakala bagi cara Tamatuk dan Qiran pula umrah dilakukan dalam bulan haji.

Manakala dam yang disebutkan di atas adalah adalah darah sembelihan yang merujuk kepada binatang tertentu. Penggantinya adalah makanan atau puasa yang wajib ditunaikan oleh orang yang meninggalkan satu atau perkara wajib dalam ibadat (haji dan umrah) ataupun perkara yang dilarang semasa berihram atau melakukan Haji Tamatuk dan Qiran. Dam turut dikenali sebagai fidyah.

Antara sebab-sebab seseorang dikenakan dam adalah:

1. Meninggalkan perkara-perkara wajib haji dan umrah.

2. Melakukan perkara-perkara yang dilarang sewaktu dalam ihram.

3. Memilih Haji Tamatuk dan Qiran.

4. Tidak dapat wukuf di Arafah.

5. Tertegah (ihsar) perjalanan ke Makkah sedangkan seseorang itu sudah berihram.

6. Meninggalkan tawaf wadak bagi mereka yang tidak uzur syar’ie.

Syarat binatang yang boleh dijadikan dam adalah (berkaki empat ) seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Jangan hanya kejar gelaran haji

Posted by epondok di Oktober 31, 2009

Oleh Abdul Razak Idris

SERUAN haji bergema lagi, tanda musim haji sudah bermula. Ibadah haji wajib bagi umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan dan memenuhi syarat ulil amri dan pihak berkuasa Arab Saudi menjadi medan penuh ujian dalam mematuhi rukun wajib haji. Menunaikan haji bukan perjalanan yang mudah bagi Muslim yang membawa bersamanya segala beban pengalaman hidup sama ada kehidupannya dihabiskan dengan melakukan dosa dan culas memburu pahala sama ada wajib atau sunat.

 

Jika seruan haji disambut hanya kerana ikut-ikutan maka ibadah yang dilakukan hanya separuh hati dan haji mabrur yang menjadi cita-cita semua bakal haji dan hajah akan hanya akan menjadi ‘haji sangkut’ yang hanya dipakai hingga hembusan nafas terakhir.

Gelaran haji yang dibawa bersama setelah selesai ibadah di bumi Makkah akan menjadi kenangan abadi dan diingati bukan saja oleh diri kita sendiri malahan orang yang menghantar kita pergi dulu dan orang yang menyambut kita pulang. Bagi setiap bakal haji yang sedang bersiap sedia menyambut panggilan haji selain mempersiapkan diri dengan segala bacaan dalam rukun haji kita harus ‘membersihkan’ diri daripada segala dosa dan memohon ampun dan maaf daripada semua pihak terutama yang terasa hati dan berpotensi tersinggung oleh perbuatan dan lisan kita.

//

Sebagai seorang Muslim yang berada dalam zaman ekonomi tidak menentu, kesempatan untuk menunaikan fardu haji atau umrah bukan perkara mudah. Selain kos mengerjakan haji tinggi, kos untuk waris dan tanggungan yang ditinggalkan turut perlu difikirkan juga. Jika tidak akan timbul pula fitnah orang mengatakan langkah kita mengejar akhirat mencicirkan dunia yang juga kewajipan kita. Sebaiknya bakal haji menyelesaikan segala hutang dan belanja tanggungan sebelum meneruskan cita-cita menyahut seruan haji di Makkah. Gelaran haji yang bakal diraih akan kelak menjadi suatu gelaran sinis yang akan memalukan diri kita sendiri.

Jika boleh biarlah gelaran haji yang dianugerahkan kepada kita kerana mendapat haji mabrur tanpa memerlukan kita apabila pulang dari tanah suci terpaksa membayar hutang keliling pinggang sedang kita semua tahu bahawa salah satu syarat haji ialah berkemampuan dari segi kewangan dan kesihatan.

Membawa pulang gelaran haji atau hajah biarlah tanpa kontroversi atau isu yang mampu membuatkan gelaran yang menjadi idaman semua umat Islam di seluruh dunia itu dipertikaikan. Jangan pula apabila balik dari haji, perangai buruk sebelum menjejak kaki ke sana diulangi. Atau setelah mendapat gelaran haji sikap angkuh dan bangga diri menjadi hiasan diri. Lebih buruk lagi jika ada yang mempunyai gelaran haji tidak berubah langsung sikap buruk mereka malahan lebih teruk apabila pulang dari Tanah Suci sikap buruk baru pula tercipta.

Bukankah ia memalukan agama Islam yang syumul ini. Kita takut ada orang Islam sendiri yang akan merasakan gelaran haji adalah lesen untuk mendapat kemegahan dan bukannya menjadi motivasi untuk yang masih belum menjejakkan kaki bertawaf mengelilingi di setiap empat penjuru Kaabah.

Sikap dan pekerti sebagai Muslim yang memegang gelaran haji perlu diubah dari buruk menjadi baik, dari cantik lebih indah budi dan sikahnya. Bagi yang bersifat bakhil tidak bertempat, singkirkan sikap yang tidak baik itu, bagi yang bersikap keras selama ini lembut-lembutkan sedikit adab kita dengan pekerja atau pihak yang berhubung dengan kita. Cara kita bertindak adalah datang dari cara kita berfikir dan cara kita berfikir datang dari hati kita yang suci dan bersih dari syak dan wasangka sama ada sesama Islam dan bukan Islam.

Jika boleh dikatakan seorang haji sepatutnya membawa imej seorang Muslim yang lengkap sebagai seorang Muslim sejati. Sesungguhnya dirinya telah lulus ujian sebagai Muslim yang memenuhi lima rukun Islam.

Justeru menunaikan haji bukan sekadar mengejar gelaran yang tidak akan memberi manfaat jika disalahgunakan atau disalah pembawaannya. Haji adalah gelaran yang perlu dibawa hingga ke liang lahad dan biarlah pahala kita menunaikan haji itu berpanjangan hingga kita dipanggil Yang Maha Esa di satu hari di mana kita tidak mampu untuk berkata-kata melainkan ibadah kita di dunia ini yang akan menilai kita dan gelaran kita.

Ingatlah bahawa seruan haji bukan saja bergema sebelum dan semasa kita di tanah suci saja, ia adalah seruan yang perlu diingati hingga kita selesai menunaikan rukun haji dan di saat liang lahad terpateri dengan tanah dan hanya gelaran haji dan nama kita yang ditinggalkan. Jadilah haji yang dimuliakan dan bukan sebaliknya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Cara Tunai nazar atau bayar kaffarah

Posted by epondok di Oktober 30, 2009

MEMBERI makan kepada 10 orang miskin adalah antara kaffarah bagi mereka yang terlepas pandang atau terlupa tentang nazar yang telah dibuat. – Gambar hiasan

Soalan

Jika tidak dapat ditunaikan nazarnya maka hendaklah ditebus nazar seperti mana menebus sumpah, sama ada memberi

makan kepada 10 orang miskin dengan hidangan yang mengenyangkan mereka, memberi pakaian kepada 10 orang miskin atau membebaskan seorang hamba yang beriman.

saya ingin bertanyakan beberapa soalan secara lebih terperinci mengenai perkara ini.

Saya pernah bernazar untuk lulus peperiksaan. Namun sehingga kini saya lupa nazar saya. Maka berpandukan kenyataan agar disedekahkan makan/pakaian kepada 10 orang miskin. Bagaimana kalau saya bersedekah kepada 10 anak yatim dalam bentuk pakaian? Bagaimana syarat untuk bersedekah baju itu dan bagaimana pula syarat untuk bersedekah makanan?

Jawapan

Nazar maksudnya, anda mewajibkan atas diri sendiri untuk melakukan sesuatu ibadah untuk Allah SWT yang asal hukumnya tidak wajib. (Mughni muhtaj, jld:4,hlm:354).

Sesuatu nazar yang berbentuk ibadah yang asalnya sunat akan menjadi wajib dengan bernazar untuk melakukannya. Contohnya, anda bernazar untuk puasa hari Isnin dan hari Khamis selama setahun. Sedangkan hukum asal Isnin dan Khamis adalah sunat, namun dengan bernazar berubah menjadi wajib.

Nas al-Quran yang bermaksud: Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.(al-Haj:29). Berdasarkan kepada ayat ini jelaslah bahawa menunaikan atau menebus nazar adalah wajib. Manakala dalam surah yang Allah swt berfirman yang bermaksud: Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.(al-Insan: 7)

Apabila seseorang itu telah bernazar maka wajib ke atasnya melangsaikan tanpa bertangguh apabila hajatnya dikabulkan oleh Allah SWT. Maka nazar adalah hutangnya kepada Allah SWT yang telah berjanji menunaikan sesuatu ibadat seperti mana yang dinazarkan. Maka pada dasarnya janji itu wajib ditepati tanpa bertangguh bila mampu berbuat demikian.

Adapun amalan yang perlu dilakukan oleh seseorang berpandukan suruhan Allah SWT dalam al-Quran apabila gagal menunaikan nazarnya kepada Allah SWT, firmanya yang bermaksud: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.(al-Maidah:89).

Maka berpandukan kepada ayat di atas jelas bahawa kafarah (penebus) bagi nazar adalah seperti berikut:

1- Memberi makan 10 orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu.

2- Memberi pakaian kepada 10 orang miskin

3- Memerdekakan seorang hamba

4- Mereka yang tidak mampu melakukan ketiga-tiga perkara di atas bolehlah berpuasa selama tiga hari.

Adapun makan kepada sepuluh orang daripada makanan yang biasa kita makan atau makanan ruji sesebuah keluarga. Kebiasaannya memberi orang makan mestilah hidangannya sempurna, misalnya di negara kita sesuatu hidangan mesti dilengkapi dengan nasi, lauk dan sayur. Maksudnya hidangan yang lengkap dan mengenyangkan. Adapun cadangan saudara untuk memberi pakaian kepada 10 orang anak yatim adalah tidak tepat dan tidak terlepas dari menebus nazar. Ini kerana tidak semua anak yatim tergolong dalam golongan fakir miskin.

Dalam masa yang sama menjaga anak yatim dan kebajikan mereka tidak semestinya dengan bantuan tebusan nazar. Sebetulnya ialah saudara mencari 10 orang fakir miskin dan memberi mereka pakaian yang lengkap. Pakaian lengkap maksudnya seluar panjang dan baju, atau baju melayu sepasang atau baju melayu dengan kain pelekat. Kalau penerimanya perempuan maka hendaklah pakaian yang diberi itu boleh menutup aurat. Menebus nazar adalah tuntutan yang wajib ditunaikan, ia dikira ibadat kepada Allah SWT.

Justeru, setiap ibadah yang dilakukan kepada Allah SWT mestilah ikhlas dan jujur. Apa sahaja amalan yang dilakukan mestilah dibuat dengan sebaik mungkin dengan harapan ia diterima Allah SWT, jangan melakukan sesuatu ibadat seperti ” melepaskan batuk di tangga”, natijahnya Allah SWT tidak akan terima.

Oleh yang demikian, bagi mereka yang bernazar hendaklah menunaikan nazar mereka dan bagi mereka yang terlepas pandang atau terlupa maka hendaklah ditebus nazar itu dengan melakukan salah satu dari kaffarah yang dinyatakan dalam surah al-Maidah.

Posted in Klinik Agama | 13 Comments »

Aqiqah Ikut Kemampuan

Posted by epondok di Oktober 30, 2009

Soalan

APAKAH hukum Islam bagi kanak-kanak yang meninggal dalam keadaan tidak diakikah oleh bapanya ketika masih hidup kerana tidak berkemampuan. Adakah boleh dilakukan akikah oleh datuknya dan apakah ia dikira dapat melunaskan tanggungjawab bapa itu? Berapakah jumlah kambing yang perlu disembelih kerana saya ada mendengar ada perbezaan antara kanak-kanak lelaki dan perempuan. Apakah boleh diakikahkan bagi orang dewasa?  Harus bagi datuknya melakukan akikah itu kerana mempunyai kedudukan seperti bapa mengikut hukum fikah. Maka terhasillah pahala sunat daripada akikah itu walaupun bapa kepada kanak-kanak itu masih hidup. Kita sedia maklum bahawa aqiqah ialah sembelihan yang dituntut ke atas ibu bapa sebagai hak bagi seorang kanak-kanak pada hari yang ketujuh kelahiran. Hukumnya adalah sunat muakkad (dituntut) bagi mazhab Syafie. Sabda Rasulullah SAW daripada sahabat, Samurah bin Jundub, bermaksud, “Kanak-kanak yang baru dilahirkan itu tergadai dengan sebab akikahnya. Maka sembelihlah baginya pada hari yang ke tujuh. (Hadis Tirmizi).

Jawapan

Setengah ulama berpendapat bahawa maksud tergadai itu ialah kanak-kanak itu tidak mempunyai kesuburan seperti kanak-kanak yang diakikahkan, dicukur kepalanya dan diberi nama. Imam Ahmad menafsirkan tergadai ialah bahawa kanak-kanak itu tidak dapat menolong kedua-dua ibu bapanya pada hari kiamat nanti. (Hadis Tirmizi).

Sabda Rasulullah, “Setiap kanak-kanak tergadai dengan akikah. Maka disembelih baginya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama. (Hadis Abu Daud, Ibnu Majah). Sabda Rasulullah lagi, “Sesungguhnya bagi kanak-kanak itu akikah. Maka tumpahkanlah darah padanya (sembelih) dan jauhilah dia daripada gangguan. (Hadis Bukhari, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Sebuah hadis dari sahabat, beliau mendengar Nabi SAW bersabda, “Bagi kanak-kanak lelaki dua kambing dan perempuan seekor kambing. (Hadis Abu Daud dan Ibnu Majah). Namun demikian Islam tidak memberatkan pada umatnya yang tidak berkemampuan.

Setengah ulama berpendapat bahawa akikah disunatkan pada hari yang ketujuh, 14 atau 21. Imam Ar-Rafie’ berpendapat bahawa masa yang disunatkan akikah bermula ketika kanak-kanak itu dilahirkan sehinggalah baligh. Tiada akikah bagi orang dewasa mengikut sebahagian ulama. Jika dilakukan akikah itu maka ia dianggap sedekah. Bagaimanapun sebahagian daripada ulama Syafie mengharuskan bagi orang dewasa melakukan akikah bagi dirinya sendiri dan tidak dibebankan ke atas bapa atau walinya.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Hindari unsur negatif kemajuan teknologi

Posted by epondok di Oktober 30, 2009

Nik Mustapha Nik Hassan

Ulama, ahli fikir Islam perlu peka perkembangan ilmu sebagai panduan dekati masyarakat

AKIBAT kemajuan teknologi maklumat masa kini, setiap negara semakin bergantung di antara satu sama lain. Apa saja yang berlaku, serta-merta dapat kita ikuti perkembangannya. Peristiwa berkenaan mempunyai unsur membangun dan juga sebaliknya. Perkembangan di luar negara yang berunsur negatif mudah mempengaruhi pemikiran dan kelakuan kita, terutama golongan muda.

Oleh kerana sistem pendidikan kita masih belum dapat membebaskan diri sepenuhnya daripada pendekatan sekular, pemikiran dan cita rasa muda-mudi sering memiliki persediaan yang mudah menerima pandangan dan cara hidup yang berbentuk negatif dari luar negara. Biasanya cara hidup dan budaya Barat dianggap sebagai contoh maju dan membina. Dari keyakinan ini pengaruh budaya Barat mudah meresapi dan membentuk corak kehidupan golongan muda kita.

Selain kelemahan sistem pendidikan, masyarakat turut disogok dengan budaya Barat melalui media cetak dan elektronik. Majalah dan akhbar yang tidak membina terus membanjiri kedai buku. Rancangan televisyen turut mendukung nilai dan pandangan hidup negatif. Dalam suasana yang sedemikian tidak mustahil nilai dan kefahaman Islam terus dicabar.

Dalam menangani cabaran ini, di samping usaha mengurangkan pengaruh luar meresapi pemikiran kita, Islam perlu diperkenalkan kepada masyarakat tempatan dalam bentuk menyeluruh dan mendalam. Ia hendaklah mampu dilihat sebagai satu pilihan hidup yang lebih sempurna dan memberi manfaat kepada keutuhan peradaban manusia.

Islam tidak boleh dibincang hanya sebagai penerangan � apa itu Islam, tetapi ia perlu diyakini dan seterusnya dihayati sebagai satu cara hidup yang dapat menyusun diri dan masyarakat termasuk alam semesta dengan maju dan berjaya. Justeru itu pemahaman kita terhadap Islam semestinya menumpu kepada kaedah bagaimana Islam dapat berperanan dalam semua bidang termasuk akidah, akhlak, kebudayaan, politik, ekonomi dan sebagainya sesuai dengan perkembangan ilmu dan sistem hidup sekarang.

Dalam mendukung peranan itu, ulama dan ahli fikir Islam perlu sentiasa peka dan memahami perkembangan ilmu dan pemikiran serta selera hidup semasa dan setempat. Dengan menguasai ilmu al-Quran dan hadis untuk dijadikan panduan dalam mempengaruhi perjalanan sistem hidup bermasyarakat dan bernegara. Pendekatan begini akan mampu menzahirkan bahawa Islam mampu bersifat kenyataan. Natijah dari pelaksanaan Islam secara sempurna akan mewujudkan sebuah peradaban di mana setiap individu mampu mengecap kebahagiaan.

Kebahagiaan hidup adalah matlamat bagi setiap manusia yang sentiasa berusaha untuk mencapainya. Pada fahaman semasa, lazimnya kebahagiaan disamakan dengan kejayaan hidup. Takrif kejayaan hidup bagi seseorang dalam fahaman sekular semasa ialah kemampuan seseorang memiliki harta dan kekayaan. Bahkan kejayaan hidup membawa kepada kebahagiaan.

Bagi Islam setiap manusia akan memperoleh kebahagiaan apabila usahanya berjaya menepati fitrah keperluan manusia pada semula jadinya. Memahami fitrah keperluan semula jadi manusia dan memenuhi tuntutan itu adalah usaha yang akan membawa kepada kebahagiaan yang sejati.

Sistem sekular Kapitalisme dan Marxisme berpandangan bahawa fakta ekonomi adalah penentu kepada kebahagiaan hidup manusia. Kemajuan ekonomi saja adalah sebagai penyelesaian kepada semua permasalahan hidup. Bagi kapita-lisme, kejayaan hidup seseorang individu ialah melalui pengumpulan harta sebanyak mungkin. Mengikut Marxisme, asas tamadun manusia dianalisis berpandukan kepada penguasaan kuasa ekonomi. Bahkan fakta ekonomi mempengaruhi keseluruhan tata hidup manusia bermasyarakat.

Islam mempunyai pandangan hidup yang berlainan. Sesuai dengan fitrah kemanusiaan, kebahagiaan hakiki untuk manusia akan tercapai apabila sifat bahimiah (haiwan) pada manusia mematuhi arahan dari sifat malakiah (malaikat). Manusia sentiasa meningkat maju disebabkan terdapatnya sifat bahimiah. Oleh itu sifat bahimiah ini perlu sentiasa dididik dan disuburkan oleh sifat malakiah.

Dalam kata lain, semua kemahuan manusia seperti memiliki kuasa, kekayaan, kemasyhuran dan sebagainya hendaklah dicapai melalui akhlak yang tinggi supaya kejayaan itu tidak menindas orang lain dan diusahakan untuk memperoleh keredaan Allah. Kuasa dan kekayaan adalah alat untuk mengabadikan kepada Allah dan bukan sebagai matlamat akhir dalam kehidupan seseorang individu. Dengan pendekatan ini manusia akan sentiasa bersyukur dan menikmati erti kebahagiaan yang sebenar.

Kegagalan pendekatan semasa yang berteraskan sistem sekular dalam menerajui kehidupan manusia menghasilkan kepincangan dan kemelut ekonomi yang tenat. Sifat mementingkan diri melahirkan ciri individu tamak dan rakus. Kelemahan ini tidak ditonjol sebagai asas kepada kemelut ekonomi dunia dan penyelesaiannya kepada perkara pokok tidak berhasil kemelut ekonomi akan berterusan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Acheh haramkan wanita berseluar ketat

Posted by epondok di Oktober 28, 2009

Gambar beberapa wanita berjalan di Masjid Baiturrahman, Aceh.

BANDA ACEH – Wanita Islam di daerah Aceh Barat akan diharamkan memakai seluar panjang ketat dan jean berikutan pelaksanaan undang-undang baru, kata seorang pegawai semalam.

Bermula pada tahun depan, wanita yang memakai seluar panjang atau jean yang dianggap terlalu ketat akan diminta menukar kepada skirt labuh yang diberikan oleh kerajaan.

Seluar panjang yang dipakai oleh wanita itu akan digunting menjadi helaian kecil

“Jika didapati ada wanita yang ingkar, seluar mereka akan digunting serta-merta dan digantikan dengan skirt yang disediakan secara percuma oleh pemerintah Aceh Barat,” kata ketua daerah itu, Ramli Mansur.

“Peraturan itu bukan sahaja untuk golongan wanita, malah lelaki turut dilarang memakai seluar pendek,” tambahnya.

Namun, peraturan itu akan dilaksanakan di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam dan dilaksanakan berdasarkan cadangan daripada ulama.

“Kami masih menghormati hak penduduk bukan Islam dan mereka tidak perlu bimbang,” kata Ramli.

Menurutnya, seluar panjang boleh dipakai di dalam skirt selagi tidak ada bahagian buku lali yang terdedah.

“Kami tidak akan menghalang wanita daripada memakai seluar panjang. Apa yang dilarang ialah seluar panjang ketat dan jean.

“Jika mereka terpaksa memakai seluar panjang, ia perlu melindungi buku lali dan dipakai dalam skirt labuh,” katanya. – AFP

Di manakah silapnya gambar di atas?

Rasulullah saw bersabda :

Telah berkata Aisyah, “ Sesungguhnya, Asma’ binti Abu Bakar menemui Nabi saw dengan memakai busana yang nipis ” , Maka nabi berpaling daripadanya dan bersabda “Wahai Asma’ , sesungguhnya apabila wanita itu telah baligh (sudah haid) tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini , sambil mengisyaratkan kepada muka dan tapak tangannya”.

Dalam sebuah riwayat dari Abdullah bin Abi Salamah bahawa Umar Bin Khattab r.a menghadiahkan kepada seseorang dengan pakaian nipis buatan Mesir Lama, kemudian berkata, “Jangan dipakaikan kepada isteri-isteri kamu!” Lalu seseorang berkata “ Ya Amirul Mukminin aku telah memakainya untuk isteriku, kemudian memutarkan badannya tetapi tidak kelihatan auratnya .” selanjutnya Umar berkata, “Memanglah auratnya tidak nampak, tetapi bentuk tubuhnya nampak”.

Maka, sayugianya saya berharap perundangan sebagaimana yang bakal dilaksanakan di Acheh menjadi contoh kepada negara Malaysia untuk turut menjejak langkah yang sama agar lebih memakmurkan pandangan mata dan mengurangkan dosa-dosa sama ada kepada pihak lelaki mahupun wanita itu sendiri dengan mengamalkan hidup yang hanya untuk keredhaan Yang Maha Esa.

“Sesungguhnya termasuk ahli neraka, yaitu perempuan- perempuan berpakaian tetapi telanjang, yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk berbuat maksiat. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Muslim)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Haji sempurnakan Islam Muslim

Posted by epondok di Oktober 28, 2009

Oleh WAN NAJMIAH WAN MOHAMAD ALI

Pendahuluan

Ibadat haji adalah satu kefarduan ke atas setiap individu Muslim yang mukalaf dan berkemampuan. Sempurnanya Islam seseorang Muslim hanya apabila mereka telah menunaikan rukun Islam yang kelima, menunaikan haji di Baitullah.

Sememangnya setiap umat Islam yang memenuhi syarat hendaklah menunaikan rukun Islam yang kelima itu. Junjungan besar Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan kita melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang memiliki bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitul Haram, tetapi tidak menunaikan hajinya maka kematiannya pasti sebagai seorang Yahudi atau Nasrani”. (riwayat At-Tirmizi)

Kaifiat melangkah ke Baitullah

Alangkah baiknya jika fardu haji ini dapat kita tunaikan dalam keadaan tubuh badan yang sihat dan cergas. Kesihatan kita pasti sentiasa berubah, lazimnya uzur apabila usia semakin meningkat dan dibejati oleh pelbagai penyakit serta permasalahan lain.

Oleh itu, apabila berkemampuan menunaikannya, kita tidak perlu menunggu sehingga usia tua lantaran maut tidak memilih usia seseorang.

Alangkah sedihnya mereka yang meninggal dunia dalam keadaan kaya-raya, mewah dan berupaya menunaikan haji tetapi tidak sempat menunaikan haji tanpa sebarang uzur syarie.

Tuntutan haji merupakan satu perintah yang mesti ditunaikan apabila cukup kemampuan. Jangan pula ada yang tidak mahu menunaikannya dengan alasan “belum sampai seru” sedangkan seruan Allah dan rasul sentiasa disampaikan kepada kita.

Malangnya kesedaran untuk menyempurnakan rukun Islam kelima ini dilihat seperti bermusim. Kesedaran hanya akan timbul bila musim haji tiba saban tahun. Pastinya ramai yang menanam azam untuk membuka akaun dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) apabila terdengar radio memainkan nasyid tanda tibanya bulan haji.

Bagaimanapun tidak ramai yang berjaya menyempurnakan azam tersebut. Semangat untuk menjadi tetamu Allah bagaikan melayang apabila mendengar teman yang telah mendaftar terpaksa menunggu 10 tahun lagi untuk menunaikan ibadat haji.

Ingatlah! Kejayaan sesuatu misi itu bermula dengan langkah pertama. Dalam konteks ini, membuka akaun dan berdaftar dengan LTH adalah langkah permulaan anda.

Fadilat menunaikan haji

Fadilat menunaikan haji amat banyak. Antaranya sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW dari Abu Hurairah yang bermaksud:

l“Sesiapa yang menunaikan haji ke Baitullah sedang dia tidak mengeluarkan kata-kata keji dan melakukan perbuatan yang kurang sopan juga tidak membuat fasiq (caci memaki) maka dia akan terlepas dari dosa-dosanya sebagaimana anak-anak kecil yang baru lahir dari perut ibunya”.

l“Tiap-tiap muslim yang keluar dari rumahnya menuju jihad fisabillah, kemudian jatuh dari kenderaan dan dipijak oleh binatang atau mati dengan apa cara sekali pun, maka ia dikira mati syahid. Dan tiap-tiap muslim yang keluar dari rumahnya dengan niat mengerjakan haji ke Baitullah kemudian ia mati sebelum menyempurnakan hajatnya, maka Allah mewajibkan untuknya syurga”.

Abu Al-Laith As-Samarkandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah b. Ibad r.a berkata: Kami di Mina bersama Nabi Muhammad SAW tiba-tiba datang rombongan dari Yaman, lalu mereka berkata, “Beritakan kepada kami fadilat haji ya Rasulullah”. Jawab nabi SAW: “Baiklah, tiap-tiap orang yang keluar dari rumahnya dengan niat haji atau umrah, maka tiap langkahnya gugurlah dosa-dosanya dari badannya sebagaimana gugurnya daun kering dari pohon. Maka apabila telah sampai ke Madinah dan memberi salam lalu berjabat tangan kepada ku, dijabat tangan oleh malaikat. Maka apabila telah sampai di Zulhulaifah lalu mandi sunat ihram maka Allah SWT menyucikan dari semua dosanya. Kemudian jika ia memakai pakaian baru untuk ihram, Allah membaharui baginya kebajikan dan bila mengucapkan Labbai kallahumma labbaik langsung dijawab oleh Allah SWT (Asma’ kalaamaka wanzur ilaik) yakni aku mendengar kata-katamu dan melihat padamu, maka apabila telah sampai di Mekah dan Tawaf serta Saie di antara Safa dan Marwah maka Allah SWT menuang baginya kebaikan. Lalu ketika wukuf di Arafah dan gemuruh suara berdoa.

Maka Allah SWT membanggakan kepada malaikat dan berfirman yang bermaksud: Wahai malaikat dan penduduk langit, tidakkah kamu melihat hambaku yang datang dari seluruh pelosok alam yang jauh dalam keadaan yang terurai dan berdebu. Mereka telah mengorbankan harta dan benda, maka demi kemuliaan dan kemurahanku, aku akan memaafkan orang-orang yang berdosa dan melepaskan mereka dari dosa sebagaimana anak kecil yang baru lahir dari perut ibunya. Demikian pula apabila telah melontar jamrah dan mencukur rambut lalu Tawaf Ifadah iaitu ziarah. Maka ada seruan dari Arasy, kembalilah, kamu sudah diampunkan semua dosa-dosamu dan perbaharuilah amal perbuatanmu”.

Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berdoa: “Ya Allah, ampunilah bagi orang-orang yang melakukan ibadat haji dan bagi orang yang dimintakan ampun oleh orang yang berhaji”.

Kelebihan menziarah Haramain

Allah telah menetapkan bahawa sesuatu itu ada yang melebihi yang lainnya. Di samping Allah SWT menjadikan kelebihan di antara sesama manusia, Dialah juga yang menetapkan kelebihan yang tertentu pada tempat tertentu.

Allah SWT melimpahkan berkatnya terhadap Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawarrah dari segala tempat yang lain di dunia ini seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sekali sembahyang di masjidku (Masjid Madinah) lebih baik daripada 1,000 kali sembahyang di tempat lain kecuali di Masjidil Haram”.

Kita lebih bercita-cita melawat tempat-tempat lain berbanding Mekah al-Mukarramah. Kita cukup selesa mengunjungi rumah-rumah manusia berbanding rumah-rumah Allah SWT. Wang dan harta yang kita kumpulkan kita habiskan bagi melancong di atas muka bumi Allah sedangkan Baitullah dan tanah haram Allah tidak dikunjungi. Adakah ini tandanya kita mensyukuri nikmat-nikmat Allah dan beradab sopan dengan Allah?

Kita tidak boleh terus mengambil sikap suka bertangguh dalam melakukan kebaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan kalau Allah mengkehendaki nescaya ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu) tetapi ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumba lah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal saleh). Kepada Allah jua tempat kembali kamu semuanya, maka ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. (al-Maidah: 48)

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit, hidup sebelum mati.” (riwayat Baihaqi)

Umat Islam hari ini banyak ketinggalan dalam segala hal kerana suka bertangguh.

Kita sering menangguhkan pelaksanaan perintah-perintah Allah untuk memastikan kesempurnaan pelaksanaannya hingga akhirnya kita langsung tidak melaksanakannya. Kita masih terus memohon penangguhan ajal di hadapan Allah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat ini) akan merayu dengan katanya: “Wahai tuhanku! Alangkah baiknya kalau engkau lambatkan ajal matiku ke suatu masa sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang-orang soleh”. (al-Munafiqun: 10)

Penutup

Sebagai umat Islam yang baik, mulakan langkah dengan segera berdaftar untuk menjadi tetamu Allah. Di samping itu, berusaha dan berdoalah agar dipanjangkan umur dan dikurniakan rezeki menjadi tetamu Allah kepada sebaik-baik tempat di muka bumi ini iaitu Baitullah, Tanah Suci Mekah.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Rumah bayi tertera al-Quran mahu dibakar

Posted by epondok di Oktober 28, 2009

GAMBAR fail menunjukkan seorang ulama
mendukung Ali di rumahnya di Kizlyar, Dagestan pada 19 Oktober lalu.

 


MOSCOW – Sekumpulan penduduk Islam mengancam mahu membakar rumah ibu bapa bayi yang kulitnya tertera ayat al-Quran, Ali Yakubov di Kizlyar, Dagestan, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Bayi itu yang berumur sembilan bulan dilahirkan oleh ibunya, Madina manakala bapanya bertugas sebagai seorang pegawai polis.

“Mereka (sekumpulan penduduk Islam itu) mendakwa tidak munasabah Allah menunjukkan tanda-tanda kebesarannya melalui seorang budak lelaki yang dilahirkan oleh keluarga pegawai polis,” kata datuk bayi itu, Magomed-Kadyr.

“Mereka menganggap kami (pegawai polis yang bekerja untuk pemerintah Rusia) sebagai orang kafir,” tambahnya.

Menurutnya, sebuah kereta membawa kumpulan bersenjata itu tiba di rumah mereka pada waktu siang.

ANTARA ayat al-Quran yang terdapat pada kulit Ali.

 


Anggota-anggotanya kemudian menuntut mereka menunjukkan bayi berkenaan sebelum beredar tetapi mereka mengancam untuk datang lagi.

Selepas insiden itu, seorang penguasa tempatan menyediakan enam pengawal keselamatan untuk mengawal keluarga berkenaan.

Ibu bayi itu menyatakan bahawa ayat suci al-Quran itu hilang pada kulit Ali apabila kumpulan bersenjata itu tiba tetapi muncul semula selepas mereka beredar.

Dagestan yang terletak di selatan Rusia dan bersempadan dengan Chechnya bergolak akibat pertempuran berterusan di antara kumpulan-kumpulan Islam dan pihak berkuasa Rusia selama beberapa tahun selepas Moscow didakwa menindas penduduk Islam di wilayah itu. – Agensi

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

5 resolusi martabatkan perundangan syariah

Posted by epondok di Oktober 27, 2009

KUANTAN – Isu bantahan yang dibuat SIS dan JAG terhadap hukuman sebatan ke atas Kartika Dewi Shukarno kerana kesalahan meminum arak di khalayak ramai telah berjaya menyatukan 14 buah NGO Islam di Negeri Pahang. Kejayaan pertama kumpulan ini ialah dengan berlangsungnya sidang media pada Oktober 2 yang lalu.Semalam, kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Sekretariat Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO)

Negeri Pahang ini sekali lagi mengambil langkah terkedepan bila menganjurkan Seminar Perlaksanaan Perundangan Syariah: Isu dan Cabaran, di Dewan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini.

Dalam sidang media selepas usai seminar tersebut, jurucakap sekretariat, Amidi Abdul Manan, Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan rasa gembira kerana seminar telah berjaya meluluskan lima resolusi penting.


Lima resolusi tersebut adalah pertamanya memberi kuasa dan kebebasan sepenuhnya kepada penguatkuasa Agama Islam dan mahkamah syariah dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagaimana diperuntukkan oleh Enakmen Syariah Negeri tanpa dipengaruhi dan ditekan oleh mana-mana pihak.

Kedua, menyeru kepada ahli politik beragama Islam supaya bertindak secara proaktif dalam memperjuangkan kedaulatan Agama Islam dan institusi mahkamah syariah, juga memperjuangkan perluasan bidang kuasa mahkamah syariah.

Seminar, melalui resolusi ketiga menurut Amidi mendesak supaya pihak berkuasa negeri dan kerajaan memberi tekanan kepada media supaya menyokong dan menghulur kerjasama sepenuhnya kepada NGO Islam dalam mendidik dan memahamkan masyarakat tentang segala isu yang menyentuh kepentingan umat Islam.

Keempat, kerajaan diminta supaya berusaha menaikkan taraf institusi kehakiman syariah supaya setanding dan seiring dengan institusi kehakiman sivil, sesuai dengan semangat pemisahan perlembagaan persekutuan, supaya nanti ia tidak lagi dipandang sebagai institusi kehakiman kelas dua sama ada dari segi kepakaran dan bidang pendakwaan, perjawatan atau jumlah kakitangannya.

Resolusi terakhir pula, jelas Amidi, mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan satu badan pemantau yang berkuasa mengawasi organisasi-organisasi yang menggunakan nama Islam supaya objektif dan matlamat organisasi-organisasi tersebut selari dengan prinsip Islam serta bukan bertujuan mengelirukan umat Islam dengan ideologi-ideologi dan pendekatan yang nyata terpesong.

Amidi dalam kenyataannya memberitahu bahawa naskhah resolusi yang dinamakan sebagai “Memartabatkan Perundangan Syariah Pahang” ini akan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, selaku Ketua Agama Islam Negeri, yang mewakili seluruh umat Islam di Negeri Pahang.

Sekretariat, tambah Amidi kini hanya menunggu perkenan Tuanku Sultan untuk menghadap. Ini juga ujar beliau adalah tanda sokongan 14 NGO Islam Pahang kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).

Seminar Perlaksanaan Perundangan Syariah ini berlangsung sehari dan dirasmikan penutupannya oleh Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dengan kehadiran kira-kira seramai 300 orang peserta.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Amidi dalam sidang media yang sama mengumumkan yang  seminar serupa akan terus dianjurkan di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai, terutamanya bukan Islam mendapat kefahaman tentang perbezaan perlaksanaan hukuman di antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Pada minggu hadapan sahaja, seminar serupa ini dijadualkan berlangsung di negeri-negeri seperti Selangor, Kelantan dan Perak, atas usaha NGO-NGO Islam negeri-negeri tersebut.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »