Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Solat Tarawih 20 rakaat bukan bidaah

Posted by epondok di September 15, 2009


UMAT Islam perlu diperjelaskan bahawa pendapat yang masyhur dan diterima ialah solat Tarawih dilaksanakan 20 rakaat bukan lapan rakaat, bersandarkan kepada hujah bagi memastikan mereka benar-benar mendapat ganjaran dijanjikan untuk ibadat sunat itu.

Ahli Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang juga Ahli Jawatankuasa Pengawalan Akidah Mais, Mahfuz Mohammed berkata, konsep solat sunat Tarawih yang diamalkan sejak dulu hingga sekarang tidak pernah berbeza melainkan 20 rakaat.

Katanya, pendapat mengatakan solat Tarawih lapan rakaat disandarkan kepada hadis daripada Aisyah itu tidak tepat kerana ia menjelaskan mengenai solat malam (qiamullail) yang dilaksanakan Nabi Muhammad SAW, bukan solat Tarawih.

 

“Mufti Mesir, Syaikh Dr Ali Jum’ah dalam komentarnya mengenai hadis ini mengatakan, mereka itu tidak faham hadis dan meletakkannya bukan di tempatnya. Ini berpunca kerana mereka cetek ilmu mengenai hadis dan cuba membuat kesimpulan sendiri, maka timbullah keadaan ini,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu perlu dijelaskan kerana wujud pihak mengatakan solat Tarawih adalah bidaah memandangkan Nabi Muhammad SAW tidak solat 20 rakaat tetapi lapan rakaat diikuti tiga rakaat solat witir.

Mahfuz berkata, Syaikh Dr Ali dalam bukunya berjudul Al-Bayan menyatakan berhubung rakaat Tarawih itu sudah muktamad mazhab yang empat, Hanafi, Maliki, Hambali dan Syafie, bahawa Tarawih adalah 23 rakaat berserta witir.

Malah katanya, Mufti Mesir itu turut membahaskan isu rakaat solat Tarawih secara terperinci daripada sudut istilah perkataan Tarawih itu sendiri yang cukup jelas menunjukkan jumlah bilangan yang tepat.

Tarawih berasal daripada perkataan mufrad (tunggal) at-tarwiha yang bermaksud rehat yang menunjukkan satu sementara at-tarawih perkataan jamak iaitu lebih dari dua. Bahasa Arab pula ada perkataan untuk tunggal, dua dan banyak.

Oleh itu, at-tarawih yang menunjukkan jamak itu dengan makna tiga kali rehat ke atas. Bagi solat Tarawih, satu rehat bermakna empat rakaat dengan dua salam, maka tiga kali rehat bermakna minimum 12 rakaat dengan tiga kali salam.

Jadinya, sudah sepakat empat mazhab mengikut pendapat yang muktamad (kelas pertama) bahawa solat tarawih 20 rakaat dengan 10 kali salam dan lima kali rehat.

Mahfuz berkata, satu lagi petunjuk yang jelas ialah riwayat mengenai Umar al-Khattab yang menyuruh melakukan solat Tarawih secara berjemaah sebanyak 20 rakaat dan apa dilakukan Umar adalah dengan kesepakatan sahabat dengan tiada bangkangan daripada Khulafa al-Rasyidin.

“Jadi mana datangnya lapan rakaat kerana dari segi pengertian dan penggunaan istilah sudah tidak betul. Jika pihak yang mendukung lapan rakaat tetap dengan pendirian, kenapa mereka melakukan solat sunat itu secara berjemaah.

“Jika ingin mengambil apa yang dianjurkan Umar, ikutlah keseluruhannya dengan melakukan sebanyak 20 rakaat seperti dibuat Umar. Jangan ambil separuh-separuh dan mengatakan bahawa 20 rakaat itu tidak betul,” katanya.

Beliau tidak menafikan akan timbul tentangan berhubung rakaat Tarawih itu terutama daripada mereka yang melakukannya sebanyak lapan rakaat namun, perkara berkenaan berhak diperjelaskan sebagai jawapan kepada suara yang lantang mengatakan tarawih 20 rakaat bidaah.

Pada masa sama katanya, ia juga bagi memastikan umat Islam kembali kepada apa yang disepakati ummah kerana Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya berkata, tidak sekali-kali bersepakat ulamaku dalam perkara yang sesat.

Mahfuz berkata, walaupun kesimpulannya Syaikh Dr Ali berkata melakukan solat Tarawih kurang dari 20 tidak salah dan yang buat lebih pun tidak salah, tetapi yang mengurangkan daripada amalan itu ialah ia tidak dinamakan Tarawih tetapi qiamullail.

Menurut fatwa Syaikh Dr Ali, mereka yang melakukan qiamullail terlepas daripada ganjaran sangat besar yang Allah kurniakan kepada orang melakukan Tarawih pada Ramadan kerana solat malam boleh dibuat pada bulan lain tetapi Tarawih hanya setahun sekali pada Ramadan.

“Nasihat kepada yang buat lapan, kembali kepada apa yang disepakati ummah dan ketepikan pendapat bertentangan dengan apa yang disepakati ummah. Dalam enakmen Selangor, fatwa mesti rujuk pendapat yang muktamad daripada mazhab Imam Sayfie,” katanya.

Buku Penjelasan Bilangan Rakaat Solat Tarawih yang diterbitkan pada 2008 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia turut menyokong pendapat solat Tarawih berjemaah di masjid dengan 23 rakaat termasuk witir lebih afdal daripada lapan rakaat.

Itu adalah pendapat jumhur fuqaha pada qaul yang rajih seiring kaedah usul fiqh iaitu apa-apa ibadah yang lebih banyak perbuatan nescaya lebih banyak pula kelebihan. Lebih-lebih lagi cara berjemaah dilakukan Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali.

Buku tulisan Mohd Nawi Shafii Al-Bahri itu turut menjelaskan pertelingkahan mengenai rakaat Tarawih diperbesarkan oleh Syeikh Nasir al-Albani yang mengembangkan fatwanya mengatakan solat Tarawih mengikut sunnah Nabi ialah lapan rakaat dan witir tiga rakaat.

Sesiapa yang mengerjakannya tidak seperti itu sama ada kurang atau lebih) maka sesungguhnya dia tidak mengikut sunnah Nabi SAW. Solat Tarawih lapan rakaat diamalkan di sesetengah tempat di nusantara termasuk Malaysia, Thailand (Patani) dan Indonesia.

Perbahasan ulama mengenai bilangan solat turut diketengahkan dalam buku ini membabitkan pendapat jumhur ulama yang mengatakan solat tarawih 20 rakaat dengan dalil sokongan, pandangan ulama lain yang mengatakan 36 rakaat seperti di zaman Umar bin Abdul Aziz.

Perbahasan ketiga oleh al-Bani dan mereka yang bersefahaman dengannya mengatakan solat Tarawih lapan rakaat juga dengan dalilnya.

Kesimpulan Mohd Nawi ialah walaupun wujud permasalahan bilangan rakaat solat Tarawih berlaku perkhilafan di kalangan ulama, namun pendapat jumhur ulama itu yang boleh difatwakan untuk muslimin dan muslimat seluruh alam.

3 Respons to “Solat Tarawih 20 rakaat bukan bidaah”

  1. […] Dikirim oleh aburedza dalam Sunat Tarawikh. Tagged: Mufti Mesir, Rakaat Tarawikh, ramadan, Syaikh Dr Ali Jum’ah. Tinggalkan Komen Sembahyang Tarawikh di Perlis  lazimnya dibuat 8 rakaat , bagaimana pun ada juga yang mengerjakan 20 rakkat. Hujah Mufti Mesir, Syaikh Dr Ali Jum’ah mengenai sunat tarawikh   yang dipetik adalah menarik sekali. Berikut ini adalah perbahasan mengenai perbedzaan keduanya, mudah-mudahan mendapat manafaat dari hujah-hujahnya supaya menambah khazanah ilmu kita.  Artikal ini di ambil dari : https://epondok.wordpress.com/2009/09/15/solat-tarawih-20-rakaat-bukan-bidaah/ […]

  2. Mohammad Daud said

    Saya, sendiri baru mendengar masalah bidaah ini, yang dikupas agak rapi oleh salah seorang ustaz yang sama dalam Majlis Fatwa Negeri Melaka. Tidak ada bidaah dalam sesuatu yang mengamalkan ibadat selagi ia tidak bercanggah dengan syriat. Jadi jangan lah cuba sama-sama dalam mengucar ngacirkan fahaman kita sesama Islam. Bilangan 20 rakaat atau 8 rakaat itu bukan permasalahan nya tetapi yang menjadi masalah ialah orang yang tidak sama-sama dalam kita mengerjakan ibadah solat itu sendiri. Nasihat saya kepada pembaca atau folower, Belajar mesti berguru dan maksud berguru itu jangan guna Internet atau melalui pembacaan kita, kita jadikan hujah dan hukum. Ia hanya layak untuk dijadikan “maklumat dan bukan berhujah lalu berhukum dengan nya”.
    Allah jua yang lebih mengetahui
    Muhammad.

  3. peribadirasulullah said

    Tiada siapa yang mempertikaikan bilangan rakaat tersebut, hikmah 8 atau 20 hanya Allah yang dapat menilainya… segalanya sudah ditakdir Allah..bagi mukmin yang kuat tenaga lakukanlah 20 rakaat kerana ada dalil dan pada mukmin yang dhaif , lakukanlah 8 rakaat, kita sebenarnya terlalu banyak menimbulkan masalah daripada menyelesaikan masalah… hidupkan suasana berilmu yang bersih dari segala maksiat itu yang lebih penting… Disamping beribadat wujudkan suasana kebajikan untuk masyarakat, jangan ada masalah dadah dalam pusat pengajian, jangan ada masalah kecurian dalam ketika menunaikan solat, wujudkan ketenteraman dan suasana yang bersih itu yang lebih mencerminkan kesempurnaan Islam…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: