Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 25 Ogos 2009

Pejuang hak asasi membisu isu Kartika rela disebat

Posted by epondok di Ogos 25, 2009

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Adakah golongan berkenaan mempunyai agenda tertentu ataupun amal dasar berpilih-pilih?

SEORANG wanita, Kartika Seri Dewi Shukarno, 32, yang disabitkan kesalahan meminum arak atas pengakuannya sendiri. Akibat sabitan itu beliau dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan. Wanita itu walaupun mulanya terkejut dengan hukuman dijatuhkan, enggan merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan kerana mahu menebus malu keluarga disamping menzahirkan kekesalannya melakukan kesalahan itu. Beliau bertaubat dan mahu segera dihukum.

Baru-baru ini pendakwa syarie memohon waran penahanan bagi membolehkan pihak berkuasa membawa Kartika ke Penjara Wanita Kajang untuk melaksanakan sebatan itu di penjara. Namun, dilaporkan semalam, hukuman itu ditangguhkan kerana Ramadan. Sebelum ini dilaporkan Kartika terkilan kerana hukuman akan dilaksanakan secara tertutup dan merayu agar hukumannya dibuat di khalayak awam bagi memberi pengajaran kepada orang lain. Permintaan Kartika itu mungkin akibat kesedaran dan keinsafan beliau sendiri dan mahukan hukuman sebatan syariah itu dijalankan.

Ada pula pihak yang mempertikaikan kenapa waran penahanan juga dikeluarkan terhadap Kartika sedangkan beliau sedang menunggu hukumannya dan reda kepada apa yang diputuskan itu. Kartika juga memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan hukuman sebat itu.
Dua isu ini memerlukan kupasan dari sudut perundangan bagi memahaminya. Seksyen 125 (3) Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (sama dengan enakmen yang ada di Negeri Pahang) memperuntukkan hukuman sebatan hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang Pegawai Perubatan Kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan bagi maksud itu.

Mungkin disebabkan prasarana pelaksanaan hukuman sebat itu masih belum sempurna mahkamah mengarahkan sebatan itu dijalankan di Penjara Kajang. Hal yang demikian amatlah difahami kerana ini adalah pelaksanaan hukuman sebat yang pertama di Negeri Pahang. Sudah sampai masanya kerajaan Pahang menyediakan prasarana pelaksanaan hukuman sebat ini sebagaimana yang menepati hukum syarak seperti rotan, tempat pelaksanaan, tukang sebat di kalangan lelaki dan perempuan serta latihan.

Jabatan lain yang mempunyai peranan dalam melaksanakan hukuman sebat ini seperti Jabatan Agama Islam Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan lain-lain lagi amatlah penting dan janganlah menyerahkan sepenuhnya kepada Mahkamah Syariah Pahang saja kerana fungsi mahkamah bukanlah sebagai pelaksana hukuman. Mahkamah hanyalah menjatuhkan hukuman menurut peruntukan undang-undang yang ada.

Suara pihak yang memperjuangkan hak asasi manusia pula hampir tidak kedengaran menyahut seruan ataupun pilihan Kartika untuk dirotan di khalayak awam. Bayangkanlah sekiranya Kartika mengambil pendirian berlainan, penulis yakin pihak berkenaan sudah tentu mengambil tindakan membantah hukuman itu. Kenapa pilihan yang dibuat oleh Kartika tanpa paksaan daripada sesiapapun tidak disahut golongan ini? Adakah golongan berkenaan mempunyai agenda tertentu ataupun mengamalkan dasar berpilih-pilih di dalam perjuangan mereka?

Berkaitan dengan isu waran tangkap yang dikeluarkan pula, penulis berpendapat isu ini perlu difahami dalam konteks keseluruhan kes ini dan pelaksanaan hukuman itu. Memanglah tidak dinafikan Kartika memberikan kerjasama penuh dan reda terhadap hukuman yang dijatuhkan itu. Namun bagi mengelak sebarang implikasi undang-undang, waran tangkap dikeluarkan terhadap Kartika bagi melaksanakan sebatan itu.

Namun penulis yakin pelaksanaan waran tangkap itu sudah tentu dibuat dengan penuh berhemah oleh pihak berkenaan.

Ngeri melihat pelaksanaan hukuman sebat sivil menghantui pelaksanaan sebat syariah. Ramai yang menyamakan sebat sivil dengan sebat syariah. Sebat sivil dilihat terlalu kejam kerana mendatangkan pendarahan dan kecederaan malah parut sebat itu sendiri hanya akan hilang selepas dua tahun seseorang itu disebat. Walaupun memang ada peruntukan kesalahan, hukuman sebat amat jarang dijatuhkan melainkan di Kelantan dan Pahang. Oleh yang demikian pelaksanaan hukuman ini belum lagi diuji sepenuhnya.

Hukuman sebat syariah sebenarnya agak berbeza dengan sebat sivil. Walaupun peruntukan hukuman ini sudah lama wujud, pelaksanaannya masih lagi belum meluas. Halangan yang ada adalah halangan bersifat metafora dan bukan halangan sebenar. Hakim syarie juga sudah melihat demonstrasi sebat syariah oleh pegawai penjara mendapati ia tidak bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak.

Suatu bengkel khas berkaitan dengan permasalahan hukuman sebat juga dijalankan April lepas anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan hasilnya mendapati bahawa tiada permasalahan besar dalam melaksanakan hukuman sebatan syariah ini.

Berbalik kepada kes Kartika, penulis mengucapkan syabas kepada Kartika dan mendoakan sempena Ramadan ini taubat beliau diterima Allah dan boleh menjalankan kehidupan hariannya sejajar dengan apa yang dianjurkan hukum syarak selepas pelaksanaan hukuman itu.

Taubat yang diperintahkan adalah taubat nasuha seperti disebut dalam Surah at Tahrim ayat 8 yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya.”

Ibnu Katsir mentafsirkan taubat nasuha sebagai taubat yang sebenarnya dan sepenuh hati, akan menghapus keburukan yang dilakukan sebelumnya, mengembalikan keaslian jiwa orang yang bertaubat, serta menghapus keburukan-keburukan yang dila-kukannya. Oleh itu diharapkan Kartika dapat mencapai taubat nasuha itu. Moga Ramadan kali ini menginsafkan Kartika dan kita semua. Setiap orang melakukan kesilapan dan kadangkala kesilapan itulah yang mengajar kita untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Posted in Fokus Isu | 4 Comments »