Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Pondok agama dihujani peluru

Posted by epondok di Ogos 23, 2009


Oleh ZULKIFLEE BAKAR
(Yang membuat tinjauan di Selatan Thailand baru-baru ini)

 

SUASANA di sekitar Pondok Madrasah Imaniah Aldawiyah.

 

APAKAH mungkin pada masa ini masih terdapat pondok pengajian agama yang pelajarnya hanya menuntut ilmu agama semata-mata? Atau apakah benar masih wujud guru-guru yang mengajar ikhlas kerana Allah tanpa menetapkan sebarang bayaran?

Mungkin dalam perkembangan ilmu di zaman moden ini, kita sukar untuk menerima hakikat itu, tetapi jika ada umat Islam yang bertekad hanya untuk belajar ilmu agama sahaja, maka ia sudah pastilah dilihat suatu keistimewaan.

Begitulah gambaran awal yang boleh diberikan apabila menceritakan mengenai Pondok Madrasah Imaniah Aldawiyah, Dala, Pattani.

Sekolah pondok yang diasaskan pada tahun 1933 kini dikendalikan oleh Abdul Karim Hasbullah dan dibantu oleh menantunya, Faisal Abdul Rahman.

Menurut Faisal, sekolah tersebut melaksanakan sistem pendidikan Islam secara tradisional yang bererti, pelajar-pelajarnya hanya menumpukan perhatian kepada pengajian al-Quran, hadis dan kitab-kitab.

”Setiap pelajar yang ingin belajar di sini perlu menghabiskan persekolahan di peringkat sekolah menengah milik kerajaan,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut, baru-baru ini.

Ilmu agama

Matlamat sekolah itu ialah melahirkan generasi insan yang memperolehi pengetahuan agama dengan ilmu-ilmu yang betul dan sempurna untuk diamalkan.

”Kebanyakan mereka yang menamatkan pengajian di pondok ini menjadi guru agama atau membuka sekolah pondok,” katanya.

Pada masa ini, sekolah itu mempunyai 200 pondok yang didiami oleh 400 pelajar dengan 15 tenaga pengajar.

Apa yang menarik, kesemua guru berkenaan tidak menerima bayaran gaji atau elaun yang tetap, sebaliknya hanya menerima sumbangan daripada orang ramai.

”Mereka melakukan tugas ikhlas kerana Allah SWT, oleh itu mereka tidak fikir soal bayaran, apa yang paling penting ialah menurunkan ilmu kepada pelajar-pelajar,” katanya.

Ditanya tidakkah tindakan hanya menumpukan perhatian kepada pengajian agama semata-mata akan menyebabkan pelajar tidak akan berpeluang untuk berkhidmat dalam bidang lain, Faisal menjelaskan, ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pondok itu sememangnya berhasrat untuk menjadikan anak mereka sebagai alim ulama.

”Mereka tidak ada matlamat lain, mereka ingin melihat anak-anak mereka menjadi guru agama termasuklah membuka pondok pengajian apabila tamat pengajian nanti,” katanya.

Bagi pelajar yang berhasrat melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi, mereka akan ‘menumpang’ sijil yang dikeluarkan oleh sekolah-sekolah agama yang diiktiraf oleh kerajaan.

Apa yang menarik, sekolah pondok ini tidak menetapkan bilakah seseorang pelajar itu perlu menamatkan pengajian mereka. Selagi pelajar itu mahu terus menuntut di situ, mereka boleh berbuat demikian tanpa sekatan.

Atas sebab itulah seperti mana dijelaskan oleh Faisal, terdapat pelajar yang sudah memasuki usia dewasa tetapi masih terus belajar di situ.

Pelajar-pelajar di sekolah berkenaan memulakan pengajian selepas solat Subuh dan berakhir kira-kira pukul 11 malam setiap hari.

Sepanjang menjalankan tinjauan di pondok pengajian berkenaan, penulis merasakan ketenangan melihat suasana persekitarannya. Kedudukannya yang terletak di kawasan pedalaman memberikan seribu ketenangan kepada tenaga pengajar dan pelajar di situ.

Namun ia tidak bermakna sekolah tersebut tidak berhadapan dengan situasi mencemaskan. Salah satu peristiwa yang pasti kekal dalam lipatan sejarah sekolah pondok tersebut, apabila kawasan mereka ‘dihujani’ peluru pada 1 Ogos tahun lalu.

Segalanya bermula, apabila seorang anggota kumpulan pemisah dikatakan berlindung di sekolah pondok tersebut bagi menyelamatkan diri daripada ditangkap pihak berkuasa.

Pihak tentera Thailand yang mendapatkan maklumat mengenai perkara berkenaan telah menghantar segerombolan anggotanya ke kawasan tersebut.

Seramai 250 anggota tentera dikerahkan mengepung kawasan sekolah pondok itu dan sekali gus mencetuskan pertempuran dengan anggota kumpulan pemisah yang berlindung di situ.

Pertempuran berlaku dengan sengit sehingga tembakan yang dilepaskan ‘menghujani’ beberapa pondok di sekolah itu. Beberapa peralatan milik pelajar turut rosak teruk selain kesan peluru masih boleh dilihat sehingga ke hari ini di dinding-dinding pondok yang terkena tembakan.

Bagaimanapun Abdul Karim dan Faisal bersyukur kerana tiada seorang pun pelajar mereka terbunuh atau tercedera, sebaliknya anggota militan yang diburu itu berjaya ditembak mati oleh pasukan tentera.

Walaupun peristiwa berkenaan menjadi pengalaman cukup mencemaskan, namun ia sama sekali tidak melemahkan semangat tenaga pengajar dan pelajar di situ.

Sebaliknya, selepas kejadian tersebut mereka meneruskan pengajian seperti biasa kerana bagi mereka apa yang berlaku adalah sebahagian daripada dugaan Allah.

Kini Pondok Madrasah Imaniah Aldawiyah terus menjadi salah sebuah sekolah pondok yang dihormati dan mendapat perhatian di kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu agama.

Mungkin kita boleh mentafsirkan apa sahaja mengenai sistem pendidikan yang diamalkan, namun bagi mereka yang sudah tekad untuk menjadi pewaris dan penyambung kepada ulama-ulama sedia ada, mereka tetap akan berada di situ demi menggali ilmu Allah.

Bagi mereka, segala yang dilakukan bermatlamat untuk melahirkan generasi pewaris ulama yang unggul dan berwibawa. Selagi kelompok seumpama ini wujud, maka selagi itulah sekolah pondok yang mengamalkan pengajian agama secara tradisional akan terus kekal di bumi Thailand.

2 Respons to “Pondok agama dihujani peluru”

  1. Masyaallah.. Alhamdulillah..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: