Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 15 Ogos 2009

Umat Islam umat terbaik

Posted by epondok di Ogos 15, 2009

DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

 SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: Selepas Allah menceritakan dalam ayat-ayat terdahulu berkenaan kelebihan orang yang beriman daripada yang lain kerana mereka mengambil hukum Islam, mengambil hidayah daripadanya,

membentuk jemaah yang utama lagi mulia, yang beriman dengan Allah melakukan amal makruf nahi munkar dan begitu juga saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Kemudian Allah menceritakan pula golongan ahli kitab yang memusuhi orang Islam.

Ayat ke-111

Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya), sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.

Sebab Nuzul

Ayat ini diturunkan kerana ketua-ketua orang Yahudi di Madinah telah mengganggu dan menyakiti orang-orang yang masuk Islam dari golongan mereka seperti Abdullah bin Salam dan sahabat-sahabatnya. Oleh yang demikian Allah SWT menurunkan ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: “Allah mengkhabarkan kepada hamba-nya yang beriman berita gembira tentang kemenangan mereka terhadap ahli kitab dan golongan kafir”.

ii. Al-Alusi berkata: “Ayat ini menjadi dalil yang nyata berkenaan dengan kenabian Muhammad SAW kerana perkhabaran yang ghaib telah mengesahkan realiti yang sebenar.

iii. Al-Hassan berkata: “Dakwaan mereka adalah pendustaan terhadap Allah”.

Ringkasnya, mereka ini tidak lagi memiliki harga diri dan rasa kebesaran kerana kekuasaan dan kerajaan telah hilang daripada diri mereka.

Sesungguhnya rasa kebesaran itu hanya dapat kembali semula kepada mereka dengan bantuan orang luar serta melalui dua bentuk perjanjian, iaitu perjanjian yang telah ditetapkan Allah SWT dan perjanjian yang berlaku di kalangan manusia.

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Kata yadhurrikum diambil dari kata dharar, yang difahami oleh ulama dalam erti menyakitkan badan, sedang kata adza difahami dalam erti gangguan yang menyentuh perasaan yang amat terkesan dalam jiwanya.

Sebab itu terjemahan di atas menggunakan kata tetapi gangguan-gangguan saja. Ada juga yang memahami kata adza sebagai mudarat sehingga mereka menterjemahkannya: Sekali-kali mereka tidak akan dapat membuat mudarat kepada kamu, kecuali mudarat yang bersifat cemuhan sahaja.

v. Hamka berkata: “Orang yang beriman bersedia mati syahid dalam imannya. Si fasiq hanya mencintai hidup.

Oleh sebab itu peringatan yang dikemukakan Tuhan di dalam ayat ini untuk kita jadikan pedoman mengukuhkan semangat Islam dengan terus berdakwah, berani menegakkan kebenaran dan berjihad di jalan Allah SWT.

Dalam ayat ini ada tiga kegembiraan daripada perkhabaran yang ghaib iaitu:

i. Gangguan musuh-musuh Islam tidak akan menjejaskan umat Islam.

ii. Jika mereka menentang umat Islam di medan pertempuran mereka akan undur kerana kekalahan yang dialami sangat teruk.

iii. Mereka tidak mendapat pertolongan.

Ketiga-tiga kegembiraan ini benar-benar telah berlaku. Benarlah janji-janji Allah SWT dan akhirnya orang-orang Islam akan memelihara agamanya dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.

Ayat ke-112

Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintah-Nya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Jauzi berkata: “Maksud tali di sini ialah perjanjian. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ata’, al-Dhahaq, al-Qatadah, al-Suddi dan Ibn Zaid.

ii. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah sifatkan orang yang beriman dengan tiga sifat iaitu:

* Bersyukur kerana syukur itu pertama ketaatan.

* Sabar kerana iman hasil yang pertama dari syukur membawa menahan pencegahan daripada mengikut hawa nafsu.

* Reda.

Mereka (bangsa Yahudi) tetap berada dalam suasana yang bercerai-berai di mana-mana penjuru dunia mereka berada dan dianggap golongan minoriti, memencil dari penguasaan teknik berperang, menjauhkan diri daripada kegiatan bertani.

Ini kerana mereka sibuk memusatkan perhatian kepada manipulasi kekayaan dengan cara yang paling mudah dan pengembangan keuntungan yang paling besar, dan dengan risiko yang paling kecil, iaitu melalui amalan riba.

Allah SWT telah menyebutkan punca mereka melakukan perbuatan yang seperti itu menerusi firman Allah SWT.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Kata habl atau tali dalam ayat ini diulang dua kali dan keduanya dijelaskan dari siapa.

“Yang pertama dari Allah SWT dan kedua dari manusia. Pengulangan kata yang sama dengan bentuk definisi yang sama mengisyaratkan bahawa ia adalah berbeza di antara satu sama lain. Tali yang dihulur oleh Allah SWT adalah tali agama.

“Jika berpegang teguh dengannya mereka tidak akan terkena balasan yang disebut di atas. Atas dasar itu, mufasir memahami kehinaan dan kerendahan yang mereka alami adalah dalam pandangan hukum agama, bukan sekadar berita yang mereka alami itu adalah kenyataan hidup berdasarkan qada dan qadar ilahi.

iv. Hamka berkata: “Dari ayat ini kita mendapat ilmu tentang kenaikan dan keruntuhan suatu kaum, golongan atau bangsa. Allah SWT menjamin umat Nabi Muhammad SAW menjadi khaira ummatin (umat terbaik)”.

v. Al-Sonhadji berkata: “Kehinaan di sini dimaknakan oleh para ahli tafsir (mufasirin) dengan bermacam-macam iaitu: pembunuhan, perhambaan, penawanan dan pembayaran jizyah”.

Ayat ini menjelaskan bahawa penghinaan tersebut tidak akan lenyap selagi mereka belum berpegang dengan tali Allah SWT iaitu janji-Nya yang juga janji mereka dahulu dengan Allah untuk memeluk Islam dan berpegang dengan tali perdamaian iaitu menjadi Ahli Zimmah (orang yang dilindungi dengan pembayaran jizyah ).

Semoga kita menjadi hamba Allah yang sentiasa berqiamullail dan membaca al-Quran seterusnya mengamali dalam kehidupan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

2 Rukun perjalanan menuju Allah

Posted by epondok di Ogos 15, 2009

Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun
Sa’id Hawa menjelaskan bahawa perjalanan menuju Allah mempunyai dua rukun, iaitu ilmu dan zikir. Tanpa keduanya, tidak ada perjalanan menuju Allah SWT.Ilmu adalah yang menerangi jalan dan zikir adalah bekal perjalanan dan keperluan pendakian. Kita berhajat kepada ilmu untuk mengenali segala perintah, petunjuk, bimbingan dan peringatan Allah SWT dan mengenali hikmatnya agar kita dapat melaksanakan segala perintah tersebut serta mencapai hikmatnya, manakala kita berhajat kepada zikir agar Allah SWT bersama kita dalam perjalanan kita menuju kepadaNya.Rukun pertama: Ilmu

Bukanlah menjadi satu keraguan bahawa apa yang dimaksudkan dengan ilmu ialah ilmu tentang al-Qur’an dan al Sunnah serta ilmu tentang segala yang diperlukan oleh Salik dalam perjalanannya menuju Allah SWT. Sekurang-kurangnya setiap salik mestilah melengkapkan dirinya dengan kesemua ilmu fardu ‘ain, iaitu ilmu yang setiap muslim dituntut mempelajarinya.

Setiap muslim wajib mengetahui segala perbuatan yang wajib dilakukannya, agar ia tidak meninggalkannya; dan juga perbuatan yang haram dilakukannya, agar ia terhindar daripada melakukannya. Setiap perbuatan yang wajib dilakukan, maka mempelajari ilmunya juga menjadi wajib, Ini adalah kerana tanpa ilmu tentang sesuatu, maka seseorang tidak mungkin dapat melakukan sesuatu itu dengan betul, sesuai dengan kehendak syariat.

Imam Ghazali mengingatkan kita di dalam kitabnya Ihya Ulum Al-Din, bahawa di antara ilmu yang wajib dipelajari ialah ilmu mengenai jalan menuju ke akhirat. Apa yang dimaksud ilmu menuju jalan ke akhirat ialah ilmu cara membersihkan hati atau jiwa daripada sifat-sifat yang keji, yang tercela, yang dianggap sebagai kotoran yang menjadi penghalang daripada mengenali Allah SWT dan daripada mengenali sifat-sifat dan af’al atau perbuatan-perbuatanNya. Tidak ada jalan untuk ke sana melainkan dengan latihan, ilmu dan pengajaran.

Ilmu tersebut terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama: Ilmu zahir, iaitu ilmu yang berkaitan dengan amalan anggota badan, dan ia terbahagi kepada adat dan ibadat.

Kedua: ilmu batin, iaitu ilmu yang berkaitan dengan amalan hati atau jiwa, atau ilmu tentang sifat-sifat yang ada di dalam hati atau jiwa, yang juga terbahagi kepada yang terpuji dan tercela.

Sifat-sifat yang terpuji di dalam hati adalah seperti: sabar, syukur, takut, harap, redha, zuhud, taqwa, qana’ah (menerima dan berpuas hati dengan yang ada atau dengan apa yang Allah berikan), murah hati, ihsan, baik sangka, baik budi,baik pergaulan, jujur, ikhlas dan sebagainya, yang merupakan sumber atau punca daripada segala perbuatan taat dan ibadat kepada Allah SWT.

Adapun yang tercela daripadanya adalah seperti; dengki, dendam, busuk hati, penipu, gila pangkat, gila harta, gila kuasa, gila pengaruh, suka dipuji, sombong, riya’, keras kepala, pemarah, benci, tamak kedekut, kufur ni’mat, mengagungkan orang kaya, bangga, ujub, nifaq (hipocracy),cintakan dunia, cinta harta, gopoh,lalai dan sebagainya, yang merupakan sumber atau punca daripada segala perbuatan ma’siat dan lain-lain perbuatan buruk atau keji, yang dilarang.

Ilmu tentang batasan segala sifat-sifat ini, sama ada yang terpuji ataupun yang tercela, hakikat, sebab-sebab, hasil atau natijahnya, cara memupuk, menanam, atau cara mengubati, membuang atau mengikis daripada sifat-sifat tercela, kesemuanya itu merupakan ilmu jalan akhirat; dan Imam Ghazali mengatakan bahawa ia merupakan ilmu fardu ain, mengikut fatwa ulama akhirat.

Rukun kedua: Zikir

Adapun yang dimaksudkan dengan zikir ialah zikir yang diwariskan atau dianjurkan, yang termasuk di dalam perintah Allah SWT dan RasulNya SAW.

Imam Nawawi di dalam kitabnya, Al-Adzkaar, telah menjelaskan pengertian zikir sebagai berikut:

“Ketahuilah bahawa fadilat zikir tidak terhad pada tasbih, tahlil, tahmid, takbir dan yang seumpamanya, tetapi setiap orang yang beramal kerana Allah Taala dengan ketaatan, maka ia termasuk orang yang berzikir kerana Allah Taala. Begitulah yang dikatakan oleh Sa’id Bin Jubair r.a. dan lain-lain ulama”.

‘Ata’ berkata: “Majlis-majlis zikir adalah majlis-majlis yang membincangkan masalah halal, haram, bagaimana anda membeli, menjual, solat, berpuasa, berkahwin, mentalak, haji dan yang seumpamanya”.

Beliau juga telah membawakan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila seorang lelaki membangunkan isterinya pada waktu malam, kemudian keduanya solat dua rakaat, maka keduanya ditulis dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah”.

Maka kedua rukun berjalan menuju Allah menurut Sa’id Hawa adalah ilmu dan zikir; dan tidak akan ada perjalanan melainkan dengan keduanya.

Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa para salik yang menempuh jalan menuju Allah itu terbahagi kepada dua golongan. Golongan yang pertama lebih banyak melibatkan diri mereka kepada Allah SWT disamping tidak melalaikan tanggungjawab mereka dalam menuntut ilmu agama sebagaimana yang dituntut oleh syara’.

Manakala golongan yang kedua pula mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT dengan bertungkus-lumus mendalami ilmu agama disamping tidak mengabaikan keperluan untuk berzikir. Akhirnya, mereka semua (insya Allah) akan sampai ke satu arah tuju yang sama iaitu mencapai keredhaan Allah dan mendekatkan diri kepadaNya.

Beliau menjelaskan bahawa pembahagian tersebut adalah disebabkan kerana adanya perbezaan pada kecenderungan atau minat dan kemampuan atau kesanggupan manusia itu sendiri. Segolongan manusia, kecenderungan atau minatnya kepada ilmu lebih besar dan juga kemampuannya untuk mencapai ilmu tersebut ada, dan segolongan lainnya kemampuannya untuk mencapai ilmu terhad dan kesanggupannya untuk beribadat, beramal dan berzikir adalah besar.

Jalan yang sesuai bagi golongan yang pertama adalah ilmu, tetapi mesti juga disertai dengan zikir; dan jalan yang sesuai bagi golongan yang kedua adalah memperbanyak zikir, tetapi mesti juga disertai dengan ilmu.

Daripada huraian tersebut, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa setiap manusia yang berjalan menuju Allah atau mencari keredhaan dan keampunan Allah, yang dengannya dicapai kebahagiaan akhirat dan terhindar daripada seksaan neraka, mestilah berusaha, selain mengisi masanya dengan melaksanakan tugas peribadatan yang telah ditetapkan, seperti solat lima waktu, puasa ramadan dan lain-lainnya, juga dengan kegiatan menuntut ilmu dan berzikir.

Ia mesti menjadikan kegiatan menuntut ilmu dan berzikir ini sebagai agenda hariannya yang berterusan sepanjang hayat, kerana kedua-duanya merupakan ibadat yang sangat tinggi nilainya. Setiap salik mestilah berusaha menghindarkan diri daripada membazirkan masanya dengan sebarang perbuatan yang tidak ada manfaatnya seperti melepak di kedai-kedai kopi, berbual kosong dan kerja-kerja yang seumpamanya.

Di dalam sesuatu hadis, ada dinyatakan bahwa tanggung jawab pertama yang akan disoal ke atas setiap insan ialah tentang umurnya: di mana ia telah menghabiskannya? Di dalam surah al-‘Asr Allah SWT telah menyatakan dengan bersumpah: “Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan (mengisi masanya dengan)beramal soleh, serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”.

Setiap salik mesti menentukan masa yang tetap setiap hari untuk menuntut ilmu dan berzikir: menetapkan masa tertentu untuk membaca al-Qur’an dan memahami maknanya. Mereka boleh merancang untuk mengkhatamkan Al-Qur’an setiap seminggu sekali, dua minggu sekali, sebulan sekali atau lain-lainnya, mengikut kemampuan dan kesanggupan masing-masing. Perkara yang penting di sini ialah mereka menetapkan agenda yang tetap dan berterusan sepanjang hayat.

Membaca Al-Qur’an adalah ibadat dan zikir, dan memahami kandungannya adalah ilmu yang paling tinggi nilainya.

Selain mempelajari Al-Qur’an, mereka juga mesti berusaha mempelajari ilmu-ilmu syari’at lainnya dengan membaca kitab-kitab agama, menghadiri kelas-kelas agama, ceramah-ceramah agama, atau mempelajari agama daripada guru-guru agama yang memberi bimbingan secara langsung kepada para pelajar atau murid-muridnya.

Menuntut ilmu dalam Islam merupakan ibadat yang dituntut dan tinggi nilainya. Ibnu ‘Abd al-Bar telah meriwayatkan daripada Abu Dzarrin al-Ghiffari r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Bahawa anda keluar di waktu pagi untuk mempelajari satu bab daripada ilmu adalah lebih baik daripada anda solat seratus rakaat”.

Kita mesti menetapkan agenda harian yang tetap, dengan memperuntukkan masa tertentu yang mencukupi untuk menuntut ilmu serta membaca kitab-kitab ilmiyah. Di dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Agama adalah ilmu kerana ia berdiri di atas asas pemikiran, penyelidikan, menolak taklid buta dan bersandar kepada pembuktian yang meyaqinkan, bukan kepada sangkaan dan mengikuti hawa nafsu.

Begitu juga ilmu dalam Islam, ianya adalah agama, kerana menuntutnya adalah diwajibkan ke atas setiap muslim dan muslimah sama ada sebagai fardu’ain atau fardu kifayah, dan bergiat dalam bidang ilmu yang bermanfaat, sama ada manfaat duniawi atau ukhrawi, dianggap sebagai ibadat dan jihad di jalan Allah.

Adapun zikir, maka ia merupakan amalan yang berterusan kerana, selain ia merupakan amalan tersendiri, ia juga boleh masuk ke dalam atau ke celah-celah amalan-amalan lain dan boleh mengisi setiap masa yang terluang dari sejak kita bangun dari tidur sehinggalah kita naik semula ke katil untuk tidur.

Perbekalan Rabbani Dalam Perjalanan: Taqwa, Muhsabah Diri dan Taubat.

Di dalam perjalanan yang panjang merentasi kehidupan di alam dunia, mencari keredhaan Allah SWT, supaya dapat memasuki alam barzakh dan alam akhirat dengan selamat, Rabbani berhajat kepada perbekalan, dan tidak ada perbekalan yang lebih baik daripada ketaqwaan. Allah SWT telah berfirman di dalam surah Al-Baqarah:197:

“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa (ketaqwaan); dan bertaqwalah kepadaku wahai orang-orang yang berakal”.

Di dalam bab ini, saya ingin membicarakan tentang perbekalan yang mesti ada pada setiap rabbani dalam perjalanannya menuju Allah al-Rabb al-Jalil, sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT, iaitu taqwa atau ketaqwaan dan yang merupakan cawangan daripadanya, iaitu muhasabah diri dan taubat. _

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »