Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 28 Julai 2009

Tuan Guru Haji Hussin Rahimi Bunut Payung

Posted by epondok di Julai 28, 2009

Mohd Fadli Ghani
SALAH seorang ulama PAS yang terkenal pada era 1960-an ialah Tuan Guru Hussin Rahimi, iaitu tuan guru di Madrasah Ahmadiyah, Bunut Payung, Kelantan.Tuan Guru Haji Hussin yang menyertai PAS pada 1954 iaitu sebaik sahaja PAS membuka sayapnya di Kelantan ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sebelum diambil alih oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1968. Ini bermakna Tuan Guru Haji Hussin ialah salah seorang pemimpin kanan PAS ketika itu, selain pernah menjadi wakil rakyat di Kota Bharu sebanyak dua kali iaitu pada 1959 dan 1964.Nama sebenar beliau ialah Hussin Rahimi bin Saman bin Abdul Rahman. Di sebelah bapanya, Tuan Guru Haji Mat Saman merupakan seorang ulama yang terkenal di Pasir Puteh dan pernah belajar di Makkah sebelum Perang Dunia Kedua. Beliau terkenal dengan gelaran Haji Mat Saman Jawi kerana mahir kitab Jawi dan gelaran itu melekat padanya ketika berada di Makkah untuk dilaqabkan dengan nama beliau yang berasal dari Tanah Jawi (Nusantara).

Haji Mat Saman membuka pondok di Tebing Tinggi, Pasir Puteh dan juga di Kok Berangan, Pasir Puteh, Kelantan. Ibunya pula, Hajjah Che Mas atau Halimah binti Haji Sulaiman bin Abdul Ghafur ialah anak kepada seorang ulama, Tuan Guru Haji Sulaiman atau lebih terkenal dengan gelaran Tok Ayah Sulaiman Keramat, pengasas Pondok Pasir Perah, Chetok, Pasir Mas. Tok Ayah Sulaiman berpangkat sepupu dengan Datok Kadok, pahlawan Kelantan yang terbilang itu.

Dengan latar belakang keluarga yang terdiri daripada alim ulama di kedua-dua jurai keturunan, maka tidak hairanlah apabila Tuan Guru Haji Hussin yang dilahirkan di Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh pada tahun 1919 turut menjadi ulama yang terkenal. Semenjak kecil beliau dididik oleh ayahnya di Pondok Haji Mat Saman, Tebing Tinggi sebelum dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Garam (Haji Ahmad Zainal Abidin) di Pondok Gong Datuk.

berguru dengan anak Tok Kenali

Setelah usianya meningkat remaja, beliau dimasukkan pula ke Pondok Kenali yang membolehkannya berguru dengan anak Tok Kenali, Tuan Guru Haji Mat Bangkok (ayah kepada bekas Adun Lundang, Allahyarham Ustaz Mawardi Ahmad) dan juga Tuan Guru Haji Mat Jebeng, anak saudara Tok Kenali.

Pada tahun 1937, Tuan Guru Haji Hussin berpindah pula ke Pondok Bunut Payung dan berguru dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir. Di pondok ini beliau mentelaah selama 10 tahun sehingga diterima oleh gurunya untuk menjadi guru pembantu bersama-sama Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi (Pesuruhjaya PAS Kedah), Tuan Guru Haji Wahid Sungai Udang (Ketua Ulama PAS Melaka), Tuan Guru Hassan Hilmi (anak Tuan Guru Haji Abdullah Tahir) dan lain-lain.

Ketika berada di Bunut Payung, beliau mengambil kesempatan untuk menadah kitab di Surau Tok Khurasan bersama-sama ulama lain ketika itu antaranya Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Tuan Guru Nik Aziz), Tuan Guru Haji Yaakob Gajah Mati, Tuan Guru Haji Nik Lah Wan Musa dan Tuan Guru Nik Aziz sendiri.

Sepuluh tahun kemudian, Tuan Guru Haji Hussin bertolak ke Makkah dan mendapat sentuhan beberapa orang ulama terkenal termasuk Sheikh Yassin al-Fadani yang terkenal itu.

Berkemungkinan beliau sempat belajar di Madrasah Darul Ulum, Makkah tempat di mana Sheikh Yassin menjadi mudir itu. Beliau berada di Makkah selama empat tahun dan kembali ke Kelantan pada 1951. Oleh kerana ketika di Bunut Payung, beliau telah berkahwin dengan Hajah Che Som, anak Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, maka Hussin memilih untuk menjadi guru di Bunut Payung yang lebih besar dan terkenal berbanding pondok ayahnya di Kok Berangan, Wakaf Bunut. Beliau mengajar di Bunut Payung selama 20 tahun iaitu sehingga akhir hayatnya pada 1971.

Di samping menjadi guru di pondok ini, Tuan Guru Haji Hussin turut terlibat bersama iparnya, Tuan Guru Haji Hassan Hilmi dalam menubuhkan Madrasah Sullamiah, Bunut Payung pada 1958 iaitu sebagai sokongan kepada Pondok Bunut Payung. Madrasah ini menggunakan sistem kelas dan pelajarnya boleh menyambung pengajian di Maahad Muhammadi.

Dalam masa yang sama juga, Tuan Guru Haji Hussin cuba menghidupkan semula Jabhah ad-Diiniyah Kelantan yang diasaskan oleh adik-beradik Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dan Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad pada 1937 dahulu. Hasilnya, pada 1957, Persatuan Guru-guru Agama Rakyat Kelantan (PEGERAK) telah berjaya ditubuhkan di Bunut Payung selepas satu perjumpaan di Padang Lepai, Kadok.

PEGERAK dipimpin oleh Ustaz Hassan Idris, adik kepada Mufti Sabah, Haji Ahmad Idris. Ketika Jabhah al-Diiniah masih wujud sebelum beliau berangkat ke Makkah, Tuan Guru Haji Hussin merupakan tenaga penting yang membantu mertuanya menggerakkan jabhah tersebut.

Ekoran penyertaan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dalam PAS pada 1954 diikuti oleh Pondok Bunut Payung menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung PAS ke-4 pada 1955, maka Tuan Guru Haji Hussin telah sama menyertai perjuangan Islam dalam PAS. Pada 1955, beliau terlibat membantu bapa saudaranya, Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad bertanding mewakili PAS di Pasir Mas. Akhinya pada 1959, beliau sendiri menjadi calon PAS bagi Parlimen Kota Bharu Hulu dan menjadi wakil rakyat selama dua penggal berakhir 1969.

Beliau yang pernah menjadi anggota Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, kemudian pada 1962, menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat sehingga 1968. Di samping itu juga, Tuan Guru Haji Hussin turut dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Agama Kerajaan Kelantan (1959-1969) dan selepas tidak menjadi wakil rakyat, beliau berkhidmat sebagai anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan (1969-1971).

Sesudah 20 tahun memberikan jasa dalam bidang pendidikan, politik, pentadbiran awam dan agama, akhirnya pada 17 November 1971, Tuan Guru Haji Hussin meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur dalam usia 52 tahun iaitu setelah jatuh sakit selama sebulan.

Antara murid beliau yang terkenal ialah Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ketua Pemuda PAS Pusat dan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan. Menantunya, Ustaz Yahya Othman, bekas Exco Kerajaan Kelantan yang pernah menjadi Murabbi Tarbiyah PAS dan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS adalah antara waris yang meneruskan perjuangan beliau dalam PAS bagi menegakkan daulah Islam.– tajdid_

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Dosa minum arak lebih berat berbanding manfaat

Posted by epondok di Julai 28, 2009

Oleh Musa Awang

Ulama fekah berbeza pendapat jumlah sebatan bagi kesalahan ambil minuman keras

SUATU masa dulu kita pernah dikejutkan dengan berita tiga anak Melayu menjuarai serta menduduki tempat kedua dan ketiga pertandingan membancuh arak vodka, iaitu pertandingan Belvedere Bartender of the Year 2007 (Malaysia). Pertandingan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran seorang artis Melayu.

Awal Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita yang mengaku bersalah meminum arak.

Isnin lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman sama terhadap seorang model pelancongan selepas mengaku salah meminum arak. Tertuduh didakwa meminum arak jenama Tiger Beer di sebuah pusat pelancongan di Kuantan kira-kira jam 11.40 malam, 11 Julai tahun lalu.
Hukuman dijatuhkan hakim adalah hukuman maksimum mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987, walaupun hukuman sebenarnya menurut pendapat fuqaha adalah lebih berat.

Ulama fekah sependapat mengenai hukuman bagi orang minum arak ialah disebat. Cuma, mereka berbeza pendapat jumlah sebatan. Ada yang mengatakan 80 sebatan, iaitu menurut pendapat Imam Malik, Abu Hanifah dan satu riwayat daripada Imam Ahmad.

Imam Syafie dan satu pendapat daripada Imam Ahmad pula mengatakan kadar hukumannya adalah 40 sebatan. 

Punca perselisihan pendapat ini kerana sungguhpun dalam al-Quran jelas mengenai pengharaman arak tetapi tidak ada ketetapan kadar atau had hukuman yang boleh dikenakan kepada peminum arak.

Begitu juga hadis Nabi SAW dan riwayat sahabat. Ada kalanya Baginda menyebat pesalah hanya beberapa kali sebatan dan ada masa dengan banyak kali tetapi tidak melebihi 40 kali sebatan.

Riwayat daripada Ibn Said al-Khudri dan Ali bahawa Nabi Muhammad menghukum orang yang minum arak sebanyak 40 sebatan. Ketika zaman Saidina Abu Bakar pula, peminum arak disebat 40 sebatan.

Pada zaman Saidina Umar, beliau meminta nasihat daripada sahabat, lalu Abdul Rahman bin Auf berkata: “Seringan-ringan hudud ialah 80 kali sebat.” Kemudian Umar menetapkan hukuman sebanyak 80 sebatan dan sahabat setuju dengan Umar yang mengambil pendapat Abdul Rahman sebagai satu ijmak.

Diriwayatkan daripada Husain bin al-Munzir, ketika Saidina Ali ditugaskan oleh Saidina Uthman untuk menghukum sebat ke atas al-Walid bin Uqbah, beliau berkata: “Rasulullah SAW menghukum sebanyak 40 sebatan begitu juga Saidina Abu Bakar tetapi Saidina Umar menghukum sebanyak 80 sebatan, semuanya adalah sunnah yang ini aku lebih sukai.”

Menyorot sejarah, Islam mengharamkan meminum arak sejak 14 abad lalu. Realitinya, sebelum kedatangan Islam, orang Arab jahiliah adalah peminum arak tegar. Arak dianggap sejenis minuman yang memberikan keseronokan hidup.

Bukan mudah bagi Nabi SAW menghapuskan resam budaya yang sudah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Arab jahiliah, seperti kata-kata isteri Baginda, Saidatina Aisyah yang diriwayatkan Imam Bukhari: “Jika al-Quran mula-mula memberitahu orang Arab supaya jangan meminum khamar (arak) dan tidak berjudi serta melakukan perzinaan, mereka akan berkata: Tidak, kami tidak akan patuh. Cerita kehidupan selepas mati, mengenai syurga dan tamannya yang indah bagi sesiapa yang patuh serta seksaan api neraka bagi yang ingkar hingga hati menjadi lembut, selepas itu diperintahkan berhenti daripada meminum khamar, melakukan perzinaan dan berjudi, maka mereka mematuhinya.”

Oleh itu, arak tidak terus dilarang serta-merta. Ia mengambil tempoh tiga tahun untuk pengharaman arak secara keseluruhannya. Allah menurunkan ayat menerangkan bahawa arak yang diambil daripada buah kurma dan anggur adalah bukan daripada rezeki yang baik.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan daripada buah-buahan kurma dan anggur kamu jadikan daripada minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik.”

Mengenai keburukan arak, Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka bertanya kamu (Muhammad) mengenai khamar dan judi, katakanlah bahawa pada kedua-duanya dosa yang besar dan bermanfaat kepada manusia tetapi dosa kedua-duanya itu lebih besar daripada manfaat.” – (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Kajian saintifik dan ilmiah membuktikan bahawa keburukan arak adalah jauh lebih besar daripada kebaikannya. Arak bukan ubat tetapi sebagai perosak penyakit. Arak boleh merosakkan selaput lendir perut dan menjadi racun yang masuk meresap dengan cepat ke dalam bahagian tubuh manusia terutama jantung dan buah pinggang.

Penyusun Ensiklopedia Islam, Profesor Muhammad Farid Wejdi menjelaskan: “Tidak pernah manusia menerima pukulan paling hebat seperti pukulan arak. Orang terkorban juga ramai disebabkan oleh arak. Jika dibanci orang sakit dalam hospital di seluruh dunia, nescaya yang paling ramai ialah penghidap penyakit gila dan penyakit urat saraf yang disebabkan arak. Orang yang menderita kesakitan urat saraf, kesakitan pundi makanan, kesakitan tali perut adalah disebabkan arak.”

Bagi memastikan umat Islam dikawal dan dijauhi daripada arak, pihak berkuasa perlu memastikan pemberian lesen penjualan arak terkawal dan tidak membabitkan orang Islam secara langsung atau tidak langsung.

Orang Islam sama sekali perlu dilarang bekerja di mana-mana kedai yang ada menjual arak. Menurut syarat pemegang lesen di bawah Seksyen 36 Akta Eksais 1976 (Akta 176), setiap pemegang lesen rumah awam, lesen rumah bir, lesen kedai runcit, atau lesen peniaga borong hendaklah tidak membenarkan pelanggannya meminum arak di kedainya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat mengenai arak, 10 golongan: yang memerahnya, minta diperahkannya, meminumnya, membawanya, minta dihantarnya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya, minta dibelikannya.” – (Hadis riwayat Tarmidzi dan Ibn Majah)

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www.peguamsyarie.org

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pahala taati Ibubapa Lebihi Jihad fi Sabilillah

Posted by epondok di Julai 28, 2009

RAMAI anak yang tidak mengaku apabila dituduh menderhaka kepada ibu bapa. Namun, siapa yang dapat menafikan kebenaran ayat Allah dan hadis Rasulullah SAW yang menyimpulkan bahawa termasuk dosa besar yang kedua selepas syirik ialah apabila seseorang melupakan tanggungjawab menjaga kedua orang tua.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu.” – (Surah Al-Isra’ ayat 23)

Rasulullah SAW lebih jelas menegaskan mengenai dosa besar ini di dalam sabdanya yang bermaksud: Mahukah kamu aku khabarkan tentang dosa besar? Kami (sahabat menjawab: Ya, tentu wahai Rasulullah. Beliau bersabda: Ada tiga, iaitu menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan ucapan dusta dan kesaksian dusta, Baginda mengulanginya berkali-kali sehingga kami berkata mudah-mudahan baginda diam.” – (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

 

Semua anak mengaku mereka sudah memenuhi hak kedua ibu bapanya walaupun hati tak merindu, jauh sekali khuatir, sedih dan pilu mengenang keuzuran kedua orang, pemegang kunci syurga mereka di akhirat nanti. Bahkan anak dunia itu seolah-olah tidak mahukan akhirat.

Lantas mereka lalai dan lupa akibat mengejar cita-cita dunia sehingga tak tersisa sedikit pun ruang untuk ayah dan ibu di dalam hati. Hati yang sentiasa sibuk, memberi kesan pada wajah mereka yang kian suram apabila berdepan dengan ayah dan ibu. Mereka lebih rela menjadi tanda-tanda dekatnya kiamat dengan berlaku derhaka daripada harus menanggung beban hidup bersama orang tua.

Pelbagai alasan dicipta untuk menghalalkan keuzuran mereka daripada menjaga ibu bapa, tetapi di sudut hati nurani anak-anak manusia siapakah kiranya yang boleh melepaskan diri daripada kenangan kasih sayang ibu bapa ketika kecilnya.

Mereka juga berselindung di sebalik amal salih yang lain, sebahagiannya ahli tahajjud, setia membaca al-Quran, ahli masjid, istiqamah mengerjakan haji dan umrah, ahli sedekah dan puasa. Tetapi, mereka membuat hati ibu bapa menangis, jiwa mereka terdera dan impian hari tua yang indah bagi mereka hancur berkecai.

Padahal keutamaan berkhidmat kepada orang tua melebihi pahala jihad fisabilillah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud beliau berkata: “Saya bertanya kepada Nabi SAW. “Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda bersabda: Solat pada waktunya, saya bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbuat baik kepada kedua orang tua. Saya bertanya: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjihad di jalan Allah.” – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ironinya mereka mengejar pahala ibadat sunat tetapi yang wajib ditinggalkan. Kewajipan berkhidmat kepada ibu bapa mereka dianggap bukan ibadat melainkan hanya adat kehidupan manusia. Maka jika mereka lalai mengingati kedua-duanya, tidak ada kekesalan di dalam hati, tidak rasa berdosa dan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sungguh penyelewengan yang tidak disedari, melainkan apabila keduanya kembali ke rahmatullah. Lalu anak-anak itu secara tabienya menjadi ibu dan bapa generasi baru. Dia merasai sakit menjaga dan mendidik anak seperti ibu bapa dulu. Akhirnya dia sedar betapa seksa diderhaka dan dibuang bagaikan al-Quran usang.

Bukan hanya ibu bapa yang terguris hati, Rasulullah SAW pun pernah menitiskan air mata mendengar pengaduan seorang lelaki tua mengenai anaknya yang menderhaka. “Wahai Rasulullah, anakku telah aku didik tetapi setelah dewasa dia menzalimiku. Lelaki itu kemudian menyatakan kesedihannya dengan untaian syair yang memilukan:

“Ketika engkau masih kecil, tangan ini yang memberimu makan.

“Engkau minum juga aku yang tuangkan. Apabila dirimu sakit, aku berjaga semalaman.

“Kerana sakitmu itu aku mengeluh kerisauan. Tetapi, di saat engkau dewasa dan mencapai tujuan.

“Kulihat pada dirimu apa yang tak ku harapkan. Kau balas aku dengan kekasaran.

“Seakan-akan nikmat dan anugerah engkau yang berikan.”

Mendengar bait-bait syair lelaki tua itu, berlinanganlah air mata Rasulullah SAW seraya bersabda yang bermaksud: Kamu dan hartamu milik ayahmu.” – (Ditakhrij oleh Ibnu Majah 2357, Imam Ahmad dalam al-Musnad 6883, Ibnu Hibban dalam sahihnya 409, 4182. Al-Baihaqi dalam al-Sunan 16054)

Pelbagai takrifan diberi ulama mengenai tanda-tanda derhaka kepada orang tua seperti memutuskan hubungan dengan tidak mahu menziarahi mereka, tidak memberi nafkah, tidak memenuhi hak-hak mereka dan tidak mentaati mereka pada hal yang bukan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sesungguhnya kasih sayang yang paling ikhlas tanpa syarat hanyalah kasih sayang ibu bapa. Anak yang salih dituntut untuk membalas jasa mereka dengan adab dan akhlak yang baik. Kadang-kadang seulas senyuman dan kata-kata yang lembut lebih berharga daripada wang ringgit serta barangan berharga.

Namun tidak dinafi juga kepentingan hadiah sebagai pengikat jiwa. Sikap mementingkan diri sehingga membiarkan ibu bapa hidup susah di sebalik kemewahan seorang anak sememangnya menunjukkan sifat tidak mengenang budi. Jika boleh dihitung berapa juta ringgit yang mesti dibayar, sudah tentu jasa ibu bapa tak akan terbayar dengan sebarang jenis mata wang pun di dunia ini.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »