Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 21 Julai 2009

Gerhana matahari separa esok Rabu 22 Julai 2009

Posted by epondok di Julai 21, 2009

KUALA LUMPUR 21 Julai – Gerhana matahari separa akan dapat dilihat di Malaysia secara minimum pagi esok.

Gerhana matahari separa itu, yang amat sukar dicerap dengan mata kasar, akan berlaku pada 8.23 pagi dan berakhir pada 9.48 pagi.

“Bagaimanapun hanya lebih kurang 17.8 peratus sahaja kawasan permukaan matahari akan ditutupi oleh bulan semasa gerhana separa itu berlaku,” kata Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa (UPSA) ANGKASA, Mhd. Fairos Asillam, dalam satu kenyataan hari ini.

Kawasan utara semenanjung merupakan kawasan yang terbaik untuk mencerap gerhana matahari separa itu, katanya.

Dalam abad ini, penduduk Malaysia akan dapat menikmati gerhana matahari separa pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019, katanya.

Kejadian gerhana itu berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang merupakan gerhana matahari terpanjang di abad ini.

– BERNAMA

Posted in Artikel Pilihan | 3 Comments »

SOLAT GERHANA MATAHARI

Posted by epondok di Julai 21, 2009

 

 

Definasi Kusuf dan Khusuf

Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu’nya atau keseluruhannya.

Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu’ atau pun keseluruhannya.

Ada juga ulama’ yang berpendapat sebaliknya dan ramai ulama’ yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.

Hukum Solat Gerhana Matahari

Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan sebagaimana difahami daripada hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.

Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah s.a.w pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana.Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia. Rasulullah s.a.w telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan kekuasaan Allah dalam membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik.

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami’ah!!

Kaifiyat Solat Gerhana

Niatnya : Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta’ala – (Jika solat seorang diri)

Dan : Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala – (Jika berimam)

Pertama : Cara yang biasa

Solat dua rakaat di mana setiap rakaat mestilah mempunyai 2 kali qiam(berdiri) , 2 kali membaca surah, 2 kali rukuk yang mana kesemuanya dilakukan secara biasa tanpa memanjangkannya.Jadi untuk 2 rakaat kita hendaklah mempunyai 4 qiam(berdiri), 4 kali membaca surah dan 4 kali rukuk kesemuanya.

Sah juga dilkakukan solat sunat gerhana ini sebagaimana solat Jumaat atau solat sunat biasa dengan 2 rakaat, 2 qiam dan 2 rukuk tetapi ia telah meninggalkan fadhilat sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Kedua : Cara yang paling lengkap atau afdhal

Dilakukan dua rakaat dengan membaca surah yang panjang pada kedua-dua qiam bagi setiap rakaat seperti pada rakaat pertama dalam qiam pertama selepas surah Fatihah dibaca surah al-baqarah atau surah lain yang sama panjang dengannya. Pada qiam kedua dalam rakaat pertama pula dibaca apa sahaja ayat yang menyamai 200 ayat. Dalam qiam pertama untuk rakaat kedua selepas Fatihah dibaca sebanyak 150 ayat dan pada qiam kedua pula dibaca 100 ayat daripada mana-mana surah daripada al-Quran. Kemudian ketika rukuk dipanjangkan sehingga menyamai 100 ayat dan ketika rukuk kedua pula menyamai 80 ayat. Untuk rukuk ketiga iaitu pada rakaat kedua menyamai 70 ayat dan rukuk keempat menyamai 50 ayat. Inilah dia kaifiyat atau pun cara yang paling sempurna dan afdhal.

Selepas selesai menunaikan sunat dua rakaat gerhana maka disunatkan untuk membaca dua khutbah sebagaimana khutbah Jumaat dari segi rukun dan syaratnya. Di dalamnya disentuh masalah taubat, melakukan kebaikan dan juga memberi amaran agar umat Islam menjauhkan diri daripada lalai dan lupa kepada Pencipta iaitu Allah.

Cara Bacaan Ketika Solat Gerhana

Pertama : Bagi solat sunat gerhana matahari, bacaannya adalah secara perlahan atau senyap

Hadis daripada imam Tarmizi daripada Samurah bin Jundub telah berkata : Nabi s.a.w telah sembahyang dengan kami pada kusuf (gerhana matahari) tidak didengari baginya suara.

Kedua  : Bagi solat sunat gerhana bulan pula, bacaaannya adalah secara kuat

Hadis diriwayatkan daripada imam Bukhari dan Muslim daripada ‘Aisyah : Nabi s.a.w telah membaca secara kuat dalam solat khusuf (gerhana bulan) dengan bacaannya.

Daripada kedua-dua hadis ini memberi kefahaman kepada kita bagaimana solat gerhana matahari dibaca perlahan kerana ia ditunaikan pada waktu siang.Manakala solat sunat gerhana bulan dilakukan pada waktu malam yang menyebabkan ia dibaca secara kuat.

Mandi Sunat Gerhana

Disunatkan kepada kita untuk mandi sebelum solat sunat gerhana sebagaimana hari Jumaat kerana kita mahu keluar untuk solat berjemaah.


Bibiografi

1. Al-Feqhul Minhaji, karangan Profesor Mustafa Al-Khan dan sahabatnya, Darul Qalam

Posted in Klinik Agama | 2 Comments »

7 Keadaan Mayat Dalam Kubur

Posted by epondok di Julai 21, 2009

Oleh Ustaz Kita

Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, “Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat.”

Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?” tanya pemuda itu.

” Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain,” jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, ” Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?”

Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,”

Pemuda itu menyambung lagi, ” Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Pabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu.”

” Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda,” balas ahli ibadah itu lagi.

” Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?”

Jawab ahli ibadah itu, ” Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya.”

” Ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya,” sambung pemuda itu.

” Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda,” jelas ahli ibadah tersebut.

” Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya,”

” Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya,” jawab ahli ibadah tadi.

” Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?” tanya pemuda itu lagi.

Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya.”

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua’lam..

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »