Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 18 Julai 2009

Titisan darah umat Islam China terbiar?

Posted by epondok di Julai 18, 2009

Shirzad Lifeboat
TATKALA seorang penulis kembara British, Peter Fleming tiba di Xinjiang pada Ogos 1935, Republik Turkistan Timur telahpun diisytiharkan di bandar Kashgar sebelum ia ditukar kepada Turkistan Timur atau Uyghuristan.Fleming yang sanggup mengembara selama tujuh bulan dari London untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku di wilayah China yang dilatar belakangi oleh Banjaran Pamir ini mendapati betapa Islam bertapak di sini sejak pertengahan kurun ke-9 lagi dalam bentuk penempatan dan penguasaan kaum Uyghur.Ketibaan Fleming di Xinjiang disambut dengan saki baki rusuhan yang berlaku di antara kaum Uyghur, kumpulan Turkis lain, kaum Rusia Islam dan kaum Hui (kaum China Islam) terhadap kerajaan revolusi China yang berjaya merampas kuasa dari Maharaja Puyi daripada Dinasti Qing, maharaja dan dinasti terakhir China dalam Revolusi 1911.

Bagi Fleming, pencetus revolusi yang kononnya mahu menghapuskan rasuah dan kemungkaran lain dalam Dinasti Qing sebenarnya tidak lebih daripada sekumpulan manusia yang rakus dan obses dengan doktrin komunism yang sedang mereka majukan.

Fleming yang mengabadikan pengalamannya di Xinjiang dalam buku News From Tartary: A Journey From Peking to Kashmir (1936) antara lain menulis: “Saya tidak tahu, dan tidak memperdulikan, mengenai teori politik, kecurangan dan penipuan, penindasan dan ketidakcekapan, yang telah dilakukan kerajaan, apa yang menjadi perhatian saya ialah manifestasi konkrit kerajaan, serta impaknya terhadap kemanusiaan dan bukannya mengenai asal-usul doktrin utama yang cukup samar.”

Sesungguhnya politik China sedang hilang pedoman ketika itu. Penghapusan sistem kerajaan beraja mutlak dan pengaruh Barat mengakibatkan pencetus revolusi mencari-cari apakah sistem yang harus digunakan bagi menggantikan sistem yang telah dipakai sejak 2852 SM.

Namun atas sebab yang diketahui sendiri atau tidak diketahui pencetus revolusi dan pewaris mereka, doktrin komunisme yang belum teruji di bumi China menjadi pilihan utama walaupun ketika itu sistem Islam sudah bertapak di bumi tersebut seawal 650 Masehi selepas bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w., Saad Abi Waqqas diutus menemui Maharaja Gaozong oleh Khalifah Uthman Affan. Sejak itu, Islam mempunyai pengaruh yang besar.

Walaupun doktrin Marxisme menganggap “agama adalah sebagai dadah kepada masyarakat”, namun doktrin komunis yang digunakan kerajaan China, malah setelah tertubuhnya Republik Rakyat China pada 1949, tidak dapat menolak Islam walaupun pelbagai usaha dan keganasan dilakukan ke atas rakyat beragama Islam yang dianggarkan 100 juta kini.

Usaha terbaru penghapusan etnik sudah tentulah sebagaimana keganasan yang tercetus di Xinjiang bermula Januari 2007 dan kini apabila Wilayah Autonomi Xinjiang itu kembali bergolak, media China yang dikuasai kerajaan sekali lagi cuba menyembunyikan kebenaran.

Menurut agensi berita China, Xinhua, jumlah penduduk Islam yang terkorban dalam keganasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara itu 7 Julai lalu adalah 156 sebagaimana dipetik Reuters.

Namun demikian aktivis Uyghur mendakwa media China berusaha menggambarkan laporan itu agar menyebelahi mereka menerusi apa yang disebut pakar media China di Hong Kong sebagai ‘Control 2.0’.

Tindakan terhadap kaum Uyghur

Menurut David Bandurksi, editor Projek Web Media China, “Dengan menyalurkan keluar berita sebenar, penyaluran media asal kepada Xinhua akan diperbesar-besarkan bagi menunjukkan tindakan kerajaan China adalah betul dan berita ini digunakan oleh agensi lain termasuk AFP, Reuters, AP dan lain-lain.”

Taktik sama digunakan oleh China apabila pihak polisnya mengambil tindakan terhadap kaum Uyghur di bandar Shishou Jun lalu.

Berdasarkan penyaluran laporan (news feed) dengan cara sama, hampir semua akhbar di seluruh dunia melaporkan keganasan berpunca daripada rusuhan yang dimulakan kaum Uyghur dan penduduk Islam lain di situ.

Bagaimanapun seorang wartawan Reporters Without Borders di New York mendapati lebih daripada 50 laman forum berbahasa Uyghur di Internet ditutup secara tiba-tiba termasuk Twitter.

Menurut wartawan tersebut, “Hubungan rakyat wilayah tersebut dengan dunia luar telah terputus sama sekali dan dunia mungkin tidak mendapat gambaran apa yang sebenarnya sedang berlaku.”

Bagi masyarakat Uyghur di Kanada pula, sejak seminggu lalu sahabat-sahabat dan keluarga mereka di Xianjiang telah hilang dari perkhidmatan messenger internet, tidak menjawab telefon bimbit mereka, tidak membalas e-mel dan malah talian telefon juga sentiasa sibuk.

Mereka yang sempat menerima laporan menerusi e-mel atau berhubung menerusi messenger menceritakan bagaimana polis China telah datang ke setiap rumah di Xinjiang dan menangkap penduduk lelaki Uyghur.

Bagaimanapun media China tidak melaporkan semua ini dan tidak menyebut bagaimana wanita Islam di Xinjiang telah merayu kepada polis di hadapan para pemberita agar membebaskan suami mereka.

Paling ketara kebanyakan laporan yang berpunca dari Xinhua tidak menyebut secara jelas apakah punca sebenar krisis yang melanda Xinjiang.

Menurut Rukiye Turdesh, Presiden Persatuan Uyghur Kanada, �Kebanyakan media menyiarkan laporan berat sebelah. Mereka tidak menunjukkan gambar bagaimana kaum Uyghur dibunuh. Mereka tidak menyebut apa-apa tentang Uyghur. Mereka hanya mengatakan puak China telah dibelasah, dan media di seluruh dunia melaporkannya.�

Satu kenyataan dari laman web Kongres Uyghur Dunia mengatakan menurut saksi, pasukan separa tentera China telah menembak penunjuk perasaan pada 5 Julai lalu.

Menurut Radio Free Asia, sumber yang dipetik dari Hinjiang University mengatakan hampir 400 umat Islam Uyghur mati di tangan pasukan para tentera tersebut.

Nyata terdapat percanggahan di antara berita yang dilaporkan oleh Xinhua dengan apa yang berlaku sebenarnya. Hal ini mengundang kutukan dunia terhadap kezaliman yang dilakukan oleh pihak berkuasa Republik Rakyat China terhadap umat Islam Ugyhur.

Dalam kesungguhan China menyembunyikan fakta sebenarnya mengenai pengaruh Islam yang sedang berkembang di negara itu dan dalam kebimbangan ia akan menimbulkan konflik dengan doktrin komunisme satu ketika nanti, kerajaan China terlupa, tindakan ganas yang dilakukan mereka kini tidak sama sebagaimana demonstrasi dan rusuhan yang berlaku di sini pada tahun 1935.

Sementara kerajaan China mungkin boleh mengharamkan bendera Islam daripada dikibarkan oleh umat Islam Xinjiang, namun mereka tidak dapat menghalang cerita sebenarnya daripada diketahui oleh dunia luar.

Mungkin China merasakan masih banyak tabir dan tembok yang menghalang masyarakat dunia melihat kebenaran, tetapi mereka terlupa, dalam era ICT ini, jika Peter Fleming masih hidup, beliau sudah tentu akan mengetahui jauh lebih banyak maklumat termasuk maklumat masa sebenar dalam masa tujuh minit sahaja berbanding dengan tujuh bulan perjalanan ke Xinjiang. – azm_

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Kemelut Selatan Thai perlu rencana tersusun

Posted by epondok di Julai 18, 2009

Arifin Mahmud
Selesai Jumaat kelmarin lapan mahasiswa ditahan polis berikutan demonstrasi yang mereka adakan selepas solat Jumaat dan laman Mahasiswakini.com melaporkan bahawa kumpulan mahasiswa berkenaan membuat aksi itu di depan Kedutaan Thailand.Aksi itu dilakukan sebagai maklumbalas terhadap isu pembunuhan umat Melayu Muslim di Selatan Thai baru-baru ini di Kg Air Tempayan, Narathiwat pada 8 Jun lalu. Cara serangan itu dilakukan dengan begitu terlatih menyebabkan ramai pihak melihat bahawa tentera berkemungkinan melakukan keganasan tersebut.Menurut laporan laman itu, antara siswa yang turut ditahan ialah Shazni Munir Ithnin yang dikatakan terlibat dalam kes ‘anti-Rosmah’.

Daripada lapan siswa itu, antara lain yang turut ditahan ialah Mohd Shafie Hashim dan Lee Song Yong. Enam siswa dibawa ke Balai Polis Sentul manakala dua siswi lagi dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk soal siasat, demikian menurut laman tersebut.

Dipercayai suasana demonstrasi bermula aman tapi situasi tegang dicetuskan polis apabila menarik kasar seorang mahasiswa. Dua mahasiswi berkenaan ditangkap tanpa usul periksa semasa mereka sedang berehat setelah demonstrasi berkenaan bersurai.

Sebagai yang dijangka, pihak penguatkuasa ketika membuat tangkapan akan menggunakan alasan bahawa perhimpunan tersebut tidak memiliki permit.

Ketua penyiasat kes ASP Aziz memberitahu bahawa kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 27 Akta Polis kerana menyertai perhimpunan haram, laman itu menjelaskan.

Disusuli forum pada sebelah malamnya

Sebenarnya, acara mereka tidak hanya terhenti di situ. Pada sebelah malamnya, kumpulan mahasiswa itu bercadang untuk mengadakan Forum Kesedaran Isu Pembunuhan Muslim Selatan Thailand yang dijadualkan berlangsung di Masjid ar-Rahman Universiti Malaya.

“Berlangsung atau tidak forum itu, tak dapat dipastikan dengan sebab insiden ini,” isi kandungan laman itu dipetik.

Mahasiswa beri tempoh tiga hari

Demonstrasi yang bermula selepas solat Jumaat tadi disertai 200 mahasiswa daripada beberapa barisan mahasiswa seperti Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami).

Mahasiswakini melaporkan bahawa mereka menghantar memorandum kepada wakil konsulat kerajaan Thailand walaupun timbul keraguan kerana wakil konsulat yang menerima memorandum tersebut tidak mahu memperkenal diri.

Namun, ada riak dan nada serius di sebalik perhimpunan tersebut. Khasnya, ketika perkumpulan mahasiswa itu memberikan tempoh kepada pihak Kedutaan Thailand untuk menjelaskan situasi sebenar di sebalik peristiwa Kg Air Tempayan itu.

Jurucakap perkumpulan mahasiswa berkenaan, Mohd Idris berkata, mahasiswa beri tempoh tiga hari agar kerajaan Thailand dapat memberikan maklumbalas terhadap isu yang berlaku di wilayah berkenaan kira-kira sebulan yang lalu.

Hal ini bermaksud, pihak kedutaan perlu tampil memberikan penjelasan kepada perkumpulan mahasiswa tersebut pada Isnin depan. Namun, dengan keadaan mereka sendiri meragui wakil kedutaan yang menerima memorandum tersebut, adakah kedutaan dapat menunaikan permintaan mereka? Apakah memorandum tersebut benar-benar diteliti?

Demonstrasi dan forum kini seolah-olahnya telah menjadi tindakan biasa untuk menekan kedutaan. Yang paling utama kini, apakah sudah wujud suatu kumpulan pendesak yang bertugas membawa isu ini ke meja rundingan supaya selalu ada muhasabah untuk mengkaji di mana ruang kelemahan yang perlu diperbaiki dan di mana ruang kekuatan yang perlu diperteguhkan.

Hal ini juga yang sepatutnya turut diambil perhatian oleh kalangan lebih 200 mahasiswa yang prihatin terhadap masalah di Selatan Thai itu.

Seperti biasa, kita boleh juga mencatatkan betapa ramainya polis dan FRU bersama trak dan kereta peronda yang mengawal kawasan kedutaan berkenaan.

Tetapi, hal bersifat intelektual, mungkin usaha menubuhkan kumpulan mahasiswa universiti yang akan membuat penelitian terhadap perkembangan Selatan Thai dari semasa ke semasa adalah suatu yang penting.

Banyak maklumat yang kita kerap ketinggalan terhadap jejak-jejak tindakan sebelum ini, khasnya yang berkaitan dengan usaha-usaha memperbaiki masalah umat Melayu Muslim di Selatan Thai itu.

Misalnya, dengan tenaga mahasiswa, anak muda dan belia yang ramai ini, adakah boleh disusun usaha menemubual, membuat pungutan suara ke atas rakyat di wilayah bergolak itu, samada mereka bersedia untuk merdeka atau tidak daripada kuasa Thai dan lain-lain persoalan lagi.

Jika autonomi tak diberi, merdekalah jalan penyelesaiannya

Sementara itu, ada pendapat menyatakan bahawa autonomi untuk tiga wilayah bergolak di Selatan Thai dan pengagihan kuasa pusat kepada rakyat tempatan adalah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik yang berpanjangan di situ.

Seorang cendekiawan Thai dan penyokong keamanan Praves Wasi, dari Institut King Prajadhipok berkata struktur kuasa pada masa ini yang berpusat di Bangkok tidak sesuai untuk masyarakat majmuk seperti Thai.

Tambah beliau, punca sebenar yang menyebabkan konflik di situ berpanjangan ialah penggunaan satu struktur kuasa di negara itu.

“Perlu ada pentadbiran bersama melalui pengagihan kuasa pusat. Bukan hanya di tiga wilayah selatan itu, tetapi juga di wilayah lain kerana kita mempunyai masyarakat yang pelbagai dengan budaya, agama dan bahasa yang berbeza,” katanya.

Selain Praves Wasi itu, kita boleh meneliti kuasa-kuasa intelektual seorang ahli sejarah terkemuka, Charnvit Kasetsiri dari Universiti Thammasart, di Bangkok yang pernah membuat bantahan ke atas Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva dan beberapa jawatankuasa politik lainnya untuk menukar nama negara Thailand kepada nama asalnya; Siam.

Sebetulnya, pengaruh intelektual kalangan cendekiawan Thai sendiri mungkin sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam urusan menangani kemelut di Selatan Thai itu.

Pendekatan demonstrasi, forum dan bengkel ini boleh diterus dan kita perlu pelbagaikan rundingan, pertemuan dengan kalangan tokoh-tokoh cendekiawan Thai sendiri berhubung hal ini.

Sekali lagi, di atas bahu anak-anak muda, belia dan mahasiswa inilah terletaknya beberapa harapan besar ketika sejuta masalah yang terbelenggu di dada umat ini gagal diselesaikan melalui jalan politik dan politikus yang tidak jujur.

Jadikanlah ujian ditahan polis baru-baru ini sebagai suatu langkah permulaan untuk menyusun batu-bata perjuangan pada mada hadapan. _

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »