Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Julai 2009

Judi ‘ibu’ segala perbuatan jijik, binasakan hidup

Posted by epondok di Julai 31, 2009

Nik Salida Suhaila Nik Saleh

REALITINYA, tiada siapa yang inginkan kehidupan yang sukar, apatah lagi kesempitan wang ringgit untuk menanggung kehidupan. Justeru, kita berusaha mencari rezeki sedaya yang boleh untuk kesenangan tanggungan yang kita lahirkan, bukan meninggalkan mereka kesusahan dan kepayahan

Kerja keras dan tidak berkira dengan keringat yang luruh sudah tentu mendapat ganjaran setimpal, berbanding menunggu durian runtuh, tetapi putik pula yang jatuh. Punca rezeki halal yang terbentang di depan mata sering kali menjadikan si pencari serba salah untuk memilih.

Tetapi ada pula yang tertarik dengan cara yang dilarang agama. Hari ini, kisah kecurian, rompakan, ragut, pukau, skim cepat kaya, penipuan dan rasuah sudah menjadi sebahagian punca rezeki. Ia berpunca daripada kejahilan manusia mengenai dosa dan pahala, serta syurga dan neraka.

Berjudi, antara ‘kerjaya’ yang dipilih, salah satunya bertujuan untuk menjadi cepat kaya turut mendapat tempat di hati sebilangan umat Islam hari ini. Ia dapat dibuktikan dengan kemeriahan kedai judi, loteri dan pusat perjudian yang dikunjungi penganut agama Islam, waima pada hari Jumaat sewaktu saudara seagama lain sedang khusyuk bersolat di masjid.

Islam melarang segala bentuk perjudian atau perbuatan mempertaruhkan wang atau apa saja sebagai taruhan yang akhirnya seseorang yang menang atau berjaya dalam taruhan akan mendapat kesemua harta taruhan itu.

Perbuatan bertaruh menyebabkan seseorang malas berusaha, suka menimbulkan permusuhan sesama sendiri bahkan tidak mengingati Allah SWT, sebaliknya mengharapkan ‘kuasa’ lain yang boleh memberi kemenangan kepada mereka dalam perjudian.

Judi atau ‘al-maysir’ diharamkan dalam Islam kerana ia satu perbuatan yang sangat keji dan punca kepada kegagalan hidup seseorang. Allah berfirman dalam Surah Al-Maaidah, ayat 90 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundai nasib dengan batang-batang anak panah, adalah kotor dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.

Kerana perbuatan syaitan, judi menjadi racun dalam diri seseorang manusia. Daripada judi, seseorang itu boleh bertikam lidah, menjadi tamak bahkan boleh berbunuhan kerana sengketa. Orang yang berjudi juga akan melupakan tanggungjawab diri sendiri, apatah lagi tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat, negara dan agama.

Ketagihan yang ditanggung kerana gila judi menyebabkan kaki judi juga tidak serik untuk terus mencuba sehingga berjaya, tetapi kekurangan wang dan harta untuk dijadikan taruhan membuatkan mereka tidak keberatan pula untuk mencuri atau merompak bagi mendapatkan modal.

Ada yang agak ‘baik’ tidaklah pula sampai melakukan kegiatan jenayah tetapi meminjam wang daripada along yang akhirnya berakhir dengan jenayah juga.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”.

Allah juga berfirman dalam Surah Al-Maaidah yang mafhumnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?”

Peluang yang ada untuk sesiapa saja yang berusaha mendapat rezeki halal untuk memenuhi keperluan buat diri sendiri dan ahli keluarga yang ditanggung perlu dilihat secara positif. Kita juga harus percaya bahawa rezeki yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang yang berusaha keras untuk mendapatkannya dengan jalan halal adalah rezeki yang berkat dan ia tidak sama dengan apa juga yang diperoleh daripada sumber dilarang.

Ia bukan saja untuk menjamin kehidupan lebih baik di dunia ini, malah juga di akhirat nanti. Sebaliknya, apabila seseorang menjadikan judi sebagai punca rezeki, pastinya ia sentiasa mengharapkan kekayaan datang sendiri, tiada usaha dan ikhtiar untuk menabur bakti, apatah lagi berkhidmat kepada pertiwi, tetapi hanya menunggu dan menanti, kalau-kalau khayalan bakal menjadi realiti.

Padahnya lagi, ia bukan saja membinasakan diri sendiri, bahkan juga orang yang disayangi kerana penjudi akan dikeji dan dibenci.

Penulis ialah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

10 Gambaran Perempuan Dalam Neraka

Posted by epondok di Julai 30, 2009

1. Perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak kerana tidak menutup rambut daripada bukan mahramnya.

 2. Perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dicurah ke dalam halkumnya (tengkok) kerana  menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya

 3. Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya

 4. Perempuan kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya

 5. Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid dan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang

 6. Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana dia memperkenalkan dirinya kepada orang asing (halal nikah), bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain

 7. Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana dia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah

 8. Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta

 9. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya

 10. Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Antara kesan Solat Dalam Kehidupan

Posted by epondok di Julai 30, 2009

1. Mendidik dan melatih diri menjadi tenang dan pemurah

 2. Mengingati Allah S.W.T setiap ketika dan mengajar kita untuk memperbanyakkan zikir dan doa

 3. Menghalang daripada melakukan kerosakan dan kemungkaran sehingga melahirkan masyarakat yang sejahtera

 4. Disiplin dengan jaga waktu

 5. Kesihatan dengan pergerakan dalam solat

 6. Solat berjemaah melahirkan kesatuan umat dan kasih sayang serta tolong menolong atas kebaikan

 7. Solat mendatangkan kemenangan dunia dan akhirat

 8. Berhimpun sambil dengar pesanan kebaikan terutama pada hari Jumaat dan hari raya

 9. Belajar mentaati pemimpin melalui solat berjemaah

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tuan Guru Haji Bidin Terengganu

Posted by epondok di Julai 30, 2009

Mohd Fadli Ghani
PAS Terengganu telah mengadakan sambutan Jubli Emasnya di Dungun dua tahun lalu. Sambutan ini dibuat di tempat ia ditubuhkan iaitu Surau Haji Bidin, Sura Gate. Kira-kira 50 tahun sebelum itu, iaitu pada 6 Julai 1956, satu perjumpaan 24 orang pemuda Islam telah diadakan di surau ini yang dikenali juga sebagai Madrasah az-Zainiyah dengan dipimpin oleh Tuan Guru Haji Bidin.Dalam perjumpaan ini, cawangan PAS yang pertama di Terengganu telah berjaya ditubuhkan dan dinamakan sebagai PAS Cawangan Dungun dengan Tuan Guru Haji Bidin sebagai Yang Dipertuanya. Inilah bermulanya sejarah PAS Terengganu sebelum ia menjadi kubu kuat PAS hari ini.Tuan Guru Haji Bidin atau nama sebenarnya, Zainal Abidin bin Aman bin Mat Ali ialah seorang ulama yang terkenal di Terengganu. Beliau dilahirkan pada 1893 di Kampung Tasik, Wau, Ulu Dungun. Ibunya, Saadiah Jaafar ialah seorang ibu tunggal setelah suaminya meninggal dunia, tetapi kemudian berkahwin dengan Hamzah, iaitu datuk kepada bekas Bendahari Agung PAS, Ustaz Abdul Wahab Yunus.Haji Bidin menjadi anak yatim semenjak kecil, tetapi mendapat didikan agama daripada ibunya. Ketika berusia 11 tahun, belia dihantar belajar dengan Haji Taib Hassan dan Ustaz Baki Awang di Kampung Sindol. Pada 1906, beliau memasuki Pondok Pulau Serai dan berguru dengan Tuan Guru Haji Yusof bin Lebai Isa selama enam tahun.

ImageSetelah itu beliau berhijah pula ke Pondok Losong untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong yang terkenal itu. Dua tahun di pondok ini, pada 1914, Haji Bidin berpindah ke Kelantan kerana tertarik dengan kemasyhuran Tok Kenali. Beliau sempat berguru dengan Tok Kenali di Pondok Kenali sehingga 1926. Beliau sempat belajar bersama-sama Sheikh Idris Marbawi dan Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Mursyidul Am PAS).

Di samping itu, beliau berulang-alik ke Masjid Muhammadi kerana berguru dengan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Haji Yaakub Legor. Di Pondok Kenali ini, Haji Bidin telah menjadi kepala telaah dan sempat mengajar Mufti Haji Ahmad Maher selama enam tahun. Pengajian beliau tamat pada 1926 kerana Tok Kenali menyuruh beliau balik ke Dungun membuka pondok.

Selepas beberapa ketika mengembara, sekitar 1927, Haji Bidin mula mengajar dan membuka pondok di Hulu Sungai Penaga. Ketika yang sama beliau telah dilantik menjadi Imam Muda Masjid Kampung Tengah, Kuala Dungun. Ketika menjadi imam di sini, Haji Bidin telah berhadapan dengan beberapa masalah amalan khurafat dan ajaran sesat, tetapi berkat usaha gigihnya, beliau berjaya mengatasi masalah ini.

Tujuh tahun kemudian, Haji Bidin telah membuka pondok baru di satu kawasan yang dikenali sebagai Tanah Lot. Pada 1938, sebuah madrasah telah berjaya disiapkan sebagai tempat pengajian. Bagaimanapun, beliau kekal sebagai imam di Kampung Tengah sehingga 1951. Selepas bersara sebagai imam, Haji Bidin sekali lagi memindahkan pondoknya ke Sura Gate, dan mendirikan pusat pengajian yang dikenali sebagai Madrasah az-Zainiyah yang suraunya masih wujud hingga hari ini.

Haji Bidin mengajar beberapa cabang ilmu yang penting dalam pengajian Islam seperti fiqh, hadis, nahu, tafsir, balaghah, mantiq dan lain-lain. Antara kitab yang diajar oleh beliau ialah Matan Ajrumiah, Azhari, Qatr, Syuzuz al-Zahab, Ibnu Aqil, Asymuni, Sittin, Fathul Muin, Tahrir, Mahalli, Iqna�, Fathul Wahab, Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Ibni Ibad, Iqaz al-Himam, Jauhar al-Mauhub, Siyarus Salikin dan lain-lain.

Beliau juga berjaya melahirkan ramai murid yang terkenal termasuk Ustaz Omar Shukri Embong (bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ahli Parlimen Dungun yang juga pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Haji Bidin, selain terkenal kerana alim dalam bidang agama dan menjadi imam di masjid, turut dihormati kerana memiliki keramat tertentu. Banyak cerita yang diriwayatkan tentang keramat yang dimiliki oleh beliau, antaranya tidak ditimpa hujan ketika menaiki perahu bersama kitab-kitabnya walau hujan sedang lebat. Pernah juga berlaku percubaan melanggar beliau dengan kereta, tetapi niat jahat itu terhalang kerana enjin kereta tersebut mati dan ia hanya boleh dihidupkan setelah orang tersebut memohon maaf kepadanya.

Beliau juga dikatakan boleh mengangkat kayu besar seorang diri. Cerita-cerita kekeramatan beliau ini telah menyebabkan beliau amat disegani oleh masyarakat di Dungun. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang warak, lemah lembut, tidak pemarah dan tidak suka bercakap banyak. Beliau dikatakan mengikut perangai Tok Kenali.

Kerana gurunya seorang yang minat politik, Haji Bidin turut mewarisi minat ini di mana beliau semenjak di Kenali lagi sudah mula menulis dalam akhbar Majlis. Beliau tertarik dengan perkembangan politik di Istanbul tetapi keras menolak fahaman sekular yang dibawa oleh Mustafa Kamal Ataturk.

Sejak muda, kecenderungan beliau adalah politik Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Tetapi pada peringkat awal, beliau menyokong Umno untuk menghalau British, bahkan turut berkempen dalam pilihan raya 1954 untuk menyokong Ustaz Mohd Taib Sabri menentang calon Parti Negara. Tetapi pada 1956, setelah PAS mulai berkembang, Haji Bidin bersetuju dengan gagasan politik yang dibawa oleh Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, Datuk Mohd Asri Muda.

Atas usaha gigih beliau mengumpulkan pemuda-pemuda yang berminat dengan politik Islam, maka satu perjumpaan diadakan di suraunya di Sura Gate. Hasilnya, PAS Cawangan Dungun berjaya ditubuhkan sebagai cawangan pertama di Terengganu. Haji Bidin diberikan amanah sebagai Yang Dipertua PAS Dungun untuk satu tempoh yang lama. Beliau melepaskan jawatannya pada 1971 kerana uzur, tetapi terus komited dengan perjuangan PAS.

Enam tahun kemudian, iaitu ketika muridnya yang juga anak saudaranya, Ustaz Abdul Wahab Yunus sedang memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Haji Bidin telah jatuh sakit dan meninggal dunia di rumah anaknya, Haji Anuar di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Beliau meninggal dunia dalam bulan Ramadan pada 20 Ogos 1977 dan dikebumikan di perkuburan Syed Yahya, Dungun. – tajdid _

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Pondok Mula Cuti 15 Sya’aban dan Buka Semula 15 Syawal

Posted by epondok di Julai 29, 2009

Pondok-pondok Kelantan kebanyakannya akan mula bercuti pada 15 Sya’aban sehinggalah 15 Syawal bagi memberi persiapan untuk menyambut Ramadhan dan Syawal. Walau pun cuti namun ramai juga pelajar dan warga pondok yang tidak pulang ke kampung bagi menyambut Ramadhan di pondok disamping ada juga kelas-kelas khusus dan program-program ilimiah yang lain dijalankan sempena Ramadhan

Memandangkan tarikh cuti begitu hampir maka kebanyakan pondok Kelantan terutama Pondok Pasir Tumboh telah menutup proses pendaftaran pelajar baru sehinggalah dibuka pada sesi baru nanti iaitu selepas 15 Syawal nanti. Oleh itu sebarang kemasukan masuk akan dibuka selepas daripada tarikh tersebut.

Posted in Program Terbaru | 1 Comment »

Tuan Guru Haji Hussin Rahimi Bunut Payung

Posted by epondok di Julai 28, 2009

Mohd Fadli Ghani
SALAH seorang ulama PAS yang terkenal pada era 1960-an ialah Tuan Guru Hussin Rahimi, iaitu tuan guru di Madrasah Ahmadiyah, Bunut Payung, Kelantan.Tuan Guru Haji Hussin yang menyertai PAS pada 1954 iaitu sebaik sahaja PAS membuka sayapnya di Kelantan ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sebelum diambil alih oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1968. Ini bermakna Tuan Guru Haji Hussin ialah salah seorang pemimpin kanan PAS ketika itu, selain pernah menjadi wakil rakyat di Kota Bharu sebanyak dua kali iaitu pada 1959 dan 1964.Nama sebenar beliau ialah Hussin Rahimi bin Saman bin Abdul Rahman. Di sebelah bapanya, Tuan Guru Haji Mat Saman merupakan seorang ulama yang terkenal di Pasir Puteh dan pernah belajar di Makkah sebelum Perang Dunia Kedua. Beliau terkenal dengan gelaran Haji Mat Saman Jawi kerana mahir kitab Jawi dan gelaran itu melekat padanya ketika berada di Makkah untuk dilaqabkan dengan nama beliau yang berasal dari Tanah Jawi (Nusantara).

Haji Mat Saman membuka pondok di Tebing Tinggi, Pasir Puteh dan juga di Kok Berangan, Pasir Puteh, Kelantan. Ibunya pula, Hajjah Che Mas atau Halimah binti Haji Sulaiman bin Abdul Ghafur ialah anak kepada seorang ulama, Tuan Guru Haji Sulaiman atau lebih terkenal dengan gelaran Tok Ayah Sulaiman Keramat, pengasas Pondok Pasir Perah, Chetok, Pasir Mas. Tok Ayah Sulaiman berpangkat sepupu dengan Datok Kadok, pahlawan Kelantan yang terbilang itu.

Dengan latar belakang keluarga yang terdiri daripada alim ulama di kedua-dua jurai keturunan, maka tidak hairanlah apabila Tuan Guru Haji Hussin yang dilahirkan di Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh pada tahun 1919 turut menjadi ulama yang terkenal. Semenjak kecil beliau dididik oleh ayahnya di Pondok Haji Mat Saman, Tebing Tinggi sebelum dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Garam (Haji Ahmad Zainal Abidin) di Pondok Gong Datuk.

berguru dengan anak Tok Kenali

Setelah usianya meningkat remaja, beliau dimasukkan pula ke Pondok Kenali yang membolehkannya berguru dengan anak Tok Kenali, Tuan Guru Haji Mat Bangkok (ayah kepada bekas Adun Lundang, Allahyarham Ustaz Mawardi Ahmad) dan juga Tuan Guru Haji Mat Jebeng, anak saudara Tok Kenali.

Pada tahun 1937, Tuan Guru Haji Hussin berpindah pula ke Pondok Bunut Payung dan berguru dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir. Di pondok ini beliau mentelaah selama 10 tahun sehingga diterima oleh gurunya untuk menjadi guru pembantu bersama-sama Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi (Pesuruhjaya PAS Kedah), Tuan Guru Haji Wahid Sungai Udang (Ketua Ulama PAS Melaka), Tuan Guru Hassan Hilmi (anak Tuan Guru Haji Abdullah Tahir) dan lain-lain.

Ketika berada di Bunut Payung, beliau mengambil kesempatan untuk menadah kitab di Surau Tok Khurasan bersama-sama ulama lain ketika itu antaranya Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Tuan Guru Nik Aziz), Tuan Guru Haji Yaakob Gajah Mati, Tuan Guru Haji Nik Lah Wan Musa dan Tuan Guru Nik Aziz sendiri.

Sepuluh tahun kemudian, Tuan Guru Haji Hussin bertolak ke Makkah dan mendapat sentuhan beberapa orang ulama terkenal termasuk Sheikh Yassin al-Fadani yang terkenal itu.

Berkemungkinan beliau sempat belajar di Madrasah Darul Ulum, Makkah tempat di mana Sheikh Yassin menjadi mudir itu. Beliau berada di Makkah selama empat tahun dan kembali ke Kelantan pada 1951. Oleh kerana ketika di Bunut Payung, beliau telah berkahwin dengan Hajah Che Som, anak Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, maka Hussin memilih untuk menjadi guru di Bunut Payung yang lebih besar dan terkenal berbanding pondok ayahnya di Kok Berangan, Wakaf Bunut. Beliau mengajar di Bunut Payung selama 20 tahun iaitu sehingga akhir hayatnya pada 1971.

Di samping menjadi guru di pondok ini, Tuan Guru Haji Hussin turut terlibat bersama iparnya, Tuan Guru Haji Hassan Hilmi dalam menubuhkan Madrasah Sullamiah, Bunut Payung pada 1958 iaitu sebagai sokongan kepada Pondok Bunut Payung. Madrasah ini menggunakan sistem kelas dan pelajarnya boleh menyambung pengajian di Maahad Muhammadi.

Dalam masa yang sama juga, Tuan Guru Haji Hussin cuba menghidupkan semula Jabhah ad-Diiniyah Kelantan yang diasaskan oleh adik-beradik Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dan Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad pada 1937 dahulu. Hasilnya, pada 1957, Persatuan Guru-guru Agama Rakyat Kelantan (PEGERAK) telah berjaya ditubuhkan di Bunut Payung selepas satu perjumpaan di Padang Lepai, Kadok.

PEGERAK dipimpin oleh Ustaz Hassan Idris, adik kepada Mufti Sabah, Haji Ahmad Idris. Ketika Jabhah al-Diiniah masih wujud sebelum beliau berangkat ke Makkah, Tuan Guru Haji Hussin merupakan tenaga penting yang membantu mertuanya menggerakkan jabhah tersebut.

Ekoran penyertaan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dalam PAS pada 1954 diikuti oleh Pondok Bunut Payung menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung PAS ke-4 pada 1955, maka Tuan Guru Haji Hussin telah sama menyertai perjuangan Islam dalam PAS. Pada 1955, beliau terlibat membantu bapa saudaranya, Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad bertanding mewakili PAS di Pasir Mas. Akhinya pada 1959, beliau sendiri menjadi calon PAS bagi Parlimen Kota Bharu Hulu dan menjadi wakil rakyat selama dua penggal berakhir 1969.

Beliau yang pernah menjadi anggota Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, kemudian pada 1962, menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat sehingga 1968. Di samping itu juga, Tuan Guru Haji Hussin turut dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Agama Kerajaan Kelantan (1959-1969) dan selepas tidak menjadi wakil rakyat, beliau berkhidmat sebagai anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan (1969-1971).

Sesudah 20 tahun memberikan jasa dalam bidang pendidikan, politik, pentadbiran awam dan agama, akhirnya pada 17 November 1971, Tuan Guru Haji Hussin meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur dalam usia 52 tahun iaitu setelah jatuh sakit selama sebulan.

Antara murid beliau yang terkenal ialah Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ketua Pemuda PAS Pusat dan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan. Menantunya, Ustaz Yahya Othman, bekas Exco Kerajaan Kelantan yang pernah menjadi Murabbi Tarbiyah PAS dan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS adalah antara waris yang meneruskan perjuangan beliau dalam PAS bagi menegakkan daulah Islam.– tajdid_

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Dosa minum arak lebih berat berbanding manfaat

Posted by epondok di Julai 28, 2009

Oleh Musa Awang

Ulama fekah berbeza pendapat jumlah sebatan bagi kesalahan ambil minuman keras

SUATU masa dulu kita pernah dikejutkan dengan berita tiga anak Melayu menjuarai serta menduduki tempat kedua dan ketiga pertandingan membancuh arak vodka, iaitu pertandingan Belvedere Bartender of the Year 2007 (Malaysia). Pertandingan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran seorang artis Melayu.

Awal Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita yang mengaku bersalah meminum arak.

Isnin lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman sama terhadap seorang model pelancongan selepas mengaku salah meminum arak. Tertuduh didakwa meminum arak jenama Tiger Beer di sebuah pusat pelancongan di Kuantan kira-kira jam 11.40 malam, 11 Julai tahun lalu.
Hukuman dijatuhkan hakim adalah hukuman maksimum mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987, walaupun hukuman sebenarnya menurut pendapat fuqaha adalah lebih berat.

Ulama fekah sependapat mengenai hukuman bagi orang minum arak ialah disebat. Cuma, mereka berbeza pendapat jumlah sebatan. Ada yang mengatakan 80 sebatan, iaitu menurut pendapat Imam Malik, Abu Hanifah dan satu riwayat daripada Imam Ahmad.

Imam Syafie dan satu pendapat daripada Imam Ahmad pula mengatakan kadar hukumannya adalah 40 sebatan. 

Punca perselisihan pendapat ini kerana sungguhpun dalam al-Quran jelas mengenai pengharaman arak tetapi tidak ada ketetapan kadar atau had hukuman yang boleh dikenakan kepada peminum arak.

Begitu juga hadis Nabi SAW dan riwayat sahabat. Ada kalanya Baginda menyebat pesalah hanya beberapa kali sebatan dan ada masa dengan banyak kali tetapi tidak melebihi 40 kali sebatan.

Riwayat daripada Ibn Said al-Khudri dan Ali bahawa Nabi Muhammad menghukum orang yang minum arak sebanyak 40 sebatan. Ketika zaman Saidina Abu Bakar pula, peminum arak disebat 40 sebatan.

Pada zaman Saidina Umar, beliau meminta nasihat daripada sahabat, lalu Abdul Rahman bin Auf berkata: “Seringan-ringan hudud ialah 80 kali sebat.” Kemudian Umar menetapkan hukuman sebanyak 80 sebatan dan sahabat setuju dengan Umar yang mengambil pendapat Abdul Rahman sebagai satu ijmak.

Diriwayatkan daripada Husain bin al-Munzir, ketika Saidina Ali ditugaskan oleh Saidina Uthman untuk menghukum sebat ke atas al-Walid bin Uqbah, beliau berkata: “Rasulullah SAW menghukum sebanyak 40 sebatan begitu juga Saidina Abu Bakar tetapi Saidina Umar menghukum sebanyak 80 sebatan, semuanya adalah sunnah yang ini aku lebih sukai.”

Menyorot sejarah, Islam mengharamkan meminum arak sejak 14 abad lalu. Realitinya, sebelum kedatangan Islam, orang Arab jahiliah adalah peminum arak tegar. Arak dianggap sejenis minuman yang memberikan keseronokan hidup.

Bukan mudah bagi Nabi SAW menghapuskan resam budaya yang sudah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Arab jahiliah, seperti kata-kata isteri Baginda, Saidatina Aisyah yang diriwayatkan Imam Bukhari: “Jika al-Quran mula-mula memberitahu orang Arab supaya jangan meminum khamar (arak) dan tidak berjudi serta melakukan perzinaan, mereka akan berkata: Tidak, kami tidak akan patuh. Cerita kehidupan selepas mati, mengenai syurga dan tamannya yang indah bagi sesiapa yang patuh serta seksaan api neraka bagi yang ingkar hingga hati menjadi lembut, selepas itu diperintahkan berhenti daripada meminum khamar, melakukan perzinaan dan berjudi, maka mereka mematuhinya.”

Oleh itu, arak tidak terus dilarang serta-merta. Ia mengambil tempoh tiga tahun untuk pengharaman arak secara keseluruhannya. Allah menurunkan ayat menerangkan bahawa arak yang diambil daripada buah kurma dan anggur adalah bukan daripada rezeki yang baik.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan daripada buah-buahan kurma dan anggur kamu jadikan daripada minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik.”

Mengenai keburukan arak, Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka bertanya kamu (Muhammad) mengenai khamar dan judi, katakanlah bahawa pada kedua-duanya dosa yang besar dan bermanfaat kepada manusia tetapi dosa kedua-duanya itu lebih besar daripada manfaat.” – (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Kajian saintifik dan ilmiah membuktikan bahawa keburukan arak adalah jauh lebih besar daripada kebaikannya. Arak bukan ubat tetapi sebagai perosak penyakit. Arak boleh merosakkan selaput lendir perut dan menjadi racun yang masuk meresap dengan cepat ke dalam bahagian tubuh manusia terutama jantung dan buah pinggang.

Penyusun Ensiklopedia Islam, Profesor Muhammad Farid Wejdi menjelaskan: “Tidak pernah manusia menerima pukulan paling hebat seperti pukulan arak. Orang terkorban juga ramai disebabkan oleh arak. Jika dibanci orang sakit dalam hospital di seluruh dunia, nescaya yang paling ramai ialah penghidap penyakit gila dan penyakit urat saraf yang disebabkan arak. Orang yang menderita kesakitan urat saraf, kesakitan pundi makanan, kesakitan tali perut adalah disebabkan arak.”

Bagi memastikan umat Islam dikawal dan dijauhi daripada arak, pihak berkuasa perlu memastikan pemberian lesen penjualan arak terkawal dan tidak membabitkan orang Islam secara langsung atau tidak langsung.

Orang Islam sama sekali perlu dilarang bekerja di mana-mana kedai yang ada menjual arak. Menurut syarat pemegang lesen di bawah Seksyen 36 Akta Eksais 1976 (Akta 176), setiap pemegang lesen rumah awam, lesen rumah bir, lesen kedai runcit, atau lesen peniaga borong hendaklah tidak membenarkan pelanggannya meminum arak di kedainya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat mengenai arak, 10 golongan: yang memerahnya, minta diperahkannya, meminumnya, membawanya, minta dihantarnya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya, minta dibelikannya.” – (Hadis riwayat Tarmidzi dan Ibn Majah)

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www.peguamsyarie.org

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Wahyu terhenti

Posted by epondok di Julai 27, 2009

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

 

WALAUPUN Malaikat Jibrail sebagai penyampai wahyu mempunyai hubungan baik dengan Nabi Muhammad SAW, namun baginda pernah diuji apabila malaikat itu memutuskan hubungan yang menyebabkan wahyu itu sendiri terhenti!

Jibrail dikatakan tidak menemui baginda dalam tempoh-tempoh tertentu selepas turunnya wahyu pertama sehingga baginda dilanda keresahan. Iaitu keresahan yang bukan sedikit, tetapi sehingga menganggu fikiran dan jiwa baginda.

Bukan soal ‘tubuh’ malaikat itu yang baginda nanti-nantikan tetapi baginda menantikan apakah ayat atau perintah seterusnya daripada Allah yang hendak disampaikan kepada baginda.

Apakah status baginda seterusnya dan apa yang perlu baginda lakukan untuk menggalas tanggungjawab sebagai utusan Allah? Semua ini begitu bermain dalam fikiran dan kehadiran Jibrail tentu akan memberikan lebih banyak jawapan.

Tetapi apabila malaikat itu tidak lagi muncul selepas baginda pulih daripada kejutan, tentunya menyebabkan baginda tidak senang duduk dan begitu tertanya-tanya.

Namun terdapat beberapa versi mengenai kisah malaikat Jibrail yang tidak lagi menemui Nabi Muhammad itu dan kaitannya dengan baginda akhirnya menerima ‘berita’ yang menggembirakan.

Mengikut Al Mubarakfuri yang bukunya, Sirah Nabawiyyah SAW diterjemah oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), tempoh baginda terputus hubungan itu sendiri sebenarnya tidak diketahui dengan pasti.

Ada dikatakan hanya beberapa hari sahaja selepas turunnya wahyu yang pertama. Namun ada juga disebut memakan masa hampir tiga tahun atau dua tahun setengah sebelum baginda diturunkan wahyu kedua.

Dalam hal ini Hussein Haekal sendiri tidak menyatakan tempoh tertentu tetapi yang jelas wahyu benar-benar terhenti untuk satu tempoh yang menyebabkan baginda merasakan seperti terasing daripada orang lain.

Alam sekitar baginda seolah-olah menjadi sunyi, bisu sehingga baginda merasakan semula ketakutan seperti semasa turunnya wahyu yang pertama itu.

Menurut Haekal lagi, dalam keadaan yang ketakutan dan kebimbangan itu, namun Nabi Muhammad terdorong untuk kembali semula ke daerah perbukitan dan menyendiri lagi dalam Gua Hira’ sambil mengharap kepada Tuhan agar baginda beroleh jawapan.

Begitulah yang selalu diulang-ulang oleh baginda namun yang dinanti tidak juga kunjung tiba. Malah dikatakan baginda juga agak terganggu fikirannya. Apabila melihatkan keresahannya itu, isteri baginda Siti Khadijah pula berkata; “Mungkin tuhan tidak menyukai engkau!” Baginda benar-benar tertekan, hati dan perasaan!

Maka di puncak keresahan itulah akhirnya Nabi Muhammad mampu tersenyum lebar kerana malaikat yang ditunggu muncul dengan membawakan wahyu kedua yang menjadi berita paling gembira buat baginda.

Namun Haekal dalam bukunya di muka surat 97 menulis, pengkhabaran gembira yang dibawakan oleh Jibrail (dikatakan dalam pertemuan dengan baginda di puncak gunung Abu Qubais) merupakan surah ad-Dhuha (ayat 1-11) Demi Pagi (Dhuha) cerah yang gemilang. Dan demi malam bila sunyi kelam. Tuhanmu (Wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci (kepadamu sebagaimana yang dituduh oleh kaum Musyrik). Sesungguhnya kesudahan keadaanmu (akhirat) adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya (dunia)………

Sedangkan seperti apa yang dicatat oleh al-Mubarakfuri pula, tentunya wahyu kedua yang diturunkan kepada Nabi Muhammad merupakan surah ke 74 al-Muddaththir (ayat 1-5); Wahai orang yang berselimut!…..

Ini diceritakan sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Jabir bin Abdullah, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW menceritakan mengenai tempoh terhentinya wahyu itu dengan bersabda yang bermaksud; Ketika aku sedang berjalan, aku mendengar suara dari langit. Aku pun mendongak pandangan ke arah langit. Tiba-tiba aku mendapati Jibrail yang pernah datang kepadaku di Gua Hira’ sedang duduk di antara langit dan bumi. Lalu aku pun duduk berlutut sehingga rebah ke bumi. Kemudian aku (pulang ke rumah) datang kepada isteriku dan berkata; “Selimutkan aku! Selimutkan aku! Siti Khadijah pun menyelimutkan aku”.

“Namun pada ketika itulah Allah menurunkan firmannya yang bermaksud: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan tuhanmu, maka ucapkanlah dan ingatlah kebesaran-Nya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan maka hendaklah engkau jauhi. (al- Muddaththir: 1-5)

Jika kita berbalik semula kepada Haekal, ayat Muddaththir itu sebenarnya telah diturunkan sebelum berlakunya tempoh pemberhentian atau terputusnya hubungan dengan malaikat Jibrail itu lagi.

Pada muka surat 94 dalam bukunya itu, beliau menceritakan peristiwa yang berlaku selepas Siti Khadijah pulang daripada menemui bapa saudaranya, Waraqah bin Naufal, iaitu bagi menceritakan pertemuan suaminya itu dengan Jibrail dan menerima surah pertama, iaitu surah al-Alaq. Setibanya Ummul Mukminin ini di rumah didapati suaminya itu masih tidur dengan nyenyak.

Siti Khadijah tidak sampai hati mengejutkan baginda kecuali memandang suaminya itu dengan pandangan penuh kasih.

Namun secara tiba-tiba Nabi Muhammad terjaga dalam keadaan seluruh badannya menggigil dan seperti sukar untuk baginda bernafas.

Keringat terus membasahi wajah baginda yang tersentak dengan kehadiran Jibrail yang membawakan ayat-ayat dari surah al-Muddaththir itu.

Selesai ayat itu dibacakan kepada Nabi, Siti Khadijah segera mendapatkan baginda dan meminta supaya baginda kembali tidur dan berehat. “Waktu untuk tidur dan beristirehat sudah tidak ada lagi wahai isteriku. Jibrail telah membawa perintah supaya aku memberi peringatan kepada umat manusia, mengajak mereka dan supaya mereka beribadat kepada Allah.

“Tetapi siapa yang hendak ku ajak? Dan siapa pula yang akan mendengarkannya?,” kata Rasulullah.

Khadijah segera mententeramkan hati suaminya itu dengan menceritakan apa yang beliau dengar dari Waraqah dan terus tanpa sebarang keraguan, isteri baginda itu menyatakan pengislamannya, iaitu beriman kepada Allah dan mempercayai kenabian suaminya itu.

Dikatakan sejak peristiwa pengislaman Siti Khadijah ini sebagai manusia pertama memeluk Islam selepas Nabi, maka terputuslah wahyu apabila malaikat Jibrail tidak lagi muncul-muncul. Iaitu di saat seperti yang disebut tadi, Nabi Muhammad memerlukan lebih banyak panduan daripada Allah SWT.

Namun tidak dinafikan sejurus baginda menerima surah ad-Dhuha, baginda benar-benar gembira, hatinya bagai dipujuk kerana tidak benarlah bagai sesetengah yang mengatakan Allah tidak lagi menyukai baginda.

Versi surah dan ayat yang berbeza ini tidak perlu menjadi satu persoalan besar kerana apa pun perbezaannya ia tidak menyangkut kepada soal keimanan. Malah kisah terhentinya wahyu ini hanya memiliki fakta-fakta secara sejarah sahaja, bukannya daripada al-Quran.

Namun diyakini terputusnya wahyu itu berlaku sebelum baginda keluar menjalankan tugas dakwahnya, walaupun ada menyebutkan kisah ini terjadi setelah baginda mengajak kaum kerabat baginda memeluk Islam, iaitu pada tahun keempat kenabian baginda.

Ini kerana yang lebih menjadi persoalan mengapa ada tempoh di mana malaikat Jibrail tidak bertemu dengan Nabi bagi terus menyampaikan wahyu? Apakah rahsia di sebalik terhentinya wahyu itu?

Menurut tulisan Al Mubarakfuri yang menukil kata-kata Ibnu Hajar, terhentinya wahyu beberapa hari bertujuan menghilangkan kegerunan yang menimpa Rasulullah SAW dan juga supaya timbul keinginan baginda agar perkara itu berulang kembali.

Dengan lain perkataan, selepas pertemuan pertama itu, Jibrail tidak mendatangi Nabi untuk tempoh-tempoh tertentu bagi membolehkan baginda berehat kerana penurunan wahyu, berita-berita dari langit ini tentunya memberikan satu tekanan yang sangat luar biasa kepada baginda untuk menanggungnya.

Namun yang pastinya terhentinya wahyu (untuk tempoh seketika) berlaku pada banyak kali sepanjang hidup Nabi sama ada ketika baginda berada di Mekah mahupun Madinah.

Selepas turunnya surah al-Alaq, diyakini surah al-Muddaththir merupakan wahyu kedua yang turun kepada Nabi berdasarkan pandangan kuat dan asbab nuzul (sebab-sebab turunnya ayat al-Quran) sebagaimana banyak riwayat mengenainya dan dibukil kesemuanya oleh Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsir (Jil. 14 13:17)

Sementara surah ad-Dhuha juga sebenarnya disampaikan kepada Nabi selepas terhenti seketika wahyu iaitu ketika baginda masih lagi di Mekah.

Tempoh inilah yang dikatakan sehingga mendapat cemuhan daripada kalangan golongan Musyrik Mekah yang begitu menentang kerasulan baginda. Sehingga seorang perempuan Quraisy itu menempelak Nabi dengan berkata: “Syaitanmu kini sudah meninggalkan/membiarkan engkau keseorangan.” Perempuan yang berkata itu ialah isteri Abu Lahab, Ummu Jamil (Ibnu Kathir).

Menurut tafsir lbnu Jarir pula, pernah beberapa lamanya terhenti turunnya wahyu, sehingga belum ada lagi sambungan al-Quran yang akan disampaikan oleh baginda SAW kepada manusia. Sehingga merasa sepi menguasai Nabi SAW

Dan hal ini diketahui oleh kaum musyrikin, sampai mereka berkata, iaitu Ummu Jamil: “Muhammad sudah diucapkan selamat tinggal oleh Tuhannya dan telah dimarahi”.

Menurut Tafsir Al Maraghi, surah ad-Dhuha turun selepas turunnya surah al-Fajr, maka ini menunjukkan surah ad-Dhuha itu mempunyai jarak yang sangat jauh dari masa turunnya surah al-Alaq. Wallahu ‘alam.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tuan Guru Pak Ya Junid Kedah

Posted by epondok di Julai 27, 2009

Mohd Fadli Ghani
KETIKA PAS ditubuhkan pada 1951, salah seorang ulama yang aktif dalam Umno kerana memperjuangkan kemerdekaan ialah Tuan Guru Yahya bin Junid atau lebih dikenali sebagai Pak Ya Junid. Sejak selepas Perang Dunia Kedua, Pak Ya telah aktif dalam gerakan menentang penjajah, kemudian mengasaskan Persatuan Ulama Kedah (PUK) pada 1946.Ketika itu, beliau telah menyertai Kesatuan Melayu Kedah (KMK) dan beberapa kali mewakili persatuan ini ke Kongres Kebangsaan Melayu yang akhirnya membawa kepada penubuhan Umno pada 11 Mei 1946. Kerana KMK menyertai Umno, maka Pak Ya turut menjadi ahli Umno yang aktif ketika itu. Walau bagaimanapun, setelah tertubuhnya PAS, berakhirlah riwayat perjuangan beliau bersama Umno.Pak Ya dilahirkan di Kampung Selengkoh, Yan, Kedah pada 1911 (1330 Hijrah). Beliau mempunyai latar belakang pendidikan yang menarik kerana sempat berguru dengan ramai ulama besar yang terkenal. Selepas tamat belajar al-Quran dengan ibunya, Chik binti Sulaiman yang berasal dari Tumpat, Kelantan, Pak Ya terus dihantar ke Sekolah Melayu Titi Gajah selama dua tahun.Tidak berpuas hati dengan ilmu keduniaan, Pak Ya memasuki Pondok Chegar, Gajah Mati dan berguru dengan Tuan Guru Ahmad Rabat pada 1924. Beliau kemudian berpindah ke beberapa pondok seperti Pondok Tandop (Tuan Guru Abdul Ghani Awang), Pondok Titi Gajah (Tuan Guru Haji Endut) dan akhirnya ke Pondok Khairiyah, Pokok Sena, Seberang Perai. Di pondok ini, beliau mendapat sentuhan Tuan Hussein Kedah, ulamak Banjar yang terkenal itu.

Pada 1931, kerana mendengar kemasyhuran ulama Kelantan, Tok Kenali, Pak Ya mengambil keputusan berhijrah ke Serambi Makkah dan sempat berguru dengan Tok Kenali selama dua tahun di Pondok Masjid Muhammadi. Antara guru beliau di sini ialah Tuan Guru Saad Kangkong, Tuan Guru Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Yaakub Legor.

bermulazamah

Selepas kematian Tok Kenali pada 1933, beliau memasuki Madrasah Ahmadiah atau Pondok Bunut Payung dan sempat berguru pula dengan Tuan Guru Abdullah Tahir dan Tuan Guru Mokhtar Ahmad. Selain memondok di Bunut Payung, Pak Ya juga mengambil kesempatan untuk bermulazamah dengan beberapa ulama besar seperti Mufti Ahmad Maher, Mufti Mohd Nor Ibrahim dan Tuan Guru Yaakub Gajah Mati.

Hampir enam tahun di Kota Bharu, pada 1936, Pak Ya telah kembali ke Kedah sebagai seorang ulamak muda, tetapi beliau tidak membuka pondok, melainkan mengadakah kuliah maghrib di surau sahaja. Beberapa tahun kemudian, gurunya, Tuan Guru Yaakub Legor menggalakkan beliau mengajar di pondok, lalu beliau menjadi guru di Pondok Haji Majid Guar Chempedak mulai 1939.

Pada 1941, beliau merancang untuk membuka pondok sendiri. Tapak bekas Pondok Tuan Hussein Kedah di Batu 16, Padang Lumat, Yan telah dipilih untuk dibangunkan semula dengan modal RM115 ketika itu. Dengan dibantu oleh tiga guru, Madrasah Khairiah Taufiqiah dibangunkan. Sehingga hari ini, madrasah ini terus memberi khidmat menyambung perjuangan Tuan Hussein Kedah.

Pak Ya sendiri yang menjadi mudir madrasah ini semenjak ia ditubuhkan sehingga akhir hayatnya. Sepanjang sejarah madrasah ini, ia pernah diberikan bantuan zakat oleh kerajaan pada 1975 ketika PAS berada dalam BN. Ketika itu juga, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Shah telah berangkat merasmikan bangunan baru madrasah ini. Semenjak itu, ia dikenali sebagai Madrasah Khairiyah Taufiqiyah al-Halimiyah.

Pada 1989, madrasah ini pernah dilanda bencana kebakaran besar yang meragut nyawa 27 pelajar dan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Penyiasat SAR yang dipengerusikan oleh Tan Sri Murad Mohd Nor. Suruhanjaya ini mengesyorkan supaya kerajaan memberikan bantuan kepada SAR untuk meningkatkan infrastrukturnya.

Selain memberikan sumbangan yang begitu besar dalam dunia pendidikan Islam di negara ini, Pak Ya sebenarnya amat terkenal kerana kegiatan politiknya. Bermula sebagai pimpinan KMK pada 1946, beliau mengasaskan PUK bersama Haji Abdullah Abbas Nasution. Perkembangan ini sebenarnya dipengaruhi oleh kegiatan dua gurunya di Madrasah Ahmadiyah Bunut Payung yang mengasaskan Jabhah a-Diiniyah al-Islamiyah Kelantan untuk menyatukan para ulama negeri Tok Kenali itu. Melalui PUK, mereka dapat menyatukan ulama di Kedah pula. Pada 1946 juga, Pak Ya menjadi ahli Umno tetapi tidak giat dalam Bahagian Agama Umno kerana badan itu tidak cergas berbanding Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada 1948.

Bahagian Agama Umno

Setelah Haji Ahmad Fuad Hassan mengambil alih Bahagian Agama Umno pada 1950, satu Persidangan Ulama Se-Malaya diadakan di Muar, diikuti oleh persidangan kedua di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Ketika PAS hendak ditubuhkan secara rasmi pada 24 November 1951, Pak Ya telah dipilih untuk menduduki Jawatankuasa Agung PAS dalam sesi pertama ini.

Beliau merupakan ahli PAS generasi terawal dengan nombor keahlian 12. Beliau terus memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS sehingga 1960-an. Dalam masa yang sama beliau turut memegang jawatan penting dalam Dewan Ulama PAS Pusat. Beliau juga merupakan tokoh yang paling lama memegang jawatan Ketua Dewan Ulama PAS Kedah iaitu hampir 20 tahun sehingga 1995. Jawatan tertinggi yang pernah dipegang oleh beliau dalam PAS ialah sebagai Ahli Majlis Syura Ulama PAS semenjak 1987.

Di samping itu juga, Pak Ya pernah dua kali dipilih menjadi Adun Sala (1974 dan 1978), iaitu kawasan yang kemudian diwakili oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak. Kerena ketinggian ilmunya juga, Pak Ya dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Majlis Agama Islam Kedah, Ahli Majlis Fatwa Kedah dan Ahli Jawatankuasa Zakat Kedah.

Beliau berkhidmat dalam Jawatankuasa Zakat selama 40 tahun, manakala khidmatnya dalam Majlis Fatwa berakhir pada 1985 setelah beliau berkeras dengan pendirian bahawa mangsa peristiwa Memali adalah syahid, sedangkan Majlis Fatwa yang dikuasai Umno berpandangan sebaliknya.

Kerana jasanya yang luas ini, Pak Ya pernah dinobatkan sebagai Tokoh Jasamu Dikenang sempena Sambutan Jubli Emas PAS Peringkat Negeri Kedah pada Julai 2001.

Ketika PAS sedang sibuk bersiap menyambut ulang tahun ke-50 pada 23 Ogos 2001, pengasas PAS itu telah dijemput menemui Allah pada 6 Ogos 2001. Jenazahnya diimamkan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor. Beliau meninggalkan jasa yang besar kepada perjuangan Islam di negara ini, termasuk madrasahnya.

Di kalangan keluarganya, antara yang terkenal ialah anaknya, Mohd Najib Fahmi, bekas AJK Dewan Pemuda PAS Pusat serta dua menantunya, Ustaz Azhari Abdul Razak, bekas Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Aris Awang, bekas Setiausaha Perhubungan PAS Kedah.– tajdid_

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Pak Cu Him Gajah Mati

Posted by epondok di Julai 26, 2009

PAK Cu Him, ulamak pondok yang terkenal di Kedah terutama di kalangan generasi ulamak tradisional dan dianggap ulamak paling kanan di Kedah, bahkan di Malaysia selepas Perang Dunia Kedua.

Nama sebenar beliau ialah Wan Ibrahim bin Wan Abdul Qadir bin Wan Mustafa al-Fathani. Selain merupakan adik bongsu kepada ulamak terbilang di Makkah, Pak Da Ail (Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir), beliau juga adalah sepupu kepada Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, guru kepada Tok Kenali yang juga datuk kepada Allahyarham Ustaz Wan Mohd Saghir Abdullah, pengkaji sejarah ulama terkenal itu.

Pak Cu Him dilahirkan di Pondok Bendang Daya, Patani pada 1892. Ayahnya ialah mudir pondok ini yang lebih terkenal dengan nama Tok Bendang Daya. Pak Cu Him mendapat pendidikan agama di Pondok Chegar, Patani kerana ayahnya meninggal ketika beliau berusia tiga tahun. Beliau kemudian belajar di Pondok Bermin dan Pondok Tok Raja Jambu.

Pada 1912, beliau bertolak ke Makkah dan berguru dengan bapa saudaranya, Tok Guru Pak Chik Wan Daud atau Sheikh Wan Daud bin Wan Mustafa. Pak Cu Him menguasai bahasa Arab dengan fasih, termasuk sastera dan syair Arab sehingga berjaya menghasilkan kitab Qawaid Fiqhiyah dalam bentuk syair. Ketika di Makkah, beliau belajar dengan beberapa guru yang masyhur seperti Syeikh Yahaya Patani, Tok Ramli, Syeikh Muhammad ‘Ali Maliki dan Syeikh Muhammad Mukhtar al-Jawi. Beliau berada di Makkah sehingga usia 35 tahun dan berhijrah ke Kedah pada 1924.

Ketika di Kedah, beliau berkahwin dengan Hajah Zainab, anak kepada Tuan Guru Haji Che Dol atau Haji Ismail Che Dol bin Mustafa al-Fathani iaitu adik kepada Tuan Guru Haji Hussein Che Dol, pengasas PAS yang juga guru Pondok Guar Chempedak. Perkahwinan ini berlangsung dalam tahun yang sama dengan tahun kembali dari Makkah. Pasangan ini dikurniakan 11 orang anak termasuk Tuan Guru Haji Wan Abdul Qadir dan Tuan Guru Haji Wan Mustafa yang mewarisi Pondok Gajah Mati. Ini bermakna Pak Cu Him telah berhijrah daripada keluarga ulama Bendang Daya menyertai keluarga ulamak Gajah Mati yang dipimpin mentuanya ketika itu.

Ketika zaman beliau, pondok ini mempunyai lebih 600 pelajar dari seluruh Nusantara, walaupun di sekitar kawasannya ada beberapa pondok seperti Pondok Chegar dan Pondok Haji Ibrahim.

Sebelum mengambil alih Pondok Gajah Mati dari mentuanya, Pak Cu Him sebenarnya telah diterima menyertai ulama Bendang Daya menjadi guru di Masjidil Haram beberapa tahun. Selepas dua tahun di Kedah, beliau diberikan tauliah oleh Sheikhul Islam Kedah, Sheikh Wan Sulaiman Wan Sidiq pada 14 November 1931 untuk membolehkan beliau mengajar di pondok ini.

Selain mengajar, Pak Cu Him juga terlibat aktif dalam aktiviti masyarakat termasuk mengadakan persetiaan dengan beberapa ulama di Mukim Padang Pusing, Kedah untuk mewujudkan perpaduan masyarakat menerusi ‘Jamiatul Ittihadiyah’ atau ‘Perhimpunan yang Bersatu’ pada 1926.

Sebagai seorang ulama besar juga, Pak Cu Him telah menghasilkan beberapa karya antaranya Fathul Jalil wa Syifaul Ghalil yang disiapkan pada 1386 Hijriah. Beliau mempunyai kebolehan mengarang yang baik, tetapi bahasanya terlalu tinggi dan bersastera sehingga orang awam sukar memahaminya.

Pada 1955, Pak Cu Him telah bertolak ke Makkah dan tinggal di sana selama setahun. Di sanalah beliau berhubungan semula dengan muridnya, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili, ulama Mandailing yang mengasaskan PAS Cawangan Makkah pada 1952. Tokoh ini juga telah menulis sebuah buku berjudul �Islam: Agama dan Kedaulatan� pada 1954 yang membincangkan tentang konsep hakimiyah Islam di mana beliau menolak perjuangan Umno yang tidak mahu melaksanakan hukum Islam.

Pak Cu Him mula terlibat secara langsung dengan PAS semenjak 1951 lagi di mana iparnya, Tuan Guru Haji Hussein Che Dol telah terlibat dalam mengasaskan PAS pada tahun tersebut dan dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS Kawasan Utara. Ekoran kemasukan Pak Cu Him dalam PAS, maka ramai pelajar Melayu di Pondok Gajah Mati menjadi ahli PAS dan ia merupakan pusat gerakan PAS yang awal di kawasan Pendang.

Tetapi tempoh antara 1954 hingga 1955 akan sepi dari pengaruh PAS kerana Tuan Guru Haji Hussein Che Dol yang ketika itu menjadi Exco Kerajaan Negeri Kedah merangkap ADUN Jerai memilih kekal bersama Umno dalam krisis kepemimpinan PAS. Tetapi pada 1955, Tuan Guru Haji Hussein kembali bersama PAS.

Ketika berada di Makkah pada 1955, buku tulisan muridnya, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili telah menjadi heboh di Tanah Melayu kerana mempunyai pandangan yang amat keras terhadap sikap Umno yang tidak mahu melaksanakan hukum Islam dan bekerjasama dengan orang bukan Islam.

Dalam perdebatan tentang hukum-hukum yang dibangkitkan oleh Sheikh Abdul Qadir ini, seorang ulama Umno, Sheikh Abdul Rahman Merbuk telah mendakwa beliau mengeluarkan fatwa berdasarkan pandangan Pak Da Ail. Pak Cu Him yang mempertahankan fatwa muridnya berhujah bahawa beliau telah merujuk sendiri kepada abangnya, Pak Da Ail tentang isu tersebut dan ulama Makkah itu juga sependapat dengan beliau.

Pada 1962, Pak Cu Him telah menerbitkan semula buku �Islam: Agama dan Kedaulatan� dengan memasukkan juga polemik beliau dengan Haji Abdul Rahman Merbuk. Oleh kerana ketika itu tercetus isu kafir mengkafir di Kelantan di mana ulama Kelantan juga sependapat dengan Pak Cu Him, maka buku ini kemudian diharamkan oleh kerajaan Perikatan pada 1963.

Setelah lama berjuang dalam membangunkan pendidikan Islam, Pak Cu Him yang tidak terlibat secara langsung dalam organisasi PAS kecuali sebagai ahli Dewan Ulama PAS serta aktif di Kawasan Pendang sahaja, tetapi mempertahankan dasar-dasar parti Islam tersebut telah jatuh sakit pada penghujung 1960-an. Beliau telah melalui tiga kali pembedahan kerana kanser di leher. Beliau kemudian uzur dan tidak dapat lagi aktif menyampaikan ilmu agama. Beberapa bulan kemudian beliau meninggal dunia di pondoknya pada 11 Syawal 1388 bersamaan 11 Januari 1968 dalam usia 75 tahun. Beliau dikebumikan berhampiran kubur Tok Ayah Che Dol, mertuanya. Cucu sepupunya, Ustaz Wan Mohd Saghir juga dikebumikan di perkuburan ini bersebelahan kubur Pak Cu Him. – tajdid _

Posted in Tokoh Ulama' | 1 Comment »