Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 22 Jun 2009

4 Sebab Kuffar Musuhi Islam

Posted by epondok di Jun 22, 2009

Antara sebab golongan pengganas Kuffar dan anak didiknya menentang Islam ialah

 

Pertamanya : Pengganas Kuffar takutkan Islam kerana Islam membentuk kesatuan ummah sebagaimana firman Allah dalam ayat 92 surah al-Anbiya’ :

إن هذه أمتكم أمة وحدة وأنا ربكم فاعبدون

Maksudnya : Sesungguhnya ini, umat kamu wahai mukminin umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu maka sembahlah Aku.

            Umat Islam melalui sistem khilafah dididik agar berada di bawah satu kepimpinan sehingga menjadi umat yang kuat. Oleh itu kuffar melalui perancangannya yang rapi telah berjaya menghancurkan system khilafah dengan runtuhnya Khilafah Uthmaniah Turki pada tahun 1924. Selepas itu umat Islam dibahagikan dalam negara-negara kecil berdasarkan bangsa sehingga umat Islam menjadi lemah dan terjajah dalam negara sendiri. Kuffar bebas menembak dan mengebom umat Islam sesuka hati kerana tiada lagi pembelaan yang sewajarnya daripada negara umat Islam yang lain disebabkan masing-masing hanya tahu menjaga kepentingan diri sendiri bukan lagi kepentingan Islam. Malah yang lebih malang pemimpin dan umat Islam sendiri yang jahil turut bersama kuffar dalam memerangi perjuangan Islam.

            Kita lihat apa yang berlaku di Palestin di mana pada zaman Khilafah Uthmaniah Turki walau pun ketika itu agak lemah tetapi tetap berkeras mempertahankan bumi Palestin dan masjid al-Aqsa daripada dikuasai oleh kuffar terutama pengganas yahudi tetapi setelah berpecahnya negara umat Islam maka yahudi dapat membina negara malah cuba meruntuhkan masjid al-Aqsa 

            Sebab Kedua kuffar takutkan Islam kerana pemerintahan Rabbani di mana semua system hidup berasaskan apa yang telah diturunkan oleh Allah melalui rasulNya bukannya berdasarkan system ciptaan manusia. Tujuan pemerintahan adalah untuk mencari keredhaan Allah yang menyebabkan pemimpin dan rakyat sentiasa membuat segala suruhan Allah dalam setiap aspek kehidupan disamping menjauhi segala laranganNya walau pun nafsu sentiasa menggodanya sepanjang masa. Pemerintahan Islam juga berjaya menghindari pemimpin dan rakyat daripada melakukan penindasan dan kezaliman bertujuan mencari keuntungan diri disebabkan timbulnya rasa gerun dan takut kepada Allah yang bakal membalas segala amalan dunia di akhirat nanti. Oleh sebab itu kuffar sentiasa berusaha sepanjang masa agar pemerintahan Islam tidak akan berjaya ditegakkan di atas muka bumi ini.

           

Sebab ketiga kuffar takutkan Islam kerana pemimpin yang dilahirkan oleh Islam merupakan pemimpin yang benar-benar layak memerintah dengan sifat dan akhlaknya yang baik serta kepatuhan nya dalam melaksanakan segala hukum Islam tanpa takut kepada ugutan serta tidak terpengaruh dengan godaan dunia yang cuba merosakkannya. Kejayaan Islam melahirkan pemimpin yang adil membolehkan rakyat hidup aman dan bersatu menentang serangan musuh demi mencari keredhaan Allah. Apabila adanya pemimpin Islam yang benar-benar layak memerintah maka ini menyebabkan kuffar menjadi takut dan resah kerana tidak dapat lagi menguasai negara umat Islam sesuka hati. Oleh itu kuffar telah merancang dengan teliti apabila melantik pemimpin di negara umat Islam di mana mereka melantik pemimpin dari kalangan anak didik dan tali barut kuffar agar kuffar terus menjajah negara umat Islam sesuka hati mengikut acuan dan kehendak nafsu serakah mereka

.

            Sebab keempat Kuffar takutkan Islam kerana seseorang islam hanya memberi wala’ atau tunduk patuh hanya kepada Allah. Mereka sanggup menghadapi godaan dunia yang berbentuk kemegahan takhta, kemewahan harta dan kecantikan wanita demi mencari keredhaan Allah. Mereka rela mempertahankan Islam di zaman orang memeranginya kerana Allah. Umat Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang menyeluruh sentiasa ingat kepada pahala dan dosa, syurga dan neraka dalam apa jua pekerjaan mereka termasuk pemerintahan dan politik. Umat Islam yang berilmu dan beramal dengan ilmu mereka akan sentiasa berjuang mengharamkan judi, riba, arak kerana mereka yakin bahawa perjuangan mereka ini adalah benar dan dijanjikan pahala. Mereka juga akan sentiasa berani menegur pemimpin yang menghalalkan riba, judi dan arak demi menyelamatkan diri mereka dan pemimpin yang jahil itu daripada dosa yang boleh membawa kepada turunnya bala Allah di dunia dan balasan neraka di akhirat. Perjuangan menegakkan Islam adalah susah terutama golongan yang benar-benar mempertahankan Islam dianggap pengganas dan kolot serta dipandang seperti orang asing. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang tercatat dalam sohih Muslim.

بدأ الإسلام غريبا وسيعود غريبا كما بدأ فطوبى للغرباء

Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali asing sebagaimana ia bermula maka beruntunglah orang-orang yang asing

            Ini berbeza dengan kuffar dan anak didik mereka terutama yang menjadikan system sekularisme yang memisahkan antara politik dan agama sebagai cara hidup sehingga menganggap bahawa dosa dan pahala tidak terlibat dengan sebarang urusan dunia terutama pemerintahan. Apabila anggapan salah ini terus bersemadi dalam diri menyebabkan pemimpin tanpa segan silu melakukan jenayah rasuah, merompak wang rakyat serta memerangi pejuang Islam tanpa perasaan berdosa kepada Allah. Malah mereka dengan berani menghina Islam sebagai agama pengganas dan pembawa kemunduran kepada tamadun manusia. Oleh itu berhati-hatilah kita dengan segala perancangan dan serangan musuh agar kita tidak terpedaya dan terus dijajah oleh kuffar durjana.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

5 Ujian Umat Beriman

Posted by epondok di Jun 22, 2009

فرمان الله تعالى دالم أية    214    سورة البقرة  :

أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأسآء والضراء وزلزلوا حتى يقول الرسول والذين ءامنوا معه متى نصر الله ألآ إن نصر الله قريب

Maksudnya : Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga sedangkan belum datang kepadamu ujian sebagaimana yang pernah berlaku ke atas umat terdahulu sebelum kamu?. Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan dengan pelbagai cubaan sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya : “ Bilakah lagi akan datangnya pertolongan Allah?”. Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.

 

            Telah menjadi sunnah ketetapan Allah di mana setiap diri manusia akan dicuba, akan diuji, akan diperiksa samada kenyataan kepada keimanan mereka kepada Allah dan seluruh ajaranNya melalui kata-kata mereka adalah betul dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan mereka atau pun hanya terhenti setakat di mulut sahaja. Kita sebagai umat akhir zaman yang hidup dalam zaman yang penuh cabaran fitnah maka mesti mempunyai bekalan ilmu dan aqidah yang kukuh agar segala keyakinan kita di hati diikuti dengan pengucapan kita di mulut dan disertakan dengan pengamalan terhadap seluruh kewajipan agama sebagai tanda tunduk dan patuh kepada perintah Allah samada dalam keadaan senang atau susah, sihat atau sakit, muda atau tua, lapang atau suntuk. Betapa ramai umat manusia sebelum kita telah diuji oleh Allah sehingga jelaslah kedudukan iman dan penyerahan diri mereka samada mereka benar-benar beriman sehingga sanggup menyerahkan seluruh jiwaraga untuk Islam dan tidak kurang mereka yang tewas disebabkan keyakinan yang nipis terhadap Allah walau pun mulut mereka lantang menyatakan bahawa mereka merupakan umat yang beriman kepada Allah tetapi apabila datangnya ujian dan cabaran maka mereka tidak mampu menghadapinya.

           

            Kebanyakan umat Islam diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya.

 

Yang pertama iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya di mana perasaan hasad dengki biasanya datang kerana sikap suka menimbulkan permusuhan, perasaan takabbur atau membesarkan diri, perasaan ‘ujub, gila kuasa, terlalu mementingkan diri sendiri sehingga sanggup mengorban atau mengkhianati orang lain dan perasaan hasad dengki juga sentiasa bersarang dalam diri disebabkan kebakhilannya. Selagi mana hati ini dikotori dengan penyakit hasad dengki maka dirinya sentiasa memusuhi kebenaran dan membenci saudara seagama atas dasar yang bercanggah dengan syarak. Oleh itu sebagai membuktikan keimanan kepada Allah maka kita wajib membersihkan diri kita daripada sifat yang tercela ini demi mencapai keredhaan Allah.

 

            Yang kedua di mana kita akan diuji dengan sikap permusuhan yang dicetuskan oleh golongan munafiq yang merupakan musuh di dalam selimut. Golongan ini begitu merbahaya kerana mereka sentiasa menyembunyikan sikap permusuhan mereka dengan menyatakan bahawa mereka juga beriman kepada Allah sedangkan banyak kelakuan dan tindakan mereka ke arah memerangi ajaran Islam yang menyeluruh. Golongan munafiq ini hanya mengambil ajaran Islam yang sesuai dengan kehendak nafsu serakah mereka dan memusuhi segala ajaran Islam yang berlawanan dengan kehendak mereka. Kadang-kadang golongan munafiq ini lebih terkehadapan dalam menyatakan kecintaan mereka terhadap Islam sedangkan dalam masa yang sama dari segi tindakan maka merekalah golongan yang berani menghina hukuman Allah yang adil, mencaci Rasulullah s.a.w, memaki para ulama’ pewaris nabi dengan menjadikan akal yang lemah sebagai sumber ilmu yang tertinggi mengatasi wahyu Allah.

 

             Yang ketiga di mana kita akan diuji dengan golongan kuffar yang sentiasa memusuhi dan memerangi kita dengan pelbagai cara samada melalui serangan pemikiran sehingga mampu menjauhkan umat Islam daripada ajaran agama mereka atau pun melalui serangan fizikal yang menyebabkan ramai di kalangan umat Islam yang menjadi mangsa kepada senjata canggih milik kuffar durjana. Sesungguhnya kita mesti memperakui bahawa permusuhan yang dicetuskan oleh golongan kuffar terutama yahudi dan kristian akan berlarutan sehingga hari qiamat kerana golongan kuffar ini akan berusaha sedaya upaya mereka untuk membuatkan kita agar berlutut di kaki mereka walau dengan apa cara sekali pun. Walau pun jumlah umat Islam hari ini begitu ramai tetapi kita tidak ubah seperti  buih air banjir atau buih di laut disebabkan umat Islam diserang dengan dua penyakit yang merbahaya iaitu terlalu cintakan dunia sehingga sanggup mengorbankan prinsip agama dan diserang penyakit terlalu takut kepada kematian sehingga sanggup membiarkan saudara seagama terus ditindas dan menjadi mangsa peluru dan bom kuffar terutama di negara yang diuji dengan peperangan seperti di Palestin, Afghanistan, Kashmir, India, Ambon, Selatan Filiphina, Selatan Thailand dan selainnya. Pengganas kuffar kini menghalakan mucung senjata mereka ke arah yang satu iaitu umat Islam kerana Islam dianggap musuh terakhir kuffar yang tidak pernah padam hajat mereka untuk menguasai dunia dengan melakukan pelbagai kekejaman dan penindasan demi membolot hasil mahsul bumi yang ada.

 

            Oleh itu marilah kita sebagai umat Islam yang bermaruah kembali bersatu di bawah panji Islam dengan mengenepikan sikap perkauman dan kebangsaan yang sempit untuk sama-sama bangun berjuang menegakkan kembali pemerintahan Islam sehingga kita bukan lagi menjadi rakyat yang melarat di negara sendiri, rakyat yang menjadi pelarian di tanahair sendiri, umat yang terpaksa menghadapi hujan peluru dan bom kuffar durjana, umat yang terpaksa memerhati ahli keluarga mereka dirogol, digilis oleh pengganas kuffar di hadapan mata sendiri, umat yang sentiasa ditemani air mata kesedihan akibat kehilangan saudara tersayang akibat kekejaman kuffar. Ingatlah bahawa kita umat Islam merupakan umat pilihan dan akan kembali menjadi umat yang mulia apabila kembali bernaung di bawah keseluruhan sistem Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk pemerintahan, ekonomi, kemasyarakatan dan lainya bukannya hanya terhenti setakat ibadat khusus seperti solat, puasa dan haji sahaja. Kita umat Islam akan terus dihina oleh Allah selagi mana kita berpegang kepada ideologi ciptaan manusia seperti sekularisme yang mendekatkan kita kepada murtad dan sistem kapitalisme yang meletakkan kita setaraf dengan binatang akibat yang kuat akan menindas si lemah, si kaya akan memeras si miskin, pemimpin akan memaksa rakyat agar tunduk kepada kepentingan peribadi mereka.

 

            Yang keempat dan yang kelima kita akan menghadapi godaan syaitan dan hawa nafsu yang merupakan teman rapat dalam  memujuk kita ke arah kesesatan. Syaitan dan nafsu jahat akan sentiasa berusaha mengheret kita untuk melakukan maksiat sehingga manusia yang bertuhankan nafsu dan sentiasa mengikut telunjuk syaitan akan sentiasa melakukan segala tegahan Allah sehingga semakin meluasnya gejala social seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, bertambahnya kes sumbang mahram dan sebagainya. Dalam menghadapi ujian nafsu ganas dan syaitan ini maka manusia mesti diisi dengan ilmu kefahaman agama yang secukupnya disamping dikawal dengan pelaksanaan hukuman berasaskan agama demi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Hukuman dunia walau pun sekeras mana pun tindakannya tetapi tidak mampu menginsafkan manusia dan juga penerima hukuman dunia dalam kes yang telah jelas hukumannya di sisi Allah akan sekali lagi menerima hukuman di atas kesalahan yang sama di akhirat nanti. Alangkah sesat dan zalimnya hukuman dunia berbanding hukuman Allah yang adil. Islamlah necaya kita selamat dunia dan akhirat.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »