Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Jun 2009

Sokong Raja Selamatkan Aqidah Anak Muallaf

Posted by epondok di Jun 30, 2009

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang telah menitahkan supaya draf rang undang-undang berkaitan isu kemasukan ke dalam agama Islam. Tiga rang undang-undang yang dicadang untuk dipinda itu adalah
  1. 1. Akta Memperbaharui (Perkahwinan & Perceraian Sivil);
  2. 2. Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam;
  3. 3. Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan.
Tujuan pindaan ini adalah untuk menangani masalah apabila seseorang bukan Islam daripada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam dan pasangannya tidak mahu menuruti memeluk Islam. Persoalan timbul tentang status perkahwinannya, kedudukan status agama dan hak penjagaan anak-anaknya, harta sepencarian semasa perkahwinan, dan jika mereka mati bagaimana harta pusaka mereka hendak dibahagikan.
Masalah ini timbul kerana Akta Memperbaharui (Perkahwinan & Perceraian Sivil) tidak memberi sebarang peruntukkan kepada mu’alaf tersebut untuk memfailkan petisyen untuk membubarkan perkahwinannya serta mendapatkan perintah-perintah sampingan yang berkaitan. Oleh itu mu’alaf tersebut tidak ada pilihan lain selain pergi ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan perintah sewajarnya. Bagi maksud itu, Mahkamah Syariah sememangnya mempunyai bidangkuasa menurut Seksyen 46 (2) Akta Keluarga Islam. Berdasarkan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa didalam kes-kes yang mana Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa.
Tetapi kemelut timbul apabila mereka yang bukan Islam tidak mahu dan enggan pergi ke Mahkamah Syariah. Ini adalah kerana timbul salah tanggapan bahawa jika mereka pergi ke Mahkamah Syariah saperti mereka memeluk Islam. Ini ditambah pula oleh propaganda pihak-pihak tertentu yang menakut-nakutkan golongan bukan Islam ini bahawa Mahkamah Syariah akan bertindak tidak adil dan memihak kepada orang Islam sahaja.
Sebenarnya ini adalah tanggapan yang salah kerana sekiranya mereka yang bukan Islam, terutamanya wanita tahu tentang keadilan dan kesaksamaan perundangan Islam, mereka akan berebut untuk memilih dibicarakan di Mahkamah Syariah.
Contohnya bagi wanita bukan Islam, suami mereka boleh juga menuntut nafkah jika mereka termasuk golongan tidak berupaya. Sedangkan didalam Islam wanita tidak boleh dibebankan dengan tanggunjawab nafkah. Kedua, wanita Islam akan dibayar pampasan perceraian dalam bentuk mut’ah. Ini membolehkan mereka mempunyai modal untuk meneruskan hidup selain menerima nafkah eddah. Sedangkan didalam undang-undang sivil tiada peruntukan sedemikian.
Di Mahkamah Syariah, mereka hampir pasti mendapat hak penjagaan anak-anak dibawah umur 9 tahun, sedangkan di Mahkamah Sivil belum tentu lagi. Di dalam perundangan Islam, jika bekas suami mereka tidak mampu membayar nafkah, bekas isteri boleh menuntut daripada keluarga bekas suami termasuk bapa, adik beradik dan lain-lain. Malahan jika tiada pihak, maka si isteri boleh menuntut dan Mahkamah Syariah boleh memerintahkan baitulmal untuk menanggung nafkah si isteri dan anak-anak. Sedangkan di Mahkamah Sivil, jika si suami tidak berkemampuan atau menghilangkan diri, si isteri tiada alternatif lain untuk mendapatkan nafkah.
Bagaimanapun, apa yang lebih penting dalam isu ini ialah mengapa kabinet mengambil pendekatan memindahkan bidangkuasa kes-kes saperti ini ke Mahkamah Sivil dengan memansuhkan bidangkuasa Mahkamah Syariah. Mengapa tidak di ambil pendekatan untuk memperkemaskan dan memartabatkan lagi institusi Mahkamah Syariah dalam kes-kes saperti ini. Persoalan pokok yang menjadi isu bagi umat Islam, apakah jenis undang-undang yang akan dilaksanakan oleh Mahkamah Sivil bila membicarakan isu yang membabitkan perundangan Islam. Bagaimana jika Hakim yang membicarakan kes itu datangnya daripada bukan Islam? Bagaimana beliau mahu menafsir perundangan Islam berdasarkan tafsiran mana?
Selanjutnya dari segi Perlembagaan, hal agama adalah didalam bidangkuasa negeri dimana Tuanku Raja-Raja adalah Ketua Agama dengan Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam. Tidakkah pemindahan bidangkuasa ke Mahkamah Sivil ini secara tidak langsung memprejudis kuasa Raja-Raja?
Atas sebab itulah merupakan satu tindakan bijak bagi Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja menasihatkan kabinet supaya menangguhkan pembentangan dan perbahasan rang undang-undang tersebut. Semoga kita akan dapat menyelesaikan isu dengan bijak dan membawa kebaikan kepada semua pihak. Nasihat saya kepada kabinet, dapatkanlah dahulu pandangan semua pihak khususnya kalangan ulama’, para mufti dan lain-lain pakar perundangan Islam sebelujm mengambil tindakan selanjutnya.
Apa jua pun, saya mengucapkan tahniah kepada Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang betindak bijak dan tegas dalam mempertahankan kesucian dan martabat agama Islam dalam negara ini.
Wassalam.
YB Zulkifli Bin Noordin

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tangguh bentang pindaan RUU Kekeluargaan Islam dialukan

Posted by epondok di Jun 30, 2009

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Jun 30, 09 | 9:27:11 am MYT
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Hrkh) – Keputusan Majlis Raja-raja Melayu supaya kerajaan menangguhkan pembentangan tiga Rang Undang-undang berkaitan kekeluargaan Islam adalah tepat dan dialukan.Demikian tegas Naib Ketua Pemuda PAS Pahang, Abdullah Abdul Karim kepada Harakahdaily hari ini bagi mengulas isu tersebut.Beliau merujuk kepada Persidangan (Khas) Majlis Raja-Raja Melayu Kali Ke 217 yang bersidang pada 29hb Jun 2009) di Istana Negara.

Di dalam persidangan ini, Majlis Raja-Raja Melayu telah memutuskan supaya cadangan kerajaan untuk membentangkan pindaan Rang Undang-Undang di Parlimen bagi meminda Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, ditangguhkan terlebih dahulu bagi mendapatkan terlebih dahulu pandangan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

“Kami dengan ini mengalu-alukan keputusan tersebut atas pertimbangan bahawa sebarang pindaan undang-undang yang membabitkan isu-isu yang sensitif seperti soal implikasi dari penukaran agama, haruslah dibuat dengan cukup berhati-hati bagi mengelakkan berlakunya ketegangan dan salah faham,” ujarnya.

Hakikat ini boleh dilihat dengan jelas pada ketika kabinet membuat satu keputusan kontroversi pada bulan April yang lalu, katanya.

April lalu ujar Abdullah, kerajaan telah memutuskan bahawa seseorang anak yang masih belum dewasa adalah kekal di dalam agama kedua ibu bapanya (common religion) sewaktu di dalam perkhawinan, meskipun salah seorang dari kedua ibu bapanya telah memeluk agama yang lain.

Pada masa yang sama, DPPNP menuntut supaya kerajaan bukan sahaja mengambilkira pandangan dan cadangan dari Majlis Agama Islam Negeri, katanya.

Bahkan katanya semua pihak yang berkaitan seperti parti-parti politik, NGO-NGO, pakar-pakar perundangan sivil dan syariah dan badan-badan agama sebelum Rang Undang-Undang tersebut dibentangkan di Parlimen.

“Pemuda PAS berharap dan akan berusaha memastikan supaya pindaan yang dicadangkan tersebut bukan sahaja menghormati kedudukan dan kemuliaan agama Islam, tetapi pada masa yang sama turut member keadilan kepada penganut agama-agama yang lain,” katanya.

Semalam di Parlimen, dalam satu pertemuan dengan ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution beliau telah mendedahkan isu keinginan kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang tersebut dalam tempoh dua hari lagi bagi persidangan di Dewan Rakyat.

Saifuddin mendakwa, pindaan itu antara lain hanya akan menjejaskan fungsi Mahkamah Syariah, sebaliknya kuasa mahkamah tersebut akan dialih ke Mahkamah Sivil.

Paling dikhuatiri ujar Saifuddin, pindaan yang dibuat itu dalam tempoh yang sangat singkat sementara kertas pindaan masih belum diserahkan kepada ahli Parlimen untuk diperhalusi.

Pindaan ini (jika dibentang) hanya akan membangkitkan sensitiviti masyarakat Islam khususnya, kata Saifuddin.

Di peringkat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), pihaknya akan bertemu dengan Majlis Peguam Malaysia bagi membincangkan isu ini, sementara PAS katanya akan berbincang dengan Peguam Islam mengenai isu yang sama. – wann/mks. _

Petikan : harakahdaily.net

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Majlis Raja-Raja tangguh pindaan peraturan tukar agama

Posted by epondok di Jun 30, 2009

Majlis Raja-Raja hari ini memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan Majlis Raja-Raja membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan itu pada satu mesyuarat khas hari ini.

Mesyuarat selama dua setengah jam di Istana Negara itu dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, lapor Bernama.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ke mesyuarat itu.

Menurut kenyataan itu, semua Raja hadir kecuali Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Tengku Abdullah; Sultan Kelantan diwakili Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra; Sultan Perak diwakili Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah; dan Pemangku Raja Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.

Pada 22 April lalu, Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, apabila ibu atau bapa mereka memeluk agama lain kemudian.

Kabinet berpendapat penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak.

Jemaah menteri juga bersetuju mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak, menjadi mangsa.

Taklimat dibatalkan

Berikutan keputusan Majlis Raja-Raja tersebut, satu majlis taklimat untuk ahli parlimen beragama Islam mengenai pindaan tersebut dibatalkan pada saat-saat akhir.

Taklimat tersebut dijadual diberikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada jam 6 petang hari ini.

Mereka dijemput oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang menjaga halehwal agama Islam.

Tiada sebarang alasan rasmi diberikan berhubung pembatalan tersebut, tetapi menteri yang menjaga halehwal undang-undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ia kerana ahli parlimen terbabit sibuk dengan jadual masing-masing.

Katanya, taklimat tersebut akan diadakan kemudian tetapi tidak mengulas lebih lanjut.

Pada 16 Jun lalu, Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa pindaan tersebut sedang diperincikan oleh Pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen.

 

Petikan : Malaysiakini.com

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Jemputan ke Ihtifal An-Nuur kali ke 13

Posted by epondok di Jun 30, 2009

An-Nuur akan berihtifal kali yang ke 13 pada 11.Rejab.1430 bersamaan 4.July.2009 nanti.

Program akan diresmikan oleh Ustaz Rosli Abdul Jabbar YDP Pas Kawasan Kuantan merangkap Pengerusi Maahad Tahfiz Darul Fikri.

Agenda program seperti berikut;

9.30 pagi :

Perhimpunan Ibu/Bapa
Bacaan Al-Quraan oleh pelajar Akademi Tahfiz An-Nuur
Persembahan Nasyid oleh kumpulan Soutul Nuur.
Perasmian
Penyampaian Hadiah dan Penghargaan.

11.00 Pagi:

Jamuan
Pamiran An-Nuur & Aktiviti Ekonomi An-Nuur.
Rawatan Islam oleh persatuan Perubatan Darul Salam Gombak

9.30 Malam:

Persembahan Nashyid oleh Pelajar An-Nuur

Ceramah Umum oleh;
1. Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man ( Naib Presiden Pas)
2. YB Sdr Che Abdullah Mat Nawi ( Exco Kerajaan Kelantan
)

Menurut pengarah sambutan ,Ustaz Fadli Ibrahim, program kali ini diadakan selain daripada sebagai acara tahunan taqwim An-Nuur ia juga bertujuan mengumpul dana pembangunan Asrama Pelajar dan Bangunan pentadbiran dan kelas ANIS ( An-Nuur Islamic PreSchool).

Sahabat-sahabat, Muslimin dan Muslimat dijemput hadir ke Majlis ini. Mudah-mudahan segala sumbangan dan sokongan Tuan/Puan dimakbulkan oleh Allah.

Pengerusi Pentadbiran

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Lelaki ramai masuk neraka?

Posted by epondok di Jun 29, 2009

Ustaz Zainudin Hashim
Kalau dilihat secara renungan makrifat, terdapat satu hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang menceritakan pengalaman baginda bertemu Allah SWT di Sidratul Muntaha malam Israk Mikraj, di mana Allah SWT telah memperlihatkan kepadanya keadaan wanita yang kebanyakan mereka dihumban dalam api neraka lantaran beberapa kesalahan semasa berada di dunia.Namun ia bukan bermakna bahawa orang lelaki terselamat daripada panas api neraka dan dimasukkan dalam syurga Allah yang penuh dengan pelbagai nikmat yang luar biasa, yang terkadang tidak tergambar oleh akal fikiran manusia semasa hidup di dunia.Justeru, apabila kita lihat beberapa istilah dalam al-Quran, menggambarkan kepada kita bahawa orang lelaki juga tidak kurang menjadi penghuni neraka. Ini berdasarkan keterangan al-Quran seperti istilah ‘Ashabun Nar’ (ahli neraka), al-Kafirun, al-Fasiqun, al-Munafiqun, az-Zolimun dan juga istilah yang disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w. seperti golongan ‘dayus’, peminum arak dan anak-anak derhaka.Apa yang menarik perhatian dalam isu yang ingin dibangkitkan di sini ialah golongan dayus seperti yang ditegaskan dalam sebuah hadis baginda. Ramai daripada kalangan umat Islam hari ini tidak menyedari bahawa mereka boleh termasuk golongan yang dayus dan tempat golongan ini di akhirat tidak lain adalah neraka.

Mengapa neraka bagi golongan dayus? Golongan dayus ini sama ada seorang ayah yang membiarkan anak-anak gadis mereka keluar rumah tanpa mengenakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna begitu juga seorang suami yang membiarkan isterinya mendedahkan aurat seperti tidak memakai tudung kepala hingga di bawah perhiasan mereka.

Termasuklah membiarkan pembantu rumah di kalangan wanita asing yang dibiarkan tidak menutup aurat, maka suami tadi tidak berhak masuk syurga kerana membiarkan isteri dan pembantu rumahnya tidak menutup aurat seperti yang ditegaskan oleh al-Quran.

Peristiwa wanita ke neraka pada malam Mikraj

Sayidina Ali k.w. berkata: “Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah s.a.w. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?”

Baginda s.a.w. menjawab: “Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka.”

Ali bertanya: “Apakah yang ayahanda lihat di sana?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dicurah ke dalam halkumnya (tekak).

“Aku lihat perempuan yang digantung kedua-dua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, didatangkan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri. “Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.

“Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar dengan pelbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka.”

Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: “Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?”

Rasulullah s.a.w. menjawab: “Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.

“Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya. Perempuan kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.

“Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid dan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang.

“Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain.

“Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah.

“Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.

Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya.”

Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah.”

Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, aku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan.”

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan.”

Rasulullah s.a.w. ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda s.a.w. menjawab: “Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup.” (Hadis riwayat Bukhari) – lanh _

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Program Qafilah Ilmuan

Posted by epondok di Jun 29, 2009

Ikuti Siri Pengajian Tafaqquh Fiddin Secara Talaqqi Kitab (Sistem Pondok). Dimulakan dengan pengajian:

1. متن الأجرومية
2. متن البناء الأساس

3.  سفينة النجا فى علم الفقه  

 

 

Tempat di Masjid Kampung Laut, Nilam Puri, Kota Bharu

 

Tenaga Pengajar

Oleh guru-guru agama Pondok Pasir Tumboh iaitu Ustaz Sufian bin Hj Awang, Ustaz Nik Nizamudin bin Nik Yaakob dan Ustaz Fuad bin Wahab

 

Sesi dan waktu Pengajian

 

Setiap pagi Jumaat bermula jam 8.30 hingga 11.30 pagi dalam semester pengajian di KIAS.

 

Terbuka kepada sesiapa yang berminat.

 

 Anjuran: Bahagian Hal Ehwal Pelajar KIAS

 
 

 

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Desak Kerajaan Thailand Selesaikan Segera Isu Selatan Thai

Posted by epondok di Jun 28, 2009

Muhammad Arif Ismail
Sun | Jun 28, 09 | 7:57:41 am MYT
KUALA LUMPUR, 28 Jun (Hrkh) – Kerajaan Thailand didesak wujudkan badan bebas bagi menyiasat bukan sahaja peristiwa yang berlaku di Masjid al Furqan, Kampung Air Tempayang, malah di tempat lain kerana ia berkaitan dengan kepercayaan penduduk terhadap pihak berkuasa di negara itu.Perkara ini ditegaskan oleh Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid yang berpendirian bahawa Kerajaan Negara Gajah Putih itu mesti dengan segera mewujudkan satu badan secara bagi menyiasat tragedi ini dan sehingga sekarang masih belum ada jawatan bebas tersebut.”Yang ada hanyalah Polis yang membuat soalan-soalan kepada penduduk kampung tetapi tidak ada badan bebas yang berkredibiliti untuk mengembalikan kepercayaan kepada negara dan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa penduduk di Selatan Thai sudah hilang kepercayaan kepada pihak polis, kerajaan dan tentera.

Katanya, oleh itu, Teras dapati bahawa isu ini tidak boleh diselesaikan selagi polisi yang diamalkan oleh beberapa Perdana Menteri Thai iaitu dari Taksin hinggalah Abishit tidak berubah dengan meminggirkan penduduk di Selatan Thai dalam semua aspek.

“Polisi tetap sama, kawasan tersebut dijadikan satu kawasan medan politik untuk pihak tertentu menggunakan ketegangan di Wilayah itu bagi mendapatkan pengaruh di Thailand.

“Jadi kita kesal, adanya suatu konspirasi pihak atasan di negara itu yang menjadikan umat Islam sebagai mangsa kepada konflik dalaman kerajaan.

“Akhirnya, apa yang kita tuntut ialah undang-undang darurat yang telah dikuatkuasakan sejak 2005 mesti ditarik balik. Akta darurat tersebut memberi kebenaran kepada pihak tentera untuk menangkap sesiapa sahaja tanpa bicara.

“Kemudian pihak tentera juga boleh menyerbu kemana sahaja yang mereka hendak dan mendakawa sesiapa sahaja.

“Ini ada asasnya untuk rakyat di wilayah itu berasa selesa. kalau tidak rakyat akan melihat mereka akan sentiasa diawasi oleh pihak keselamatan,” jelasnya.

Teras juga menutut kerajaan Thai agar segera memberi perhatian terhadap keresahan ini bukan sahaja dari segi bantuan semata-mata.

“Apa yang dimahukan ialah hak mereka sudah dirampas sejak 200 tahun lalu iaitu pada tahun 1902 apabila Kesultanan Melayu Islam Patani dibatalkan oleh British dengan perjanjian Anglo Bangkok pada tahun itu.

“Sejak daripada itulah, umat Islam Selatan Thai hidup dalam penghinaan. Bahasa, identiti dan hak mereka untuk mendapatkan perlindungan dihapuskan,” tegas beliau.

Beliau yang lebih mesra dipanggil cikgu berkata, penduduk di Selatan Thai juga bahawa ini adalah satu kezaliman dan kebimbangan ini bukan berpunca dari soal pembangunan tetapi politik yang telah dicerobohi oleh Kerajaan Thailand.

Patani, menurutnya merupakan satu wilayah yang berdaulat dan mereka berhak menuntut. Soalnya, Kerajaan Thai hendak tunduk kepada tuntutan untuk memberikan kuasa autonomi adalah soa yang harus dibincangkan.

“Tetapi untuk mengatakan bahawa wilayah selatan Thai mesti tunduk kepada apa yang dikehendaki oleh Bangkok itu, kita rasakan tidak wajar sama sekali kerana fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan bahawa Patani pernah menjadi satu wailayah yang berdaulat,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau juga menegaskan bahawa Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) didesak agar serius menangani konflik yang berlaku di rantau ini.

Menurutnya, Asean perlu melihat isu ini dengan serius kerana sekarang kit adapati konflik diantara agama di rantau ini semakin memuncak dan bertambah parah.

“Tengok saja peristiwa yang berlaku di Mindanao, Selatan Thai dan di Myammar yang mana rakyat Rohingya yang beragama Islam turut ditindas dan akhirnya berlaku konflik di antara agama,” katanya.

Ini sangat serius, katanya, kalau Asean membiarkan isu ini berlarutan maka, rantau ini akan berhadapan dengan potensi untuk menjadi konflik antara agama yang sangat berat.

“Oleh kerana itu, kita desak Asean supaya mengadakan sidang tergempar untuk diadakan di peringkat tertinggi pertubuhan itu,” tegasnya. – mks._

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Penduduk Selatan Thai Perlukan Doa Kita

Posted by epondok di Jun 28, 2009

Muhammad Arif Ismail
Sun | Jun 28, 09 | 7:52:56 am MYT
KUALA LUMPUR, 28 Jun (Hrkh) – “Kami memohon kepada seluruh rakyat Malaysia agar dapat berdoa kepada tuhan supaya diberi ketabahan melalui hidup ini, ini yang kami mahukan.”Mereka tidak meminta bantuan dan kekayaan tetapi mengatakan nasib mereka perlu diberi perhatian daripada seluruh rakyat malaysia yang cintakan kedamaian,”demikian pengalaman yang diceritakan oleh Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid semasa menyertai rombongan ke tempat peristiwa berdarah di Masjid al Furqan di Cho Airong yang terletak 50 kilometer dari bandar Sungai Golok yang berlaku baru-baru ini.Seramai 11 orang jemaah masjid berkenaan telah dibunuh secara kejam oleh 6 lelaki yang bersenjatakan rafile dan tidak berpuas hati dan masuk ke dalam sebelum melepaskan beberapa das tembakan bagi memastikan semua jemaah terbabit benar-benar mati.

Menurutnya yang membuat lawatan ke tempat kejadian pada 14 Jun lalu, mereka memohon kepada rakyat Malaysia agar dapat berdoa supaya dapat melalui hidup ini dengan tabah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Dewan Masjid Al Muhsinin, Taman Danau Desa, dekat di sini yang turut dihadiri oleh Presiden Sekretariat Himpunan Ulama Asia (Shura), Ust. Abdul Ghani Samsudin dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Dato’ Md. Saleh Ahmad.

Katanya, ketika menceritakan pengalaman beliau semasa menyertai rombongan yang dianggotai oleh 15 dari 11 badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, mereka diiringi oleh lebih kurang 30 anggota tentera dan polis serta ditemani oleh seorang Mejar Jeneral dari Bangkok.

“Mereka dihantar untuk mengiringi kami dengan kawalan keselamatan yang ketat dengan hampir 15 ‘check point’ dan dari Patani ke Narathiwat tempat kejadian terdapat lebih kurang 10 ‘check point’.

“Ini sangat ketat serta sangat sukar untuk orang biasa untuk pergi ke tempat kejadian itu.

“Mereka mengawasi setiap pertemuan kita dengan penduduk kampung, tetapi alhamdulilah semasa kami pergi ke kampung tersebut tiada masalah dari segi kami hendak meyatakan rasa simpati atas yang yang menimpa,” katanya.

Sambung beliau, kami juga menyampaikan derma sebanyak RM 30,000 hasil daripada kutipan derma rakyat Malaysia dan pihak berkuasa juga menyaksikan ketika kami menyampaikan derma tersebut kepada penduduk yang terlibat dalam pembunuhan kejam itu.

Suasana di sana katanya, sangat memilukan setelah mengadakan pertemuan dengan semua balu-balu kerana suami mereka semuanya berumur dalam lingkungan umur yang paling muda sekitar 33 tahun dan yang tua pula berumur dalam lingkungan 60 dan 70 tahun.

“Kami juga melihat sendiri keadaan masjid itu di mana peluru yang digunakan dengan begitu banyak dan kesannya dapat dilihat pada dinding masjid.

“Sama sekali kita merasa sangat-sangat sedih terhadap suasana masjid al Furqan itu yang dikelilingi oleh suasana kampung yang sangat damai tetapi mereka berhadapan dengan kejutan itu,” katanya.

Namun katanya, mereka tabah menghadapi semua ini, masih lagi nampak kuat. Tetapi para balu itu mengatakan ini merupakan satu trauma yang sama sekali tidak akan hilang dalam hiudp mereka.

“Mereka juga memikirkan bagaimana hendak mengatasi kehidupan dengan menyara anak-anak yang menjadi yatim akibat peristiwa ini yang kami hitung lebih kurang seramai 22 orang,” ujar beliau. – mks._

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tuan Guru Hj Ahmad Sedawa Kembali Ke Rahmatullah

Posted by epondok di Jun 27, 2009

Selang beberapa minggu sahaja selepas kehilangan ulama’ Melayu terkenal di Mekah iaitu al-Marhum Hj Husin Surat maka dunia kehilangan seorang lagi ulama’ yang banyak berjasa iaitu Tuan Guru Hj Ahmad Sedawa yang berasal dari Kampung Sedawa, Fathoni, Thailand. Beliau telah berhijrah dari tanahair tercinta untuk menimba ilmu seterusnya menabur jasa di bumi berkat Mekah selama 60 tahun. Al-Marhum meninggal pada malam Jumaat yang lalu dan dikebumikan keesokan harinya. Kehilangan beliau ibarat terpadam suatu lagi cahaya di bumi fana ini. Para bekas pelajar dan kawan-kawan yang mengenali beliau di seluruh negara telah mengadakan solat ghaib bagi jenazah beliau. Semoga Allah meletakkan beliau dengan ruh para syuhada’ dan solehin… al-Fatihah

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Sheikh Idris Al-Marbawi pengarang Bahrul Mazi

Posted by epondok di Jun 26, 2009

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


KITAB Tafsir Surah Yasin karangan Imam Asy-Syaukani terjemahan bahasa Melayu oleh Sheikh Al-Marbawi atas permintaan percetakan Musthafa Al-Baby Al-Halabi Mesir tahun 1353H.

ULAMA besar yang diperkenalkan pada kali ini tidak asing bagi kebanyakan pelajar-pelajar Alam Melayu amnya, dan di Malaysia khususnya. Beliau sangat terkenal dengan kamus Arab-Melayunya, iaitu Qamus al-Marbawi. Beliau ialah Sheikh Muhammad Idris Abdur Rauf al-Marbawi, seorang ulama yang berketurunan dari Kampung Merbau, Perak. Dilahirkan pada tahun 1893 M di Mekah, dan tarikh kembalinya beliau ke rahmatullah juga telah banyak ditulis orang pada 10 Oktober 1989, dimakamkan di Kampung Lubuk Merbau, Perak pada usia 96 tahun.

Tok Kenali antara Guru Sheikh Idris al-Marbawi

Ilmu yang paling banyak diperolehnya adalah dari Tok Kenali Kelantan. Sebelum ini, artikel mengenai Tok Kenali pernah dibicarakan penulis dengan judul Tok Kenali: Ulama Peringkat Wali yang dikeluarkan pada Isnin, 2 Oktober 2006.

Namun dirasakan perlu dibicarakan lagi secara umum berkenaan guru kepada Sheikh Idris Marbawi tersebut.

Tok Kenali adalah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam bersistemkan pondok di Malaysia, bahkan juga seluruh Alam Melayu.

Beliau ialah murid yang paling dipercayai oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, sehinggakan tiada satu rahsia perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh beliau.

Beliau meninggalkan murid yang sangat ramai. Antara yang menjadi ulama besar adalah Sheikh Idris Marbawi dan Sheikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber ini penulis perolehi daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, seorang Mufti Mempawah Indonesia, yang didengar penulis pada tahun 1969 di Indonesia, Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah, yang didengar pada tahun 1970, Kadi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala Patani pada tahun 1970, Kadi Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ramai yang lain yang belum perlu disebutkan).

Karya-karya yang dihasilkan

Sheikh Idris al-Marbawi meninggalkan karya-karya yang tidak kurang banyaknya. Terdapat dua karya beliau yang sangat terkenal, sehingga masih digunakan sehingga ke hari ini iaitu Qamus al-Marbawi dan Bahrul Mazi. Keterangan maklumat mengenai kedua-dua karya tersebut adalah berikut:

A. Qamus Idris al-Marbawi

Qamus Idris al-Marbawi adalah judul sebenar dalam persuratan. Dalam percakapan umum dinamakan kamus Marbawi. Kamus ini bukan kamus Arab-Melayu yang pertama ditulis. Terdapat kamus lain ditulis sekitar tahun berhampirannya. Namun, kamus ini mendapat tempat tersendiri dalam bidang perkamusan.

Paling luas penyebarannya

Antara keistimewaan kamus ini berbanding yang lainnya adalah kamus Arab-Melayu yang ditulis dengan Melayu-Jawi dan yang pertama paling luas penyebarannya di seluruh dunia Melayu. Bahkan ia turut digunakan oleh masyarakat Melayu di Mekah, Mesir dan beberapa tempat lain.

Ia turut digunakan oleh hampir semua orang yang belajar bahasa Arab dari kalangan suku kaum Melayu, Jawa, Bugis dan sebagainya.

Dalam mukadimahnya, beliau meluahkan yang terkandung dalam hatinya demi kemajuan bangsa Melayu, iaitu katanya: “Kemudian dari itu, maka sebelum masuk mengarang kamus ini, lebih dulu menerangkan maksudku mengadakannya, ialah memajukan bangsaku Melayu, sekiranya menuntut bahasa Arab adalah kamus penyuluhnya yang diharap, mendapatkan pelajarannya umpama nahu dan saraf.”

Kamus ini mengandungi dua juzuk. Juzuk pertama yang mengandungi 384 halaman dimulakan huruf Alif dan berakhir dengan Zha, yang mengandungi 18,000 kosa kata perkataan Arab yang diberi takrif atau ertinya ke dalam bahasa Melayu, dan terdapat juga 700 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Dalam juzuk kedua pula mengandungi 401 halaman, yang dimulakan daripada huruf ‘Ain dan berakhir dengan huruf Ya, juga terdapat 18,000 kosa kata Arab dan 500 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Berkenaan maklumat-maklumat lainnya berkaitan kamus Marbawi tersebut, telah banyak penulis bicarakan dalam Berita Harian, 28 Mac 2006 (Selasa) dengan judul ‘Kamus Marbawi Rujukan Pelajar Kuasai Bahasa Arab.’

B. Bahrul Mazi
Karya Syeikh Idris al-Marbawi yang berupa hadis yang terkenal ialah Bahrul Mazi, judul lengkapnya Bahrul Mazi li Syarh Mutkhtasar Sahihit Tarmizi. Ia merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi dan disyarah oleh beliau.

Terjemahan Sahih Tarmizi secara lengkap ini adalah merupakan yang pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa Melayu.

Bahrul Mazi adalah karya besar yang terdiri daripada 22 jilid yang sudah diterbitkan. Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilidnya, adalah seperti berikut:

– Jilid I : Tanpa menyebut tarikh. Tebal 227 halaman. Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 126 hadis dan 591 masalah.

– Jilid II: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 454 masalah.

– Jilid III: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 240 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 161 hadis dan 558 masalah.

– Jilid IV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang; zakat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 115 hadis dan 519 masalah.

– Jilid V: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 208 halaman. Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 110 hadis dan 473 masalah.

– Jilid VI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 108 hadis dan 458 masalah.

– Jilid VII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara umrah dan jenayah. Terdiri daripada 114 hadis dan 483 masalah.

– Jilid VIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan baki bab-bab jenayah dan membicarakan Kitabun Nikah. Terdiri daripada 99 hadis dan 330 masalah.

– Jilid IX: Tarikh selesai menulis malam Rabu, 29 Syawal 1357 H di rumah berdekatan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Tebal 224 halaman. Menerangkan bab-bab talak, li’an dan jual beli. Terdiri daripada 117 hadis dan 226 masalah.

Bab-bab jualan
– Jilid X: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Menerangkan baki bab-bab jualan, bab-bab kadi, diat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 180 hadis dan 259 masalah.

– Jilid XI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan Nabi dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 151 hadis dan 486 masalah.

– Jilid XII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 170 hadis dan 353 masalah.

– Jilid XIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan minum-minuman, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 152 hadis dan 472 masalah.

– Jilid XVI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Melengkapi atas baki bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibah, qadar dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 395 masalah.

– Jilid XV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 248 halaman. Melengkapi bab-bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi. Terdiri dari 105 hadis dan 301 masalah.

– Jilid XVI: Tarikh akhir Bab ar-Ru‘ya dan mengiringi bab-bab syahadah. Selesai malam Rabu, 21 Ramadan 1359 H/1940 M. Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud. Terdiri daripada 128 hadis dan 237 masalah.

– Jilid XVII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat kiamat; pelembut hati, wara’ dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 100 hadis dan 210 masalah.

– Jilid XVIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 109 hadis dan 210 masalah.

Minta izin
– Jilid XIX: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab ilmu, minta izin dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 148 hadis dan 266 masalah.

– Jilid XX: Tarikh dicatat oleh pengarangnya, katanya: “Telah selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan juzuk yang kedua puluh ini dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala mengarangnya 16 tahun. Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jepun dan Itali pada tahun 1949, dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan dan 1373 bersamaan 18 Mei 1955.” Melengkapi atas baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala Quran dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 127 hadis dan 311 masalah.

– Jilid XXI: Mulai penulisan pada hari Khamis, 26 Syaaban 1374 H/19 Mei 1955 M, dan diselesaikan pada 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M. Tebal 255 halaman. Melengkapi atas segala bab tafsir. Terdiri daripada 92 hadis dan 335 masalah.

– Jilid XXII: Dimulai 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M, dan selesai pada malam 2 Jamadilakhir 1377 H/24 Disember 1957 M. Tebal 242 halaman. Melengkapi atas tafsir setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lain-lainnya. Terdiri daripada 95 hadis dan 351 masalah.

Penerbitan keseluruhan diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, mulai tahun 1352 H/1933 M.

Pada kata aluan jilid pertama, pengarangnya menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadis daripada Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Bahawa ketika pulang ke rumah, beliau terus mencatat pelajarannya sehingga tersusunlah kitab besar Bahrul Mazi tersebut.

Kurang tersebar
Sebuah lagi karangan Sheikh Idris al-Marbawi yang kurang tersebar ialah kitab Tafsir Surah Yasin. Asal kitab ini adalah karangan Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad asy-Syaukani dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sheikh Idris al-Marbawi atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H.

Pada mukadimah Sheikh Idris al-Marbawi menulis: “Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahwa hamba terjemahkan tafsir yasin karangan asy-Syaukani daripada Arab kepada Melayu…”.

Kitab ini telah diterbitkan oleh Mathba‘ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935 M.

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »