Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 14 Mei 2009

Bila Manusia Bersikap Seperti Kera dan Babi

Posted by epondok di Mei 14, 2009

قال الرسول e  : لَيَشْرَ بَنَّ نَاسٌ مِّنْ أُمَّتِي الخَمْرَ يُسَمُّوْنَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُؤُوْسِهِمْ بِالمَِعَازِفِ وَالمُغْنِيَّاتِ يَخْسِفُ اللهُ ِبهِمُ الأَرْضَ و َيَجْعَلُ مِنْهُمُ القِرَدَ ةَ  وَ الخَنَازِيْرَ

  1. Maksudnya : Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama lain. (Mereka meminum arak) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa) dan Allah akan merubah mereka menjadi kera dan babi   – HR Ibnu Majah

 

Keterangan

Maksudnya, akan ada di kalangan orang Islam ini yang meminum khamar dan mereka mengatakan bahawa yang diminum itu bukanlah khamar. Ia hanyalah sejenis minuman yang dapat menyegarkan badan atau yang dapat menghilangkan dahaga. Mereka akan memberikan suatu nama kepada minuman ini yang menunjukkan bahawa ia bukan khamar, tetapi sebenamya ia adalah khamar yang telah diharamkan oleh syara’.

Kemudian, menjadi kelaziman pula, suasana mabuk itu akan disertai dengan alunan muzik dan juga nyanyian artis-artis kenamaan.

Rasulullah saw. menerangkan bahawa golongan ini akan ditimpa gempa bumi atau tubuh badan mereka diubah kepada bentuk kera atau babi.

Sangat benar sabdaan Junjungan Besar Nabi saw. ini. Gempa bumi demi gempa bumi yang berlaku di beberapa tempat di dunia ini sebagai satu seksaan daripada Allah swt. dan jikalau golongan ini belum sampai keperingkat diubah bentuk badan mereka menjadi kera dan babi tetapi perangai dan cara hidup mereka sudah banyak menyerupai perangai dan cara hidup kera dan babi.

 Kera diibaratkan sejenis binatang yang biasa dipelihara dengan diberi makan minum yang mencukupi tetapi sentiasa berpaling punggung pada tuannya. Manusia pun ramai yang bersifat seperti kera apabila banyak nikmat dianugerahkan oleh Allah tidak disyukuri malah melawan sistem Allah dan derhaka kepadaNya tanpa rasa malu dan takut. Begitu juga bukan sahaja tidak merasa malu malah merasa bangga bila dapat melompat seperti kera atas pentas hiburan dan sebagainya

 Babi pula sejenis binatang yang tidak mempunyai perasaan cemburu. Begitulah bila seorang lelaki yang hilang rasa cemburu tidak merasa apa-apa bila melihat isterinya bersama lelaki lain, dan seorang bapa tanpa rasa bertanggungjawab untuk melarang apabila melihat anak perempuannya bersama lelaki asing. Babi juga mempunyai tabiat makan yang begitu buruk dan kotor sehingga sanggup memuntahkan makanan dalam perut demi mengisi makanan yang baru disamping sanggup makan muntahnya sendiri. Begitulah manusia hari ini yang hidupnya tanpa arah tuju dan matlamat hidup hanya memikirkan makan dan hiburan melampau sahaja. Makan apa sahaja tanpa mengira halal dan haram ditambah dengan sanggup merampas, mencuri hak orang lain demi memenuhi perut sendiri

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hukum Orang Kafir Membaca al-Quran

Posted by epondok di Mei 14, 2009

Dr Ahmad Salim dalam buku beliau “ Faidhu al-Rahman Fi al-Ahkam al-Fiqhiyyah al-Khassah Bi al-Quran” menyatakan terdapat 2 pendapat berkenaan hukum orang kafir membaca al-Quran

 

Pendapat pertama : Haram bagi orang kafir zimmi atau yang lainnya untuk membaca al-Quran. Ini kerana mereka yang lebih patut ditegah daripada orang yang berjunub. Ini pendapat mazhab Hambali

 

Pendapat kedua : Harus bagi orang kafir membaca al-Quran kerana dia Belum percaya kepada kehormatannya. Ini pendapat mazhab Syafi’e

 

  1. Pengarang kitab Hasyiah al-Bujairimi mensyaratkan supaya orang kafir yang membaca al-Quran itu diharapkan untuk memeluk Islam
  2. Syeikh Ramli dalam kitabnya ‘Ihaayatu al-Muhtaj berkata : Orang kafir tidak ditegah untuk membaca al-Quran kerana dia tidak percaya kepada kehormatannya
  3. Syeikh Muhammad as-Syarbini menulis dalam kitabnya : …. perkara kedua yang dilarang bagi orang berjunub adalah membaca al-Quran bagi orang Muslim. Adapun orang kafir tidak ditegah membaca al-Quran kerana dia tidak percaya kepada kehormatannya seperti yang disebut oleh al-Mawardi
  4. Al-Bujairimi menukil dalam kitabnya : Tidak ditegah orang kafir berjunub untuk duduk di dalam masjid dan membaca al-Quran. Adapun orang kafir yang berhaidh dan bernifas dilarang membaca al-Quran dan duduk dalam masjid

Posted in Klinik Agama | 2 Comments »