Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 11 Mei 2009

PENEMUAN SAINTIFIK TENTANG BAHAYA BABI

Posted by epondok di Mei 11, 2009

 

Allah berfirman di dalam Al-Quran: "Sesungguhnya Allah mengharamkan
kepadamu bangkai, darah dan daging babi." (Surah Al-Baqarah ayat 173)
Dengan dalil ini jelaslah kepada kita bahawa daging babi dan
produk-produknya diharamkan oleh Allah secara mutlak ke atas umat
Islam. Setiap perkara yang diharamkan Allah pasti mempunyai sebab dan
rahsianya.
 
 
Penyakit Dan Jangkitan Daripada Babi
 
 
Daniel S. Shapiro, M.D., Pengarah Clinical Microbiology Laboratories,
Boston Medical Center, Massachusetts dan juga merupakan Penolong
Profesor Perubatan di Pathology and Laboratory Medicine, Boston
University School of Medicine, Massachusetts, merumuskan terdapat
lebih daripada 25 penyakit yang boleh di jangkiti dari babi.243 Di
antaranya ialah:
 
 
 
 
• Anthrax
 
• Ascaris suum
 
• Botulism
 
• Brucella suis
 
• Cryptosporidiosis
 
• Entamoeba polecki
 
• Erysipelothrix shusiopathiae
 
• Flavobacterium group IIb-like bacteria
 
• Influenza
 
• Leptospirosis
 
• Pasteurella aerogenes
 
• Pasteurella multocida
 
• Pigbel
 
• Rabies
 
• Salmonella cholerae-suis
 
• Salmonellosis
 
• Sarcosporidiosis
 
• Scabies
 
• Streptococcus dysgalactiae (group L)
 
• Streptococcus milleri
 
• Streptococcus suis type 2 (group R)
 
• Swine vesicular disease
 
• Taenia solium
 
• Trichinella spiralis
 
• Yersinia enterocolitica
 
• Yersinia pseudotuberculosis
 
 
 
 
 
Kajian yang dibuat oleh Alix Fano (M.A.), Murry J. Cohen (M.D.),
Marjorie Cramer (M.D.,F.A.C.S.), Ray Greek (M.D.), dan Stephen R.
Kaufman (M.D.) mendapati antara penyakit-penyakit ini ada yang boleh
membawa maut, sebagai contoh leptospirosis. Ia boleh menyebabkan
kerosakan hati dan buah pinggang.
 
 
 
 
Babi Dan Pandangan Tokoh-Tokoh Perubatan China
 
 
 
 
Orang-orang Cina banyak membuat pengamatan dan kajian tentang babi dan
sesetengah pandangan mereka dibukukan untuk pengetahuan umum. Sebagai
contoh dalam sebuah Jurnal Kesihatan Cina yang amat terkenal suatu
ketika dahulu iaitu Yan Show Tan disebutkan, "Di saat kematian,
perasaan takut akan memasuki hati babi dan nafasnya yang terakhir
memasuki hempedunya. Semua daging adalah berkhasiat melainkan daging
babi. Jangan makan dagingnya."
 
 
 
 
Di zaman Dinasti Tang terdapat seorang tabib yang amat terkenal
bernama Sun See Mao. Beliau hidup sampai ke umur 100 tahun dan
mengarang sebuah buku yang bertajuk Sheh Shen Lu (Catatan-Catatan
Kesihatan). Di antara isi-isinya ialah, "Daging babi merangsang
penyakit-penyakit lama, menyebabkan kemandulan, penyakit sakit tulang
dan asma."
 
 
 
 
Di zaman Dinasti Ming pula, terdapat seorang tabib yang bernama Lee
Shih Ch'en. Beliau amat dihormati dan mengarang 50 jilid buku-buku
perubatan atau Materia Medica dan berhubung daging babi beliau
berkata, "Ia boleh mendatangkan kesan berbahaya."
 
 
 
 
Secara umumnya tokoh-tokoh China zaman dahulu melarang seseorang
memakan daging babi disebabkan pelbagai kemudaratan yang boleh menimpa
ke atas manusia yang memakannya.
 
 
 
 
Virus-Virus Baru Keluaran Babi
 
 
 
 
Jangkitan kuman virus influenza pada tahun 1918 telah membunuh lebih
kurang 20 juta manusia di seluruh dunia. Ada yang menganggarkan
mangsa-mangsanya yang sebenarnya berjumlah 40 juta orang. Mengikut
beberapa kajian, kuman virus yang menyebabkan epidemik ini datang dari
babi-babi di Amerika. Ia menjangkiti tentera-tentera Amerika pada
Perang Dunia I dan tentera-tentera ini kemudiannya membawa dan
menyebabkan jangkitan di negara-negara lain. Kajian ke atas
spesimen-spesimen mangsa menunjukkan, punca wabak ini adalah daripada
kuman virus yang datangnya daripada babi.
 
 
 
 
Alix Fano, pengarang buku Lethal Laws – Animal Testing, Human Health
and Environmental Policy, merangkap Pengarah Medical Research
Modernisation Committee mengesahkan, kuman-kuman virus dari babi mampu
berubah dan menjadi lebih berbahaya (mutations) dari masa ke semasa.
Pada bulan Mac, 1997, ahli-ahli sains Britain melaporkan penemuan
kuman berbahaya retroviruses PERVS dari babi. Virus ini membiak di
dalam tabung uji yang mempunyai sel-sel buah pinggang manusia dan ia
merebak melalui cecair yang ada pada tubuh manusia dan ini menyebabkan
ia mudah menjangkiti orang lain.
 
 
Pada bulan November, 1997, Dr. Robin Weiss dari Chester Beatty
Laboratory, London mengesahkan kewujudan virus PERV di dalam babi.
Penemuan ini menyebabkan Kerajaan British mengharamkan kesemua
aktiviti pembedahan pemindahan alat / organ dari babi kepada manusia.
Pada bulan Ogos 1997, pakar-pakar sains dari Australia menemui satu
lagi virus baru yang menjangkiti babi sebelum menyerang manusia. Ia
amat berbahaya kepada manusia dan belum pernah ditemui sebelum ini dan
dikenali sebagai virus menangle dari kumpulan paramyxovirus.
 
 
 
 
Secara umumnya, sejak tahun 1997, ahli-ahli sains menemui beberapa
kuman virus keluaran babi yang boleh menjangkiti manusia. Kuman-kuman
ini belum pernah ditemui sebelum ini, antaranya ialah,
 
 
 
 
• Porcine Torovirus.
 
• Porcine Rotavirus (Variant 4F).
 
• PRRS (Porcine Reproductive and Respiratory Syndrome Virus).
 
• H3N2 Swine Flu Virus.
 
 
 
 
Babi Mengubah Virus Ke Tahap Berbahaya
 
 
 
 
Dalam Journal of Virology 1997 dilaporkan kajian yang dilakukan oleh
12 orang pakar-pakar sains yang dipimpin oleh Dr. Yoshihiro Kawaoka
dari Universiti Wisconsin. Penemuan mereka jelas menunjukkan pada
kerongkong babi terdapat sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai
kuman virus kepada bentuk yang berbahaya. Pakar-pakar sains menganggap
babi sebagai mixing vessel atau 'tempat pelbagai kuman bertakung
sebelum diubah ke bentuk yang berbahaya.' Mengikut kajian itu juga
virus binatang yang biasanya tidak menjangkiti manusia akan bertukar
menjadi kuman yang berbahaya yang boleh menjangkiti dan membunuh
manusia, selepas melalui perubahan di dalam babi. Penemuan ini mampu
memberi jawapan kepada punca empat wabak penyakit demam selesema flu
yang menyerang dan membunuh jutaan manusia pada abad ini. Ia bermula
dengan serangan Spanish flu pada tahun 1918, diikuti dengan Asian flu
pada tahun 1957, Hong Kong flu 1968 dan Russian flu pada tahun 1977.
Kajian-kajian oleh ahli-ahli sains menunjukkan kuman-kuman pembunuh
ini dikeluarkan oleh babi sebelum menjangkiti manusia sejagat,
terutamanya wabak pada tahun 1918.
 
 
 
 
Tambahan dari itu, BBC News Online bertarikh 29 Oktober, 1999
melaporkan virus babi menjadi punca berlakunya wabak yang paling teruk
dalam sejarah dunia moden pada tahun 1918. Ahli-ahli sains juga
mendapati wabak yang menyerang Hong Kong baru-baru ini juga
berkemungkinan besar berpunca dari virus babi.
 
 
 
 
Mengikut Dr. Virginia Hinshaw, Dekan di Graduate School Universiti
Wisconsin-Madison, virus sentiasa berubah kepada bentuk yang lain dan
babi merupakan satu takungan yang mampu mengubah virus flu kepada
bentuk yang lain itu. Yang membimbangkan ialah, sistem pertahanan
manusia tidak mampu menangkis serangan dari virus-virus ini.
 
 
 
 
Tambahan dari itu, terdapat virus dari keluarga HIV yang wujud di
dalam babi. Virus ini di bawa oleh DNAnya dan ia tidak boleh
dipisahkan. Profesor Robin Weiss, seorang pakar dalam bidang virologi
dari Institut Kajian Kanser, London berkata, " Babi mempunyai banyak
kuman virus. Salah satu masalah yang perlu kita hadapi ialah babi
mempunyai kuman retrovirus yang boleh menjangkiti manusia. Ia tidak
dapat dibuang dari babi kerana ia dibawa oleh benih DNAnya. Retrovirus
ini adalah dari keluarga yang sama dengan kuman HIV."
 
 
 
 
Babi Dengan Masalah Yang Berterusan
 
 
 
 
Sejak dari zaman dahulu lagi tokoh-tokoh tabib China dari Dinasti Tang
dan Ming mengingatkan manusia tentang bahaya daging babi. Kemudian
pada abad kedua puluh, terutamanya di sekitar tahun 50an, dunia
dikejutkan dengan cacing trichina dari babi yang menjadi penyebab
kepada penyakit trichinusis. Tidak ada ubat yang boleh membunuhnya
ketika itu. Di Amerika, amaran terpaksa dikeluarkan tentang bahaya
memakan daging babi, sebagai contoh, amaran yang dikeluarkan oleh Dr.
Glen Shepard dalam Washington Post bertarikh 31 Mei 1952. Pada hari
ini, masalah trichinusis telah dapat diatasi namun timbul pula
kuman-kuman baru seperti virus flu yang lebih berbahaya yang boleh
menyebabkan wabak yang membunuh di seluruh dunia. Apabila Allah
mengharamkan sesuatu, ia pastinya suatu yang keji dan memudaratkan.
 
 
 
 
Nukilan,
 
 
 
 
Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Universiti Alexandria)
 
Beliau ialah Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy,
 
Pengamal Perubatan selama 20 tahun,
 
Motivator Radio Malaysia Pulau Pinang selama 10 tahun,
 
Penulis 10 buah buku, Kolumnis Majalah-i
 
Pemudah Cara Pelbagai Korporat dan Institusi,
 
Penasihat Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »