Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mei 2009

6 Teka-teki Imam Ghazali

Posted by epondok di Mei 30, 2009

 

 

Imam Ghazali berteka-teki dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya beberapa soalan:

 

PERTAMANYA beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :” Orang tua, guru, kawan dan sahabat”. Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah ‘mati’. Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 185  :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ 

Maksudnya :  Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari qiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan

 

KEDUANYA beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :” negara China, bulan, matahari dan bintang”. Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah ‘masa lalu’. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke amasa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti.

 

KETIGANYA beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: ” Gunung, bumi, matahari”. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah ‘nafsu’. Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahannam. Ayat 179 surah al-A’araf :

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالأِِنْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَ يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ 

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahannam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak digunakan untuk memamahami ayat Allah. Mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah, Mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar ayat Allah. Mereka itu seperti binatang bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai

 

 

KEEMPAT belia bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu murudnya menjawab :” Besi, gajah”. Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah ‘menanggung amanah’. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak. Ayat 72 Ahzab

إِنَّا عَرَضْنَا الأَ مَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الأِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولاً 

Maksudnya :  Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka bimbang akan mengkhianatinya dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil

 

KELIMA beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab :” Kapas, angin, debu dan awan”. Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah ‘meninggalkan sembahyang’ kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.

 

KEENAM beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab :’ Pedang”. Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah ‘lidah manusia’ di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.

قال الرسول e  : مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ أَوْ لِيَسْكُتْ

Maksudnya : Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah hanya berkata perkara yang baik atau pun dia diam

Posted in Klinik Agama | 1 Comment »

Sifat Marah dan Cara Ubatinya

Posted by epondok di Mei 29, 2009

 

Tingkatan manusia ketika marah

  

Ketiadaan sifat marah : Orang yang tiada bersifat pemarah, ataupun yang lemah sifat kemarahannya itu tercela. Itulah orang yang dikatakan tidak mempunyai sifat cemburu pada diri

 

Keterlampauan sifat marah: Yang dikatakan keterlampauan dalam marah itu, ialah bila sifat marah itu tidak dapat dikuasai lagi, sehingga ia terkeluar dari batas pertimbangan akal dan agama dan kepatuhannya.

 

Pertengahan antara marah dan tidak marah: Yang dikatakan bersikap keras dan tegas itu adalah bersumber dari adanya tanda-tanda kekuatan cemburu dalam diri, iaitu yang membolehkan sifat marah itu digunakan pada tempat yang sepatutnya

 

Sebab-sebab kemarahan

 

Sebab-sebab yang membangkitkan kemarahan itu, ialah meninggi diri, ujub dan bangga, senda gurau, omong kosong, mengejek-ejek, mencela, berbantah-bantah, berlawan-lawan, berkhianat, kemahuan yang tak terbatas pada mencari wang dan menuntut kedudukan;

 

Bagaimana mengubati kemarahan yang sedang bergejolak

 

a. Ilmu pengetahuan padam sifat marah

 

Pertama: Hendaklah anda cuba mengingatkan kembali segala anjuran-anjuran yang ditunjuk oleh syariat dalam keutamaan dan kelebihan sifat-sifat menahan marah, pemaaf, penyantun dan menanggung perilaku buruk. Dengan jalan itu jiwa anda akan inginkan pahala yang dijanjikan kerana menolak kemarahan itu, lalu anda akan menentang keinginan diri untuk membalas dendam, maka dengan itu perasaan marah anda akan terhapus dari dalam diri.

 

Kedua: Hendaklah anda ingat tentang ancaman Allah Ta’ala dan siksaanNya, andaikata diteruskan juga sifat marah anda itu. Anda harus merenung pula, apakah anda boleh terselamat dari kemurkaan Allah Ta’ala pada Hari Kiamat kelak, meskipun ketika itu anda sangat memerlukan kepada  pengampunan dan kemaafan Allah Ta’ala.

 

Ketiga: Hendaklah anda ingat akan akibat permusuhan dan pembalasan dendam lawan anda, kelak sudah barang tentu ia akan berusaha untuk menceroboh kehormatan diri anda. Ia akan cuba menjaja segala keburukan anda. Ia akan merasa suka, bila anda tertimpa sesuatu bencana, sedangkan anda sendiri tentu sekali tidak sunyi dari berbagai-bagai keburukan dan kecelaan diri. Dengan yang demikian, anda akan merasakan keburukan akibat marah itu di dunia, kiranya anda masih tidak mengendahkan akan akibat dosanya di akhirat.

 

Keempat: Hendaklah anda gambarkan bertapa buruknya rupa anda kelak bila anda marah, iaitu dengan mengingat rupa orang lain ketika dalam dalam kemarahan. Bayangkanlah rupa anda yang buruk ketika itu, dengan rupa sahabat ada yang diumpamakan seperti anjing galak yang hendak menerkam, atau seekor binatang buas yang mengganas. Kemudian bayangkanlah pula seorang penyantun yang bertenang saja, yang tidak suka marah-marah, yang menurut perilaku para Nabi, para wali, para alim ulama dan orang-orang yang bijaksana. Pilihlah antara dua perilaku itu, mana yang lebih sesuai bagimu? Menyerupakan dirimu dengan perilaku anjing-anjing, binatang-binatang buas dan orang-orang yang tercela kelakuannya? Ataupun menyerupakan dengan perilaku para Nabi dan alim ulama dalam adat kebiasaannya, supaya jiwa anda kelak tertarik kepada perjalanan hidup mereka itu, itu pun jika ada lagi padamu sedikit otak yang boleh memikirkan baik buruknya kedua-dua perilaku tadi.

 

Kelima: Hendaklah anda fikirkan apa sebabnya anda ingin membalas dendam? Dan apa pula sebabnya anda tidak dapat menahan diri dari kemarahan itu? Mungkin juga syaitan membisikkan di telinga anda, bahawa sikap itu akan menunjukkan kelemahan dan kehinaan diri, dan anda akan kelihatan rendah di mata orang ramai. Ketika itu hendakkah anda menjawabnya dengan berkata: Wahai nafsu! Anih sekali engkau ini. Engkau tak sanggup menahan penghinaan sekarang. Apakah engkau lebih sanggup menahan penghinaan di Hari Kiamat kelak? Apakah engkau tidak bimbang, kelak di sana engkau akan dihinadinakan di hadapan Allah, para Malaikat dan pada NabiNya?

 

b. Amalan padam sifat marah

 

  1. Mengucap Ta’awwudz dengan lidahmu
  2. Apabila kemarahan itu muncul ketika anda sedang berdiri, maka hendaklah anda segera duduk: jika sedang duduk, maka hendaklah anda baring. Orang yang sedang dalam kemarahan,
  3. sunnat baginya mengambil wudhu’ (air sembahyang) dengan air yang dingin, kerana kemarahan itu berpunca dari api, manakala api itu pula tidak boleh dipadamkan melainkan dengan air.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Pendaftaran Pengajian Pondok Kilat ’09 Masih DiBuka

Posted by epondok di Mei 29, 2009

Istimewa Sempena Cuti Sekolah

Tarikh : 31 Mei – 6 Jun 2009 ( Ahad hingga Sabtu)

 

Terhad untuk 70 orang sahaja

( Tempah tempat melalui telefon / e-mail )

 

Syarat & Yuran Penyertaan

 

  • Pelajar lelaki sahaja berumur 12 – 17 tahun (terhad 70 orang sahaja)
  • RM 145  sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

 – Yuran akan dikurangkan bila peserta ramai dan mendapat sumbangan luar insya Allah di mana setakat ini telah diadakan suatu perbincangan dengan satu jabatan kerajaan yang berminat untuk menjayakan program ini

Tarikh & Masa Daftar Diri

31 Mei 2009 (Ahad) jam 9.30 – 12.00 tgh

 Tempat Program

 Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

 

Pengisian

  • Pengajian kitab Pilihan
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Kertas kerja fardhu a’in meliputi ilmu Tauhid, Feqah dan Tasawwuf 
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
  • Latihan khutbah dan azan
  • Cungkil bakat nasyid, ceramah, marhaban

 

 

Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian, pakain solat (sebaiknya jubah dan serban bagi lelaki), bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

 

 Hubungi :

019-9388902 (Ustaz Shairazi )

Tel: 09-7126708 (P)  Ust. Azmi-Pondok Tunjung

e-mail :  pppb1995@yahoo.com   

Blog : epondok.wordpress.com

Posted in Pondok Tunjung, Program Terbaru | Leave a Comment »

4 Kebaikan vs 4 Keburukan

Posted by epondok di Mei 25, 2009

4 PERKARA UNTUK SIHAT
1. Makan daging
2. Memakai haruman
3. Kerap mandi
4. Berpakaian dari kapas
4 PERKARA MELEMAHKAN BADAN
1. Terlalu banyak berkelamin
2. Selalu cemas
3. Banyak minum air ketika makan
4. Banyak makan bahan yang masam

4 PERKARA MENAJAMKAN MATA
1. Duduk mengadap kiblat
2. Bercelak sebelum tidur
3. Memandang yang hijau
4. Berpakaian bersih

4 PERKARA MEROSAKKAN MATA
1. Memandang najis
2. Melihat orang dibunuh
3. Melihat kemaluan
4. Membelakangi kiblat

4 PERKARA MENAJAMKAN FIKIRAN
1. Tidak banyak berbual kosong
2. Rajin bersugi (gosok gigi)
3. Bercakap dengan orang soleh
4. Bergaul dengan para ulama

4 CARA TIDUR
1. Tidur Para Nabi
Terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi.
2. Tidur Para Ulama’ & Ahli Ibadah
Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam.
3. Tidur Para Raja Yang Haloba
Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan
4. Tidur Syaitan
Menelungkup seperti tidurnya ahli neraka

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Mahu Anak Lelaki atau Perempuan?

Posted by epondok di Mei 19, 2009

Artikel ini dihasilkan oleh ainolyaqin

Para ahli bahasa Arab menafsirkan ayat Mafatihul Ghaib yang terkandung alam surah Al-An’am 6 Ayat 59 yang bermaksud, “Dan pada sisi Allah lah kunci-kunci semua yang ghaib; tiada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri.”

Terbuktilah dengan hasil kejadian janin dalam rahim ibu yang hamil. Siapakah yang menentukan jantina janin itu, sedang bentuk dan rupa benih adalah sama dan serupa. Mereka merumuskan pengertian “Mafatihul Ghaib” tersebut dengan pengalaman dan penyelidikan sebab terjadinya jantina, lelaki dan perempuan.

Kesimpulannya: “Sel telur yang menghamilkan kerana masuknya ke dalam rahim dengan sperma lelaki bergerak dan berpindah randah. Kekadang letaknya disebelah kanan, kekadang di sebelah kiri. Bila sel telur terletak pada lambung kanan, maka akan lahir bayi lelaki dan sekiranya terletak pada sebelah kiri, rahim akan lahir bayi perempuan.”

Menurut keterangan Dr. Muhammad Abdul Hamid (Mesir), pendapat ini diadakan percubaan oleh doktor-doktor Arab dan Inggeris. Hasilnya adalah 97% dari percubaan itu, hanya 3% yang gagal. Itu disebabkan kerana ketidak mampuan pihak wanita dalam melakukan secara teliti dalam mengetahui masa subur dan bulan kelahiran.

Teori pembentukan jantina anak adalah seperti berikut.

Caranya:

1. Waktunya : Pada masa subur isteri kerana pada masa itu sel kelamin wanita dapat dibuahi sel kelamin lelaki.

2. Caranya : Lakukan persetubuhan dengan sebaik-baik dan sempurna. Setelah selesai, isteri hendaklah tidur miring sampai bangun pagi. Jangan tidur telentang supaya letak air mani jatuh miring.

3. Hasilnya : Bila ingin anak lelaki, miring ke kanan dan jika ingin anak perempuan miring ke kiri.

Teori ini juga merupakan daya usaha dalam mencari sesuatu yang diingini, namun hasilnya di luar batas kemampuan manusia. Semuanya ditentukan Allah s.w.t. Namun kita digalakkan berikhtiar.

Ada teori lain, satu pendapat Dr. M. Zaky Syafi’i Beyk dari Iskandariah (Mesir) yang menyatakan dalam bukunya “Al Azmatus Zaujiyah wa’ilajuha” – “Berilah isteri makan vitamin B semenjak mula hamil hingga 8 bulan setiap hari 3 kali – 2 biji sekali.

Memakan vitamin B akan menambah kesihatan dan kesuburan apalagi bagi ibu yang mengandung. Bila isteri makan vitamin B sebagai penambah zat makanannya yang biasa setiap hari, maka bayi yang akan lahir kelak, insyaAllah lelaki. Teori ini amat praktis dan mudah dilakukan. Ianya bergantung kepada kita. Hasilnya akan dapat dirasai apabila telah mencuba.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

MAJLIS PENGAJIAN INTENSIF KITAB TURATH I’TIQAD ASWJ [Siri 2]

Posted by epondok di Mei 18, 2009

MAJLIS PENGAJIAN INTENSIF KITAB TURATH I’TIQAD ASWJ [Siri 2]

Tarikh : [23 – 24 Mei 2009 / 24-25 Jamadilawwal 1429H]

Anjuran :
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM),
&
Kolej Dar Hikmah,
Jalan Sungai Ramal Dalam,
43000, Kajang, Selangor Darul Ehsan

OBJEKTIF :

* Menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan aqidah dan iman di kalangan belia.
* Mendedahkan umat Islam mengenai kewajiban beramal dengan ilmu daripada ahli agama Islam yang faqih.
* Menghidupkan budaya bertalaqqi secara berkitab.
* Memberi kefahaman tentang konsep dan perlaksanaan nilai-nilai Islam.

TEMA :
Menghidupkan Ruhaniah Berlandaskan Pemantapan Akidah.

TARIKH :
23 – 24 Mei 2009 / 24-25 Jamadilawwal 1429H

TEMPAT :
Kolej Dar Hikmah,
Jalan Sungai Ramal Dalam,
43000, Kajang, Selangor Darul Ehsan

TENAGA PENGAJAR :

1. Al-Fadhil Ustaz Hj. Zamihan Mat Zin Al-Ghari
2. Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faidzurrahim
3. Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi

SASARAN :
Seramai 150 orang yang terdiri dari:
* Ahli Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
* Orang Awam
* Pelajar IPTA dan IPTS di Lembah Kelang

YURAN MURAH :
RM 15 [INDIVIDU]

MODUS OPERANDI :
Program diadakan selama 2 hari 1 malam. Mengikut kaedah pengajaran kulit ke kulit menggunkan Kitab I’tiqad Ahlussunnah Wal Jamaah; Kiyai Haji Siradjuddin Abbas. Terbitan PUSTAKA TARBIYYAH Jakarta, Kitab Mukhtasor dan Kitab Aqidah Ibnu ‘Asakir (Aqidah Mursyidah).

(Talaqqi kitab/Pembentangan/)

TENTATIF PROGRAM

Sabtu (23/05/2009)

7:30 pagi : Sarapan dan Pendaftaran

8:30 pagi : Taklimat & Aluan oleh ;

Saudara Abd. Muntaqqim Bin Zulkifli

Timbalan Presiden PKPIM

9: 15 pagi : Slot 1 : Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faidzurrahim

Syarah Kitab Aqidah Muslimin (Diiktiraf Universiti Al-Azhar).

10:45 pagi : Minum pagi

11:00 pagi : Slot 2 : Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faidzurrahim

Penjelasan Ajaran Bertentangan Dengan Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

12:30 tghari : Makan Tengahari & solat Zohor

2:00 petang : Slot 3 : Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi

Kitab Mukhtasor (1).

4:00 petang : Slot 4 : Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi

Kitab Mukhtasor (2).

6:00 petang : Makan Malam

7:00 malam : Solat Maghrib & Kuliah/Tazkirah & solat Isya’

9:00 malam : Slot 5 : Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi

Penjelasan Bid’ah & Ancaman Terhadap Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

9:45 malam: Slot 6 : Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi

Talaqqi & Ijazah Kitab Aqidah Ibnu ‘Asakir (Aqidah Mursyidah).

10:00 malam : Minum malam & Berehat

Ahad (24/05/2009)

4:00 pagi : Qiamullail

6:00 pagi : Solat Subuh /Tazkirah /Sarapan pagi

8:30 pagi : Slot 7 : Al-Fadhil Ustaz Hj. Zamihan Mat Zin Al-Ghari

Syarah Kitab I’tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah

10:30 pagi : Minum pagi

11:00 pagi : Slot 8 : Al-Fadhil Ustaz Hj. Zamihan Mat Zin Al-Ghari

Syarah Kitab I’tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah

12:00 tghari : Ulasan & Penutup oleh;

Saudara Mohd Hilmi B. Ramli

Presiden PKPIM

1:00 tghari : Makan Tengahari

2:00 petang : (Check-out)

Sebarang Pertanyaan, Sila Hubungi ;

Saudara Ikhram Husin [019-3731744]
Saudari Izzah Khanani [013-2197192]

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Akhlak remaja penanda aras pembangunan bangsa, negara

Posted by epondok di Mei 15, 2009

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ISU gejala sosial sudah sering dibahaskan cendekiawan dulu dan mereka secara umumnya berpendapat ia satu fakta sosial yang menyerlahkan warna, rupa, bentuk dan jati diri masyarakat itu dengan sendirinya.

Selain itu, ia juga dianggap sebagai sifat yang mewakili atau contoh untuk memahami keadaan masyarakat yang berada suatu masa tertentu. Hakikatnya, sejarah penularan gejala sosial sudah melewati setiap ruang dan waktu setiap zaman.

 

Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan kini, gejala sosial semakin berleluasa dalam masyarakat negara apabila semakin banyaknya kes dilaporkan akhbar arus perdana dewasa ini.

Lebih-lebih lagi, kemajuan dan kesejahteraan sesebuah negara banyak bergantung kepada kestabilan institusi masyarakat yang tidak terencat dengan masalah atau krisis sosial. Oleh itu, permasalahan sosial yang semakin meruncing sewajarnya menjadi topik utama pihak berwajib dalam merencana tindakan segera dan susulan bagi mengatasi gejala itu.

Dalam konteks pengajian ilmu sosiologi, isu sosial bolehlah ditakrifkan sebagai persoalan atau perkara menjadi bahan perbincangan orang ramai. Di samping itu, ia juga mengenai fenomena masyarakat bermasalah yang timbul daripada masyarakat atau sesuatu yang menimpa masyarakat suatu masa dan tempat.

Namun, sebahagian besar masyarakat negara ini sudah membataskan atau menyempitkan pengertian dan skop gejala sosial. Apabila disebut gejala sosial atau masalah sosial, maka ia secara langsung membabitkan golongan remaja.

Padahal, gejala sosial dari sudut konsepnya adalah ungkapan yang luas maknanya sama ada dipandang dari segi makro mahupun mikro. Yang bersifat makro seperti kemiskinan, rasuah, perkauman, penindasan pekerja dan pemusnahan alam sekitar.

Sementara yang bersifat mikro seperti bunuh diri, salah guna dadah, buang bayi, bohsia, lepak, persundalan, pecah amanah, pecah rumah, perceraian, keganasan rumah tangga dan penderaan anak.

Selain itu, skop gejala sosial dari sudut empirikal bukan hanya membabitkan remaja atau muda mudi saja. Malah, ia juga turut membabitkan semua lapisan manusia sama ada secara berkelompok atau individu tanpa mengambil kira had umur, jantina, kelas, taraf, kaum dan kasta.

Ringkasnya, konsep gejala sosial berkait rapat dengan faktor perbezaan sosial, wujudnya jurang atau jarak komunikasi sosial dan keadaan masyarakat yang bercelaru atau tidak terurus. Namun, semua faktor itu berupaya memberi impak negatif secara langsung kepada pembinaan insan dan pembangunan ummah dalam sesebuah negara.

Berdasarkan fenomena gejala sosial yang berlaku secara meluas dewasa ini, dapatlah disimpulkan antara punca menyebabkan indeks gejala sosial semakin melonjak adalah disebabkan institusi keluarga yang pincang, cetek pendidikan agama, pembangunan tidak seimbang, pengaruh media massa dan rakan sebaya.

Pengaruh ibu bapa penting dalam mendidik dan mengasuh anak mengenal erti kehidupan penuh mencabar. Namun, fenomena ibu bapa bekerja sepanjang hari sedikit sebanyak menyebabkan wujudnya perubahan sosial.

Kebanyakan ibu bapa terlalu mementingkan pekerjaan, mengejar kekayaan dan menimbunkan harta daripada memberikan perhatian sewajarnya kepada anak menyebabkan mereka rasa terbiar tanpa kasih sayang serta penjagaan sempurna.

Akibatnya, mereka mula mencari alternatif dengan bercampur rakan sebaya yang bermasalah dan akhirnya menimbulkan gejala sosial di kalangan anak.

Pendidikan agama penting dalam membentuk sifat mulia dan moral terpuji dalam lingkungan masyarakat umum. Tanpa didikan agama, manusia seolah-olah tidak memiliki matlamat hidup yang jelas dan tidak berasa takut untuk melakukan sesuatu perkara biarpun bercanggah dengan agama.

Dalam satu segi lain, dasar pendidikan negara yang lebih cenderung kepada pendidikan sains dan teknologi sesuai dengan peredaran zaman tanpa memberi penekanan kepada pendidikan agama sebagai perisai konkrit untuk berdepan dengan cabaran semasa. Tanpa pendidikan agama, pelajar tidak mampu mengharungi gelombang hidup.

Faktor pembangunan tidak seimbang dilaksanakan kerajaan juga dikenal pasti antara punca mencetuskan gejala tidak sihat ini. Biarpun pada hakikatnya, pembangunan negara sudah mencapai kemajuan pesat dalam pelbagai aspek kehidupan, namun ia tidak menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.

Perkembangan teknologi semakin canggih sehingga segala maklumat tersebar di seluruh dunia dapat diperoleh dan disebarkan tanpa sempadan dalam masa yang singkat. Tanpa pegangan kukuh, manusia akan menjadi lemas ditenggelami banjir budaya besar yang dominan ini.

Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang banyak terhadap sebarang tindakan dan perlakuan anak muda kerana mereka menghabiskan lebih banyak masa bersama rakan berbanding dengan ibu bapa.

Rakan sebaya mendedahkan mereka kepada dunia baru lagi asing dan akhirnya mengubah sedikit demi sedikit perkembangan sosial serta psikologinya.

Remaja adalah aset penting kepada kelangsungan pembangunan bangsa dan negara. Jika baik remaja, maka baik dan majulah negara. Sebaliknya, jika buruk akhlak remaja, maka akan punah dan hancurlah negara.

Oleh itu, isu gejala sosial anak muda sewajarnya diberi perhatian serius dan menuntut perhatian serta rasa tanggungjawab semua pihak bermula ibu bapa, guru, masyarakat dan seterusnya pihak kerajaan dalam menangani krisis sosial yang semakin meruncing ini.

Justeru, agenda drastik dan susulan hendaklah disusun dengan lebih berkesan dan menyeluruh dalam usaha pihak kerajaan menjana kembali kekuatan bangsa serta keutuhan ummah.

Petikan : Detikdaily.net

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Peluang Terbuka Belajar Pondok

Posted by epondok di Mei 15, 2009

Para muslimin atau muslimat berumur 13 tahun ke atas samada bujang atau dan berkahwin, muda atau tua, masih belajar atau pun telah bekerja yang ingin belajar di pondok samada secara tetap atau sementara mahu pun secara berulang bolehlah hubungi beberapa pondok berikut bagi mendapat maklumat lanjut

Pendaftaran terus dibuka sehingga hujung bulan Julai nanti memandangkan kebanyakan pondok akan mula cuti panjang pada awal bulan Ogos nanti

1. Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu (09-7657786)

2. Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas (09-7905672)

3. Pondok Tunjung, Kota Bharu (09-7126708) – lelaki sahaja

4. Pondok Gelang Mas, Pasir Mas (09-7972433)

Pondok-pondok ini biasanya membuka peluang bagi pelajar sementara mengikut kekosongan pondok. Manakala pondok-pondok yang lain kebanyakannya hanya menerima pelajar tetap sahaja

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Bila Manusia Bersikap Seperti Kera dan Babi

Posted by epondok di Mei 14, 2009

قال الرسول e  : لَيَشْرَ بَنَّ نَاسٌ مِّنْ أُمَّتِي الخَمْرَ يُسَمُّوْنَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُؤُوْسِهِمْ بِالمَِعَازِفِ وَالمُغْنِيَّاتِ يَخْسِفُ اللهُ ِبهِمُ الأَرْضَ و َيَجْعَلُ مِنْهُمُ القِرَدَ ةَ  وَ الخَنَازِيْرَ

  1. Maksudnya : Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama lain. (Mereka meminum arak) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa) dan Allah akan merubah mereka menjadi kera dan babi   – HR Ibnu Majah

 

Keterangan

Maksudnya, akan ada di kalangan orang Islam ini yang meminum khamar dan mereka mengatakan bahawa yang diminum itu bukanlah khamar. Ia hanyalah sejenis minuman yang dapat menyegarkan badan atau yang dapat menghilangkan dahaga. Mereka akan memberikan suatu nama kepada minuman ini yang menunjukkan bahawa ia bukan khamar, tetapi sebenamya ia adalah khamar yang telah diharamkan oleh syara’.

Kemudian, menjadi kelaziman pula, suasana mabuk itu akan disertai dengan alunan muzik dan juga nyanyian artis-artis kenamaan.

Rasulullah saw. menerangkan bahawa golongan ini akan ditimpa gempa bumi atau tubuh badan mereka diubah kepada bentuk kera atau babi.

Sangat benar sabdaan Junjungan Besar Nabi saw. ini. Gempa bumi demi gempa bumi yang berlaku di beberapa tempat di dunia ini sebagai satu seksaan daripada Allah swt. dan jikalau golongan ini belum sampai keperingkat diubah bentuk badan mereka menjadi kera dan babi tetapi perangai dan cara hidup mereka sudah banyak menyerupai perangai dan cara hidup kera dan babi.

 Kera diibaratkan sejenis binatang yang biasa dipelihara dengan diberi makan minum yang mencukupi tetapi sentiasa berpaling punggung pada tuannya. Manusia pun ramai yang bersifat seperti kera apabila banyak nikmat dianugerahkan oleh Allah tidak disyukuri malah melawan sistem Allah dan derhaka kepadaNya tanpa rasa malu dan takut. Begitu juga bukan sahaja tidak merasa malu malah merasa bangga bila dapat melompat seperti kera atas pentas hiburan dan sebagainya

 Babi pula sejenis binatang yang tidak mempunyai perasaan cemburu. Begitulah bila seorang lelaki yang hilang rasa cemburu tidak merasa apa-apa bila melihat isterinya bersama lelaki lain, dan seorang bapa tanpa rasa bertanggungjawab untuk melarang apabila melihat anak perempuannya bersama lelaki asing. Babi juga mempunyai tabiat makan yang begitu buruk dan kotor sehingga sanggup memuntahkan makanan dalam perut demi mengisi makanan yang baru disamping sanggup makan muntahnya sendiri. Begitulah manusia hari ini yang hidupnya tanpa arah tuju dan matlamat hidup hanya memikirkan makan dan hiburan melampau sahaja. Makan apa sahaja tanpa mengira halal dan haram ditambah dengan sanggup merampas, mencuri hak orang lain demi memenuhi perut sendiri

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hukum Orang Kafir Membaca al-Quran

Posted by epondok di Mei 14, 2009

Dr Ahmad Salim dalam buku beliau “ Faidhu al-Rahman Fi al-Ahkam al-Fiqhiyyah al-Khassah Bi al-Quran” menyatakan terdapat 2 pendapat berkenaan hukum orang kafir membaca al-Quran

 

Pendapat pertama : Haram bagi orang kafir zimmi atau yang lainnya untuk membaca al-Quran. Ini kerana mereka yang lebih patut ditegah daripada orang yang berjunub. Ini pendapat mazhab Hambali

 

Pendapat kedua : Harus bagi orang kafir membaca al-Quran kerana dia Belum percaya kepada kehormatannya. Ini pendapat mazhab Syafi’e

 

  1. Pengarang kitab Hasyiah al-Bujairimi mensyaratkan supaya orang kafir yang membaca al-Quran itu diharapkan untuk memeluk Islam
  2. Syeikh Ramli dalam kitabnya ‘Ihaayatu al-Muhtaj berkata : Orang kafir tidak ditegah untuk membaca al-Quran kerana dia tidak percaya kepada kehormatannya
  3. Syeikh Muhammad as-Syarbini menulis dalam kitabnya : …. perkara kedua yang dilarang bagi orang berjunub adalah membaca al-Quran bagi orang Muslim. Adapun orang kafir tidak ditegah membaca al-Quran kerana dia tidak percaya kepada kehormatannya seperti yang disebut oleh al-Mawardi
  4. Al-Bujairimi menukil dalam kitabnya : Tidak ditegah orang kafir berjunub untuk duduk di dalam masjid dan membaca al-Quran. Adapun orang kafir yang berhaidh dan bernifas dilarang membaca al-Quran dan duduk dalam masjid

Posted in Klinik Agama | 2 Comments »