Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for April 2009

KUNJUNGAN AL-HABIB UMAR BEN HAFIZ

Posted by epondok di April 30, 2009

JADUAL KUNJUNGAN AL-ALLAMAH AL-MUHADDIS AL-HABIB UMAR BEN HAFIZ HAFIZAHULLAH KE MALAYSIA

.

1) ISNIN , 11 MEI , 6PTG – 10 MLM :

JILSAH DI MASJID AL-FALAH USJ 9 ,

SUBANG JAYA , SELANGOR

.

2) SELASA, 12 MEI, 6PTG-10 MLM:

JILSAH DI MASJID SELAT ,

PULAU MELAKA, MELAKA

.
3) RABU , 13 MEI , 6PTG – 10 MLM :

 

JILSAH DI MASJID WILAYAH,

JALAN DUTA, KL

Posted in Program Terbaru | 1 Comment »

Program Sekolah Tidak Harus Dikaitkan Dengan Alkohol

Posted by epondok di April 29, 2009

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan Yayasan Guinness Anchor Bhd.

(GAB) yang menyediakan enam sekolah di Ijok dan Kuala Selangor dengan sudut bacaan baru melalui Program Supporting Malaysian Indian Learning Education and Sports (SMILES).

Ini adalah projek kedua yang dijalankan oleh Yayasan GAB dengan lima daripada enam sekolah, di mana pada 2008, GAB sudah pun menyumbang peralatan persekolahan kepada 600 murid dari sekolah ini. <!—->

Kami amat prihatin apabila mendapati Timbalan Menteri Luar, YB A. Kohilan Pillai, mengambil bahagian dalam majlis perasmian di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Coalfields, membuatkan kita percaya bahawa Kerajaan menyokong sepenuhnya.

Terdapat kebimbangan di seluruh dunia mengenai bahaya yang disebabkan oleh alkohol. Lebih daripada 2 juta orang di seluruh dunia mati setiap tahun akibat daripada penyakit yang berkaitan dengan alkohol.

Bahaya penggunaan alkohol adalah faktor risiko bagi kematian pramatang dan kecacatan di seluruh dunia. Sama seperti tembakau, alkohol bukan sahaja menjejaskan peminumnya tetapi turut memberikan kesan sampingan kepada orang di sekeliling mereka.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah pun merancang Strategi Global untuk memerangi Bahaya Penggunaan Alkohol.

CAP menggesa supaya satu Rangkakerja Konvensyen Kawalan Alkohol yang sama dengan Rangkakerja Konvensyen Kawalan Tembakau (FCTC) dengan tujuan bagi mengurangkan bahaya yang disebabkan oleh tembakau.

Di Malaysia, Majlis Keselamatan Jalan Raya menganggarkan bahawa 30 peratus daripada kemalangan jalan raya di seluruh negara adalah disebabkan oleh mengambil alkohol dan memandu.

Menurut Pertubuhan Kebajikan Wanita (WAO), salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan, responden dari etnik Cina dan India menyenaraikan “pengaruh alkohol” sebagai penyebab utama penderaan isteri, manakala bagi semua kumpulan etnik “pengaruh alkohol” menduduki tempat kedua.

Pengambilan alkohol telah dikaitkan dengan kesan sampingan yang boleh memusnahkan seluruh keluarga termasuk penderaan kanak-kanak, pembunuhan, perpecahan dalam keluarga sama ada isteri atau suami atau anak-anak meninggalkan rumah dan perceraian.

Peminum sendiri berdepan dengan pengangguran dan penyakit kronik, yang sekali lagi turut menjejaskan keluarga. Sebahagian besar daripada pendapatan keluarga dibelanjakan ke atas alkohol, menyebabkan kewangan keluarga terjejas.

Pengambilan alkohol juga boleh menyebabkan kos yang tinggi kepada negara dalam bentuk kehilangan kewangan untuk rawatan perubatan, tidak hadir bekerja, kemalangan, kehilangan kemahiran kerja, bayaran upah yang diperlukan untuk anggota polis tambahan dan pekerja sosial, kos yang melibatkan kes mahkamah, kerosakan kepada kenderaan dan harta awam serta bayaran insurans.

Di Eropah, dilaporkan bahawa separuh daripada pelaku semua jenayah keganasan merupakan peminum. Ini adalah berdasarkan kajian pada 2006 oleh Peter Anderson, perunding bagi Suruhanjaya Eropah dan WHO.

Kajian itu juga mendapati 40% daripada kes keganasan rumah tangga dan 40% pembunuhan dilakukan oleh mereka yang mengambil alkohol.

Tidak termasuk pemandu yang mabuk, dilaporkan bahawa terdapat 10,000 kematian berkait dengan alkohol setahun di Eropah.

Alkohol didapati bertanggungjawab bagi 16% kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, dan 5 hingga 9 juta kanak-kanak Eropah tinggal dalam keluarga yang terjejas oleh kesan sampingan alkohol. (New Scientist, April 2008).

Statistik yang sama seperti di atas berkemungkinan turut wujud di negara kita, walaupun Kementerian Kesihatan masih mengumpul datanya.

Jika semua industri alkohol mengambil berat bagi kebajikan komuniti India, mereka seharusnya berusaha sepenuh hati kea rah mendidik orang awam terhadap bahaya yang disebabkan oleh alkohol serta menghentikan dengan segera pengiklanan, promosi dan jualan produk alkohol di seluruh negara.

CAP menggesa Kerajaan dengan segera mengambil langkah yang lebih ketat melarang syarikat alkohol daripada menaja sebarang projek atau program di sekolah, atau terlibat dengan pihak sekolah dalam cara lain dan menghentikan dengan segera Program SMILES.

S. M. Mohamed Idris
Presiden CAP

 

Petikan : http://www.wasilah.com.my/

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Pelawat ke Pondok Pasir Tumboh Bertali arus

Posted by epondok di April 27, 2009

 

 lawat

Pondok Pasir Tumboh yang turut terkenal dengan pondok pelancongan saban minggu dikunjungi oleh para pelawat samada dalam mahu pun luar negeri. Minggu ini sempena dengan cuti Hari Pekerja maka telah ada beberapa rombongan yang telah membuat temu janji untuk mengadakan lawatan ke Pondok Pasir Tumboh dalam rangka lawatan mereka ke Kelantan

 

Antaranya rombongan dari Jabatan Ekonomi dan Pengurusan, Pusat Asasi UIA seramai 35 orang yang dijangka datang pada sebelah pagi Jumaat ini 1 Mei diikuti 40 orang ahli jemaah Surau ad-Din, Shah Alam sebelah petangnya. Manakala 40 orang dari ABIM Johor akan datang pada tengahari Sabtu 2 Mei. Rombongan dari Singapura seramai 250 orang pula terpaksa menunda lawatan rasmi mereka yang asalnya pada 2 Mei ini kepada 16 Jun nanti.

 

Semoga lawatan ini dapat menambahkan eratkan lagi ikatan silaturrahim disamping mengenal secara lebih dekat berkenaan system pengajian pondok tradisional yang masih ada di negara ini

 

Sebarang urusan lawatan ke Pondok Pasir Tumboh bolehlah hubungi Setiausaha Agongnya Ustaz Ahmad Shairazi di talian 019-9388902

Posted in Pondok Pasir Tumboh | Leave a Comment »

Pengajian Tafaqquh Intensif ‘09

Posted by epondok di April 26, 2009

 

 ngaji

Pondok Pasir Tumboh dengan kerjasama Pusat Kefahaman Islam AKI bercadang untuk mengadakan program tahunan yang di namakan Pengajian Tafaqquh Intensif ’09 yang dijangka bermula pada 8 Mei nanti selama 2 minggu. Ia merupakan program khas bagi tahun kedua setelah ianya berjaya dibuat 2 kali pada cuti semester IPT pada tahun 2008 yang lalu

 

Para peserta yang terdiri daripada mahasiswa beberapa universiti tempatan akan mengikuti program ini selama 2 minggu dengan mengikuti jadual madrasah yang sedia ada disamping ditambah beberapa modul khusus termasuk berkaitan tarbiah haraki yang turut diisi oleh wakil Majlis Siswazah Kelantan (MSK). Bilangan peserta kali ini dijangka seramai 80 orang dari kalangan siswa dan siswi IPT tempatan

 

Semoga segala perancangan yang dibuat dapat berjalan lancar dengan izin dan inayah daripada Allah…

Posted in Pondok Pasir Tumboh, Program Terbaru | Leave a Comment »

Keputusan Jemaah Menteri Meminggir Perlembagaan Persekutuan dan Hukum Syarak

Posted by epondok di April 26, 2009

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Setiausaha Agong, Peguam Pembela Islam
Masyarakat Islam arus perdana amat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibubapanya berkahwin walaupun salah seorang pasangan itu menukar agama.

Keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri dikatakan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

 

Keputusan Jemaah Menteri ini sangatlah dikesali. Manifestasi kekesalan ini dizahirkan apabila lebih seratus NGO Islam berkumpul menyatakan bantahan mereka

semalam (Jumaat). Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) juga melalui Timbalan Presidennya Musa Awang telah mengeluarkan kenyataan membantah keputusan tersebut. PGSM adalah NGO pertama yang menyuarakan kekesalan mereka.

Bagi memahami implikasi keputusan jemaah menteri ini beberapa perkara perlu diperincikan terlebih dahulu terutamanya kedudukan perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak.  Sebenarnya terdapat tiga perkara utama yang terkesan daripada keputusan ini iaitu berkaitan dengan pembubaran perkahwinan, agama anak dan pemeliharaan anak.

 

Pembubaran Perkahwinan

Di dalam perkahwinan sivil yang didaftarkan melalui Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 pembubaran perkahwinan hanya boleh berlaku jika perkahwinan itu telah pecahbelah dan tidak dapat diselamatkan lagi. Perkara ini termaktub di dalam seksyen 52 Akta tersebut. Seksyen 51 Akta yang sama pula menjelaskan jika salah seorang pasangan itu memeluk Islam pasangan yang tidak memeluk Islam itu boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan menurut seksyen berkenaan selepas tiga bulan pasangannya memeluk Islam. Ini bermakna petisyen perceraian atas alasan pemelukan agama Islam hanya boleh difailkan oleh pasangan yang tidak memeluk agama Islam sahaja. Selagi dia tidak memfailkan petisyen perceraian tersebut perkahwinan sivilnya bersama pasangan yang telah memeluk Islam tetap dianggap sah di bawah akta tersebut.

Jelaslah di sini ketidakadilan yang amat sangat berlaku kepada pasangan yang memeluk Islam itu memandangkan beliau langsung tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan petisyen perceraian berdasarkan seksyen tersebut.

Namun mahkamah syariah menurut Jadual Kesembilan Senarai 2 Butiran I Perlembagaan Persekutuan, boleh membuat penentuan sesuatu perkara mengenai hukum dan doktrin syarak. Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menepati semangat Perlembagaan Persekutuan ini dengan memberi kuasa kepada mahkamah syariah membuat penentuan mengikut hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan tersebut.

Seksyen 46(2) tersebut memperuntukkan jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan oleh Mahkamah. (Mahkamah di sini bermaksud mahkamah syariah).

Seolah-olah terdapat polemik di sini di mana kedua-dua mahkamah mempunyai bidangkuasa. Oleh yang demikian terdapatlah cadangan seksyen di atas ditiadakan bagi menyeleasikan kemelut ini. Tetapi sebenarnya bukan hanya seksyen tersebut sahaja perlu dipinda malah seksyen yang sama di negeri-negeri lain juga perlu dipinda dan mendapat pekenan Raja-Raja Melayu. Ia mungkin jalan yang tidak mudah digapai.

Sebenarnya tatkala seseorang itu telah memeluk Islam sudah pasti Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada mualaf itu mengamalkan agamanya termasuklah undang-undang diri seperti munakahat. Mengheret mualaf ini ke mahkamah sivil merupakan pelanggaran hak kebebasan beragama bagi mualaf ini.  Seorang yang sudah mendapat hidaya daripada Allah sudah tentu tidak mahu balik ke zaman jahiliyahnya kembali. Inilah hak yang perlu dipertahan oleh kerajaan dan bukan merobek hak ini atas alasan yang picisan yang tidak selaras dengan Perlembagaan.

Membawa orang bukan Islam ke mahkamah syariah pula bukanlah suatu perkara yang mudah kerana kebiasaannya orang bukan Islam enggan hadir ke mahkamah syariah atas alasan tidak mahu tertakluk kepada undang-undang Islam. Namun sebenarnya apa yang diputuskan oleh mahkamah syariah hanyalah membuat perisytiharan di sisi hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan tersebut sahaja. Amatlah tidak wajar mualaf ini dinafikan hak ini. Hakikatnya ialah sebahagian orang bukan Islam tidak mengiktiraf langsung keujudan mahkamah syariah ini. Mereka tidak mahu membantu mahkamah syariah memberi keputusan yang adil. Mereka sanggup memberi keterangan di medan media tetapi tidak di mahkamah syariah. Mahkamah Syariah adalah sebahagian dari system perundangan negara yang sah. Tidak ada seorangpun boleh memperlekehkan mahkamah syariah.

 

Agama Anak

Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada seorangpun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri. Perkara 12(4) pula menegaskan bagi maksud Perkara 12(3) di atas, agama bagi seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Perkara 12(4) ini telah ditafsirkan oleh penghakiman mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subahsini mlwn Saravanan di mana mahkamah tersebut telah memutuskan bahawa salah seorang (bukan kedua) ibu bapa boleh menentukan keIslaman anak tersebut.

Peruntukan Perkara 12(4) dan juga tafsiran yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan tersebut sebenarnya selaras dengan Hukum Syarak. Sebenarnya telah disepakati di kalangan ulama’ bahawa apabila salah seorang ibubapa bukan Islam memeluk Islam, anak di bawah umur mereka itu disifatkan sebagai Islam. Ini adalah kerana anak yang dilahirkan itu adalah fitrah, dan fitrah di sini bermaksud Islam.

Undang-Undang Syariah ditegakkan berasaskan kepada al maqasid al syariah. Terdapat lima al maqasid al syariah (objektif syariah) iaitu menjaga agama (hifz al din), nyawa (hifz al nafs), keturunan (hifz an nasab), akal (hifz al aql) dan harta (hifz al mal).

Bagi mencapai maqasid ini umat Islam dipertanggungjawabkan memelihara kelima-lima perkara ini termasuklah menjaga agama dan keturunan.  Oleh yang demikian agama anak itu hendaklah mengikut mana-mana ibubapa yang Islam. Umat Islam tidak dapat menerima sekiranya al maqasid al syariah ini tidak dapat dicapai.

Alasan Nazri agar mengikut ‘common sense’ adalah telalu dangkal. Dalam undang-undang kita tidak boleh menggunakan ‘common sense’. Ada asas dan falsafah yang perlu ditafsirkan dan dihayati. Sebagai perbandingannya jika kita menggunakan common sense tersebut, adalah kita boleh dianggap tidak melakukan kesalahan trafik apabila melanggar lampu isyarat merah tatkala tiada kenderaan yang melintasi di hadapan kita?  Secara common sense nya sudah tentu kita tak bersalah tetapi undang-undang mempunyai falsafahnya tersendiri bagi mengawal kemaslahatan sejagat. Apatah lagi ‘common sense’ beliau itu melanggar hukum syarak pula.

Keputusan jemaah menteri tidak boleh mengatasi peruntukan Perkara 12(4) dan tafsiran yang dibuat dalam kes Subahsini. Jemaah menteri juga sebagai badan eksekutif tidak boleh mencampuri urusan kehakiman (samada sivil ataupun syariah) apatah lagi menganggu keputusan mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan keputusan mahkamah. Seharusnya segala ruang yang dibenarkan oleh undang-undang diambil bagi menangani permaslahan ini dan bukan melalui campurtangan eksekutif yang secara langsung merujuk kepada kes Muhammad Ridzuan tersebut.

 

Pemeliharaan Anak

Mengenai pemeliharaan anak pula. Sudah menjadi amalan di mahkamah syariah dan mahkamah sivil bahawa kebajikan anak mengatasi hak ibu atau bapa. Di dalam memutuskan hak jagaan anak sudah tentulah faktor mengenai kebajikan anak ini di titikberatkan. Kebajikan anak ini termasuklah permasalahan aqidah, tumbesaran dan pembelajaran anak tersebut. Perkara sebegini boleh diputuskan oleh Mahkamah. Hak memelihara anak ini biasanya diputuskan setelah mengambil kira keperluan dan kebajikan anak.

 

Namun  apa yang berlaku ialah masyarakat bukan Islam atas sebab-sebab tertentu terlalu takutkan mahkamah syariah dan menganggap mahkamah syariah hanya mempertahankan hak orang Islam sahaja. Sudah dibuktikan di dalam beberapa kes di mahkamah syariah, keputusan yang dikeluarkan oleh Hakim Syarie tidak memihak kepada orang Islam tetapi memihak kepada keadilan.

 

Berbalik kepada keputusan jemaah menteri di atas, amat jelas keputusan tersebut gagal mempertahankan kelebihan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Keputusan tersebut menyamatarafkan Islam dengan agama-agama lain dan perkara ini tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam arusperdana.

NGO-NGO Islam juga mempersoalkan keputusan Jemaah Menteri yang dibuat itu langsung tidak mengambilkira pandangan NGO-NGO Islam. Dalam masa yang sama pula pihak kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri telah berjumpa dengan NGO bukan Islam mengenai kes yang tersebut di atas. Tiada usaha untuk mendapatkan pandangan NGO Islam dilakukan bagi mendapat pandangan mereka sebelum keputusan dibuat.

Malah ada beberapa NGO Islam cuba untuk bertemu dengan pimpinan kerajaan tetapi tidak dapat direalisasikan. Seharusnya pihak kerajaan lebih peka dengan sensitiviti umat Islam khususnya masyarakat saudara baru. Suara mereka harus didengar terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan yang membabitkan mereka dibuat. Hak mereka untuk didengar (audi alteram partem) oleh pimpinan kerajaan sudah tiada lagi. Di manakah audi alteram partem itu?

Pihak Kerajaan perlu lebih berhati-hati di masa akan datang dalam membuat keputusan berkaitan Islam. Jangan mendahului para ilmuan Islam dan ulama. Pandangan NGO Islam juga mestilah diambilkira. NGO-NGO Islam telah menzahirkan kegusaran mereka berhubung dengan keputusan jemaah menteri tersebut, sudah sewajarnyalah keputusan tersebut ditarik balik.

http://membelaislam.wordpress.com/

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Digantung kerana tegur iktiraf Israel

Posted by epondok di April 25, 2009

KULIM, 24 April: Kerana menegur aktiviti pelajar yang mengiktiraf negara haram Israel dan menggayakan pakaian sami, tujuh pensyarah dan kakitangan UniKL cawangan Kulim telah digantung tugas mereka

Menurut sumber, pergantungan mereka berkuatkuasa 21 April hingga 4 Mei dan besar kemungkinan tiga dari mereka akan dibuang kerja.

Teguran itu mereka buat terhadap pelajar yang menyertai program menggayakan tarian keagamaan 20 negara di bawah naungan PBB.

Di antara negara yang dipilih adalah Amerika syarikat, United Kingdom, Thailand, Cambodia dan ISRAEL.

Teguran itu dibuat berdasarkan Israel adalah negara haram dan tidak diiktiraf Malaysia.

Mereka juga menegur aktiviti memperagakan pakaian sami yang tidak sesuai dibuat oleh orang Islam.

 

Petikan : siasahdaily.blogspot.com

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

TUAN GURU HAJI AWANG LAMBOR (1900 – 1963)

Posted by epondok di April 25, 2009

 

Salah seorang guru pondok yang paling berpengaruh di Jajahan Tumpat pada pertengahan abad ke-20 Masihi. Seangkatan dengan Haji Mohd. Saleh Pedada, Haji Yaakub Kelong, Haji Daud Geting dan Haji Pak Man Berangan. Nama sebenar tokoh ulama’ yang dilahirkan di Kg. Padang Merbau, Lambor, Wakaf Bharu sekitar 1900 ini ialah Haji Abdullah bin Haji Omar.

 

Bapanya Haji Omar bin Haji Abdul Rahman – lepasan pondok di Patani – ialah seorang Khatib di surau mukim Jal Kecik, juga adik kepada Haji Yusoff bin Haji Abdul Rahman, Imam Tua mukim Meranti di Jajahan Pasir Mas.

Datuknya, Haji Abdul Rahman yang berasal dari Kota Bharu Reman adalah Imam perintis di surau mukim Jal Kecik.

Beliau sendiri bersepupu dengan Hajjah Zainab bt. Hj. Yusoff yang kemudiannya menjadi isteri kepada Tuan Guru Haji Mohd. Zain Meranti, guru awalnya. Seorang sepupunya lagi ialah Haji Ahmad bin Haji Yusoff, Imam mukim Meranti yang meninggal dunia pada 21 Ogos 1961. Juga bertalian dua pupu dengan Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Ali, Kg. Jalah, Bunut Susu (meninggal 2 Ogos 1931).

Manakala Pak Chu Haji Mat Saman bin Haji Abu, guru al-Quran ternama di kawasan Lambor/Kubang Batang sebelum Bah Air Merah (1926) itu pula ialah abang iparnya.

Kerana latar belakang keluarga yang sedemikian maka tidak hairanlah jika beliau sudah mula terdedah kepada pengajian asas agama sejak kecil lagi.

Selepas menuntut beberapa ketika dengan Tok Kenali dan Tok Selehong beliau pergi menamat di kota Makkah selama 9 tahun lagi. Barisan gurunya termasuk Syeikh Omar Hamdan, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Senggora, Tok Shafie Kedah, Pak Cik Wan Daud Patani, Haji Sulong Patani, Pak Da Ail Patani dan Syeikh Muhammad bin Syeikh Nik Dir Patani.

Pada 1934, pulang ke Kelantan iaitu mendirikan Pondok Lambor yang telah melahirkan tokoh-tokoh seperti Haji Mat Nor Rushdi Haji Awang Gagah (pengasas Pondok Tasat di Legor, Thailand). Haji Wan Mat Wan Saleh (pendiri Pondok Paya Ular di Bunut Susu), Haji Mohd. Nor Haji Abdullah (guru Pondok Teliar), Pak Su Che Wil Haji Abdul Rahman (Imam Tua mukim Delima), Pak Su Loman (Imam Bunut Susu), Haji Yaakub Awang, Kg. Jelutong, Gunong, Bachok dan Haji Che Wil Abdul Latif, Kg. Meranti Besar.

Tuan Guru Haji Awang Lambor berpulang ke rahmatullah pada pukul 3 petang Sabtu 27 Zulkaedah 1382 bertepatan 20 April 1963 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pondok Lambor, Wakaf Bharu.

– Ismail Che Daud

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

TUAN GURU HAJI DAUD BUKIT ABAL (1906 – 1976)

Posted by epondok di April 25, 2009

 

 

Syeikh tarekat Ahmadiyah terpenting di rantau ini selepas generasi Mufti Haji Wan Musa/Sidi Muhammad al-Azhari/Syeikh Mohd. Said Linggi. Adik kandung Tuan Guru Haji Mat Limbat/Gong Kemudu.

Nama penuh ahli sufi ini ialah haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar al-Libadi. Lahir di Kg. Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar 1903. Ibunya, Wan Halimah bt. Hj. Ismail ialah adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Ismail (lebih terkenal dengan panggilan Haji Awang Limbat). Manakala bapanya, Haji Omar bin Haji Taib berasal dari Kg. Mentera, Bukit Marak.

Antara guru-guru awalnya : Haji Ahmad Limbat, Haji Sulaiman Kubang Kachang, Tok Kenali, Tok Seridik, Haji Omar Sungai Keladi, Haji Nik Abdullah Khatib, Yaakub Legor dan Maulana Tok Khurasan.

Di kota Makkah pula, antara lain beliau mendalami pengajiannya dengan Syeikh Omar Hamdan, Syeikh Mohd. Ali al-Maliki, Syeikh Hasan al-Masyat, Syeikh Hasan al-Yamani, Syeikh Muhammad al-Azhari dan Syeikh Mohd. Shafie Kedah (Tok Shafie). Kedua-dua penama akhir inilah yang banyak mencurahkan amalan tarekat Ahmadiyah (termasuk ilmu ihsanuddin) kepadanya.

Setelah kembali dari Makkah pada awal 1941, beliau berkebun sambil mengajar agama dibeberapa tempat. Akhir sekali pulang menetap di Bukit Abal, Pasir Puteh lalu berusaha menghidupkan semula sekolah pondok peninggalan bapa mertuanya, Haji Awang Limbat.

Peringkat awalnya kurang mendapat sambutan – mungkin kerana namanya belum terserlah. Hanya selepas 1968 barulah majlis ilmunya mula mendapat perhatian ramai. Kupasan ilmu usuluddin, furu’uddin (fiqh 4 mazhab) dan ihsanuddin yang menjurus kepada pengalaman zikir tarekat kemudiannya terbukti sangat popular. Untuk kemudahan murid-muridnya beliau mengulang cetak karyanya sendiri, iaitu Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1956); dan pada awal 1970-an diedarkan pula stensilan Risalat al-Tasawuf yang sempat disusun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatannya.

Tuan Guru Haji Daud meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju, iaitu pada pukul 2 petang Ahad 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976.

Warisan ilmunya kini disebarkan pula oleh tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Haji Ghazali Tunjong, Pak Da Awang Kampung Pek, Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi (pengarang buku Mengenal Diri dan Wali Allah yang sangat popular itu). Ustaz Wan Hasan Muhammad Bukit Tanah (ahli Jemaah Ulama MAIK), Drs. Abdul Rahman Haji Ahmad (Timbalan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan) dan Prof Dr. Hamdan Hassan (Universiti Brunei Darussalam).

– ISMAIL CHE DAUD

Posted in Tokoh Ulama' | 4 Comments »

Bantah Anak Kekal Agama Asal Walau Salah Seorang Ibubapa Peluk Islam

Posted by epondok di April 24, 2009

KENYATAAN AKHBAR ZULKIFLI BIN NOORDIN

AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU

 

Saya merujuk kepada kenyataan yang disiarkan oleh akhbar tempatan memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Nazri Aziz berkatan isu perceraian dan hak penjagaan kanak-kanak yang melibatkan seseorang yang “convert” atau memeluk agama Islam.

Sekali lagi isu berkaitan status agama seorang kanak-kanak apabila salah seorang daripada ibubapanya memeluk Islam dan hak seseorang “mua’alaf’ dalam hal perceraian dibangkitkan dan diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu.

Ini merujuk kepada kes terbaru melibatkan seorang bernama Pathmanaban atau kini dikenali sebagai Mohd. Ridhuan Abdullah, dimana beliau yang asalnya beragama Hindu telah memeluk agama Islam. Beliau juga dikatakan telah menukar agama anaknya yang lahir daripada keluarga Hindu kepada Islam. Isteri beliau dikatakan tidak mengetahui akan perkara ini.

Kini timbul isu yang diperbesar-besarkan tentang hak menukar agama anak bawah umur daripada bukan Islam kepada Islam oleh mana-mana ibu bapa yang memilih memeluk agama Islam.

Sebenarnya isu ini telah pun dijawab dengan jelas oleh Mahkamah Persekutuan didalam kes Subashini dimana Mahkamah menyatakan bahawa isu ini tertakluk kepada Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 12 (4) memperuntukkan bahawa “ugama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya”..

Mahkamah Persekutuan menafsirkan bahawa hak menentukan agama seseorang kanak-kanak bergantung kepada mana-mana salah seorang daripada mereka iaitu ibu, bapa atau penjaga. Bermakna salah seorang daripada mereka berhak untuk menentukan agama yang boleh di anuti oleh anak-anak mereka.

Oleh itu tidak timbul isu dalam kes Pethmanaban @ Mohd. Ridhuan yang menentukan agama anak beliau sebagai Islam sesuai dengan agama yang beliau anuti sekarang.

Malahan dari segi hukum syara’, ada pendapat yang menyatakan bahawa semua kanak-kanak dibawah umur akil baligh dianggap Islam sebagai agama fitrah. Samada mereka disyahadahkan secara formal atau tidak itu tidak menjadi isu. Sebab itu kalau mana-mana kanak-kanak dijumpai tanpa dapat dikesan ibubapanya, atau ditemui mati tanpa diketahui agamanya, maka kanak-kanak itu adalah di anggap Islam dan akan diuruskan sebagai seorang Muslim.

Ini sekaligus menyanggah tanggapan mereka yang menyatakan dalam kes seseorang itu masuk Islam tanpa pengetahuan keluarga, maka ini akan menganiaya anak-anaknya kerana mereka tidak mendapat pusaka. Inilah antara isu yang ditimbulkan didalam kes Allahyarham Mohd. Moorthy Abdullah. Sebaliknya jika seseorang itu masuk Islam dan meninggal, walaupun anak-anak beliau tidak di syahadahkan secara formal (apatah lagi kalau masih bayi dll), maka anak-anak itu di anggap berhak mewarisi pusaka beliau menurut hukum pusaka dan pembahagian faraid didalam Islam.

Ada pihak menyatakan bahawa ini tidak adil kerana menyebabkan ibu itu hilang hak jagaan terhadap anak-anak mereka.

Isu ini juga tidak timbul kerana hak menukar agama dan hak jagaan adalah dua isu yang berbeza. Ini telah dijawab juga oleh Mahkamah dalam kes S. Shamala dimana bapa yang telah memeluk agama Islam dan menukar agama anak-anak beliau sekali tidak diberikan hak jagaan, sebaliknya hak jagaan diberikan kepada ibu yang hindu, dengan satu caveat yang ibu itu tidak boleh menukar agama anak-anak tersebut.

Disana terdapat juga tuduhan menyatakan bahawa si suami memeluk Islam sebagai pintu belakang” untuk menafikan hak jagaan ibu tersebut. Ini adalah kerana apabila bapa tersebut memeluk Islam dan menukar agam anak-anaknya ke Islam, beliau akan pergi ke Mahkamah Syariah dan mendapatkan hak jagaan. Sebaliknya ibu itu didakwa tidak boelh pergi ke Mahkamah Syariah kerana beliau bukan Islam. Dan beliau tidak boleh mendapatkan perintah Mahkamah Sivil kerana berdasarkan Artikel 121 (1A), Mahkamah Sivil tidak ada bidangkuasa membicarakan hal ehwal berkaitan dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah, dan hal jagaan kanak-kanak Islam adalah dalam bidangkuasa hadhanah Mahkamah Syariah.

Saya tidak menafikan ujud disana segelintir dikalangan mereka yang memeluk Islam dan memperkudakan sistem perundangan sedia ada untuk mendapatkan perintah jagaan anak dan menafikan pihak yang bukan Islam daripada keadilan sewajarnya. Bagi saya ini suatu persepsi yang salah dan harus diperbetulkan.

Saya berpendapat bahawa isu ini sengaja diputarbelitkan untuk kepentingan sempit golongan tertentu. Sebagaimana kita maklum, apabila timbul isu hadhanah atau hak penjagaan kanak-kanak, maka Mahkamah Syariah, sebagaimana Mahkamah Sivil akan membicarakan kes tersebut berdasarkan prinsip kebajikan kanak-kanak itu yang diutamakan. Tanggapan menyatakan bahawa si bapa akan mendapat hak jagaan otomatik daripada Mahkamah Syariah adalah tidak benar sama-sekali. Apatah lagi tohmahan yang menyatakan kalau si ibu (yang bukan Islam itu) pergi ke Mahkamah Syariah, sudah pasti dia akan kalah kerana Mahkamah Syariah pasti akan menyebelahi si bapa yang sudah memeluk Islam.

Ternyata mereka yang membuat kenyataan tohmahan saperti ini adalah jahil dan tidak mengetahui sistem perundangan dan jurisprudens Islam. Undang-undang Islam bukan undang-undang rimba yang ditadbor oleh hakim-hakim tarzan mengikut citarasa nafsu beliau.

Sejarah telah membuktikan betapa para hakim syari’e sentiasa bertindak berdasarkan lunas-lunas ke’adilan kerana mereka sentiasa sedar akan hadis Rasulullah bahawa daripada tiap tiga hakim, dua sudah menempah tempatnya di neraka. Mereka juga sedar bahawa mereka wajib melaksanakan keadilan kepada mana-mana litigan tidak kira Muslim atau bukan.

Ini terbukti dalam kes terbaru Nyonya Tahir yang telah keluar daripada Islam, mengamalkan kehidupan buddha dan mati dalam agama tersebut. Setelah mendengar saksi-saksi dan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan mengisytiharkan bahawa Nyonya Tahir telah melalui kehidupan bukan Islam dan mati sebagai bukan Islam. Maka mayat beliau diserahkan kembali kepada keluarga bukan Islamnya.

Apa yang penting ialah pihak-pihak yang terlibat tidak menanamkan sikap[ prejudis dan buruk sangka terhadap sistem perundangan Islam dan pentadbiran undang-undang keluarga Islam di Mahkamah Syariah. Walaupun sistem perundangan yang dilaksanakan belum lengkap sepenuhnya, namun dari segi perlaksanaan Mahkamah Syariah boleh berbangga kerana telah cuba sedaya upaya melaksanakan keadilan kepada semua pihak.

Apa yang perlu difahamkan pertamanya ialah apabila seseorang bukan Islam membawa kes ke Mahkamah Syariah, ini bukan bermakna mereka telah masuk Islam. Inilah masalahnya apabila ada pihak mengambil kesempatan akibat daripada kejahilan orang awam bahawa pergi ke Mahkamah Syariah bermakna seseorang itu masuk Islam.

Kedua, walaupun seseorang bukan Islam tidak boleh menjadi pihak dalam Mahkamah Syariah (bukan kerana undang-undang Islam tetapi kerana Perlembagaan Persekutuan yang menyekatnya), beliau masih boleh melibatkan diri dalam prosiding di Mahkamah Syariah sebagai saksi.

Bermakna sekiranya si bapa yang telah menukar agama memohon hak jagaan anak-anak dibawah umur baligh, maka si ibu (yang bukan Islam) boleh memohon memberi keterangan dan mengemukakan bukti bahawa si bapa tidak layak mendapat hak jagaan. Dan yakinlah bahawa Mahkamah Syariah akan menimbang semua keterangan dan bukti menurut undang-undang sedia ada dengan meletakkan prinsip kebajikan kanak-kanak itu sebagai keutamaan. Dan insyallah jika terbukti si bapa tidak layak, Mahkamah Syariah tidak akan memberikan hak jagaan itu kepada si bapa walaupun dia Muslim. Malahan Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa memberikan hak jagaan itu kepada si ibu, walaupun dia bukan Islam.. Dan inilah yang telah dibuktikan dalam kes Nyonya Tahir.

Berdasarkan saranan diatas, saya sangat tidak bersetuju dengan keputusan kabinet nsaperti yang disiarkan melalui kenyataan Menteri di JPM tersebut yang mengesyorkan supaya digubal undang-undang untuk menafikan penukaran agama bagi kanak-kanak dibawah 18 tahun. Jawatankuasa itu juga mengesyorkan supaya isu berkaitan ini diberi bidangkuasa kepada Mahkamah Sivil dan bukan Mahkamah Syariah.

Saya tidak pasti samada kabinet telah benar-benar diberi penerangan tentang kedudukan Perlembagaan dan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes berkaitan. Kerana adalah jelas keputusan kabinet tersebut jelas bercanggah dengan Perlembagaan dan bertentangan dengan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan sendiri.

Saya berharap sebelum kabinet mengambil tindakan selanjutnya, hendaklah semua pihak yang berkepentingan diberi ruang untuk mengemukakan pendapat. Dan nasihat saya kepada kabinet, hormatilah keluhuhuran Perlembagaan dan hormatilah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes yang telah pun diputuskan. Malahan saya difahamkan sudah ujud satu jawatankuasa di peringkat Jabatan Peguam Negara yang sedang dan masih membincangkan isu-isu ini dan isu-isu lain yang berkaitan. Saya percaya jawatankuasa yang dianggotai oleh bukan sahaja mereka dari bidang guaman, tetapi mufti, ulama’, agamawan termasuk wakil Majlis Peguam dan wakil agama-agama lain saperti Majlis Perunding Agama Hindu, Kristian, Buddha & Sikh akan cuba mencapai suatu jalan penyelasaian yang boleh diterimapakai oleh kesemua pihak.

Sekian. Wassalam

 

Zulkifli Bin Noordin

Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Agama anak: Kabinet mesti rujuk mufti

Posted by epondok di April 24, 2009

Keputusan kabinet semalam – anak kekal agama asal ibu bapanya walaupun salah seorang menganut Islam – sewajarnya dirujuk kepada mufti, kata Datuk Seri Harussani Zakaria.

Mufti Perak menyarankan kerajaan mendapatkan pandangan Majlis Mufti-mufti Malaysia sebelum membuat sebarang keputusan berhubung Islam bagi mengelak timbulnya kekeliruan, lapor Bernama.

“Dalam agama Islam, mana-mana bapa atau ibu yang menganuti Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak tersebut sudah berumur lebih 15 tahun dan boleh memilih agamanya sendiri,” Harussani dipetik berkata hari ini.

Ketika mengumumkan keputusan kabinet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata keputusan itu sebagai langkah penyelesaian berhubung pertikaian status agama kanak-kanak apabila ibu atau bapa menukar agama.

Menurut agensi berita itu lagi, beberapa NGO Islam turut menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan itu kerana mendakwa ia dibuat tanpa mengambil kira undang-undang sedia ada dan pandangan pihak-pihak yang berkenaan.

Keputusan itu menafikan hak pihak yang memeluk Islam, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abdul Latif pada sidang akhbar yang turut dihadiri wakil-wakil badan lain termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Dakwah dan Kebajikan Saudara Baru Islam SeMalaysia.

 

Petikan : Malaysiakini.net

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »