Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 26 Februari 2009

Galakan Sambut Maulidurrasul s.a.w

Posted by epondok di Februari 26, 2009

 Kedatangan Rabiul Awwal bersama dengan peringatan mengenai tarikh bersejarah dengan kelahiran Rasulullah s.a.w pada Tahun Gajah di Kota Mekah telah menemui kita untuk sekian kalinya. Pelbagai cara dan adat dalam merayakan kedatangan maulidurrasul bagi menunjukkan rasa syukur dan sayang kepada rasul tercinta yang telah merubah dunia yang dulunya kelam diselaputi mendung jahiliah yang kini terang dipayungi wahyu Allah. Namun dalam merayakan sambutan ini maka tidak terlepas keluhan yang menginginkan jawapan adakah harus diadakan majlis ini sedangkan ia tidak pernah dibuat oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. Di sini melalui risalah yang dikeluarkan oleh pelajar Pondok Pasir Tumboh maka dicoretkan serba sedikit mengenai dalil yang boleh dijadikan hujah dalam mengharuskan sambutan Maulidurrasul selagimana ia masih menjaga batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak.
 

GALAKAN DALAM  MEMBESARKAN MAULIDURRASUL

1. Merayakan hari kelahiran nabi Muhammad s.a.w termasuk daripada perkara yang membesarkan dan memuliakan baginda. Dijanjikan kejayaan dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya sebagimana difahami daripada firman Allah taala dalam ayat 157 surah al-A’raf  yang bermaksud:Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad )membesarkannya, membantunya dan mengikuti cahaya(al-quran) yang diturunkan bersamanya mereka itulah yang memperolehi kejayaan 

2. Firman Allah Taala dalam ayat 32 surah al-Haj yang bermaksud : “Demikianlah (perintah Allah) dan sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka sesungguhnya itu timbul daripada ketaqwaan hati”. 

Dalam menafsirkan ayat itu maka antara erti membesarkan itu ialah setengah daripada menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya.Apa yang di maksudkan dengan “tanda-tanda Allah”Sya’airallah pada umum ayat  ini, ialah setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Sebesar-besar tanda agama ialah nabi Muhammad s.a.w dan menyambut maulidur rasul itu adalah membesarkan tanda Allah, termasuk dalam menjunjung perintahNya.

3. Imam Bukhari telah meriwayatkan didalam Sohihnya, begitu juga  Ismaili dan Abdul Razak telah meriwayatkan bahawa diringankan azab ke atas Abu Lahab pada hari Isnin kerana memerdekakan Suwaibah iaitu hambanya bagi menceritakan khabar gembira tentang kelahiran nabi s.a.w.

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa:

a. Sesiapa yang menzahirkan kegembiraannya dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah s.a.w akan di ganjari pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kafir pun diringankan azabnya, apatahlagi orang itu merupakan seorang muslim. Ini dapat diambil daripada apa yang dikatakan oleh Al-Hafiz Nasruddin ibni Syamsuddin Ad-Dimasyqi.

b. Dianjurkan kemuliaan dan membesarkan nabi s.a.w dengan mengambil sempena hari kelahirannya. Hari kelahiran baginda merupakan hari kebesaran islam dan hari yang mempunyai kelebihan. Diriwayatkan daripada Qatadah Al-Ansari, “ Bahawasanya nabi s.a.w ditanya tentang berpuasa pada hari Isnin, lalu bersabda nabi yang bermaksud : “ Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian ke atasku.”

c. Membuat perkara-perkara kebaikan (difahami daripada memerdekakan Suwaibah) sempena memuliakan hari kelahiran nabi s.a.w seperti berhimpun dengan membaca Al-Quran, berselawat, memuji nabi, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir miskin dan lain-lain adalah begitu digalakkan.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »