Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

ORIENTALIS JERMAN PERTAHANKAN ISLAM

Posted by epondok di Februari 23, 2009


Muqaddimah       

Islam merupakan agama yang lengkap merangkumi seluruh aspek kehidupan tetapi malangnya ianya terus dipenjarakan daripada terlaksana sehingga umat Islam sendiri teraba-raba mencari sistem terbaik untuk dijadikan landasan dalam kehidupan mereka.Ramai dikalangan umat Islam sendiri yang buta tentang Islam sehingga mereka menganggap Islam ini hanya di tikar sembahyang, masjid, puasa dan setakat menunaikan rukun Islam sahaja tanpa memahami bahawa Islam tidak pernah memisahkan antara hubungan kehidupan dunia dengan akhirat.Penjajahan sistem ciptaan manusia seperti komunisme, sekularisme dan sebagainya telah menyebabkan umat Islam hilang identiti dan tidak mengenal Islam secara tepat dan lengkap bukannya secara rambang dan juzu’-juzu’ sahaja.Kejahilan umat Islam tentang Islam itu sendiri merupakan antara faktor mereka tidak mampu melawan dakyah sesat daripada musuh Islam dan juga penyebab kepada berlakunya jenayah murtad. Pengetahuan mereka yang cetek tentang Islam menyebabkan mereka tidak mampu menghadapi kehidupan di zaman teknologi maklumat ini berdasarkan Islam. Mereka mudah goyah malah terikut dengan rentak perubahan masa. Mereka tidak ubah sebagaimana penganut agama lain atau orientalis itu sendiri kerana Islam mereka hanya pada nama dan pengetahuan sahaja tanpa ada di sana pengamalan yang menyeluruh yang menyebabkan orang bukan Islam tidak tertarik dengan Islam malah umat Islam sendiri murtad kerana mereka lihat tiada perbezaan antara Islam dan agama lain.Benarlah kata-kata imam al-Maududi iaitu Islam ini terlindung disebabkan umatnya sendiri dan benar juga kata-kata Sayyidina Ali iaitu Kenalilah Islam terlebih dahulu sebelum kamu mengenali muslim yang sebenar. Kedua-dua ungkapan ini memberi peringatan kepada kita bahawa kegagalan Islam untuk diketengahkan kerana umat Islam sendiri yang menyebabkan ia terus terpenjara dan gagal dilihat kesempurnaannya kerana umat Islam sendiri tidak mahu menjalankan sistem Islam secara menyeluruh kerana kejahilan dan keangkuhan mereka kepada Allah.Orang bukan Islam juga biasanya melihat kerana keadaan dan sikap umat Islam terlebih dahulu dalam mengenali Islam sehingga mereka gagal mengenali Islam yang sebenar kerana mereka melihat kepada muslim yang tidak sebenar. Jika mereka mengenali Islam terlebih dahulu maka mereka akan mengetahui keadilan dan kelengkapan itu sendiri sehingga mereka mampu membandingkan antara Islam dan agama lain dan juga antara muslim sejati dan muslim nama dan kulit sahaja. Di sini dicoretkan bagaimana seorang orientalis wanita Jerman menceritakan tentang kelengkapan Islam dan menafikan sebarang dakyah sesat musuh Islam terhadap Islam. Wawancara yang dibuat oleh majalah al-‘Alam dengan Marry Shimel jika diteliti dengan baik akan menimbulkan kesedaran kepada kita bagaimana Allah mempertahankan Islam bukan sahaja melalui ulama’ Islam malah melalui orang bukan Islam. Ini merupakan tamparan yang hebat kepada pemimpin dan juga orang Islam yang menyempitkan fahaman tentang Islam dan mengatakan bahawa Islam hanya pada ibadat khusus sahaja. 

 

 

Pertembungan antara Islam dan agama lain

        Beliau mengenali Islam melalui buku-buku terutama dalam bahasa Jerman disamping risalah bagi peringkat Phdnya berkisar tentang tasawwuf dalam Islam yang mana penyelidikan beliau mengenai Jalaluddin ar-Rumi telah menambahkan lagi pengetahuan tentang kehebatan Islam. Antara buku yang ditulisnya ialah ” Ruhku Ruh Wanita..Perempuan Dalam Islam” dan buku yang terkini ialah ” Mimpi-mimpi Khalifah” yang mana buku ini hasil daripada pengumpulan tentang mimpi-mimpi dan penafsirannya menurut umat Islam sepanjang ziarah dan lawatan ke negara arab dan negara umat Islam.Dalam menjawab dakwaan bahawa kuasa Islam merupakan musuh utama kepada barat buat masa akan datang selepas hancurnya kuasa komunis maka beliau menyatakan bahawa dakyah ini keluar daripada sebahagian besar pemimpin barat melalui media massa, media elektronik dan buku-buku yang ditulis oleh orientalis yang melampau. Beliau menambah lagi dengan menyatakan bahawa pertembungan tradisi antara Islam dengan musuhnya terutama Kristian sebenarnya bermula semenjak zaman pertengahan lagi dan ianya bukan baru timbul akhir-akhir ini sahaja.Ini disebabkan berlakunya masalah politik khas  dimana sistem dunia ketika itu begitu lemah dalam menyaingi kehebatan dan kekukuhan sistem Islam sendiri yang menyebabkan Kristian mengisytiharkan Peperangan Salib bermula dengan dakyah sesat bahawa Islam merupakan agama yang menolak Ketuhanan dan melampau. Serangan saraf ini adalah bagi tujuan menjadikan manusia menjauhi Islam dan bersama mereka dalam menentang kemaraan Islam.

Demokrasi dan Syura

    Beliau turut menyatakan bahawa perlu dibezakan antara Islam dan muslim itu sendiri buat masa kini bagi mengelakkan berlakunya fitnah terhadap Islam kerana ramai muslim hari ini tidak menghayati Islam dalam kehidupan seharian. Islam yang sebenar ialah agama yang menolak dan menafikan segala sikap dan kelakuan yang salah dan menyeleweng yang dibuat oleh ramai daripada umat Islam sendiri.Beliau menambah bahawa umat Islam telah mengenali erti demokrasi yang sebenar dan telah mengamalkannya sebelum lagi masyarakat barat sendiri mengetahuinya melalui  sistem syura. Islam juga menjaga hak masyarakat minoriti dan menghormati kaum wanita. Pemisahan antara agama dan pemerintahan merupakan dakyah sesat yang ditanamkan oleh pihak barat. Menambah mengenai masalah sistem syura, beliau mengatakan bahawa ia merupakan sesuatu yang menjadi tunjang dalam Islam. Ayat-ayat  al-Quran menerangkan tentang pembinaan sistem ini melalui asas berbincang, dakwah terbuka kepada berfikir dan kritik tetapi mestilah tidak terkeluar daripada landasan syarak.Beliau menyeru agar umat Islam diberikan gambaran dan penjelasan yang betul mengenai Islam. Mereka juga perlu diterangkan mengenai suasana yang berlaku sekitar mereka agar mereka tidak leka dan lalai serta mengetahui tentang tanggungjawab mereka yang sebenar terhadap Islam. Pelaksanaan Islam yang sebenar dalam kehidupan merupakan satu-satunya jalan penyelesaian dalam menolak perkara yang syubhat dengan model terbaik yang hidup dan mampu dilihat dan dirasai bukannya setakat diketahui dan disebut sahaja.

Islam model terbaik

    Dalam pada itu diajukan kepada beliau pertanyaan mengenai dakyah orientalis dan juga penulis-penulis barat dan setengah daripada orang Islam sendiri yang menyeru agar umat Islam mengambil barat sebagai model dengan mengikut segala sistem perundangan dan juga sistem kehidupan mereka dalam memastikan negara umat Islam dan umatnya mampu mencapai kemajuan serta bersaing dengan negara barat dalam menempuh era baru ini.Beliau menjawab jika kita menerima pakai dakyah ini maka dengan sendiri kita terpaksa membuang daripada kamus sejarah tentang sejarah kegemilangan Islam dahulu yang menyaksikan Islam menjadi tuan atau peneraju dunia dalam kesemua aspek kehidupan. Kita juga dalam tidak sedar dipaksa menafikan asas atau sebab utama kemajuan yang dicapai oleh negara barat sekarang ialah kerana mereka menggunakan ilmu-ilmu Islam yang jelas kehebatannya hasil daripada pembelajaran dan kajian mereka terhadap ilmu tersebut.Ditambah pula dengan perkhidamatan profesor dan tenaga pengajar yang terdiri daripada umat Islam di kesemua bidang ilmiah dan universiti di negara barat menambahkan lagi keyakinan bahawa dakyah itu tidak betul malah menyeleweng dan tidak berasas kerana jika ilmu Islam akan mendatangkan kesan negatif dan kemunduran mengapa ilmu Islam terus dipelajari dan juga khidmat tenaga daripada kalangan orang Islam terus digunakan sehingga sekarang di barat. Permasalahan yang besar yang menyebabkan umat Islam sekarang mundur bukan disebabkan Islam menyekat kemajuan itu tetapi disebabkan oleh sikap umat Islam sendiri yang mengabai dan menentang pelaksaaan Islam secara menyeluruh sehingga mereka terus tertindas dan dijajah. Islam membawa manusia sejagat ke arah kemajuan dan tamadun secara berterusan bukannya mengikut masa dan tempat.

Jaminan terhadap penganut agama lain

    Kata beliau lagi bahawa Islam menjamin keamanan penganut Yahudi dan Kristian dengan menerima pembayaran jizyah daripada mereka dengan mengikut tahap kemampuan mereka.Kita pernah melihat bagaimana ada daripada kalangan khalifah umat Islam telah menggugurkan pembayaran jizyah kepada mereka yang tidak mampu berbuat demikian bahkan ada juga dikalangan khalifah umat Islam yang memberi pemberian yang diambil daripada baitulmal bagi menampung kesusahan yang dihadapi oleh orang bukan Islam. Islam mengambil berat dan menjaga kebajikan mereka lebih baik berbanding pemerintah mereka sebelum datangnya Islam seperti apa yang pernah berlaku kepada rakyat di bawah pemerintah Rom yang mana mereka begitu merindu dan mengalukan penguasaan Islam  terhadap negara mereka kerana keadilan dan kesaksamaan yang dititik beratkan oleh Islam. Kita juga dapat melihat ketika penaklukan Islam terhadap Mesir di mana mereka menyelamatkan para penganut Kristian daripada penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Rom terhadap mereka. Islam menjamin keamanan dan keselamatan mereka dan memberi kepada mereka kebebasan dalam menjalani kehidupan mereka dan beragama sehingga mereka tidak pernah berniat untuk memberontak terhadap kerajaan Islam. Isalm tidak pernah meruntuhkan gereja-gereja malah menghormati paderi Kristian. Tambah beliau lagi bahawa jika ada kezaliman yang pernah berlaku ianya disebabkan perkara lain yang tidak bersangkutan dengan aqidah Islam yang mulia dan perkara ini sangat kurang dan ganjil.

Islam memartabatkan wanita

    Ketika ditanya mengenai ada dakwaan bahawa Islam mengkrisminasikan wanita maka jawab beliau bahawa dalam bukunya ” Wanita dalam Islam” terdapat bagaimana banyaknya dakyah dan pandangan yang sesat dan zalim yang tidak berasas sehingga berlakunya dakwaan yang melampau mengenai perkara ini seperti Islam menzalimi wanita dan sebagainya.  Kata ini tidak mungkin keluar daripada seorang yang waras dan berakal kerana Islam merupakan agama yang menjaga martabat wanita dengan menjamin penjagaan hak-hak mereka dan memuliakan mereka. Kita pernah melihat bagaimana adanya wanita islam yang turut serta dalam peperangan untuk merawat mereka yang cedera dan sebagainya disamping memberi kebebasan kepada mereka dalam menjalani kehidupan seharian dan pekerjaan  tetapi tetap menjaga sifat wanitanya dan kemuliaan mereka agar tidak tercemar dan dinodai.Sebelum wanita barat mengenali mengenai hak-hak mereka, al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W telah lama menerangkan tentang perkara ini serta memastikan umat Islam agar menghormati wanita disamping melarang mereka daripada berkasar dan berlaku zalim terhadap wanita.Dalam menjawab soalan yang berkisar tentang kemampuan negara eropah dan barat yang didakwa maju dalam menjaga hak wanita dan menjaga kehormatan mereka sebagaimana yang digariskan oleh syariat Islam maka beliau menjawab bahawa perkara ini tidak mungkin berjaya melainkan dengan mengamalkan konsep Islam yang mengambil berat mengenai kemajuan material dan ruhani yang seimbang.

    Membaca tentang pendapat beliau tentang Islam ini kita merasa begitu hinanya kita apabila melihat seorang orientalis bukan Islam mampu menjawab dakyah sesat barat dan umat Islam yang jahil dan takabbur serta hanyut dengan sistem manusia yang bakal menempah kecelakaan di dunia dan akhirat nanti bukannya kemajuan hakiki sebagaimana yang diangan-angankan. Tidak insaf lagikah kita apabila orang bukan Islam memberitahu kita tentang Islam sedangkan kita meletakkan Islam sebagai agama yang hanya boleh diamalkan dimasjid sahaja? Tidak malukah kita kepada Allah yang menghantar para ulama’ untuk menerangkan kepada kita tentang kesyumulan Islam ditambah pula dengan pendapat orang bukan Islam tentang kelengkapan Islam yang merangkumi seluruh aspek kehidupan? Masih ragu-ragukah kita tentang kehebatan dan kemampuan Islam dalam menerajui dunia? Masih was-waskan kita tentang Islam yang menjamin keamanan sejagat bukannya pencetus huru-hara sebagaimana yang didakwa oleh penganut sekular yang sesat? Tidak yakin lagikah kita bahawa Islam bukan sahaja pada rukun Islam yang lima tetapi menyeluruh termasuk kepimpinan dan politik? Jika kita masih teragak-agak lagi untuk menyatakan keadilan dan ketamadunan yang dijamin oleh Islam melalui Pencipta kita iaitu Allah maka tanyalah diri kita samada kita beriman dan tunduk kepada Allah atau pun kita telah terkeluar daripada landasan Islam dengan menafikan tuntutan kalimah Syahadah kerana sifat takabbur yang meresapi diri. Tepuklah dada tanyalah iman kita!.

 

Terjemahan

1. Akhbar mingguan al-Liwa’

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: