Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 18 Februari 2009

6 Teka-teki Imam Ghazali

Posted by epondok di Februari 18, 2009

 

Imam Ghazali berteka-teki dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya beberapa soalan:

 

PERTAMANYA beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :” Orang tua, guru, kawan dan sahabat”. Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah ‘mati’. Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 185  :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ 

Maksudnya :  Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari qiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan

 

KEDUANYA beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :” negara China, bulan, matahari dan bintang”. Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah ‘masa lalu’. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke amasa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti.

 

KETIGANYA beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: ” Gunung, bumi, matahari”. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah ‘nafsu’. Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahannam. Ayat 179 surah al-A’araf :

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالأِِنْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَ يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ 

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahannam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak digunakan untuk memamahami ayat Allah. Mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah, Mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar ayat Allah. Mereka itu seperti binatang bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai

 

 

KEEMPAT belia bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu murudnya menjawab :” Besi, gajah”. Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah ‘menanggung amanah’. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak. Ayat 72 Ahzab

إِنَّا عَرَضْنَا الأَ مَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الأِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولاً 

Maksudnya :  Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka bimbang akan mengkhianatinya dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil

 

KELIMA beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab :” Kapas, angin, debu dan awan”. Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah ‘meninggalkan sembahyang’ kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.

 

KEENAM beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab :’ Pedang”. Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah ‘lidah manusia’ di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.

قال الرسول e  : مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ أَوْ لِيَسْكُتْ

Maksudnya : Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah hanya berkata perkara yang baik atau pun dia diam

Posted in Klinik Agama | 1 Comment »

Polis kena adil kuat kuasa pemakaian serban: Mufti

Posted by epondok di Februari 18, 2009

Oleh Azman Mahmood
bhnews@bharian.com.my

 

Kelonggaran ketika menunggang motosikal mesti jelas, menyeluruh

KUALA LUMPUR: Dua tokoh agama mahukan pihak berkuasa mengambil pendekatan jelas dan adil dalam menguatkuasakan peraturan mengenai pemakaian serban oleh penunggang motosikal.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata Islam sememangnya mengutamakan aspek keselamatan dan jika memakai topi keledar lebih selamat, ia wajar dipatuhi dari segi undang-undang.

“Tetapi, saya percaya serban ini biasanya dipakai bukan untuk perjalanan jauh, kecuali untuk pergi ke masjid, ke kedai dan rumah yang berdekatan.

“Cuma yang kita tidak mahu hanya umat Islam saja yang membabitkan pelajar sekolah agama tidak dibenarkan memakai serban ketika menunggang motosikal. Serban adalah pakaian yang disunatkan dalam Islam.

“Begitu juga dengan penganut Sikh, serban adalah pakaian penting bagi agama mereka termasuk dipakai anak mereka untuk ke sekolah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Berita Harian baru-baru ini melaporkan polis akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara berhubung penafsiran undang-undang menunggang motosikal dengan memakai serban, termasuk menentukan sama ada pelajar sekolah agama yang memakai serban ketika bermotosikal, boleh dikecualikan daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata ketika ini pengecualian pemakaian topi keledar hanya diberikan kepada golongan tertentu seperti keturunan Sikh dan alim ulama beragama Islam.

Mahkamah Majistret Kota Bharu baru-baru memerintahkan pelajar sekolah pondok, Ahmad Nasir Darus, 27, dipenjarakan dua hari selepas enggan membayar saman RM90 bagi kesalahan menunggang motosikal dengan memakai serban.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria juga mahukan pihak berkuasa bertindak secara adil dalam isu itu jika mahu menguatkuasa peraturan tanpa mengira pelajar, orang Islam atau bukan Islam.

Katanya, setakat ini dari segi mangsa kemalangan jalan raya, kumpulan penunggang motosikal yang memakai topi keledar paling ramai meninggal dunia, bukan di kalangan mereka yang memakai serban.

Bagaimanapun, beliau mengakui dari segi undang-undang jika tidak memakai topi keledar sama ada penunggang atau pembonceng motosikal, ia satu kesalahan.

“Tetapi, jika pihak berkuasa mahu menguatkuasakan undang-undang tidak membenarkan pemakaian serban kepada pelajar sekolah agama, ia perlu dikaji secara terperinci kerana ia juga dipakai penganut Sikh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh ketika dihubungi, berkata ada peruntukan undang-undang yang memberi pengecualian pemakaian serban untuk orang Islam seperti haji dan penganut Sikh.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu ketika ditanya dari segi keselamatan pemakaian serban untuk penunggang motosikal.

Difahamkan peraturan sedia ada menyatakan pengecualian topi keledar untuk penunggang motosikal berdasarkan Kaedah-kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang dibaca bersama Pengecualian 1975, untuk haji, lebai dan penganut Sikh.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »