Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 31 Januari 2009

JADUAL BINA DIRI CEMERLANG

Posted by epondok di Januari 31, 2009


 

        
        Siri Ketiga
 

     Sebagai golongan pelajar maka sudah semestinya kita menghidupkan budaya ilmu dan pengamalan terhadap ilmu itu dalam kehidupan seharian kita. Kita juga  mesti mempunyai  jadual  yang  teratur dengan azam yang  tinggi diikuti pula oleh  usaha yang bersungguh ke arah pembinaan diri yang  cemerlang dan diredhai oleh Allah subhanahu wa ta’ala. Setelah mempunyai  jadual  samada secara harian atau pun mingguan maka kita mesti memastikan pelaksanaan  terhadap kesemua yang tertulis pada jadual itu dengan mengikuti beberapa kaedah di bawah.Pertama : Membuat  syarat  untuk dipatuhi oleh diri sendiri

        Kita mesti mensyaratkan pada diri sendiri dalam menjalankan setiap apa yang tertulis dalam jadual harian atau pun mingguan. Caranya  dengan duduk berfikir dalam masa yang sekejap seperti 15 minit atau pun kurang. Ketika ini kita mesti berfikir apakah kewajipan dan tugas yang mesti kita lakukan  pada hari tersebut. Letakkan jadual harian atau pun mingguan di hadapan kita kemudian sematkan dalam hati tentang syarat yang mesti kita patuhi dalam  menjalankan apa yang telah dijadualkan dengan teratur agar ia tidak diganggu dengan  kerja lain yang boleh membantut  jadual asal kita. Kita juga mesti sematkan dengan baik  tentang  kewajipan kita untuk melaksanakan segala apa yang  telah dijadualkan  agar ia berjaya dilaksana bukan semata-mata tertulis di atas kertas sahaja. Perkara ini mesti dilakukan setiap pagi sebelum menjalankan kewajipan  dan  tugas  harian kita kerana  dengan  cara ini kita boleh memastikan segala yang dijadualkan dapat dilaksana dengan jaya atau pun sebaliknya .

Kedua  :  Pengawasan terhadap pelaksaaan jadual harian atau pun mingguan

         Dalam  melaksanakan segala apa yang telah dijadualkan maka tidak dapat tidak kita mesti mempunyai pengawasan  terhadap segala pelaksanaannya supaya kita dapat pastikan tidak ada sebarang kecuaian yang berlaku sepanjang pelaksanaannya. Kita mesti hadirkan dalam hati tentang keikhlasan niat dalam pelaksaan jadual itu dan sentiasa merasakan bahawa setiap kelakuan dan pelaksaan kepada setiap apa yang dijadualkan sentiasa di awasi oleh Allah. Dengan cara ini maka kita dapat menghindarkan diri daripada sebarang kelalaian terhadap kewajipan seharian kita.

Ketiga  :  Bersungguh-sunggguh  sepanjang  pelaksanaan  jadual harian atau pun mingguan

         Ketika melaksanakan segala apa yang telah dijadualkan maka kita mesti bersungguh dan tekun dengan melawan nafsu malas yang sentiasa bergelora dalam jiwa muda kita. Kuatkan semangat dalam melawan nafsu malas yang datang menyerang. Kita mesti fikir akibat  dan juga kesan negatif yang bakal menimpa kita jika kita melayani atau  tertewas dengan nafsu malas. Banyak fikirkan masa depan kita yang masih jauh agar kita lebih semangat di dalam melawan nafsu malas.

Keempat  :  Muhasabah atau pun hitung diri

         Sebelum  tidur maka kita mesti muhasabah atau pun hitung diri kita dalam masa kurang daripada 15 minit. Ketika ini kita mestilah  mengingati setiap pelaksanaan kepada kewajipan dan juga jadual kita. Jika di sana kita dapati kita berjaya menjalankan segalanya dengan baik maka ucapkan kesyukuran kepada  Allah. Jika di sana adanya kecuaian dan juga kegagalan dalam melaksanakannya dengan baik maka ingatkan  segala  kelemahan itu dan  sila  tulis di atas sehelai kertas  supaya kita dapat t ahu kelemahan kita dalam membaikinya ketika melaksanakan  jadual untuk hari seterusnya. Banyakkan bertasbih, bertahmid, bertakbir dan beristighfar kerana kita memang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Kelima  : Merintih pada diri sendiri

         Kita mesti luangkan sedikit masa untuk mengatakan pada diri sendiri  dalam masa lebih kurang 5 minit  samada ketika baring, makan atau pun berjalan. Cara ini adalah untuk menimbulkan dalam hati kita tentang kejayaan atau pun kegagalan kita dalam melaksanakan apa yang telah dijadualkan. Kita datangkan dalam hati kita persoalan-persoalan yang mengingatkan kita tentang kewajipan kita dan peringatan terhadap kecuaian kita serta memberi perangsang dakam meneruskan segala amjalan yang terbaik dalam melaksanakan kewajipan pada hari seterusnya.

Keenam  : Menghukum diri

         Dalam memastikan kita dapat menjalankan segala yang dijadualkan dengan baik maka kita mesti menghukum diri kita sendiri dengan hukuman yang setimpal dengan kecuaian atau pun kegagalan yang berlaku semasa pelaksanaannya. Hukuman ini bertujuan untuk memperbaiki kelemahan diri  agar lebih bersungguh ke arah menunaikan apa yang telah direncanakan. Hukuman ini juga adalah bertujuan untuk memastikan pelaksanaan jadual  itu  tidak diabaikan dan juga setiap kecuaian hanya berlalu begitu sahaja tanpa hukuman yang mengingatkan atau menginsafkan diri kita  untuk tidak mengulangi kecuaian itu pada masa-masa yang lain. Hukuman ini janganlah pada perkara ibadat seperti solat sunat atau pun baca al-Quran kerana ia sendiri merupakan  suatu  perkara yang sememangnya mesti dilakukan dalam mendekatkan diri kepada Allah. Kita bimbang jika  hukuman yang dilakukan adalah ibadat menyebabkan kita malas untuk melakukannya melainkan ketika melakukakan kesilapan sahaja. Hukuman yang hendak dibuat ialah pada perkara yang diharuskan seperti mengurangkan kadar makan atau pun kurangkan tidur. Ia akan mengingatkan kita pada kecuaian kita yang menyebabkan kita akan terus berusaha untuk tidak mengulanginya kerana takut hukuman itu berulang ke atas diri kita.

Ketujuh  : Perangsang kepada diri sendiri

         Jika sebarang kecuaian atau pun kegagalan  dalam pelaksanaan jadual yang dibuat kita mesti menjatuhkan hukuman yang setimpal dengannya maka begitu juga sebarang kejayaan kita dalam melaksanakannya hendaklah diikuti dengan sesuatu sebagai perangsang ke arah memastikan kejayaan itu berterusan bukannya sekali-sekala sahaja. Sebagai contohnya kita pergi rehlah untuk menenangkan fikiran sebagai habuan kepada kejayaan kita itu. Hukuman dan juga perangsang ini merupakan dua bentuk  tindakan yang  berjalan seiring dalam memastikan kita berjaya dalam melaksanakan jadual harian atau pun mingguan kita.

         Semoga segala apa yang  disaran ini dapat sama-sama kita laksanakan dalam mewujudkan budaya ilmu dalam diri kita sebagai golongan pelajar. Yang penting ialah usaha kita dalam membina keyakinan diri dengan bersungguh dalam belajar dan istiqomah dalam beramal. Jika kedua-duanya mampu berjalan seiring dalam kehidupan kita maka ia akan membina keperibadian diri yang teguh dan unggul.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »