Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 20 Januari 2009

Apa bezanya Serban Singh Dengan Serban Anak Pondok?

Posted by epondok di Januari 20, 2009

serban

Oleh Mohd Sayuti Omar


KEMARIN seorang anak pondok Pasir Tumbuh di Kelantan, Ahmad Nasir Darus 28 tahun telah dijatuhi hukum denda sebanyak RM90 atau penjara dua hari oleh Majistret Kota Bahru kerana kesalahaan tidak memakai topi keledar semasa menunggang motisikal tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhi oleh Majistret, Tengku Amalin A’Ishah Puteri Sultan Ismail.
 

 

 

Ahmad Nasir tidak membayar denda berkenaan sebaliknya memilih untuk dipenjara. Alasan beliau ialah kerana ingin menegakkan sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam ‘kepercayaan’nya serban itu ialah pakaian Rasulullah dan tidak menjadi kesalahan malah wajib baginya mempertahankan pakaian berkenaan.

 
Sekali pandang hukuman ke atas Ahmad Nasir itu seperti zalim dan tidak menghormati sunnah Rasulullah seperti mana diyakini oleh anak pondok berkenaan. Ia juga menggambarkan Majistret itu lurus dan menjatuhkan hukuman berdasarkan peruntukkan undang-undang yang ada tanpa langsung menggunakan budibicaranya sebagai seorang Islam. Mungkin itulah tanggapan ringkas.
Tetapi apa yang perlu disedari, Majistret atau hakim akan membuat keputusan berdasarkan fakta dan menggunakan perundangan yang ada. Kebenaran hakikat bagi mereka bukan perhitungan. Mereka tidak dapat melencong jauh dari itu. Soal budibicara, sentimen tidak merupakan keutamaan dalam membuat sesutau keputusan.
Jadi Majistret bukan bersalah dalam hal ini kerana beliau menuruti dan mematuhi undang-undang yang tersedia.

Manakala dari pihak Ahmad Nasir menerima hukuman itu sebagai satu penganiayaan dan keputusan yang tidak menghormati sunnah yang diyakininya itu. Sebagai seorang muslim beliau berhak mempertahankan pakaian Rasulullah atas kepercayaan sesiapa mempertahankan pakaian Rasulullah ia akan mendapat rahmat dan keberkatan.

Sebab itulah Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan para ustaz, alim ulama mempertahankan pakaian serban dan sering mengenakan jubah dalam kehidupan seharian mereka.

Apakah kita boleh mengatakan kata-kata (keyakinan) Ahmad Nasir itu karut? Bahawa serban itu tidak ada kena mengena dengan Rasulullah? Kalau Ahmad Nasir karut maka karut dan kurafatlah sekalian orang yang pakai serba dan jubah atas alasan kerana mempertahankan sunnah Rasulullah?

Di sini apa yang menjadi masalah kerana undang-undang yang digunakan pakai dalam mahkamah jahil terhadap apa itu sunnah? Mungkin juga undang-undang kita tidak memandang dan melihat ada apa-apa nilai pun ke atas pakaian berkenaan. Dalam kata-kata lain sunnah bukan sesuatu yang perlu dipertahankan. Sebaliknya mahkamah kita lebih menghormati turban (serban Singh) daripada serban anak pondok.

Dalam kes Ahmad Nasir tadi Majistret memberi alasan dia tidak menemui apakah ciri-ciri menandakan Ahmad Nasir sebagai lebai. Pihak pembelaan mungkin gagal mengemukakan bukti menunjukkan Ahmad Nasir seorang lebai. Sebab kalau Ahmad Nasir lebai dia dikecualikan daripada mengenakan pakaian serban. Begitulah peraturan dan penilaian perundangan kita.

Jika hendak dikira soal lebai ini pun subjektif. Tidak ada tanda-tanda khusus kepada seseorang yang boleh dikatakan lebai. Dalam istilah lebai itu ia berasal daripada perkataan ‘la’baik’ iaini baik atau mulia. Di sini boleh difahamkan lebai itu orang yang baik dan mulia. Baik kerana dia mengamal hukum Allah dan menuruti ajaran Rasulullah. Dan orang yang begitu ia dianggap mulia.

 

 

Jadi kerana polis yang menyaman Ahmad Nasir itu tidak nampak tanda yang beliau baik atau mulia maka beliau tidak kdianggap lebai. Kalau Ahmad Nasir dilihat lebai pasti dia tidak akan disaman dan dibawa ke mahkamah sehingga Majastret membuat penghukuman Ahmad Nasir tidak seorang lebai maka beliau tertakluk dengan undang-undang yang sedia ada itu.

Soalnya di sini apakah setiap warganegara singh negara ini yang mengenakan terbannya itu adalah orang yang secara automatik lebai ataupun ada istilah lain untuk singh maka mereka tidak berani disaman oleh polis?

Sumber : Detikdaily.net

Posted in Fokus Isu | 3 Comments »

Kes serban: Pelajar pondok pilih penjara daripada bayar denda

Posted by epondok di Januari 20, 2009

Oleh Salmah Mat Husain

Seorang pelajar pondok sanggup memilih untuk menjalani hukuman penjara daripada membayar denda RM90 setelah disab it bersalah kerana menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.


Sedangkan ketika ditahan polis beliau memakai serban.

Ahmad Nasir Darus, 27 memilih menjalani hukuman penjara selepas Majistret Tengku Amalin A’Ishah Putri memutuskan dikenakan hukuman denda RM90 atau menjalani hukuman penjara dua hari

 

Bagaimanapun di atas alasan memegang prinsip demi mempertahankan sunnah Rasulullah saw beliau lebih sanggup ditahan di penjara.

Keputusan itu dibuat majistret setelah meneliti keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan serta hujahan bertulis yang dikemukakan.

Mahkamah mendapati pihak pembela gagal membuktikan keraguan yang munasabah dan tiada keterangan saksi-saksi lain yang dapat mengesahkan Ahmad Nasir seorang lebai.


Bagaimanapun pelajar pondok itu yang diwakili peguam Ahmad Rizal Effande Zainol memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut bagi membolehkan rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi.


Namun mahkamah menolak permohonan peguam dan mengekalkan keputusan asal. Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohd Yusri Mamat.


Ahmad Rizal ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu beliau menyerahkan kepada anak guamnya untuk memilih sama ada ingin membayar denda atau sebaliknya.


Katanya, anak guamnya merasakan dirinya tidak bersalah kerana ia hanya mempertahankan sunah Rasulullah saw dengan memakai serban.

Oleh itu beliau akan memfailkan permohonan rayuan ke Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.


“Saya akan membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi bagi dijadikan bahan akademik dan rujukan kerana terdapat kekaburan pada istilah ‘lebai’ dalam peruntukan undang-undang,” katanya.


Perkarangan mahkamah dipenuhi hampir 100 rakan Ahmad Nasir yang datang untuk memberikan sokongan moral.


Pada 20 September dua tahun lalu Ahmad Nasir disaman di Jalan Pasir Tumboh atas kesalahan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sebaliknya memakai serban.


Beliau disaman kerana melakukan kesalahan yang bertentangan dengan Kaedah 4 Motosikal (topi keledar keselamatan) 1973 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dibaca bersama dengan Seksyen 128(1) akta yang sama.


Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 4 November 2007 beliau membuat pengakuan tidak bersalah serta mohon dibicarakan. – mj _

Sumber:harakahdaily

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »