Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 3 September 2008

Ziarah Tuan Guru Hj Soleh Sik

Posted by epondok di September 3, 2008

Rombongan guru dan pelajar Pondok Pasir Tumboh seramai 54 orang sempat menziarahi Tuan Guru Hj Soleh Sik yang merupakan ulama’ terkenal. Tuan Guru Hj Soleh walau pun dalam kesibukan tugasan harian namun begitu mesra menyambut kedatangan para tetamu

Antara nasihat paling berharga yang diberikan ialah tentang cara untuk mendapat keberkatan hidup antaranya dengan menjaga solat 5 waktu secara berjemaah. Keberkatan ialah زيادة الخير الإلهي bermaksud pertambahan kebajikan anugerah daripada Allah. Contohnya kadang-kadang 2 orang pesawah yang mendapat hasil sama banyak tetapi yang seorang habis bekalan dengan cepat sedangkan seorang lagi dengan keberkatan yang Allah anugerahkan kepadanya membolehkan bekalannya habis lambat.

Beliau turut menceritakan bagaimana guru-gurunya begitu bersemangat dalam mengajar walau pun uzur. Ini menunjukkan bagaimana mengajar ilmu itu banyak kelebihannya sehingga ia ibarat ubat bagi yang sakit. Pernah suatu ketika beliau bersama dengan sahabatnya pergi ke rumah gurunya untuk belajar tetapi diberitahu bahawa gurunya itu sedang sakit. Tiba-tiba gurunya dengan penuh semangat keluar dari biliknya dan terus mengajar. Bila disyorkan supaya guru itu berehat lalu gurunya berkata alang-alang datang biarlah dimanfaatkan untuk belajar

Pernah suatu ketika gurunya sakit kaki dan bila mengajar pun beliau mengangkat katanya agar tidak terkena lantai. Walau pun kesakitan namun gurunya itu terus mengajar dan kadang-kadang tersenyum. Bila ditanya adakah beliau tidak merasa sakit sehingga sentiasa tersenyum lalu gurunya itu menjawab sekiranya beliau menangis pun belum tentu kesakitan itu hilang

Inilah sedikit coretan yang dapat dinukilkan berkenaan ziarah yang berharga ini

Posted in Pondok Pasir Tumboh, Program Terbaru | Leave a Comment »