Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tiada perancangan punca institusi pondok berkubur

Posted by epondok di Jun 30, 2008


Lanjusoh
Mon | Jun 16, 08 | 1:53:22 pm MYT
KUALA KRAI: Ketika berkunjung ke bandar Kuala Krai, Kota Bharu dan Pasir Mas anda boleh melihat budak-budak berjubah putih dan berserban.Hati tentunya tersentuh melihat akhlak Islam terus dipertahankan. Kadang-kadang mereka mengelek kitab jawi. Kalau di Kota Bharu kedai Jaffar Rawas menjadi tumpuan.Inilah fenomena yang masih dapat disaksikan di Kelantan. Namun, institusi pondok yang ada sekarang jauh berkurangan berbanding zaman kegemilangannya.Lebih 300minstitusi pondok terdapat di Kelantan di zaman kegemilangannya. Pondok terawal yang masih kekal iaitu Pondok Sheikh Abdul Samad Pulai Chondong diwujudkan pada 1820.

Di era kemasyuhurannya pelajar-pelajar datang dari seluruh Nusantara termasuk Kempuchea, Sumatera, Patani, Singapura dan Brunei.

Kini setelah zaman bertukar, institusi pondok semakin berkurangan. Sekarang hanya tinggal 14 institusi pondok tradisonal disamping puluhan lagi pondok warga emas dan tahfiz yang masih bertahan di Kelantan.

Antaranya Pondok Pasir Tumbuh, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian, Pondok Gelang Mas, Pondok Neting, Pondok Seligi, Pondok Tunjung, Pondok Berangan.

Pondok Beta Hilir, Pondok Lepan Bola, Pondok Bukit Gading, Pondok Tunjung, Pondok Bukit Awang, Pondok Lubok Stol dan Pondok Genting. Pondok paling tua yang kekal sehingga sekarang iaitu Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas ditubuh pada 1932.

Manakala pondok yang mempunyai bilangan pelajar paling ramai iaitu Pondok Pasir Tumbuh iaitu seramai 500 orang. Bilangan warga tua dan pasangan kelamin pula seramai 800 orang.

Dua lagi pondok yang mempunyai bilangan pelajar ramai iaitu Pondok Sungai Durian, Kuala Krai dan Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.

Persoalannya mengapa bilangan pondok merudum begitu banyak sekali. Menjelaskan perkara itu Mudir Pondok Sungai Durian, Dr Abdul Basit Abdul Rahman berkata, antaranya kerana tiada perancangan awal tok-tok guru pondok dalam memastikan generasi pelapis yang bakal meneruskan pengajian pondok samada daripada kalangan ahli keluarga atau pelajar pilihan.

“Tiada persiapan awal oleh tok-tok guru antara punca banyak pondok mati di Kelantan. Selain itu tidak kesatuan khusus di kalangan tok-tok guru pondok,” katanya pada forum sempena sambutan ulangtahun ke-50 Pondok Sungai Durian di sini, baru-baru ini.

Perasmiannya disempurnakan anggota Exco, Ustaz Mohd Amar Abdullah.

Ahli panel lain iaitu Mudir Pondok Lubuk Tapah, Dr Lokman Abdullah dan Pengerusi Jemaah Tadbir Pondok Pasir Tumbuh, Ustaz Abdul Halim Abdul Ghani.

Dr Basit juga menyatakan setiap institusi pondok perlu mengadakan usrah di kalangan tenaga pengajar bagi mencetus idea baru ke arah memperkasakan lagi institusi tersebut.

Selain itu muzakarah di kalangan guru-guru pondok juga penting bagi memastikan institusi pondok terus unggul melewati zaman.

Abdul Halim berkata, bagi memastikan institusi pondok terus unggul, Pondok Pasir Tumbuh menyediakan peluang pelajar-pelajar insitusi pengajian tinggi dan sekolah belajar secara pakej pada musim cuti semester.

“Kaedah pembelajaran itu mendapat sambutan menggalakkan sejak ia diperkenalkan beberapa tahun lalu,” katanya.

Sempena sambutan ulang tahun tersebut diadakan pelbagai program antaranya ekspo, pameran, forum, ceramah dan seminar. Ia mendapat sambutan menggalakkan.

Mohd Amar berkata, institusi pondok menjadi kubu bagi mempertahankan Islam sehingga ramai guru pondok bangkit menentang penjajah, antaranya Tok Janggut, Tok Kenali dan Diponegoro di Indonesia.

Pondok Sungai Durian satu-satunya institusi pondok yang mempunyai dua sistem iaitu pengajian kitab dan sistem sekolah.

Pondok tersebut diasas Tuan Guru Abdul Rahman Sulaiman pada 1958.

Insitusi pondok di Kelantan dimantapkan semula dengan adanya Pusat Pembangunan Pondok Bhd yang ditubuh pada 1995. Peranannya menyelaras institusi pondok yang terdapat di Kelantan.

Dana awal disumbang kerajaan negeri.– tajdid

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: