Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Arkib bagi Kategori ‘Pondok Thailand’

Baba Hj Ahmad Nawawi B. Hj Ismail meninggal dunia semalam

Posted by epondok di Januari 23, 2011

23 JAN – Al-Fatihah ke atas Almarhum Baba Hj Ahmad Nawawi B. Hj Ismail, Mudir Madrasah At-Tazkiah (Pondok Chenok) Songkla, Selatan Thailand yang baru meninggal dunia pada petang asar tadi. Jasad beliau akan dikebumikan di kampung halamannya pada esok hari Ahad 23hb jam 9.00 pagi (waktu Thailand). Semoga Allah mencucuri rahmat atas rohnya, Al-Fatihah…

Dikirim dalam Pondok Thailand | Leave a Comment »

Pondok agama dihujani peluru

Posted by epondok di Ogos 23, 2009

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
(Yang membuat tinjauan di Selatan Thailand baru-baru ini)

 

SUASANA di sekitar Pondok Madrasah Imaniah Aldawiyah.

 

APAKAH mungkin pada masa ini masih terdapat pondok pengajian agama yang pelajarnya hanya menuntut ilmu agama semata-mata? Atau apakah benar masih wujud guru-guru yang mengajar ikhlas kerana Allah tanpa menetapkan sebarang bayaran?

Mungkin dalam perkembangan ilmu di zaman moden ini, kita sukar untuk menerima hakikat itu, tetapi jika ada umat Islam yang bertekad hanya untuk belajar ilmu agama sahaja, maka ia sudah pastilah dilihat suatu keistimewaan.

Begitulah gambaran awal yang boleh diberikan apabila menceritakan mengenai Pondok Madrasah Imaniah Aldawiyah, Dala, Pattani.

Sekolah pondok yang diasaskan pada tahun 1933 kini dikendalikan oleh Abdul Karim Hasbullah dan dibantu oleh menantunya, Faisal Abdul Rahman.

Menurut Faisal, sekolah tersebut melaksanakan sistem pendidikan Islam secara tradisional yang bererti, pelajar-pelajarnya hanya menumpukan perhatian kepada pengajian al-Quran, hadis dan kitab-kitab.

”Setiap pelajar yang ingin belajar di sini perlu menghabiskan persekolahan di peringkat sekolah menengah milik kerajaan,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut, baru-baru ini.

Ilmu agama

Matlamat sekolah itu ialah melahirkan generasi insan yang memperolehi pengetahuan agama dengan ilmu-ilmu yang betul dan sempurna untuk diamalkan.

”Kebanyakan mereka yang menamatkan pengajian di pondok ini menjadi guru agama atau membuka sekolah pondok,” katanya.

Pada masa ini, sekolah itu mempunyai 200 pondok yang didiami oleh 400 pelajar dengan 15 tenaga pengajar.

Apa yang menarik, kesemua guru berkenaan tidak menerima bayaran gaji atau elaun yang tetap, sebaliknya hanya menerima sumbangan daripada orang ramai.

”Mereka melakukan tugas ikhlas kerana Allah SWT, oleh itu mereka tidak fikir soal bayaran, apa yang paling penting ialah menurunkan ilmu kepada pelajar-pelajar,” katanya.

Ditanya tidakkah tindakan hanya menumpukan perhatian kepada pengajian agama semata-mata akan menyebabkan pelajar tidak akan berpeluang untuk berkhidmat dalam bidang lain, Faisal menjelaskan, ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pondok itu sememangnya berhasrat untuk menjadikan anak mereka sebagai alim ulama.

”Mereka tidak ada matlamat lain, mereka ingin melihat anak-anak mereka menjadi guru agama termasuklah membuka pondok pengajian apabila tamat pengajian nanti,” katanya.

Bagi pelajar yang berhasrat melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi, mereka akan ‘menumpang’ sijil yang dikeluarkan oleh sekolah-sekolah agama yang diiktiraf oleh kerajaan.

Apa yang menarik, sekolah pondok ini tidak menetapkan bilakah seseorang pelajar itu perlu menamatkan pengajian mereka. Selagi pelajar itu mahu terus menuntut di situ, mereka boleh berbuat demikian tanpa sekatan.

Atas sebab itulah seperti mana dijelaskan oleh Faisal, terdapat pelajar yang sudah memasuki usia dewasa tetapi masih terus belajar di situ.

Pelajar-pelajar di sekolah berkenaan memulakan pengajian selepas solat Subuh dan berakhir kira-kira pukul 11 malam setiap hari.

Sepanjang menjalankan tinjauan di pondok pengajian berkenaan, penulis merasakan ketenangan melihat suasana persekitarannya. Kedudukannya yang terletak di kawasan pedalaman memberikan seribu ketenangan kepada tenaga pengajar dan pelajar di situ.

Namun ia tidak bermakna sekolah tersebut tidak berhadapan dengan situasi mencemaskan. Salah satu peristiwa yang pasti kekal dalam lipatan sejarah sekolah pondok tersebut, apabila kawasan mereka ‘dihujani’ peluru pada 1 Ogos tahun lalu.

Segalanya bermula, apabila seorang anggota kumpulan pemisah dikatakan berlindung di sekolah pondok tersebut bagi menyelamatkan diri daripada ditangkap pihak berkuasa.

Pihak tentera Thailand yang mendapatkan maklumat mengenai perkara berkenaan telah menghantar segerombolan anggotanya ke kawasan tersebut.

Seramai 250 anggota tentera dikerahkan mengepung kawasan sekolah pondok itu dan sekali gus mencetuskan pertempuran dengan anggota kumpulan pemisah yang berlindung di situ.

Pertempuran berlaku dengan sengit sehingga tembakan yang dilepaskan ‘menghujani’ beberapa pondok di sekolah itu. Beberapa peralatan milik pelajar turut rosak teruk selain kesan peluru masih boleh dilihat sehingga ke hari ini di dinding-dinding pondok yang terkena tembakan.

Bagaimanapun Abdul Karim dan Faisal bersyukur kerana tiada seorang pun pelajar mereka terbunuh atau tercedera, sebaliknya anggota militan yang diburu itu berjaya ditembak mati oleh pasukan tentera.

Walaupun peristiwa berkenaan menjadi pengalaman cukup mencemaskan, namun ia sama sekali tidak melemahkan semangat tenaga pengajar dan pelajar di situ.

Sebaliknya, selepas kejadian tersebut mereka meneruskan pengajian seperti biasa kerana bagi mereka apa yang berlaku adalah sebahagian daripada dugaan Allah.

Kini Pondok Madrasah Imaniah Aldawiyah terus menjadi salah sebuah sekolah pondok yang dihormati dan mendapat perhatian di kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu agama.

Mungkin kita boleh mentafsirkan apa sahaja mengenai sistem pendidikan yang diamalkan, namun bagi mereka yang sudah tekad untuk menjadi pewaris dan penyambung kepada ulama-ulama sedia ada, mereka tetap akan berada di situ demi menggali ilmu Allah.

Bagi mereka, segala yang dilakukan bermatlamat untuk melahirkan generasi pewaris ulama yang unggul dan berwibawa. Selagi kelompok seumpama ini wujud, maka selagi itulah sekolah pondok yang mengamalkan pengajian agama secara tradisional akan terus kekal di bumi Thailand.

Dikirim dalam Pondok Thailand | 2 Komen »

Tiga bentuk Sekolah Pondok Selatan Thai

Posted by epondok di Julai 2, 2009

Oleh MOHD. KAMIL YUSUFF

 

Mohd. Sabri Abdul Rahman mengajar muridnya di Sekolah Menengah Agama Sasanuptam Muang, Pattani, Selatan Thailand.

 

SELATAN Thai sinonim dengan sistem pengajian sekolah pondok sejak berabad-abad lamanya. Sistem sekolah pondok ini juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ulama terkenal nusantara.

Sekolah pondok adalah sistem pendidikan tradisional yang juga banyak diamalkan di Malaysia dan Indonesia yang memberi fokus kepada pengajian Islam. Di Indonesia sekolah pondok juga di kenali sebagai Pesantren.

Di Selatan Thai, sistem pondok yang diamalkan tidak ada had usia bagi mereka yang ingin belajar tanpa mengira latar belakang mereka. Sesiapa sahaja boleh datang pada bila-bila masa untuk menuntut ilmu, meliputi semua ilmu akhirat.

Di sekolah pondok juga menekankan asas-asas ibadah (fardu ain) seperti sembahyang, bersuci, anak soleh, suami isteri dan juga bab syurga neraka.

Sebelum 2004, sesiapa sahaja boleh mendirikan sekolah pondok di Thailand. Tetapi apabila berlaku krisis di selatan negara itu, pihak berkuasa mula mewajibkan pengusaha sekolah pondok mengambil permit untuk mendirikan sekolah berkenaan.

Ini bertujuan memantau perkembangan sekolah pondok, selain mengawalnya daripada disalahgunakan oleh pihak-pihak berkepentingan.

Sehingga Mei 2004, terdapat 214 buah pondok berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Thailand.

Sistem pengajian pondok menjadi pilihan utama bagi penduduk-penduduk di lima wilayah yang dihuni oleh majoriti orang Islam di Selatan Thai untuk menghantar anak mereka mendapat pelajaran.

Penduduk-penduduk di wilayah berkenaan iaitu Pattani, Yala, Narathiwat, Satun dan Songkhla lebih berminat mendaftar anak-anak mereka di sekolah agama seperti pondok dan madrasah berbanding sekolah bantuan penuh kerajaan.

Pada masa ini, lebih 70 peratus pelajar Islam di Selatan Thai menuntut di 6,000 sekolah agama, manakala kira-kira 30 peratus lagi belajar di sekolah kerajaan.

Kesan daripada itu, bilangan anak orang Melayu Islam yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti sama ada dalam negara atau luar negara amat rendah berbanding dengan orang Thai Buddha dan lain-lain kaum.

Mengapa keadaan ini berlaku dan masih berlanjutan sehingga kini? Ini sebenarnya berpunca daripada tanggapan lama bahawa belajar di sekolah kerajaan akan menyebabkan anak-anak ‘dithaikan’ atau mereka akan menjadi kafir.

Lagipun anak-anak orang Islam dinafikan mendapat pendidikan Islam di sekolah. Ibu bapa bimbang jika anak-anak dihantar ke sekolah kerajaan, mereka mungkin lupa asal-usul mereka sebagai orang Islam.

Inilah kebimbangan-kebimbangan yang menghantui masyarakat Islam Selatan Thai sejak sekian lama. Namun tiada langkah yang diambil oleh pemerintah sekurang-kurangnya untuk meyakinkan masyarakat Islam menghantar anak mereka ke sekolah kerajaan.

Seorang tokoh agama di Pattani, Drs. Ahmadkamae Waemusor ketika ditemui di Pattani, baru-baru ini memberitahu, terdapat tiga bentuk pengajian pondok di Selatan Thai yang diamalkan sehingga hari ini:

1. Sekolah Tradisional

Lebih dikenali dengan sistem pengajian pondok lama, cara pembelajaran ini tidak mempunyai sistem tertentu. Para pelajar cuma menadah kitab sahaja.

Tidak ada peperiksaan dan tidak berpusat. Melalui sistem ini, para pelajar hanya mendengar apa sahaja yang diajar oleh tok guru.

Sistem pengajian ini menguasai lebih 90 peratus pengajian agama di Selatan Thai. Para pelajarnya tidak dihadkan umur belajar. Mereka boleh

belajar sampai bila-bila. Mereka akan tinggal di asrama yang berbentuk pondok kecil di kawasan pusat pengajian tersebut.

Pelajaran yang diajar lebih fokus kepada pengajian kitab-kitab lama dan amalan asas dalam Islam seperti fardu ain, fardu kifayah, nikah kahwin dan lain-lain lagi sebagai memenuhi keperluan kehidupan umat Islam.

Biasanya, di pondok tradisional ini, para pelajarnya terdiri daripada pelajar lelaki. Terdapat juga pondok-pondok yang menerima pelajar perempuan dan wanita warga emas sebagai pelajar.

Dengan dikenakan sedikit bayaran semasa mendaftar, mereka kemudiannya akan belajar secara percuma selagi mereka mahu.

Bagaimanapun, makan minum dan perbelanjaan adalah atas urusan sendiri.

Bagi wanita warga emas yang kebanyakannya ibu tunggal, pondok tradisional ini merupakan tempat mereka menuntut ilmu akhirat sementara menghabiskan sisa-sisa usia.

Di beberapa pondok tradisional, para pelajar juga diajar dengan mata pelajaran kemahiran hidup, pertukangan tangan dan sebagainya sebagai persediaan untuk mereka memulakan kehidupan apabila berhenti belajar.

Biasanya sekolah pondok ini mempunyai asrama bagi menempatkan para pelajarnya. Asrama ini adalah dalam bentuk pondok-pondok kecil yang boleh memuatkan dua hingga lima orang dan dibina secara tersusun.

Kebanyakan pondok ini dibina seragam menggunakan dinding kayu atau buluh, berlantaikan buluh, kayu atau batang nibung, sementara atapnya daripada daun rumbia atau zink.

Tidak ada bekalan elektrik di pondok-pondok ini. Para pelajarnya menggunakan pelita minyak tanah pada waktu malam. Ruang di dalamnya hanya cukup menempatkan dua hingga empat pelajar dan tidak ada kerusi meja atau almari.

Sebuah surau atau masjid dibina yang bukan sahaja menjadi tempat beribadat tetapi juga kelas pengajian dan pusat aktiviti harian bagi penghuni-penghuni sekolah pondok.

Bekalan elektrik di surau dan bangunan pentadbiran yang juga menempatkan dewan diperoleh melalui janakuasa kecil.

2. Madrasah

Mengajar pelajaran agama sahaja dan tidak ada pelajaran akademik lain. Para pelajarnya terdiri dari pelajar kelas satu sehingga kelas 10 berdasarkan senioriti. Biasanya pelajar di madrasah berumur antara 13 dan 21 tahun.

Kerajaan Thai mensyaratkan semua kanak-kanak mendapat pendidikan wajib di sekolah kerajaan dari usia 7 tahun sehingga 13 tahun (kini dilanjutkan kepada 15 tahun).

3. Sekolah Agama Swasta atau Sekolah Agama Rakyat

Melalui sistem pengajian ini, pembelajarannya merangkumi dua bidang iaitu agama dan akademik. Pelajaran agama diajar pada sebelah pagi, manakala pelajaran akademik di sebelah petang.

Pelajaran agama ialah untuk murid tahun Satu hingga 10. Pelajaran akademik pula untuk tingkatan 1 hingga enam.

Tenaga pengajarnya kebanyakannya terdiri daripada guru-guru lepasan pusat pengajian agama atau universiti luar negara seperti Jordan, Syria, Mesir, Indonesia dan Malaysia. Sekolah ini biasanya mendapat bantuan penuh kerajaan.

Menurut Drs. Ahmadkamae lagi, sekolah agama rakyat yang belum dijadikan yayasan akan mendapat 60 peratus bantuan kerajaan.

Wang bantuan daripada kerajaan dan yuran 6,000 baht (RM60) sebulan daripada para pelajar ini digunakan untuk membayar gaji guru-guru dan menampung kos operasi sekolah berkenaan.

Para pelajar sekolah ini mempunyai peluang belajar yang luas setelah menamatkan pengajian. Mereka boleh menyambung pelajaran ke universiti luar negara seperti al-Azhar di Mesir, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM) atau Kolej Insaniah di Kedah.

Para pelajar yang berjaya menamatkan pelajaran di universiti-universiti luar negara ini akan pulang menjadi guru di sekolah-sekolah berkenaan.

Drs. Ahmadkamae memberitahu, fokus utama pelajaran akademik di sekolah agama swasta ini ialah bagi membolehkan para pelajarnya menguasai bahasa Thai, bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab dengan baik.

Berdasarkan sistem pengajian agama yang ditawarkan, masyarakat Islam di Selatan Thai mempunyai tiga pilihan, selain sekolah kerajaan untuk menyekolahkan anak-anak mereka

Dikirim dalam Pondok Thailand | Leave a Comment »

Senarai Pusat Pengajian Pondok di Thailand

Posted by epondok di Mac 15, 2009

1. Madrasah Masahatuddin, Bangkok

Bilangan Pelajar 130

Tarikh Penubuhan 1952 ( Pondok Sahaja )

 

2. Madrasah Latifuddin ( Pondok Ta’it ) Bangkok. ( Pondok / Sekolah) Bilangan Pelajar : 150-200 Orang.

3. Madrasah Nur Islam ( Pondok Di Bangkok )

Bilangan Pelajar 325

Tarikh Penubuhan 1973 ( Pondok Sahaja )

 Bilangan Guru 26 Orang.

Tiada Habuan Bulanan Kepada Guru

Mempunyai Siaran Radio Sendiri.

 

 4. Pondok Dala Fatani

Tarikh Penubuhan Tahun 30 -An

Bilangan Guru 10 Orang

Bilangan Pelajar 800

Pelajar Malaysia 50 Orang

Empat Buah Madrasah ( Tempat Belajar )

 

5. Madrasah Darul Ulum At-Tarbiah Asy-Syarifah, Kedi ( Pondok Sahaja ) Tarikh Penubuhan 1993

Pengasas Hj. Ahmad Bin Abdullah B

ilangan Guru 4 Orang

Bilangan Pejajar 100 Orang

 

6. Madrasah Mi’yarul Ulum ( Pondok / Sekolah )

Bilangan Guru 15 Orang

Bilangan Pejajar Lelaki 600 Orang

Bilangan Pelajar Perempuan 200 Orang.

 

7. Maahad Islahiah Ad-Diniah ( Pondok Tok Jong )

Bilangan Pejajar : 300 Orang

Tarikh Penubuhan : 1930

 

8. Pondok Kerasak ( Pondok Sahaja )

 Bilangan Pelajar : 500-600 Orang.

 

# Hasil lawatan pegawai Pusat Pembangunan Pondok Berhad sekitar tahun 2002

Dikirim dalam Pondok Thailand | 5 Komen »

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 11,271 other followers