Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for September 2014

Khasiat daun serai kayu rawat darah tinggi

Posted by epondok di September 30, 2014

Oleh Mona Ahmad

Serbuk daun serai kayu. – Foto Fathil Asri

Pengambilan ulam daun serai kayu

Menyedari perkara ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian, Kelantan mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan terhadap pengambilan ulam daun serai kayu atau daun salam dalam kalangan penduduk tempatan yang dikatakan mampu menurunkan kadar darah tinggi.

Daun serai kayu atau di sesetengah tempat di negara ini dikenali sebagai daun salam, samak kelat, daun bay dan daun beriani, banyak digunakan dalam masakan di seluruh dunia kerana keistimewaannya membangkitkan aroma dalam juadah.

Jika di Indonesia ia lebih dikenali sebagai meselengan, ubat serai, gowok, manting dan kastolam, manakala istilah sainsnya pula Syzygium polyanthum.

Di Eropah dan kawasan negara Mediterranean, daun serai kayu ini lazimnya dikeringkan dan digunakan sebagai penambah perisa kepada masakan terutama dalam sos, sup, stew dan masakan berunsurkan makanan laut, sayur serta daging.

Tidak ketinggalan, dalam masakan Arab, India dan Pakistan. Antaranya, digunakan untuk menambah keenakan rasa dalam masakan nasi beriani dan bahan dalam garam masala (rempah ratus).

Di Kelantan dan Terengganu, daun serai kayu ini banyak digunakan dalam masakan seperti laksam dan dijadikan ulam untuk dimakan bercicahkan budu.

Rupa-rupanya, di sebalik keenakannya sebagai perisa tambahan kepada masakan, daun ini mempunyai seribu satu rahsia dari sudut kesihatan terutama dalam rawatan penyakit tekanan darah tinggi.

Rahsia keunikan dan kehebatan daun yang pokoknya mudah ditanam di kawasan tropika, berjaya dibongkar kumpulan penyelidik berkenaan yang diketuai Pensyarah Kanan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, universiti itu, Dr Wan Amir Nizam Wan Ahmad dalam penyelidikannya yang sudah masuk tahun keempat.

“Daun serai kayu atau salam sudah lama digunakan penduduk Kelantan yang menghidap darah tinggi untuk menurunkan tekanan darah mereka.

“Kami tertarik untuk mengkaji dengan lebih mendalam khasiat daun ini selepas melihat corak tekanan darah tinggi beberapa pesakit yang dirujuk di klinik kami semakin normal dan mereka hanya perlu mengambil ubat darah tinggi dengan kadar dos kecil.

“Selepas diselidik, rupa-rupanya mereka mengamalkan makan daun salam sebagai ulam harian mereka,” katanya kepada BH, baru-baru ini.
Belum ada kajian

Justeru, kumpulannya menjalankan penyelidikan secara saintifik selepas mendapati belum ada lagi kajian terhadap daun itu dilakukan bagi menentukan keberkesanannya dalam bidang perubatan.

Kajian saintifik yang dijalankan terhadap dua spesies tikus, Wistar Kyoto (WKY) dan Spontaneously Hypertensive (SHR) mendapati ekstrak daun serai kayu mampu menurunkan tahap tekanan darah haiwan itu.

“Kita menggunakan dua kaedah iaitu menyuntik cecair dari ekstrak daun serai kayu ke salur darah kedua jenis tikus berkenaan dan memberi makan ekstrak daun itu selama sebulan.

“Hasilnya, sebaik cecair ekstrak daun salam disuntik dalam saluran darah, tahap tekanan darah tikus SHR yang sememangnya secara genetik mempunyai darah tinggi menurun sehingga 30 peratus, manakala tikus WKY yang juga tikus berdarah normal, tahap tekanan darahnya tetap normal,” katanya.

Terbukti bantu turunkan darah tinggi

Menerusi kaedah kedua, katanya, pihaknya menggunakan cara memberi makan ekstrak daun salam kepada kedua jenis tikus itu selama sebulan dan mendapati ia turut membantu menurunkan darah tinggi.

Lebih menakjubkan, ia tidak langsung menurunkan darah tikus WKY yang berdarah normal.

“Tujuan menggunakan kaedah kedua adalah bagi meniru kesan pesakit darah tinggi yang makan ulam daun salam setiap hari. Daripada kajian ini, kita dapati daun salam tidak memudaratkan mereka yang mempunyai tekanan darah normal kerana pengambilannya tidak menurunkan darah,” katanya.

Kajian itu juga mendapati daun serai kayu mengandungi asid galik (gallic), asid oleik, asid linoleik dan seselin, yang berfungsi menurunkan tekanan darah.

“Kita juga menjalankan kajian toksikologi dan hasil penyelidikan mendapati bahan aktif dalam daun itu tiada kesan berbahaya jika diambil melebihi dos dicadangkan,” katanya.

Ketika ini, pihaknya bercadang menjalankan kajian lanjut bagi mengasingkan bahan aktif dalam daun salam itu dan bercadang untuk mempatenkan hasil kajian seperti peringkat kajian terhadap manusia dijalankan tidak lama lagi.

“Kita berharap dapat menghasilkan produk suplemen bagi membantu golongan penghidap darah tinggi. Ia boleh menghasilkan ubat daripada serai kayu dengan formulasi yang betul bagi penghidap penyakit darah tinggi,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Cabaran hidup berkeluarga

Posted by epondok di September 28, 2014

INI adalah dua contoh yang ekstrim. Dalam kebanyakan masa, kita semua dibesarkan dalam sebuah kehidupan yang sederhana. Dalam kehidupan yang serba sederhana, kita tidak pernah terlupa bersyukur kepada Allah SWT dengan apa yang telah dikurniakan dan kita tidak pernah berhenti berdoa kepada-Nya supaya Dia terus memberkati kehidupan kita dengan anugerah kebahagiaan dan kesejahteraan.

Sebenarnya, apa yang kita impikan ialah sebuah kehidupan yang mawaddah warahmah dan sakinah. Sebagai manusia, sikap suka membanding-bandingkan kehidupan kita dengan orang lain adalah perkara biasa. Namun, perbandingan hanya bertujuan untuk menyerlahkan sikap suka bersaing dan keinginan kepada yang lebih baik tanpa melupakan hakikat bahawa segala sesuatu yang diingini atau dihajati itu hanya boleh menjadi kenyataan dengan izin-Nya. Jika Allah SWT tidak mengizinkan ia tidak akan berlaku.

Dalam kebahagiaan yang kita kecapi ini, hanya Allah SWT yang tahu apakah dugaan yang bakal tiba kepada kita. Seorang sahabat saya kehilangan dua daripada empat orang anaknya serentak dalam satu kemalangan jalan raya. Ketika kejadian itu, saya percaya sebagai manusia biasa, dia juga tertanya apakah hikmah di sebalik dugaan itu?

Apabila anak sulungnya berkahwin, Allah SWT takdirkan dia mendapat sepasang cucu kembar seiras. Siapalah yang akan dapat menjangka, jika Allah ambil sesuatu daripada kita, Allah SWT akan kembalikan dalam bentuk yang lain kerana daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali.

Hidup ini penuh cabaran dan kekuatan seseorang itu ialah kekuatannya menerima dugaan Allah SWT dengan bersabar dan bersyukur kerana pada ketika kita diduga, kita tidak akan dapat merasa hikmahnya sehingga kita mendapat hikmah tersebut.

Lantaran itu, seorang Islam itu perlu yakin kepada ketentuan Allah SWT. Kita yakin dan beriman kepada Allah, Pencipta alam semesta, Allah yang Esa. Kita sentiasa berusaha memperbaiki diri dan keluarga supaya berada di dalam keberkatan-Nya sentiasa. Tiada siapa yang boleh mengubah hidup kita selain diri kita sendiri berusaha mengubahnya dan berdoa kepada-Nya supaya usaha kita beroleh kejayaan. Jika sudah ada usaha selainnya adalah hak-Nya.

Kehidupan kita ini penuh dengan cabaran. Tiada seorang manusia pun yang dalam kehidupannya tidak diduga atau melalui cabaran dalam kehidupan, walau bagaimana kaya atau berilmu pun mereka. Dugaan Allah SWT datang dalam pelbagai bentuk. Tabiat manusia, apabila berada dalam kemewahan dan kesenangan, mereka jarang mengingati-Nya. Apabila jarang mengingati Allah SWT, maka hati akan keras. Ia akan sering melakukan kemungkaran kerana ia senang dihasut syaitan.

Mengingati Allah SWT bukan sahaja melalui solat, ia adalah tiang segala amalan. Mengingati-Nya melalui solat adalah kewajipan namun mengingati Allah dalam semua urusan kehidupan dan sentiasa mensyukuri segala anugerah-Nya.

Setiap orang tanpa mengira kedudukan akan melalui cabaran daripada Allah SWT dalam bentuk yang berbeza. Setiap dugaan Allah SWT datang dengan hikmahnya yang tersendiri dan kekuatan seseorang yang diduga ialah sejauh mana ia bersabar dan bersyukur dengan ketentuan-Nya.

Kes 1

A dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana mewah. Dari kecil dia sudah ada pembantu rumah mengurus dirinya dan keperluan asasnya kerana ibu bapanya sibuk bekerja. Begitu pun, ibu bapanya masih ada masa untuknya dan dia dimewahkan dengan kebendaan dunia. Allah menyayanginya kerana ibu bapa mencarikan guru agama untuk dia belajar agama di rumah. Apabila dia bersekolah dan mula bercampur dengan lebih ramai orang, dia mula terpengaruh terutama dengan rakan sebaya yang sama mewah dan kurang didikan agama. A mula berjinak dengan rokok, dadah dan arak serta berfoya-foya.

Daripada segi akademik, A tetap cemerlang kerana dia memang pandai, ditambah dengan kehadiran guru tuisyen di rumah setiap hari. Nasibnya lebih baik kerana dihantar belajar ke luar negara. Lantas di luar negara dia terus hanyut tetapi dia masih berjaya dalam pelajarannya. Ibu bapa masih merasa amat berbangga dengan A.

Dalam kes A pendidikan agama asas yang diterimanya daripada guru agama menyebabkan timbul rasa bersalah A apabila dia melakukan perkara keji yang dilarang Allah SWT. Namun, A tiada kekuatan keimanan kerana keimanan itu lahir daripada keupayaan A mengenal Allah serta dikuatkan dengan solat dan amalan-amalan wajib dan sunat sepanjang hari.

Naluri keislaman A akan sentiasa membuat dia rasa bersalah dan terganggu, namun hasutan syaitan tetap dapat melemahkan naluri Islamnya kerana A tidak memupuk keimanannya itu. A juga tidak pernah sujud bersyukur kepada-Nya setiap kali dia mendapat keputusan peperiksaan yang baik dan dikelilingi kemewahan hidup.

Akhirnya, A pulang ke Malaysia, menjawat jawatan tinggi, bertemu jodoh dengan gadis pilihan yang sekufu. Di alam rumah tangga dan perkahwinan, A mula mendapat dugaan Allah SWT. Dia tahu akan tanggungjawab terhadap isteri dan anak. Dia mahu anaknya hidup bahagia, selamat dan tidak tersasar.

Dalam kes A, dugaan paling hebat ialah apabila isterinya ingin hidup bebas sama seperti sebelum berkahwin seperti, bertemu kawan-kawan, sesuka hati balik ke rumah ibu bapa tanpa meminta izin suami. A mula mencari pandangan, ingin tahu hukum tentang perkahwinan dan itulah cabaran hidup paling hebat yang pernah A alami. Dia tidak pernah menyangka wanita yang dicintai dan nikahi itu, mahu hidup bebas dan sebagai suami dia merasa cemburu isteri keluar dengan lelaki lain, sedangkan dia (A) adalah suaminya.

A tidak keharuan kerana selepas enam bulan berkahwin isteri memohon untuk diceraikan kerana tidak betah hidup dibelenggu perkahwinan. Dugaan hebat ini menyebabkan A tidak dapat memberi tumpuan kepada pekerjaan. Bagaimana A hendak menghadapi cabaran ini? Jika dia memilih hasutan syaitan, dia akan mengambil dadah dan minum arak. Namun jika dia ada kekuatan keimanan, dia akan bersolat hajat dan bermunajat memohon kepada Allah SWT petunjuk agar dapat membuat keputusan yang baik.

Kes 2

B datang daripada keluarga yang susah. Ibu bapanya petani dan dia mempunyai adik-beradik yang ramai. Sebagai anak sulung, dia hampir terpaksa berhenti sekolah kerana ingin memberi laluan kepada adik-adik. Dia anak yang pandai dan B juga sentiasa mendapat keputusan cemerlang.

Daripada sudut agama B diajar sendiri oleh ibu bapa di rumah. Dia sering menjadi imam di rumah, apabila ayahnya ke masjid. Dia bekerja sambilan di sebelah petang untuk menambah pendapatan keluarga. Akhirnya dia ke universiti. Di universiti, cabaran B ialah dia perlu bekerja untuk terus belajar, walaupun dia mendapat biasiswa kerana wang itu perlu dihantar ke kampung untuk bantu ibu bapa.

Dia telah mula bertanggungjawab walaupun dia belum bekerja. Dia sentiasa ingat bahawa Allah telah menentukan segalanya, namun dia bertekad menukar kehidupannya daripada susah kepada senang. Dia mahu ibu bapanya merasa hidup mewah. Dalam kesibukan belajar dan bekerja dia juga sering tertinggal solat kerana keletihan.

Hati kecilnya sering berbisik kenapa Allah SWT melahirkannya miskin dan susah. Jarang sekali dia bersyukur bahawa dengan takdir Allah lah dia dapat belajar dan berjaya dan masih boleh bekerja. Takdir Allah tidak berhenti di situ. Di IPT, B jatuh cinta dengan seorang gadis dari keturunan bangsawan. Tentulah pipit tidak layak terbang bersama helang. Cintanya tidak kesampaian kerana ibu bapa gadis itu menolaknya sebagai calon menantu sebelum dia masuk meminang pun.

B tambah tertekan. Rasa benci kepada orang berada sangat tinggi sedang dia juga berusaha mahu menjadi kaya dan senang. Kebencian itu adalah pemangkin untuk dia berusaha kuat sehingga dia menjadi seorang yang berjaya dan kaya. Dia dihormati dan disanjung. Dia beri segala kemewahan itu kepada ibu bapa dan adik-beradiknya. Dia berkahwin dan apabila mendapat anak, dia tidak mahu anaknya merasa susah sedikit pun seperti yang pernah dilalui.

B membenci dan cemburu dengan orang yang lebih kaya daripadanya dan dia juga membenci kemiskinan. Akhirnya dia hidup serba tidak kena kerana dia terlupa bersyukur kepada Allah SWT.

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Islam bukan agama perkauman

Posted by epondok di September 27, 2014

Sidek Baba

 

ISLAM bukan agama kaum. Ia adalah agama rahmah. Rahmah alamiah merentasi batas kaum. Aqidah tauhid menjadi penghubung manusia dengan Pencipta.

Dalam Surah al Hujurat ALLAH memberi pengiktirafan bahawa yang terbaik bagi manusia bukan kaum, pangkat dan kedudukan. Karamah insaniah terletak pada takwa.

Maksud takwa adalah merentasi. Ia tidak terbatas kepada kaum Arab atau Melayu saja. Orang-orang Cina dan India yang Islam memiliki takwa menjadi orang yang terbaik di sisi ALLAH.

Inilah universaliti Islam. Rasulullah SAW dekat dengan kaum Quraisy bila mereka beriman. Orang Melayu dekat dengan Islam dengan harapan mereka adalah orang-orang beriman.

Orang Cina dan India kembali kepada agama fitrah ini mulianya di sisi ALLAH kerana ketakwaannya. Ia adalah barometer atau ukuran terhadap seseorang manusia di sini Tuhannya.

Islam berada di negara Arab sejak abad yang ketujuh lagi. Penganut agama hanif (mengEsakan ALLAH) lahir sejak Nabi Adam sehingga nabi-nabi yang lain. Islam datang ke China sejak abad ke-8. Ia lebih awal Islam datang ke dunia Melayu.

Di China dan India orang Islam jauh lebih ramai berbanding dengan orang Melayu di Malaysia. Orang Melayu ada latar Hindu dan Buddha sebelum menerima Islam. Di India pemerintahan Islam pernah lahir. Di Eropah hari ini ramai dalam kalangan orang-orang Barat sudah menerima Islam.

Penerimaan orang Melayu kepada Islam berlaku dalam tahap-tahap yang tersendiri. Ada yang mewarisi Islam dari keturunan. Semakin ramai yang menerima Islam secara ilmu dan memahami apa itu Islam. Dakwah hari ini semakin berkembang tidak saja sebagai Suatu Sistem Kepercayaan tetapi juga Sebagai cara Hidup.

Memang dalam Islam amat dipentingkan watak Islami dan contoh teladan yang menjadi sumber ikutan. Kalau kelemahan itu ada pada orang Melayu, salahnya bukan Islam.

Islam mengajar orang Melayu supaya memiliki kualiti hidup yang tinggi. Banyak ilmu, rajin bekerja, menepati waktu, mempunyai disiplin yang tinggi dan seumpamanya. Kelemahan yang ada pada orang Melayu bukanlah kelemahan Islam tetapi kelemahan individu itu sendiri.

Seperti juga kelemahan orang Cina dan India Muslim bukanlah gambaran agama dianuti tetapi ia kelemahan individu itu juga.

Orang Melayu yang ikut ajaran Islam adalah orang Melayu yang boleh menjadi contoh. Bayangkan orang Melayu yang berilmu, profesional dan amat mementingkan hidup yang berasaskan syariah umpamanya adalah orang Melayu yang tahu dosa-pahala dan makruf-mungkar.

Jika ini terjadi mereka adalah contoh ikutan kepada orang lain. Hal yang sama sekiranya terdapat orang Cina dan India Islam mempunyai jiwa takwa yang tinggi titik persamaannya dengan orang Melayu Islam aqidah yang sama, ikut syariah yang serupa dan tidak menolak faktor budaya tidak bercanggah dengan Islam.

Kesatuan dan perpaduan sebenar umat manusia akan hanya berlaku apabila aqidah yang sama terbina, syariah yang serupa dipatuhi, dan terbuka kepada perbezaan yang ada dan patuh kepada adabul ikhtilaf atau etika untuk berbeza dan melihat perbezaan dalam konteks rahmah.

Inilah sebenarnya matlamat Islam dan proses pengislaman. Faktor bangsa seperti terungkap dalam Surah al Hujurat ayat 13 ialah melalui proses litaarrafu iaitu kekenalan, kesalingan dan saling melengkapi. Yang terbaik dalam kalangan mereka ialah orang yang berjiwa muttaqeen.

Orang muttaqeen ialah orang yang menerima landasan tauhid mengEsakan ALLAH. Landasan ini menjadi faktor pemersatu. Kesatuan aqidah membentuk kesatuan hati dan fikir dan juga kesatuan amal. Itulah Islam

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kem Cuti Sekolah/IPT Sesi 2 di Pondok Tunjung, Kota Bharu

Posted by epondok di September 26, 2014

Istimewa Musim Cuti Sekolah/IPT

Sesi Kedua

Tarikh : 15-24 Disember 2014

Tarikh Tutup Daftar :

Bila Cukup Bilangan Yang diTetapkan

(Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms)

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar lelaki dan perempuan berumur 11 – 24 tahun (terhad 100 orang sahaja)
  • RM 250 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

Tarikh & Masa Lapor Diri (setelah sah daftar melalui email atau sms)

a. Sesi Kedua : 15 Disember 2014 (Isnin) jam 2.30 – 3.15 ptg

 

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan
  • Kitab Pelita Penuntut
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Pengajian Fardhu ain
  • Program berkumpulan
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
  • Latihan khutbah dan azan
  • Cungkil bakat nasyid, ceramah, marhaban
  • Sukan

Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian (wajib jubah dan tudung labuh bagi perempuan) & pakaian solat (wajib jubah dan serban bagi lelaki), bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: 09-7126708 (P) / Tuan Hj Mohamad Daud 0199815656 / Us Nasharudin 0199859887

Facebook : epondok

Blog : epondok.wordpress.com

Posted in Program Terbaru | 1 Comment »

Rebut Fadhilat Zulhijjah

Posted by epondok di September 26, 2014

BULAN Zulhijjah itu terkandung dalam empat bulan-bulan yang haramkan ustaz? Pun begitu pada bulan ini, terutamanya Zulhijjah ibadah yang dilakukan pada hari-hari itu memiliki kelebihan tertentu di sisi Allah SWT. Tolong ustaz jelaskan?

JAWAPAN:

PADA saat ini kita tengah berada di penghujung bulan Zulkaedah. Beberapa hari lagi akan masuk ke bulan Zulhijjah. Mungkin tidak ramai daripada kalangan kita yang menyedari kelebihan bulan Zulhijjah, terutama 10 hari yang pertama.

Oleh itu, ada baiknya saya membincangkan kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah pada kesempatan kali ini.

Perkara pertama yang mesti kita sedari, bulan Zulhijjah adalah salah satu dari bulan-bulan haram. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan dalam ketetapan Allah apabila menciptakan langit dan bumi. Di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu. (al-Taubah: 36)

Empat bulan haram itu adalah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Sejak zaman Jahiliah, bangsa Arab mengharamkan berperang pada bulan-bulan haram ini. Hukum ini juga berlaku pada awal Islam, namun kemudian hukum itu dimansuhkan. Allah SWT mengizinkan kaum Muslimin membela diri atau menyerang musuh pada bila-bila masa meski pada bulan-bulan haram sekalipun.

Meskipun begitu, empat bulan haram ini tetap memiliki keistimewaan berbanding bulan-bulan yang lain, iaitu pahala dan dosa yang dilakukan pada bulan-bulan ini akan digandakan balasannya. Demikian penjelasan Imam Al-Baihaqi dalam kitab Syu’ab Al-Iman.

Pahala

Kemuncak bulan-bulan haram adalah Zulhijjah. Kemuncak Zulhijjah terdapat pada 10 harinya yang pertama. Ibadah yang dilakukan pada hari-hari itu memiliki kelebihan tertentu di sisi Allah SWT.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada hari-hari di mana amal saleh padanya yang lebih Allah cintai daripada (amalan yang dilakukan) pada hari-hari ini, yakni 10 hari pertama bulan Zulhijjah.”

Seorang sahabat bertanya: “Tidak juga jihad di jalan Allah?”

Rasulullah SAW menjawab: “Tidak juga jihad di jalan Allah. Kecuali seseorang yang keluar dengan jiwa dan hartanya lalu tidak kembali lagi.”

Menurut Ibnu Rajab Al-Hanbali, hadis ini menjadi dalil bahawa sebuah amalan kecil yang dilakukan pada saat-saat tertentu boleh menjadi lebih baik daripada amalan besar yang dilakukan pada saat-saat yang lain.

Ibadah solat, puasa dan zikir yang kita lakukan pada 10 hari awal Zulhijjah ini pahalanya boleh melebihi amalan jihad yang dilakukan pada hari-hari yang lain.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Besarnya kuasa istighfar

Posted by epondok di September 24, 2014

ISLAM sebuah agama yang penuh dengan kasih sayang dan kebahagiaan. Sesiapa sahaja berpeluang untuk memperbaiki diri dan memperoleh kedudukan yang mulia di sisi Islam. Syaratnya mudah iaitu dengan bertakwa dan beramal soleh kerana Allah SWT.

Sudah menjadi lumrah manusia, sering melakukan salah dan dosa. Tidak ada insan yang bebas daripada sebarang dosa iaitu maksum, melainkan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

Begitu pun, agama Islam sering kali memberikan peluang kepada hamba-hamba-Nya untuk bertaubat dan menjadi manusia yang lebih baik. Sebanyak mana dosa yang pernah dilakukan, pintu keampunan itu sentiasa ada. Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mintalah ampun kepada Tuhanmu, kemudian kembalilah bertaubat kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku Maka Penyayang Maha Pengasih. (Hud: 90)

Perkataan ampun diulang lebih 50 kali di dalam al-Quran dan menunjukkan betapa penting dan besarnya nilai keampunan di sisi Allah SWT. Hanya Dia yang mampu mengampunkan dosa-dosa kita yang begitu banyak dan membebaskan kita daripada azab api neraka di akhirat nanti.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan yang keji atau menganiaya dirinya sendiri (melakukan dosa), mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa mereka melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya). (Ali Imrah: 135)

Begitu juga firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 106 yang bermaksud: Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Menghapuskan dosa

Memohon keampunan di dalam Islam cukup mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Tidak ada ritual-ritual tertentu yang perlu dilakukan untuk menghapuskan dosa-dosa silam. Cara memohon ampun kepada Allah telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dan menjadi kewajipan kepada kita semua untuk ittiba’ (mengikuti) apa yang telah diajarkan olehnya sebagai jalan untuk beribadah kepada Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Allah, Aku beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya lebih 70 kali dalam sehari. (riwayat al-Bukhari)

Di dalam riwayat Imam Muslim disebutkan bahawa Nabi melakukannya sebanyak 100 kali sehari.

Sungguh mengagumkan bagi orang yang berfikir. Nabi Muhammad yang maksum (bebas daripada dosa) dan telah dijamin syurga sendiri beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengajar kepada kita bahawa amalan itu begitu penting dan besar kedudukannya di sisi Allah SWT sehingga baginda SAW melaziminya sepanjang hari.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, para sahabat Nabi SAW pernah melihat baginda duduk dan beristighfar sebanyak 100 kali. Nabi SAW membaca: Rabbighfirli wa tubb ‘alayya innaka antattawwaburrahim.

Istighfar terbaik

Antara bacaan istighfar yang juga pernah dibacakan oleh Rasulullah SAW ialah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a: Astaghfirullahal ‘aziim allazi la ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atuubu ilaih. (riwayat Abu Daud)

Istighfar yang paling baik disebut sebagai Sayyidul Istigfar yang bermaksud penghulu segala istighfar sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi SAW: Sayyidul Istighfar ialah siapa yang menyebutkan ‘Allahumma Anta Rabbi la ilaha illa Anta khalaqtani wa ana ‘abduka wa ana ‘ala ‘ahdika wa wa’dika mastato’tu, aa’uzubika min sharri ma sona’tu, abuu’ulaka bini’matika ‘alayya wa abuu’u bizanbi, faghfirli fainnahu la yaghfiruzzunuba illa anta (Ya Allah ya Tuhanku, engkaulah Rabbku. Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menciptakanku. Aku adalah hamba-Mu. Aku akan setia pada perjanjianku dengan-Mu semampuku. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan yang aku lakukan. Aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku. Oleh itu ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau. (iwayat al-Bukhari)

Itulah antara lafaz istighfar yang diajarkan oleh Nabi SAW kita. Kesemuanya mengandungi nilai akidah dan berserah diri yang mendalam. Semoga kita dapat beramal dengannya.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Islam agama fikir dan zikir

Posted by epondok di September 24, 2014

Sidek Baba

 

ISLAM adalah agama yang mengajak manusia berfikir. Akal yang ALLAH kurniakan membolehkan manusia berfikir. Tetapi upaya berfikir manusia adalah terbatas dan tidak segala-gala. Ia harus dipandu dengan zikir (hubung-ingat dengan ALLAH) supaya faktor yang nyata dan ghaib terjalin.

Al-Quran dalam konteks fikir bertanya afalaya’ qilun – tidakkah kamu menggunakan akal. Afalaya tafaqqrun – tidakkah kamu berfikir secara mendalam – afala yatadabbarun – tidakkah kamu mengkji dan menyelidik.

Dengan pedoman zikir manusia dapat melakukan tautan zahiri dan batini supaya terbina keyakinan bahawa ALLAH Maha Mencipta dan manusia melakukan pemikiran dan kajian supaya hikmah penciptaan dirasai. Ia membina iman dan takwa.

Berfikir secara akliah semata-mata tidak memadai. Orang Barat hari ini meletakkan asas rasional (berfikir) sebagai segala-gala dan dianggap sebagai puncak bagi menyatakan kebenaran.

Sedangkan yang diketahui oleh manusia tentang alam ini masih terbatas. Kemampuan akal fikir manusia meneroka alam dekat seperti bulan dan Marikh masih terbatas. Ia menjadi lebih terbatas bila terdapat berbilion galaksi yang masih belum dikaji.

Al-Quran memberi pedoman bahawa di luar mampu manusia mengkaji rahsia alam ini tanpa alat. Kekuatan alat adalah penting di samping mengakui hakikat bahawa yang dikaji ini adalah milik ALLAH dan di bawah pengurusan ALLAH. Tanpa reda-Nya manusia tidak akan sampai memahami penciptaan dan hakikat penciptaan.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menyatakan asbab atau sebab-musabab alam ini diciptakan. Meneliti sebab-musabab ini membimbing manusia mengakui hakikat keTuhanan sebagai Pencipta dan Pengurus alam ini.

Asas tauhid ini sangat penting diketahui kerana ALLAH itu SATU dan mencipta alam dalam satu kesatuan. Langit dan bumi tidak terpisah dengan kuasa ALLAH. Rahmah dan nikmah yang ALLAH kurniakan tidak terputus dengan reda ALLAH. Hidup dan mati manusia terkait erat dengan takdir ALLAH.

Malah ilmu yang dikembangkan juga terkait dengan ALLAH. Roh yang ALLAH ciptakan dalam diri manusia menyebabkan akal berfikir, hati berasa dan daya bergerak. Tanpa roh yang menjadi milik ALLAH menyebabkan manusia mati.

Dengan kuasa ALLAH manusia dijadikan berpasang-pasang membolehkan pernikahan terjadi dan keluarga terbina. Anak-anak yang terdidik dengan ilmu ALLAH menjadikan mereka generasi soleh dan solehah.

Ia menghasilkan masyarakat dan negara dan sistem terjadi berlandaskan ketaatan kepada ALLAH dan hikmah ketaatan itu menjadikan sistem berjalan dengan baik. Itulah pedoman ALLAH dan ajaran al-Quran supaya manusia berasakan bahawa dia adalah hamba-Nya di mana rasa ketaatan, ketundukan, kepatuhan dan keakuran terjadi.

Tautan diri dengan ALLAH adalah sesuatu yang amat penting bagi manusia kerana sifat-sifat ALLAH meraikan semua perkara yang diperlukan oleh manusia. Sifat Rahman dan Rahim ALLAH umpamanya memberi manusia petunjuk dan keampunan.

Tanpa Rahman dan Rahim ALLAH sumber rezeki tidak akan ada, rasa kebahagiaan tidak akan terdapat, kehidupan yang sihat tidak akan berlaku, pengajaran dan pembelajaran tidak terjadi dan dosa dan pahala tidak dapat dibezakan.

Tingginya kekuasaan ALLAH menjadikan hambanya berjiwa ruku dan sujud. Hebatnya pengurusan ALLAH menyebabkan kehidupan terjadi dan perputaran siang dan malam berlaku.

Inilah hakikat yang perlu diakui oleh manusia yang kerdil supaya tidak wujud kesombongan kepada Pencipta dan menyebabkan kezaliman kepada diri dan kehidupan terjadi.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

10 Penyakit hati dan jiwa serta rawatannya

Posted by epondok di September 23, 2014

Oleh DR. MUHAYA MOHAMAD

Kuatnya sebatang pokok bergantung kepada akar tunjangnya. Jika akar tunjangnya kuat, walaupun dipukul ribut taufan, pokok tidak mudah tumbang. Demikianlah kekuatan fizikal m
anusia bergantung kepada hati. Jika hati kita kuat, walaupun sehebat mana cabaran dan dugaan yang dihadapi, kita tidak mudah rebah dan patah semangat.

Bahkan baik atau buruk perangai manusia itu bergantung kepada hatinya. Sebagai mana hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya, tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotorlah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan itu ialah hati”.

 

Sebab itulah jika kita hendak berubah atau tidak, daripada amalan hidup negatif kepada positif, bergantung kepada hati. Kita tidak akan nampak diri kita salah, jika hati kita masih belum terbuka atau ‘buta mata hati’. Kesedaran untuk membuat perubahan diri akan timbul apabila hati kita bersih. Iaitu bersih daripada 10 penyakit hati dan jiwa yang menyerlahkan perasaan negatif dalam diri kita.

Pertama, ujub. Iaitu perasaan kagum terhadap diri sendiri. Berasa diri kita terlalu baik dan hebat berbanding orang lain. Ubatlah penyakit hati ini dengan menjadi pemerhati kepada diri sendiri, dengan bermuhasabah mencari kekurangan dalam usaha menambah ketakwaan.

Elakkan daripada menjadi pemerhati orang lain dengan tujuan untuk menilai, menghukum dan membuat perbandingan antara amalan orang lain dengan diri sendiri. Ikhlaskan diri dalam segala amalan kerana Allah, dan jangan mengharapkan penghargaan manusia. Dunia dalaman kita menentukan dunia luaran kita. Jangan malu kepada manusia, tetapi malulah kepada Allah, serta hentikan sebut perkataan, “apa orang kata.”

Kedua, perasaan sombong iaitu tinggi hati, angkuh, riak dan bongkak. Berasa segala kejayaan kita adalah kerana kehebatan kita, hingga melupakan kuasa Allah Yang Tinggi. Berani melakukan dosa dan meninggalkan suruhan-Nya. Menurut Al-Bukhari, “orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan santai dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangannya. Adapun orang Mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan dia duduk di bawah kaki gunung yang akan menghempapnya.”

Menghargai

Ketiga, perasaan iri hati dan dengki. Iaitu tidak boleh melihat orang lain lebih daripadanya, sentiasa hendak bersaing, tidak bersyukur dan sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang kita telah ada, tetapi sibuk mempersoalkan apa yang kita belum ada.

Orang yang menjaga kebersihan hatinya, setiap hari akan lihat apa yang difokuskannya? Kesyukuran atau kesukaran? Apa yang kita fokuskan akan menentukan kualiti hidup kita. Marilah menjaga hati kita daripada penyakit dengki. Selalunya orang akan mengata atau mengumpat orang yang mereka dengki.

Keempat, bersangka buruk. Orang yang bersih hatinya akan hidup dengan penuh ikhlas dan memperbanyak kasih sayang kepada dirinya dan orang lain. Membuang semua perasaan negatif dan tidak sekali-kali berfikir negatif tentang sesiapa. Sibuk memperbaiki diri sendiri sehingga tidak nampak keburukan orang lain.

Kelima, perasaan ego. Orang yang ego sebenarnya ada perasaan rendah diri yang tersembunyi dalam dirinya. Oleh itu bina keyakinan diri dengan mencari reda Allah SWT, supaya dapat menghilangkan rasa ego dan sombong. Sibukkan diri menghargai, bukan mencari penghargaan. Manusia yang paling tenang bebas daripada penghargaan manusia, hanya kasih Allah yang dicari. Lebih baik kita dianggap bodoh tetapi benar, daripada dianggap cerdik tetapi berbohong.

Keenam, perasaan marah. Orang yang hebat bukanlah orang yang dapat membandingkan diri dengan kekuatan. Orang yang hebat ialah orang yang mampu mengendalikan nafsu marahnya ketika marah.

Ketujuh, perasaan takut dan risau. Lebih takut dan risau kepada peraturan manusia daripada hukum Allah. Risau dengan dunia ialah kegelapan hati dan risau dengan akhirat ialah cahaya bagi hati. Banyak orang yang tersalah jalan tetapi berasa tenang kerana banyak teman yang sama-sama salah, dengan mengikut jalan yang sama. Beranilah untuk menjadi benar walaupun kita bersendirian mengikut jalan yang lain. Jangan mengharap dunia berubah sebelum kita berubah.

Kelapan, perasaan dendam. Dendam yang berpanjangan akan menjadi racun yang menjejaskan secara perlahan-lahan kesihatan diri kita. Sabar, reda dan maafkan semua kesalahan orang, itulah jalan keluar daripada penyakit hati dendam. Sabar itu pahit tetapi buahnya manis.

Kesembilan, bakhil dan kikir. Salah satu kunci syurga ialah murah hati dan baik budi. Sikap pemurah hati meluaskan rezeki, memanjangkan silaturahim dan menghindarkan musibah.

Kesepuluh, terlalu mengikut perasaan. Segala tindakan tidak berlandaskan fikiran. Dalam tubuh manusia ada sel aktivasi, otak yang mempengaruhi emosi kita dan apa yang kita lihat. Apa yang kita lihat dan dengar semua masuk pada mata kita. Sebenarnya apa yang kita lihat bukan hanya dengan mata, tetapi kita melihat melalui mata dengan hati dan otak.

Sebab itulah dalam Jurnal Senyumlah Wahai Hati, terbitan As-Sohwah, disarankan rawatan hati mesti melalui lima perkara. Iaitu mengawal apa yang kita dengar melalui telinga, mengawal apa yang kita fikirkan melalui minda, mengawal apa yang kita perkatakan melalui mulut dan lidah, dan mengawal apa yang kita pandang melalui mata.

Akhirnya jurnal ini membimbing kita mengawal apa yang kita lakukan dalam kehidupan sehari melalui persekitaran (sama ada di tempat kerja, tempat belajar, antara keluarga/jiran tetangga, dan ibadah). Dapatkan jurnal ini, kerana dengan mencatat setiap hari apa yang kita lakukan yang memberi kesan kepada hati kita selama 30 hari, insya-Allah kita dapat mendidik diri kita ke arah yang positif. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Islam agama ilmu dan fitrah

Posted by epondok di September 22, 2014

Sidek Baba

 

DEENUL Islam bukan sekadar agama ruhaniyyah, tetapi juga agama ilmu dan tamadun. Faktor ruhaniyyah amat penting pada diri manusia kerana ia membentuk watak dan amal. Tanpa roh diri manusia akan kosong dan tanpa binaan ruhaniah dalam diri jasmani tidak memberi makna apa-apa.

Faktor ruhaniyyah terhubung rapat dengan keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH. Kepercayaan kepada Pencipta yang Esa membina asas tauhid. Ketauhidanlah yang memberi kekuatan kepada manusia meyakini bahawa ALLAH itu Maha Perkasa dan Maha Segala.

Al-Quran yang ditanzilkan kepada Nabi Muhammad SAW membawa risalah pedoman dan petunjuk memahami hubungan yang nyata dengan yang ghaib. Memerhatikan alam ini secara zahiri sahaja tidak memberi makna apa-apa kepada manusia. Menghubungkan hikmah kejadian sesuatu dengan Pencipta menjadikan manusia bertambah yakin mengenai kekuasaan ALLAH dan kekerdilan insan.

Lebuh raya yang kita lalui ada kawalannya tersendiri. Papan tanda, pedoman arah, had laju adalah antara jenis kawalan yang ada supaya penggunanya ikut arahan dan pedoman. Tetapi kemalangan dan kesesakan tetap berlaku. Ia di luar kawalan manusia untuk menentukannya.

Sebaliknya kalau kita mendongak ke langit betapa banyak cakerawala yang berputar, bintang yang berlegar, galaksi yang beredar tetap berada di landasannya tanpa berlaku kemalangan atau kesesakan kalau tidak dengan takdirNya. Ia membawa manusia berfikir betapa besar kuasa Pencipta mengaturkan alam ini di bawah SunnahNya.

ALLAH ciptakan bumi dengan segala sumbernya untuk rahmat dan nikmat manusia. Manusia tidak boleh melakukan penciptaan dari tiada kepada ada. Manusia hanya boleh melakukan penggubahan, kreativiti dan rekaan dari yang sudah sedia ada.

Ilmu dalam Islam ibarat cahaya. Ilmu akliah dari sumber pemikiran tidak memahami sesuatu apalagi memahami yang ghaib. Ilmu naqliah (al-Quran) ditanzilkan supaya manusia mempunyai pedoman memahami yang nyata dengan ghaib. Asas ini yang membentuk fikrah dan tasawwur.

Ilmuwan silam melakukan integrasi ilmu naqliah dan aqliah sehingga menghasilkan epistemologi (teori ilmu) yang tidak sahaja dapat menghubungkan faktor maujud (nyata), tetapi juga faktor wujud (walaupun ghaib).

Tasawwur (pandangan semesta) ini penting dibina supaya hubungan Pencipta dan hasil ciptaannya, dilihat sebagai rahmat dan nikmat. Jiwa tadabbur (mengkaji) yang tinggi amat dituntut supaya manusia menjadi ulul albab (orang-orang yang memahami).

Ulul albab memerlukan pedoman ilmu. Ilmu naqliah (al-Quran) memberi pedoman. Jiwa tadabbur mendorong manusia berfikir, mengkaji, melakukan kerja-kerja makmal, menghasilkan hipotesis dan akhirnya teori terhadap sesuatu ilmu.

Dalam Surah al Alaq ayat 1-5 dan dalam Surah al Mukminuun ayat 12-14, ALLAH menyebutkan dalam al-Quran mengenai makna alaqa dan nutfah. Asas kejaninan ini menjadi landasan terbinanya ilmu embriologi.

Ia dikaji dan diteliti dan didapati pedoman al-Quran itu adalah benar. Kebenaran ini yang mendorong Dr Maurice Buccaille dari Perancis kembali kepada fitrah apabila membandingkan al-Quran dan Bible juga sains moden.

Beliau mendapati sumber al-Quran itu adalah yang terbaik dan benar mengenai ilmu kejaninan (embriologi) dan kebenaran yang datang daripada ALLAH menjadi sumber ilmu dan ilmu itu apabila dikembangkan mengembalikan manusia kepada fitrah iaitu menjadikan al-Quran sebagai signs of the Creator atau petunjuk daripada ALLAH.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tingkat bekalan taqwa sebelum jadi tetamu Allah

Posted by epondok di September 21, 2014

Oleh Zamanuddin Jusoh

Haji adalah ibadat yang akan menguji kekuatan iman seorang hamba dalam mentaati Allah SWT.

Ia rukun kelima dalam Islam yang diletakkan selepas syahadah, solat, zakat dan puasa. Susunan terakhir yang diletakkan oleh Allah SWT bukanlah menunjukkan ia ibadat yang tidak penting. Sebenarnya, haji adalah kemuncak kepada ibadat lain bagi menentukan sejauh manakah ketaatan kita sebagai seorang hamba.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah rombongan Allah, jika mereka mendoakan sesuatu maka Allah akan memperkenankannya, dan jika mereka memohon ampun, akan diampunkan.” (Riwayat Ibnu Majah, Tabarani dan al-Baihaqi)

Mereka yang layak menunaikan ibadat haji adalah tetamu kepada Allah SWT yang telah dijemput oleh Allah SWT ke tempat paling suci di samping membenarkan seruan Nabi Ibrahim seperti dirakamkan dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan haji nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta, yang datang dari segenap penjuru yang jauh. Supaya mereka mempersaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berikanlah sebahagian yang lain untuk makanan bagi mereka yang sengsara dan orang fakir.” (Surah al-Hajj, ayat 27-28)

Persiapan diri

Persiapan menjelang ibadah haji dengan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, melakukan amalan wajib dan sunnah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Menunjukkan mereka yang akan melaksanakan ibadah haji sudah bersedia dengan kebersihan diri, harta, zahir dan batin.

Persediaan inilah yang menggusarkan bakal haji kerana beranggapan mereka belum cukup bersedia untuk menjadi tetamu Allah SWT sedangkan agama itu sangatlah mudah untuk dilaksanakan. Sebenarnya persediaan itu lebih cenderung kepada usaha mendekatkan diri dengan Allah SWT sekadar yang termampu.

Ketahuilah, setiap ibadah yang kita lakukan, sempurna atau tidak ibadatitu banyak tergantung kepada persiapan dan perbekalan. Oleh itu, bagi yang akan melaksanakan ibadah haji hendaklah bermuhasabah diri dengan bekalan takwa sehingga dapat meraih haji yang mabrur di sisi Allah SWT.

Haji juga dianggap suatu perjalanan suci umat Islam untuk membersihkandiri daripada segala dosa dan kemaksiatan. Ibadah haji akanmelengkapkan lagi peraturan hidup yang sedang berjalan. Jemaah haji mendapat kelebihan berbanding mereka yang belum menunaikan haji.

Hidup mereka akan kelihatan lebih mulia dan sempurna atau dengan kata lain, mereka yang telah menunaikan haji sudah lengkap proses pendidikan ke arah menjadi Muslim sejati. Pelajaran hidup bagi yang belum dijemput menunaikan haji adalah hasil pendidikan daripada sembahyang, puasa dan zakat sahaja.

Masih ada ruang kosong yang hanya dapat dipenuhi dengan cara menunaikan haji. Oleh itu, ibadah haji adalah puncak proses pentarbiahan seseorang seterusnya melengkapkan rukun Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Hukum-hakam di dalamnya juga dapat dicerna sebagai pemangkin kepada proses pendidikan jiwa seorang Muslim. Ini tidak bererti mereka yang belum menunaikan haji tidak sempurna imannya dan tidak diredai kerana kekuatan dan kemampuan melakukan haji terbatas kepada mereka yang berkemampuan sahaja.

Ibadat bukan trend Sering berlaku dalam kalangan ummah menjadikan ibadat haji dan umrah sekadar trend semata-mata, terikut- ikut dengan pengaruh persekitaran, berlumba-lumba mendapatkan gelaran dalam masyarakat tanpa mengambil kira matlamat sebenar ibadah bakal dilaksanakan.

Tidak kurang yang masih mencaricari hidayah dan seruan walaupun kemampuan sudah melebihi keperluan untuk menunaikan haji. Mereka yang layak menunaikan haji dan mengabaikannya, telah diingatkan bahawa mereka menempah kemurkaan daripada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak mahu mengerjakan haji, maka bolehlah dia memilih untuk mati secara Yahudi atau Nasrani.” (Riwayat Tirmizi)

Ibadah haji bukan hanya berkisar soal kekuatan dan kehebatan semata- mata, tetapi juga membabitkan soal disiplin serta kepatuhan. Kesukaran menjaga batas larangan Allah SWT menjadi sifat manusia. Maka ibadah haji bagi menunjukkan kepatuhan kepada Allah SWT serta kekuatan menjaga disiplin menunaikan ibadat.

Semangat yang dijelmakan dalam melakukan ibadah membabitkan fizikal melambangkan setiap kejayaan memerlukan usaha dan kerja keras untuk mencapainya. Konsep perpaduan memang menjadi agenda utama dalam haji kerana ia adalah asas kekuatan umat mendepani cabaran. Semua perilaku dalam haji dilakukan bersama sambil bertalbiah memuji kebesaran Allah SWT.

Umat Islam adalah umpama tubuh yang satu, maka perbezaan pendapat, kekayaan, kedudukan, tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka berpecah. Umat Islam yang kaya, miskin, alim, orang biasa, pemimpin dan rakyat semuanya bersatu dalam ibadat haji. Inilah nilai yang tersembunyi ketika berwukuf di Arafah setelah melakukan tawaf dan saie. Arafah juga ini akan menimbulkan sikap rahmah, kasih sayang sesama makhluk.

Ibadah haji umpama sebuah sekolah yang menebarkan jalan untuk mempelajari kaedah bagi menghadapi kehidupan dengan bekalan nilai tauhid, ibadah, usaha, silaturahim, siap menghadapi godaan dan kesiapan diri untuk berkorban.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »