Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Menghayati konsep Hijrah dalam kehidupan

Posted by epondok di November 16, 2012


Oleh Mohd Fadly Samsudin

pix_middle

Kita baru memasuki tahun baru Islam, 1434 hijrah. Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan sahabat lebih 1400 tahun dulu terpaksa ditempuhi dengan pelbagai cabaran.

Bukan tugas mudah memperjuangkan Islam ketika itu sehingga kemuliaan Islam mampu diangkat ke tahap tertinggi.

Maka, apakah yang perlu dilakukan umat Islam bagi menyambut tahun baru hijrah kali ini?

Perkara yang penting ialah setiap Muslim perlu menghitung diri serta memperbaharui azam untuk menjadi insan lebih baik dari sebelumnya.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah di akhirat kelak”. Hisablah diri sebagai persiapan untuk menentukan kejayaan pada masa akan datang.

Seperkara lagi ialah setiap kali berakhirnya setahun putaran hari dalam kehidupan kita ini memberi makna umur kita kian meningkat.

Seiring dengan peningkatan usia, sisa-sisa kehidupan kita di dunia ini juga semakin berkurang. Saidina Ali Abi Talib pernah berkata: “Sesiapa yang menghabiskan masa hariannya tanpa ada hak yang dilaksanakannya, tanpa ada kewajipan ditunaikan, tanpa ada kemuliaan dibinanya, tanpa kepujian yang diperoleh, tanpa ada kebajikan dilakukannya, tanpa ada ilmu dipetiknya, maka sesungguhnya dia sudah menderhakai masa hariannya itu.”

Hakikatnya, jika tidak ada keberanian dan usaha gigih untuk berubah, tiada siapa yang mampu ‘berhijrah’. Nabi Muhammad dan pengikutnya mencetuskan kecemerlangan hijrah yang akhirnya berjaya meletakkan Islam sebagai pencetus kepada kegemilangan manusia.

Peristiwa hijrah mengandungi pelbagai hikmah antaranya, Piagam Madinah yang mengandungi empat teras iaitu penyatuan seluruh umat Islam dari pelbagai suku dan kaum, bekerjasama walaupun berbeza latar sosial, tanggungjawab warga negara bagi mempertahankan tanah air mereka serta jaminan persamaan dan kebebasan setiap individu walaupun berbeza agama, budaya dan adat resam.

Penghijrahan juga perlu berlangsung beransur-ansur dengan harapan membuahkan hasil pada akhirnya. Paling penting, jaga ibadah kita kepada Allah, diikuti hubungan sesama manusia.

Jauhilah diri dari menimbulkan bibit-bibit perpecahan yang ternyata amat merugikan. Jangan sampai orang kafir terus mentertawakan kita, malah mengambil kesempatan merendahkan martabat Islam atas kelemahan yang kita sendiri ‘cipta’.

Perpaduan adalah asas paling utama bagi memakmurkan diri, masyarakat dan negara. Sejarah kemanusiaan menyaksikan jatuh bangunnya sesebuah bangsa bergantung kepada kekuatan rohani bukannya fizikal.

Penghijrahan Rasulullah juga membuahkan hasil apabila berjaya mengubah permusuhan kepada penyatuan, kejahilan kepada ilmu serta kemunduran kepada pelbagai limpahan kemajuan.

Penghijrahan Rasulullah menjadi pengajaran terbesar buat umat Islam supaya sentiasa bermuhasabah diri untuk meningkatkan amalan.

“Rukun Iman keenam iaitu percaya kepada Qada’ dan Qadar meyakini buruk dan baik dalam kehidupan ini adalah ketentuan Allah semata-mata.

“Namun, keyakinan itu bukanlah membawa seseorang Muslim hanya berserah semata-mata kepada ketentuan-Nya sehingga hilang usaha menjadi Muslim yang soleh atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, perubahan itu wajib dan tetap berlaku tanpa ada pilihan kepada manusia.

“Peningkatan usia dari muda ke tua tetap berlaku secara alami. Namun, perubahan pada akal dan budi menjadi ruang kepada usaha manusia untuk terus berada dalam kesopanan akhlak yang murni.

“Kita juga perlu sentiasa memanjatkan kesyukuran kerana menjadi warga di atas bumi yang bertuah ini. Pelbagai usaha dan perancangan dibentuk bagi melahirkan masyarakat dan negara yang harmoni.

Ia adalah semangat dan falsafah yang dibentuk hasil dari kefahaman hijrah yang ditonjolkan Rasulullah,” katanya.

Menurutnya, peristiwa hijrah memacu diri dari keadaan kurang baik kepada yang lebih baik. Malah, jika berada pada keadaan baik dipertingkatkan lagi untuk mencapai tahap terbaik.

“Amalan solat, puasa, zakat, dan haji, semua itu menjadi sendi kehidupan yang tersusun untuk setiap muslimin dan muslimat. Mengambil falsafah penghayatan hijrah secara umum, ia membawa transformasi meliputi kehidupan setiap insan.
Bermula dari individu, keluarga, masyarakat, negara dan ummah perlu menghayati falsafah di sebalik hijrah,” katanya.

Allah berfirman di dalam Surah Az-Zalzalah, Ayat 7 dan 8 yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Begitu juga Allah menjelaskan Kekayaan-Nya yang tidak memerlukan sumbangan dan bantuan daripada makhluk-Nya termasuk manusia, melainkan setiap kebaikan yang dilakukan manusia itu adalah untuk kebaikan diri mereka sendiri.

Dalam Surah al-Isra’ ayat 7 Allah berfirman, “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga…”

Katanya, dalam hijrah perubahan dan transformasi tertakluk kepada perkara ikhtiar atau menjadi pilihan manusia itu sendiri.

Merujuk kepada sirah Rasulullah, terdapat tiga perkara utama yang dilaksanakan baginda di dalam peristiwa hijrah iaitu pembinaan masjid, mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar serta membuat perjanjian kontrak sosial antara kaum Muslimin dengan kaum bukan Muslim bagi mempertahankan Kota Madinah pada ketika itu.

“Agenda perpaduan perlu meletakkan hormat-menghormati, rendah hati (tawaduk), kesederhanaan (wasatiyyah) serta berakhlak mulia dalam usaha transformasi kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Berasas kepada kefahaman saling mempertahankan negara rakyat perlu berganding bahu mempertahankan keharmonian dan kemakmuran supaya terus terpelihara.

“Merujuk kepada budaya ilmu contohnya, bermula dengan penciptaan Adam lagi, baginda dimuliakan berbanding makhluk lain adalah kerana ilmu.

“Ini disandarkan melalui al-Quran di dalam surah Al-Baqarah, Ayat 31-33, yang bermaksud, “Dan Ia (Allah) mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman:
“Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.

Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.

“Begitulah budaya dan nilai yang memungkinkan anjakan yang lebih meluas dalam memahami falsafah di sebalik penghijrahan Rasulullah sehingga membawa transformasi besar kepada kehidupan.

“Jauhkan perpecahan, eratkan kembali perpaduan selain memungkinkan negara ini menjadi ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ (negara yang baik dan mendapat keampunan daripada Tuhannya Yang Maha Mentadbir),” katanya

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 16,186 other followers

%d bloggers like this: