Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tok Selehor suluk dalam kubur

Posted by epondok di September 10, 2012


Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar Amin Farij Hasan

Walau berusia lebih 100 tahun, kubur suluk Tok Selehor masih utuh dan dipelihara dengan baik oleh waris Allahyarham.

MEREMANG bulu roma membayangkan gambaran keadaan dalam kubur atau ‘rumah persinggahan’ yang menempatkan jasad bagi orang yang telah meninggal dunia.

Pelbagai kisah mistik dan pengalaman aneh yang pernah diceritakan menambah lagi gambaran seram di fikiran segelintir daripada kita untuk mendekati kawasan tersebut seorang diri.

Namun, tidak kira tinggi mana pangkat atau banyaknya harta seseorang individu semasa di dunia, manusia tidak dapat lari daripada ditempatkan di dalam tanah yang gelap itu sendirian dengan hanya bertemankan cacing dan haiwan tanah lain.

Berbeza dengan bekas tokoh ulama terkemuka tanah air, Allahyarham Abdul Rahman Uthman, anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu menjadikan kubur sebagai tempat pilihannya untuk bersendiri.

Biarpun perlu bergelap dan kepanasan di dalam kubur sedalam tujuh kaki, Abdul Rahman yang terkenal dengan gelaran Tok Selehor lebih gemar meluangkan masa dan menyendiri di dalam kubur.

Menurut cicit Tok Selehor, Mohd. Shauki Abd Majid, Tok Selehor pernah menghabiskan masa sehingga 40 hari berturut-turut di dalam kubur buatannya itu tanpa menyalin pakaian atau bertemu sesiapa.

Baginya, dengan menghabiskan masa bertafakur di dalam kubur adalah landasan untuknya mendekatkan diri kepada Pencipta, sekali gus menghilangkan sifat-sifat mazmumah yang lahir dalam dirinya.

“Oleh kerana ketokohan Tok Selehor yang hebat pada masa itu, ramai dalam kalangan masyarakat yang terlalu menyanjungi Allahyarham.

“Sehinggakan setiap kali waktu kuliahnya diadakan, Kampung Selehor yang diberi nama sempena gelarannya itu pasti akan dibanjiri oleh ribuan orang.

“Bukan sahaja penduduk setempat, malah masyarakat negara jiran berhampiran termasuk Patani, Kemboja, Palembang, Jawa dan Siak juga hadir meraikan majlis sehingga ada yang terpaksa memanjat pokok untuk melihat Tok Selehor.

“Jadi, bagi mengelakkan daripada sifat riak dan takbur dengan sanjungan tersebut, Tok Selehor akan masuk untuk bersuluk di dalam kubur buatannya sendiri itu dalam tempoh tertentu,” katanya yang merupakan antara waris Tok Selehor yang masih hidup.

Shauki berkata, kubur itu dibuat bertujuan menghilangkan riak dan memperkukuhkan sifat ikhlas Tok Selehor apabila terlalu disanjungi orang ramai dan mengelakkan daripada terlalu diagung-agungkannya.

Tok Selehor yang merupakan pengasas beberapa pondok pengajian di Kelantan adalah salah seorang daripada lima ulama terkenal di Kelantan pada masa itu termasuk Tok Kenali dan Tok Kemuning.

Masih utuh

Selepas dibina lebih 100 tahun lalu, kubur suluk Tok Selehor masih utuh dan dipelihara dengan baik oleh keturunan beliau.

Kubur tersebut yang pada asalnya hanya berdindingkan tanah dan dibiar terbuka, kini telah diubahsuai dengan dibina sebuah bilik kecil pada tapak kubur suluk Tok Selehor tersebut.

Ia bertujuan mengelakkan daripada tertimbus akibat runtuhan tanah atau pelbagai amalan khurafat yang dilakukan oleh segelintir individu yang kurang pengetahuan agama.

“Sebagai keturunan Tok Selehor, kami bertanggungjawab memastikan peninggalan ulama besar tanah air ini terpelihara atau tidak hilang ditelan zaman.

“Sekeliling tapak kubur suluk ini kini telah dibina sebuah bilik kecil berkunci. Manakala dalam kubur itu pula diletakkan lampu, tangga dan juga dinding mar-mar.

“Ia untuk mengekalkan tapak bersuluk peninggalan Tok Selehor daripada hilang tertimbus dan sebagainya.

“Kubur suluk ini juga dibuka kepada orang ramai yang ingin memuhasabah diri dengan merasai gambaran mati di dalam kubur.

“Bagaimanapun ia terpaksa dipantau dan dikunci bagi mengelakkan perbuatan khurafat dan syirik berlaku,” ujarnya.

Shauki berkata, diceritakan idea membina tempat suluk bermula semasa Tok Selehor menuntut di Mekah. Seorang daripada gurunya pernah bertanya mengenai cita-citanya. Antara jawapan Tok Selehor adalah beliau ingin menjadi penghulu semua orang mati.

Justeru, selepas tamat pengajian dan pulang ke tanah air, Tok Selehor menggali sebuah kubur berhampiran rumahnya untuk dijadikan tempat beliau bersolat dan berkhalwat kepada Allah SWT.

Tambahnya, antara tujuan lain Tok Selehor menggali lubang itu supaya hati menjadi kecut dan sentiasa mengingati mati.

“Inilah antara langkah sebenarnya untuk benar-benar insaf dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengingati mati. Tambahan pula merasai hidup seorang diri di dalam tanah yang panas dan gelap gelita,” jelasnya.

Kawan baik Tok Kenali

Tok Selehor merupakan salah seorang teman rapat kepada Allahyarham Muhammad Yusuf Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali.

Shauki berkata, mereka juga sering bersama bagi membincangkan masalah agama dan usaha untuk mengembangkan Islam di negara ini.

Sehinggakan katanya, Tok Selehor mendapat gelaran daripada Tok Kenali sebagai ‘Penyair Kita’. Ia disebabkan minat Tok Selehor yang mendalam terhadap seni dan juga sastera.

“Tok Selehor cenderung membaca buku-buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya. Beliau juga pandai mengalunkan syair tersebut dengan kurniaan suaranya yang merdu.

“Beliau bukan sekadar pandai mendendangkan syair, malah pandai mengarang syair yang digunakan sebagai salah satu medium dakwah untuk menarik perhatian masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, sebelum kewafatan wali Allah SWT itu, berlaku petanda aneh yang mengiringi dan menunjukkan pemergian Tok Selehor.

“Pada tahun 1935, seperti biasa Tok Selehor akan pergi memburu kerana itu adalah antara hobi beliau untuk mengisi waktu lapang. Diceritakan, selepas tiga hari pulang daripada berburu rusa, seekor ikan yu besar yang tidak pernah dilihat penduduk Kampung Selehor kelihatan timbul di tempat mandi Tok Guru Selehor.

“Dua hari kemudian, datang pula sekumpulan burung gagak dengan banyaknya di kawasan rumah Tok Selehor sehingga orang ramai hairan melihat peristiwa itu.

“Sehinggalah beberapa hari selepas itu Tok Selehor mengadu sakit kepala. Penyakitnya itu tidak surut walaupun telah diubati dengan pelbagai kaedah. Lapan hari kemudian, iaitu pada 20 Februari 1935, Tok Selehor menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 64 tahun,” jelasnya

About these ads

Satu Respons to “Tok Selehor suluk dalam kubur”

  1. al-hallaj berkata

    Salam,saya nak tanye jika saya nak muhasabah diri dlm lubang suluk tu, sde kena buat temujanji atau mcm mane?

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 15,429 other followers

%d bloggers like this: