Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Dahsyatnya keadaan di padang Mahsyar

Posted by epondok di Januari 13, 2012


Oleh Hizbur Rahman

Setiap amalan di dunia dihisab

MAKHLUK dan alam luas ciptaan Allah SWT akan tiba masanya menempuh saat kemusnahan dan kehancuran. Lihatlah tumbuh-tumbuhan menghijau di sekeliling kita akhirnya akan kuning layu, besi yang keras berkarat dan menjadi reput, makanan segar menjadi basi, manusia dimamah usia, akhirnya menemui ajal.

Dunia yang kita duduki dan diami hari ini pun semakin tua. Suasana yang berlaku bukan terjadi secara kebetulan tetapi suatu perkhabaran dan petanda awal bahawa seluruh ciptaan Allah SWT akan menemui ajalnya pada suatu detik dinamakan kiamat.

Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang gugur berselerak dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (selepas dihancurkan menjadi debu). – Surah at-Takwir, Ayat 1-3

Tiupan sangka kala pertama tanda bermulanya kiamat, manakala tiupan sangka kala kedua menandakan kebangkitan manusia yang mati sejak zaman nabi Adam sehingga manusia terakhir ketika berlaku kiamat.

Roh dan tubuh badan manusia yang berpisah ketika di alam barzakh bercantum semula hingga lengkap seperti tubuh sebelum mati untuk menghadapi hari pengadilan.

Dahsyatnya kiamat dijelaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang gugur berselerak dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (selepas dihancurkan menjadi debu).” (Surah at-Takwir, ayat 1-3)

Kebangkitan semula manusia selepas kiamat akan dihimpunkan di padang Mahsyar untuk menghadapi perbicaraan atau timbangan amalan di dunia. Setiap sudut padang Mahsyar penuh sesak dengan manusia dan jin untuk bersama mengharungi hari hisab.

Menurut Imam Ghazali, padang Mahsyar itu suatu dataran bumi yang luas, saujana mata memandang tidak dapat dihitung dengan ilmu manusia, keadaan bumi yang putih dan rata, tiada gunung ganang dan tiada pokok kayu untuk dijadikan tempat berteduh.

Pada dataran putih itulah manusia yang baru dibangkitkan semula dihalau ke sana seperti binatang ternakan keluar dari kandangnya atau seperti kanak-kanak baru lahir, dengan keadaan berkaki ayam dan bertelanjang bulat tanpa pakaian.

Dalam keadaan terlalu gawat menghadapi cabaran Mahsyar itu manusia terlupa dirinya tidak berpakaian kerana memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan diri masing-masing.

Abu Hurairah berkata, beliau mendengar Rasulullah SAW berpidato di hadapan sahabat bahawa manusia di padang Mahsyar akan dibangkitkan kelak dalam tiga bentuk. Pertama, dibangkitkan dengan keadaan kenderaan sudah tersedia untuk membawa mereka.

Kedua, manusia yang berjalan kaki dan ketiga, manusia yang berjalan dengan mukanya tertungging ke tanah. Digambarkan juga suasana hiruk-pikuk dan kucar-kacir yang menyelubungi manusia kerana masing-masing sibuk dengan hal tersendiri.

Ada yang berjalan, merangkak dan bermacam lagi dalam suasana panas cahaya matahari berada hanya sejengkal di atas kepala. Ada sesetengah manusia ditenggelami dengan peluh yang banyak dan berbau busuk bergantung kepada tahap amalan semasa di dunia.

Ketika sedang terlalu dahaga, datang malaikat Zabaniah membawa air untuk ahli Mahsyar. Pada mulanya ahli Mahsyar amat gembira, malangnya air itu tersangat panas sehingga apabila mangkuk air didekatkan ke bibir, maka daging bibir luruh berguguran kerana air terlalu panas.

Persoalan besar timbul dalam kalangan ahli di padang Mahsyar ialah berapa lama mereka mesti berada di dataran itu? Ada pendapat mengatakan selama 300 tahun mengikut tahun akhirat.

Walaupun tidak ada pohon untuk memberi perlindungan dari bahan panas terik, tetapi Allah SWT menyediakan bayang Arasy yang redup. Mereka yang mendapat naungan Arasy antaranya ialah golongan al-Muqarrabun iaitu orang yang dekat dengan Allah SWT.

Golongan al- Muqarrabun merujuk kepada mereka ketika hidupnya di dunia sentiasa patuh arahan Allah SWT serta meninggalkan perkara yang dilarang sama ada dalam soal akidah atau syariah.

Yakinlah bahawa setiap manusia di padang Mahsyar nanti akan melalui perbicaraannya, disoal dan diperiksa satu persatu, tidak akan terkecuali sesuatu pun dari hidupnya di dunia sekalipun yang sulit dan tersembunyi. Bahkan semua anggota dan bahagian kecil tubuh pun ditanya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal empat perkara; umurnya pada perkara apakah ia habiskan; masa mudanya untuk apa digunakan; harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan amalan dilakukan sesuai dengan apa yang telah diketahuinya?” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Insaflah dan sedarlah bahawa kegawatan dan kesengsaraan di padang Mahsyar yang memakan masa ratusan tahun itu amat dahsyat. Marilah kita semasa masih sihat, bertenaga dan ada peluang melakukan muhasabah diri serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Muhasabah penting supaya buku rekod catatan amalan menunjukkan amalan yang cemerlang dan digolongkan sebagai kumpulan al-Muqarabbun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka. Mereka terburu-buru sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat kerana bingung dan cemas.” (Surah Ibrahim, ayat 42-43)

About these ads

Satu Respons to “Dahsyatnya keadaan di padang Mahsyar”

  1. mahadhir said

    alhamdullilah saya salah seorang dari hamba Allah menyokong penuh usaha dakwah yang sungguh murni ini.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 16,198 other followers

%d bloggers like this: