ADA hubungan kuat di antara jin dengan amalan sihir. Namun, ada menolak kewujudan jin sehingga tidak percaya adanya sihir.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ketika Kami menghalalkan satu rombongan jin datang kepadamu untuk mendengar al-Quran, setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah sebahagian mereka kepada yang lain: Diamlah kamu! Maka setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaum mereka memberi ingatan dan amaran.” (Surah al-Ahqaf ayat 29).
Antara jenis amalan sihir ialah menggunakan barang tertentu, jin, ilmu binatang dan kekuatan batin.
Terjadinya kesepakatan antara tukang sihir dengan syaitan apabila tukang sihir akan melakukan sebahagian perkara syirik atau sebahagian perbuatan kafir baik secara terselindung atau terang-terangan.
Syaitan akan melayani tukang sihir atau menundukkan orang yang melayani tukang sihir. Biasanya kesepakatan itu terjadi antara tukang sihir dengan pemimpin kabilah syaitan atau jin.
Kemudian, pemimpin syaitan itu akan mengeluarkan perintah kepada anak buahnya supaya melayani tukang sihir dan mentaatinya dalam setiap perintahnya seperti memberi maklumat mengenai peristiwa yang sudah terjadi dan menceraikan antara suami dan isterinya, menumbuhkan rasa cinta antara keduanya atau mengikat kaki seorang supaya tidak dapat menggauli isterinya.
Antara cara tukang sihir memanggil jin ialah dengan bersumpah atas nama jin atau syaitan (Thariqatul iqsam). Melalui cara itu, tukang sihir masuk ke dalam bilik gelap kemudian menyalakan api dan meletakkan sejenis dupa atau kemenyan
di atas api sesuai dengan tujuan yang diinginkan.
Jika ingin menceraikan, menimbulkan permusuhan dan kebencian, dia meletakkan kemenyan berbau busuk. Jika ingin menimbulkan perasaan cinta atau melepaskan ikatan seorang suami yang terikat oleh sihir sehingga tidak dapat menggauli isterinya maka akan dibaca dengan azimat kemusyrikannya iaitu jampi tertentu yang mengandungi sumpah kepada jin atas nama pemimpin mereka.
Selepas membaca azimat kekafiran itu, akan muncullah bayangan berbentuk anjing, ular atau bentuk lain. Kemudian cara tukang sihir mendatangkan jin ialah dengan cara menyembelih binatang. Cara ini, tukang sihir membawa seekor burung, ayam, dengan sifat tertentu sesuai dengan permintaan jin.
Biasanya warna hitam yang diminta kerana jin mengutamakan warna hitam, kemudian menyembelihnya tanpa menyebut nama Allah. Kemudian tukang sihir akan melemparkannya di tempat seperti runtuhan, perigi atau tempat kosong yang menjadi tempat tinggal jin.
Maka buku ini mendedahkan perbuatan tukang sihir, jenis sihir, kesan mangsa sihir, kedudukan hukum serta bagaimana menanganinya menurut kaedah yang ditetapkan Islam supaya umat Islam tidak terjerumus dalam kesesatan.
Tajuk: Dahsyatnya Sihir Rahsia Rawatan dan Penawarnya
Penulis: Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz
Penerbit: Inteam Publishing Sdn Bhd
Harga: RM 20.00 (Semenanjung) RM22.00 (Sabah dan Sarawak)
Muka surat: 150 muka surat


