Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Gerhana bulan penuh pembuktian Sunnatullah

Posted by epondok di Jun 15, 2011


Oleh Baharrudin Zainal

Umat Islam digalak solat khusuf , kaji fenomena alam

SAINS bermula dengan naluri manusia untuk memahami alam tabii. Naluri manusia juga cuba mencari sebab musabab terhadap sesuatu kejadian langit yang mereka lihat. Sebahagian mereka tertarik dengan ciri fizikal dan gejala lahiriah atau fenomena alam yang mereka lihat, lantas menyembahnya dalam apa yang dinamakan fahaman kosmologi politeisme.
Dengan kudrat dan daya pemikiran manusia yang dibantu pula oleh panca inderanya, sebab musabab terhadap sesuatu pemerhatian alam itu diuji secara berulangan. Sehinggalah manusia berpuas hati yang pemerhatian mereka itu menghasilkan satu hukum alam, termasuk kebolehan mereka menjangkakan apa yang mungkin terjadi pada masa depan.
Dengan ini manusia berharap dapat menuju kepada kebenaran dalam memahami alam dan pencipta-Nya, yakni Allah SWT. Penciptaan hukum alam juga sebenarnya adalah manifestasi pembuktian sunatullah. Bagi manusia yang ‘ulul albab’, langit adalah makmal sains yang mana setiap kejadian diperhatikan, ditafsirkan, malah ujian dilakukan terhadap hukum alam yang mereka gubal. Suatu masa dulu, sebahagian umat Islam sukar menerima hakikat ramalan sains berdasarkan hukum alam ini.

Ramalan berdasarkan hukum alam ini kadangkala disamakan dengan ramalan ahli nujum dan tukang tilik. Justeru, semua bentuk ramalan fenomena alam termasuk ramalan cuaca, fenomena gerhana bulan atau matahari dan kewujudan anak bulan tidak dapat diterima sepenuhnya.

Begitu juga dengan anggapan sebahagian fenomena alam ini sebagai ‘peristiwa ganjil dan menggemparkan’, walaupun sains dapat menjangkakan bila dan di mana kejadian itu akan berlaku. Takrifan fenomena alam luar biasa hanya sesuai digunakan bagi fenomena yang tidak boleh diramalkan seperti gempa bumi, tsunami dan impak fenomena alam yang tersasar daripada kebiasaan.

Sebahagian fenomena luar biasa ini tidak dapat diramalkan kerana kegagalan kita memahami hukum alam sepenuhnya buat sementara waktu. Bagaimanapun, kegagalan ini menjadi dorongan utama bagi ahli sains untuk terus menjalankan kajian mereka. Mewujudkan rasa rendah diri (tawaduk) dan menimbulkan rasa kekurangan (fakir) pada diri mereka. Semua ini akhirnya akan dapat menggilap hati pengkaji, memantapkan keimanan mereka kepada Allah SWT dan menjadi dorongan memacu usaha mencari kebenaran mengenai alam ini.
Bulan seumpama lampu yang memberikan cahaya kepada bumi pada waktu malam. Kadar cahayanya berbeza-beza bergantung kepada fasa hariannya. Bermula dengan fasa anak bulan, suku muda, purnama dan kembali menjadi suku tua.

Menurut Syeikh Daud Fathani dalam kitab Kifayatul Muhtaj, perubahan fasa bulan bersabit dengan ibadat bulan kepada Allah SWT. Katanya, cahaya bulan ketika sedang membesar (antara fasa sabit ke bulan purnama) menunjukkan keadaan sukacita bulan kerana hendak menghadap Allah SWT ketika purnama nanti. Peringkat fasa bulan tua pula menunjukkan keadaan dukacita bulan kerana tidak lagi berpeluang menghadap Allah SWT sehingga waktu purnama berikutnya. Perumpamaan kualitatif ini menunjukkan bagaimana cakerawala tunduk dan patuh kepada Allah SWT menepati maksud al-Quran: “Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan antaranya termasuklah matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, pokok kayu dan binatang serta sebahagian besar daripada manusia.” – (Surah al-Haj, ayat 18)

Dalam beberapa kitab fikah, dinyatakan hukum menjangkakan waktu berlaku gerhana pada asalnya ‘makruh’. Ini kemungkinan disebabkan pengaruh kuat ilmu nujum dalam ilmu falak yang berlaku satu masa dulu atau banyak aktiviti tahyul yang akan dilakukan segelintir masyarakat ketika berlaku fenomena ini. Bagaimanapun, hukum mempelajari dan meramalkan waktu berlakunya gerhana menjadi harus apabila hasil ramalan ini hendak digunakan untuk kemudahan umat Islam membuat persediaan bagi melakukan solat sunat gerhana (khusuf dan kusuf) atau kajian fizikal yang lain. Dalam suasana masyarakat yang kurang bermaklumat dan pengaruh fahaman kosmologi politeisme yang masih dominan, ulama sudah meletakkan satu panduan yang bijaksana untuk memelihara akidah umat Islam.

Menurut sejarah, pernah terjadi peristiwa gerhana matahari pada hari wafatnya putera Rasulullah SAW, Ibrahim. Keadaan ini ditafsirkan oleh orang ramai ketika itu sebagai tanda berdukacita alam terhadap kewafatannya. Rasulullah SAW menjelaskan perkara tersebut dalam hadis yang bermaksud: “Bahawasanya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada kebesaran Allah. Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan keduanya. Matahari gerhana bukanlah kerana mati seseorang atau kerana lainnya. Kerana itu apabila kamu melihat sesuatu yang demikian, hendaklah kamu bersolat dan berdoa, sehingga habis gerhana.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam ilmu falak, kajian mengenai gerhana bulan dan matahari adalah sebahagian aktiviti penyelidikan yang penting. Kajian gerhana, sama ada gerhana bulan atau matahari juga banyak memberi petunjuk kepada ahli sains mengenai konsep pergerakan badan cakerawala, khususnya bulan, bumi dan matahari. Hasil kajian gerhana bulan penuh misalnya dimanfaatkan untuk pembaikan teori sifat semula jadi permukaan bulan dan kadar penyerapan cahaya dalam atmosfera bumi yang berbeza-beza. Kajian kadar penyerapan haba oleh batu-batan bulan juga boleh dibuat kerana permukaan bulan ketika ini akan mengalami perubahan suhu yang mengejut. Begitu juga dengan analisis perbezaan warna bulan ketika berlaku gerhana penuh dengan warnanya dalam keadaan biasa, membantu ahli sains atmosfera mengkaji kesan pencemaran atmosfera tempatan. Ahli sains takwim pula menggunakan fenomena gerhana untuk mengkaji ketepatan parameter orbit bulan dan matahari serta meneliti kesan anomali orbit yang tidak dijangkakan. Kajian berterusan dan pembaikian parameter orbit ini meningkatkan ketepatan jangkaan fenomena alam dan penerbitan jadual falak. Hasilnya, meningkatkan keyakinan pengguna produk falak misalnya jadual falak, takwim tarikh dan waktu solat. Bagaimanapun, bagi memenuhi piawaian kebenaran relatif dalam sains, fenomena seperti gerhana bulan dan matahari terus dikaji dan pembetulan sewajarnya diberikan kepada parameter orbit bulan dan matahari.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 16,247 other followers

%d bloggers like this: