Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kehidupan alam roh adalah berbeza

Posted by epondok di Mei 27, 2011


PERBUATAN dan tindakan para arwah adalah seperti perbuatan dan tindakan para malaikat. Mereka tidak memerlukan kepada sentuhan dan juga peralatan. Mereka tidak hidup mengikut peraturan kehidupan yang kita kenali dan ketahui kerana mereka itu berada di alam yang lain.

Di dalam firman Allah SWT, disebutkan: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku”. (al-Israk: 85)

Apakah yang mereka ketahui dan fahami tentang perbuatan atau peraturan hidup malaikat dan jin di dalam alam ini?

Tidak syak bahawa arwah itu mempunyai kebebasan yang boleh menjawab seruan orang yang menyerunya dan menolong orang yang meminta pertolongan daripadanya betul-betul sama seperti orang yang hidup dengan jasadnya di atas dunia ini.

Bahkan, mereka boleh memberi pertolongan yang lebih hebat dan besar daripada orang yang hidup.

Jika mereka tidak boleh memahami kecuali dengan pancaindera dan tidak mengakui kecuali dengan penyaksian mata kasar, maka ia adalah ciri-ciri orang yang mengikut pancainderanya sahaja. Ini bukannya sifat orang-orang Mukmin.

Kalaupun kita cuba mengikut pendapat mereka, bahawa arwah itu setelah berpisah dengan jasad, tidak mampu melakukan apa pun, namun kita tetap akan berkata kepada mereka: “Kalaupun kita bersetuju dengan dakwaan itu, kita tetap berhak menetapkan bahawa pertolongan para nabi dan wali bagi orang yang memohon pertolongan kepada mereka tetap ada dalam bentuk yang lain”.

Iaitu menolong orang yang menziarahi mereka dan meminta tolong dengan mereka melalui doa yang dipanjatkan kepada Allah untuk mereka sebagaimana halnya seorang yang soleh mendoakan orang yang lain.

Maka ia merupakan doa seorang yang mulia bagi orang yang kurang kemuliaannya. Atau pun, paling kurang, ia adalah doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain. Kita sepakat bahawa arwah mampu melakukan ini.

Arwah dapat merasa dan mengetahui, bahkan, perasaan mereka lebih sempurna, dan pengetahuan mereka lebih luas, setelah jasad terpisah daripada mereka kerana telah terhapusnya hijab tanah yang menghalang mereka dan terlepasnya mereka daripada belenggu syahwat kemanusiaan.

Dalam hadis ada disebutkan, bahawa segala amal perbuatan kita diperlihatkan kepada baginda SAW. Jika baginda SAW mendapati ia baik, maka nabi SAW memuji Allah; dan jika nabi SAW mendapati ia sebaliknya, maka baginda SAW memohon keampunan bagi kita.

Rumusannya, sesungguhnya, yang diminta pertolongan dan bantuan itu adalah Allah SWT jua. Tetapi, si peminta memohon kepada Allah SWT dengan cara bertawassul dengan nabi Muhammad SAW agar dapat memenuhi permintaannya.

Penolong yang sebenar adalah Allah, tetapi si pemohon mahu memohon kepada Allah melalui orang-orang yang dekat di sisi-Nya dan yang dimuliakan-Nya, terutamanya nabi SAW.

Seolah-olah si pemohon berkata: “Aku termasuk di dalam golongan orang yang mencintainya (atau umatnya), maka rahmatilah aku demi kemuliaannya”.

Allah pasti akan merahmati ramai manusia demi kemuliaan dan keagungan Nabi Muhammad SAW, para nabi, para rasul dan ulama.

Bahawa Allah SWT memuliakan orang yang dikasihi dan dicintai oleh Nabi Muhammad SAW demi kemuliaan nabi-Nya, bahkan Allah memuliakan sebahagian hamba-Nya, disebabkan kasih-Nya terhadap hamba-hamba-Nya yang soleh, sememangnya suatu hakikat yang dimaklumi dan diakui.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 15,712 other followers

%d bloggers like this: