Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Mewujud penyampaian khutbah Jumaat yang menarik

Posted by epondok di Januari 28, 2011


Oleh Mohd Fadly Samsudin

 BERSEDIA...khatib tanggungjawab perlu bersedia sebelum naik ke mimbar.
BERSEDIA…khatib tanggungjawab perlu bersedia sebelum naik ke mimbar.
PENYAMPAI BERWIBAWA…khatib perlu menyampaikan khutbahnya dengan lancar, tersusun, bahasa mudah difahami serta tidak terlalu panjang.
DI mana-mana masjid, anda boleh melihat jemaah tidur ketika khatib menyampaikan khutbah. Mengapa jadi begitu?

Bagaimana cara terbaik bagi ‘memikat’ hati jemaah agar mereka setia mendengar serta menghayati khutbah Jumaat?

Barangkali, khutbah yang disampaikan tidak menarik, meleret, lesu, gaya penyampaian membosankan atau isu yang tidak relevan. Pendek kata, khutbah yang disampaikan masih gagal menarik perhatian pendengar.

Jadi, penting sekali kandungan khutbah Jumaat dipertingkatkan supaya ia dapat disampaikan dengan lebih segar, terkini serta bertepatan dengan peristiwa semasa yang berlaku dalam masyarakat.
Khutbah Jumaat perlu dimanfaatkan kerana ia sesi muhasabah untuk mendorong umat Islam melakukan perubahan diri. Ia ada tujuan besar sebagai pengisian rohani dan percambahan ilmu agama.
Ada juga jemaah di masjid berbual dengan rakan sebelah dan tidak menghormati khatib menyampaikan khutbah.

Perlu diingat ketika khutbah Jumaat dilarang berbual atau bercakap.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu berkata kepada temanmu, ketika imam sedang berkhutbah ‘diamlah engkau’, Maka sesungguhnya kamu sudah tidak dapat pahala Jumaat”.

Dalam hadis berkenaan Rasulullah memberi peringatan kepada dua belah pihak iaitu yang memulakan bicara dan yang diajak berbicara.

Terdapat beberapa jenis khutbah mengikut bentuk penyampaian dan suasana sesuatu majlis antaranya khutbah jihad, wasiat, al-diniah dan siasah.

Khutbah Jumaat biasanya mengambil masa 20 hingga 30 minit. Ia berkisar apa yang berlaku dalam masyarakat, jenayah, gejala sosial serta kisah pengajaran mereka ditimpa azab jika melanggar suruhan Allah.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berilah khutbah kepada manusia berdasarkan tahap pemikiran mereka”. Gaya dan cara penyampaian khutbah juga perlu ditingkatkan agar ia memberi kesan kepada pendengar.

Khutbah berbeza dengan ceramah umum. Khatib perlu melakukan persediaan dan meningkatkan gaya dan nada penyampaian khutbah agar
ia tidak membosankan jemaah.

Sebutan ayat al-Quran dan hadis mestilah jelas dan betul. Imam Nawawi mengatakan: “Disunatkan khutbah ini dengan kata-kata yang fasih dan lancar, tersusun dan teratur rapi, mudah difahami, jangan terlalu berleter-leter.”

Khutbah Jumaat disampaikan sebelum solat Jumaat. Rasulullah menghadapkan wajah baginda kepada jemaah dengan memberi peringatan agar mereka tenang dan bersiap sedia mendengar khutbah.

Bagi mereka yang tidak mempunyai kelapangan masa menghadiri kuliah Maghrib, khutbah Jumaat adalah medan terbaik untuk mereka memperoleh ilmu baru.

Tetapi jika khutbah yang disampaikan tidak menarik sehingga jemaah tidur, khatib perlu berusaha berubah menjadi penyampai yang baik.

Antara faktor menyebabkan khutbah tidak berkesan ialah khatib tidak bersedia sepenuhnya selain gemuruh sehingga memberi kesan kepada kefasihan dalam pertuturan.

Ada jemaah merungut khatib membaca teks khutbah tidak lancar, terlalu lama atau perlahan sehingga tidak dapat didengari jemaah.

Sebaiknya, khatib perlu berinteraksi dengan cara memandang jemaah sebagai langkah bagi meningkatkan keberkesanan dalam menyampaikan khutbah.

Langkah yang boleh diambil bagi memperbaiki mutu khutbah ialah memberi latihan dan bimbingan berupa kursus intensif kepada khatib.

Majlis Agama Islam Negeri yang bertanggungjawab menyediakan teks dan bahan khutbah perlu sentiasa mengikuti perkembangan khatib. Teks khutbah perlu diteliti agar bermutu, menarik dan relevan dengan keadaan semasa.

Penggunaan alat multimedia juga penting. Khatib boleh menayangkan persembahan multimedia semasa berkhutbah terutamanya ketika menghuraikan dalil al-Quran atau hadis. Kemudahan lain seperti sistem bunyi juga penting supaya seluruh jemaah dapat mengikuti khutbah dengan jelas.

Pegawai Pengurusan Dakwah Munirah Care, Muhammad Khusairi Abdullah, berkata teks khutbah yang disediakan perlu menonjolkan dan menceritakan perkara yang dekat di hati masyarakat.

“Ia menjadi suram dan tidak menarik kerana terdapat pengulangan teks yang bahannya dirasakan terlalu ringan. Khutbah perlu mempunyai ciri-ciri yang mampu memberi kesedaran dan pengajaran kepada umat Islam.

“Contohnya, khutbah yang menumpukan perkara berkaitan kepentingan solat dan balasan dahsyat jika meninggalkannya, syurga dan neraka serta mengangkat martabat ulama,” katanya.

Beliau berkata khutbah Jumaat bukan saja didengar oleh umat Islam malah menarik perhatian orang bukan Islam di luar.

“Ketika solat Jumaat segala kerja dan aktiviti dihentikan seketika. Disebabkan khutbah itu diperdengarkan dengan kuat ia turut didengar orang bukan Islam.

“Alangkah baiknya isi kandungan khutbah itu mantap dan dilaungkan dengan nada tegas sehingga menarik perhatian orang bukan Islam,” katanya.

Khusairi berkata, khatib mestilah mempunyai keberanian dan kemantapan dalam menyampaikan khutbahnya.

“Suara khatib perlu lantang, jelas dan tidak terlalu laju. Ketika berkhutbah, jangan sampai mereka tidak menghafal ayat Quran atau hadis yang dibacakan.

“Selain itu, khatib perlu melakukan persediaan sebelum naik ke mimbar. Khatib yang bijak perlu menggunakan

masa dengan baik dan tidak memanjangkan khutbah sehingga jemaah hilang tumpuan,” katanya.

Beliau berkata tidak semestinya imam tetap atau ahli jawatan kuasa masjid saja yang diberi tanggungjawab untuk menyampaikan khutbah.

“Ia boleh diperluaskan kepada orang lain yang berkelayakan terutama mereka yang mempunyai latar belakang bidang agama.

“Khutbah yang baik ialah mampu menimbulkan tindakan serta perubahan sikap seseorang ke arah yang lebih baik,” katanya.

About these ads

Satu Respons to “Mewujud penyampaian khutbah Jumaat yang menarik”

  1. isham said

    salam.
    didalam negara kita terutama sekali di sekitar lembah klang terdapat masjid-masjid yang menggunakan khidmat penyampai khatib asing yang bukan dari tempat tersebut.tidak salah tapi dari segi penyampaian yang kurang berkesan dan membuatkan jemaah tertidur sehingga berdengkur.dari pengalaman saya hadir pada salah sebuah masjid di sekitar sepang yang terletak di dalam sebuah bandar teknologi IT, masjid ini menggunakan khidmat khatib dari negara luar.tidak salah dan tiada pun dalam peraturan islam wajib imam dari khariah itu yang menyampaikan kuthbah, tetapi dari segi penyampaian yang kurang paham,tidak jelas,panjang meleret menyebabkan saya sendiri dan jemaah lain tertidur yang membolehkan pahala jumaat saya dan jemaah lain kurang.kalau dah tertidur sampai berdengkur adalah tidak sah solat jumaat seseorang itu kerana khuthbah adalah satu rukun dalam solat jumaat.ada seorang khatib dari negara mana ntah,mungkin iran agaknya menyampaikan khuthbah terlalu panjang sehingga hampir sejam menyebabkan saya terlewat masuk kerja.kalau jemaah berkata panjang sangat khuthbah ini boleh menyebabkan pahala khatib tersebut kurang kerana jemaah bosan mendengarnya kerana terlalu panjang.ini bukan ceramah tapi khuthbah dalam bentuk muhasabah diri seseorang muslim dalam bentuk ilmu.penggunaan tongkat adalah sunat dan tidak wajib ketika khatib berkhutbah.kepada kakitangan masjid sila pastikan khatib yang ingin menyampaikan khuthbah biarlah teksnya ringkas, padat,paham dan tidak mengambil masa yang panjang.harap ambil ikhtibar.

    sekian.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 10,046 other followers

%d bloggers like this: