Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 21 Januari 2011

Dua golongan manusia terima nikmat dunia cara berbeza

Posted by epondok di Januari 21, 2011

Oleh Zamanuddin Jusoh

MENILAI kehidupan dunia ini, Rasulullah SAW menyifatkan ia sebagai ladang hijau penuh dengan keindahan. Pada masa sama, Baginda mengingatkan mengenai bahaya fitnah serta ujian terbentang di padang menghijau itu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya dunia ini umpama taman hijau yang indah. Penuh dengan nikmat dan keindahan dan Allah menciptakannya untuk kamu. Oleh itu pastikan segala nikmat ini digunakan dengan sebaik-baiknya.” (Hadis riwayat Muslim dan Nasai’)

Imam Masjidil Haram, Syeikh Usama Bin Abdullah Al-Khayyat yang membicarakan mengenai keindahan dunia, isinya serta paparan ayat al-Quran dan hadis dalam khutbahnya mengingatkan supaya berhati-hati mengejar kemewahan sementara.

Katanya, tidak dapat dinafikan, setiap kenikmatan dunia akan menarik semua jiwa untuk mendekatinya. Sudah pasti setiap jiwa akan gembira apabila mengecapi nikmat dunia. Namun, ada dua golongan yang menerima nikmat ini dengan cara berbeza.

Mereka yang bijak (Ulul Al-Bab) yang mendapat petunjuk Allah SWT berjalan atas landasan sebenar. Mereka sentiasa berwaspada dengan nikmat sementara ini kerana yakin dengan nikmat syurga yang kekal selamanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi mereka yang beramal soleh di dunia, kami tidak akan mensia-siakan mereka. Kelak mereka menjadi penghuni syurga yang mengalir di bawahnya sungai di samping perhiasan emas dan pakaian hijau dari sutera halus dalam keadaan bersandar atas singgahsana indah. Itulah sebaik-baik tempat berehat.” (Surah Al-Kahfi, ayat 30-31)

Rasulullah SAW menyifatkan ahli syurga dalam sabdanya yang bermaksud: “Apabila seseorang dimasukkan ke syurga, dia akan mendengar seruan silakanlah, bagi kamu kesihatan buat selama-lamanya tanpa sakit sedikitpun, hiduplah kamu di sini tanpa merasai kematian buat selamanya. Rasailah nikmat yang sebenar tanpa kamu berputus asa.” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi)

Golongan yang mendapat nikmat ini sentiasa menjaga kewajipan dengan sempurna dan menambah ibadat sunat serta melakukan perkara berfaedah semasa hidup. Mereka sedar akan kesuntukan masa ketika di dunia dan ganjaran akhirat yang akan dituai.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang mengharapkan hasil tuaian di akhirat, maka kami akan terus menggandakannya.” (Surah Syura, ayat 20)

Mereka tidak sekali-kali meninggalkan nikmat dunia seperti dianjurkan Lokman Al-Hakim kepada anaknya melalui firman Allah yang bermaksud: “Tuntutlah apa yang disediakan Allah untuk kamu di akhirat, dan janganlah kamu lupa bahagian kamu di dunia dan berlaku baiklah kepada mereka yang berbaik padamu.” (Surah Al-Qasas, ayat 77)

Golongan kedua, yang hatinya lalai mengingati Allah lantaran mengikut hawa nafsu melampau. Mereka terus mengecapi nikmat tanpa menghiraukan batas larangan Allah dan menjadikan matlamat hidup hanyalah dunia semata-mata.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang mengharapkan kehidupan dunia semata-mata, maka kami akan segerakan bagi mereka dunia itu. Kemudian kami sediakan tempat mereka di neraka dalam keadaan tercela dan terusir.” (Surah Al-Isra’, ayat 18)

Marilah bersama memastikan kita tergolong kalangan disebut Ulul-Albab yang terus mendapat dorongan hidayah Allah tanpa sedikitpun terpengaruh dengan godaan kehidupan dunia semata-mata.

Firman Allah yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan gurauan, berbangga dengan perhiasan, kekayaan dan keturunan seperti hujan yang mana tanamannya mengagumkan petani. Kemudian tanaman itu menjadi kering lalu hancur. Di akhirat nanti ada azab yang keras dan keampunan darinya juga. Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan yang palsu.” (Surah Al Hadid, ayat 20)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »