Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hukum berkhatan lelaki dan perempuan

Posted by epondok di Disember 2, 2010


  • FotoSEMPURNA…mengikut sunnah Rasulullah.

Oleh Fadly Samsudin

 

 

BAGI seorang kanak-kanak lelaki, berkhatan adalah ‘acara’ kemuncak sebelum memasuki alam remaja.

 

Pada zaman dahulu, sebelum berkhatan kanak-kanak akan berbaju Melayu dan berkain pelekat, berendam di sungai.

 

Selepas itu mereka akan duduk di atas bahu bapa masing-masing dan diarak ke tempat berkhatan. Di sana tersedia sebatang pokok pisang tempat berkhatan.

 

Usia anak lelaki yang dikhatankan biasanya antara 10 dan 12 tahun. Memang takut dan gementar mengenangkan ia perkara yang menyakitkan.

 

 

Tok mudim cukup ‘digeruni’ kerana dialah yang melakukan tugas khatan. Dari cerita yang disampaikan orang zaman dulu, tok mudim menggunakan penyepit khas yang diletakkan pada bahagian kulit zakar yang hendak dipotong.

 

 

Bahagian itu kemudian dipotong dengan pisau khas sebelum diletakkan iodin dan dibalut dengan kain. Selepas selesai berkhatan, kapur sirih disapu di bahagian pergelangan kaki bagi mencegah kegatalan daripada sejenis hama.

 

Kenduri bagi merayakan orang yang berkhatan turut diadakan dengan menjemput orang kampung memeriahkan hari bersejarah anak-anak lelaki menempuh alam remaja.

Itu cerita dulu, kini di zaman moden, pengalaman berkhatan di atas batang pisang mungkin jarang dapat dilihat.

 

Kebanyakan anak-anak dikhatankan di klinik atau hospital menggunakan kaedah lebih moden, praktikal, kurang sakit selain luka cepat sembuh.

 

Sesuai dengan musim cuti persekolahan sekarang, ramai ibu bapa mengambil kesempatan mengkhatankan anak mereka.

 

Berdasarkan hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad dan lain-lain bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: “Lima perkara yang tergolong dalam fitrah iaitu berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menipiskan misai.”

 

Bagaimanapun, seseorang itu tidak dianggap berdosa kerana tidak berkhatan sewaktu kecil atas alasan dia tidak mengetahuinya.

 

Terdapat beberapa pendapat ulama yang mengatakan bahawa khatan itu sunnah. Contohnya mazhab Maliki, mazhab Hanafi dan Hambali.

 

Pendapat mereka berlandaskan kepada dalil syar’i yang memang secara tegas menyebutkan sunnah berkhatan. Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Khitan itu sunnah buat lelaki dan memuliakan buat wanita.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

 

Berdasarkan fatwa mazhab Syafie dan kebanyakan ulama berpendapat khatan itu hukumnya wajib, bukan saja untuk lelaki, tetapi juga perempuan.

 

Dalil yang menunjukkan wajib berkhatan adalah melalui sabda Rasulullah yang bermaksud: “Buanglah rambut-rambut kamu yang ada ketika kamu kufur dan berkhatanlah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

 

Cara berkhatan bagi lelaki ialah dengan memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar sehingga nampak kepala zakar itu keseluruhannya.

 

Berbeza dengan perempuan, wajib baginya memotong sedikit daging yang ada di sebelah atas faraj (klitoris) atau cukup sekadar berdarah bagi memenuhi syarat berkhatan.

 

Berdasarkan sebuah hadis daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah menegur Ummu ‘Athiah dengan bersabda yang bermaksud: “Apabila engkau mengkhatan maka khatanlah (dengan memotong sebahagian al-bazhr) dan jangan engkau berlebih-lebihan (dalam memotong) kerana yang demikian itu menjernihkan air muka perempuan dan mendatangkan kesukaan kepada suami (boleh menambah kelazatan bersetubuh).” (Hadis riwayat at-Thabrani)

Islam menuntut umatnya berkhatan kerana terdapat beberapa hikmah dan kelebihan.

 

Dari sudut agama Islam, ia antara tuntutan fitrah dan salah satu syiar Islam bagi menyempurnakan tuntutan syarak.

 

Ini berasaskan kepada sunnah Nabi Ibrahim serta membezakan antara orang Islam dengan penganut agama lain. Namun begitu sekarang ini orang bukan Islam ada juga yang sudah mula berkhatan.

 

Dari sudut kesihatan, terlalu banyak manfaat, antaranya dapat membersihkan zakar, memperelok, mencantik bentuknya dan menambahkan kelazatan ketika hubungan kelamin.

 

Ia juga dapat mengawasi kesihatan tenaga batin serta memelihara diri daripada dihinggapi penyakit kelamin dan kanser.

 

Dengan itu tergambar kepada kita akan keindahan Islam serta rahsia di sebalik syariat amalan berkhatan yang dianjurkan Islam.

 

Apa yang jelas, jika tidak berkhatan ketika membuang air kecil kotoran itu akan bertakung di kawasan kulit zakar. Jadi bagaimana seseorang boleh bersolat jika dia tidak benar-benar dalam keadaan suci dan bersih.

 

Beberapa kajian dibuat berkenaan kebaikan berkhatan antaranya dalam buku bertajuk ‘Kehidupan dan Seksologi’ karangan Dr Sobri Al-Qubbani menyatakan khatan memberi manfaat besar terhadap kesihatan seperti dapat membebaskan seorang daripada penyakit kulit yang berpunca daripada peluh, daki, kuman serta kumpulan lemak di bahagian kulit yang menutupi kepala zakar, mengurangkan risiko kanser prostat serta mengelak sindrom kencing malam jika anak lelaki dikhatan awal.

 

Kemudian Al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Ayyub, katanya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Empat perkara dari sunnah Rasul iaitu: khatan, berwangi-wangian, bersiwak, dan nikah.”

 

Pensyarah Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah, Muhd Zainul Asri Ramli berkata hikmah berkhatan jelas dapat dilihat dari sudut kesihatan.

 

“Allah mensyariatkah khatan bagi mendidik hamba-Nya menjaga kebersihan. Sebelum melakukan kewajipan seperti bersolat contohnya seseorang perlu bersih daripada najis dan kekotoran.

 

“Melalui amalan khatan ini menjadikan seseorang itu bersih, sihat dan segar,” katanya.

 

Zainul Asri berkata wajib bagi lelaki berkhatan seorang lelaki wajib berkhatan apabila mencapai usia akil baligh.

 

“Sunat dilakukan khatan ketika bayi berusia tujuh hari selepas dilahirkan dan jika sebelum itu hukumnya adalah makruh.

 

“Pendapat wajib khitan untuk lelaki berdasarkan arahan di dalam surah an-Nahl ayat 123 di mana Allah berfirman yang bermaksud: ‘Kemudian kami wahyukan kepada kamu (Ya Muhammad iaitu): Ikutlah agama Ibrahim yang lurus dan tidaklah dia termasuk di kalangan orang-orang yang musyrik.’

 

“Dalam ayat berkenaan Allah memerintahkan Rasulullah untuk mengikuti ajaran Nabi Ibrahim di mana salah satu dari ajarannya ialah khitan. Nabi Ibrahim berkhatan pada umur lapan puluh tahun dan menjadi orang paling awal berkhatan,” katanya.

 

Beliau berkata apabila anak lelaki dikhatankan maka sunat mengadakan kenduri manakala anak perempuan hanya sunat dihadiri jemputan wanita.

 

“Sama juga seperti majlis meraikan anak yang baru lahir, orang yang baru balik bermusafir serta khatam al-Quran yang biasa diadakan.

 

“Untuk majlis khatan ini pula ia diadakan dengan tujuan untuk memberi semangat kepada anak pada hari mereka dikhatankan,” katanya.

 

Zainul Asri berkata hikmah berkhatan bagi lelaki ialah untuk memperelokkan bentuk zakar serta mencapai kelazatan apabila melakukan hubungan kelamin dengan isteri.

 

“Bagi perempuan, khatan adalah untuk memuliakan mereka. Selain itu, ia adalah bagi mengekang nafsu syahwat perempuan yang sememangnya lebih tinggi daripada lelaki.

 

“Bagi menjaga kehormatan wanita yang terbaik buat mereka adalah ‘isymam’ iaitu memotong sedikit hujung daripada kelentit mereka,” katanya.

 

Beliau berkata bagi golongan mualaf mereka diberi pilihan sama ada untuk berkhatan atau pun tidak kerana Islam tidak membebankan umatnya.

 

“Bagaimanapun, kesedaran mengenai kebaikan dan kelebihan berkhatan mula disedari oleh orang bukan Islam,” katanya.

About these ads

Satu Respons to “Hukum berkhatan lelaki dan perempuan”

  1. Assalamualaikum.w.r.b.t..

    Apa hukum sunat bagi perempuan sebenarnya??

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 16,191 other followers

%d bloggers like this: