Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Cara Islam tangani zina dan buang bayi

Posted by epondok di Mei 3, 2010


Oleh Zainul Rijal

Kes buang bayi, zina berleluasa berkesan diselesai ikut penguatkuasaan hukum syarak

CADANGAN Senator Ahmad Hussin di Dewan Negara supaya bapa kepada bayi yang dibuang di negara ini dikenakan hukuman kasi bagi mengajar golongan lelaki yang terbabit supaya lebih bertanggungjawab, menarik perhatian saya.

//

Seingat saya cadangan ini bukanlah cadangan baru. Sebelum ini juga, ada cadangan agar lelaki yang mempunyai rekod jenayah seksual dipakaikan cawat besi bagi mengekang hawa nafsu dan naluri lelaki terbabit.

Begitu juga cadangan supaya lelaki yang disabitkan atas jenayah seksual diasingkan di suatu tempat yang jauh daripada wanita.

Semua cadangan di atas dibuat bagi mencari penyelesaian dalam menghadapi gejala sosial dan pembuangan bayi. Hukum yang dicadangkan itu pula tertumpu kepada pesalah yang melakukan kesalahan itu tanpa mengambil kira akar umbi kenapa gejala sedemikian berleluasa.

Memang benar semua hukuman di atas adalah dari sudut logik akal amatlah munasabah bagi mengekang gejala jenayah seksual ini. Memang tidak dapat dinafikan lagi lelaki yang dikenakan hukuman kasi itu tidak akan dapat melakukan hubungan seksual selepas itu.

Namun kemampuan akal fikiran tidak dapat menjangkau apa yang berada di luar kotak pemikiran seseorang atau apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Itulah sebabnya selain daripada dalil aqli ini, manusia perlu bergantung kepada dalil naqli iaitu apa yang ditetapkan oleh Allah SWT bagi manusia dan semesta Alam.
Allah Maha Pencipta dan Maha Mengetahui apa yang tersurat dan juga apa yang tersirat. Kebergantungan kepada hukum Allah ini adalah kewajipan bagi setiap umat Islam.

Di dalam al-Quran, Surah An Nur ayat 1-2 ada menyatakan yang bermaksud:
“Ini adalah satu surat yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum yang ada di dalamnya), dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya. Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah (rotanlah) tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera (rotan). Dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang yang beriman.”

Oleh yang demikian adalah jelas di dalam Islam hukuman bagi orang yang melakukan perzinaan adalah dirotan 100 kali seperti diperuntukkan di dalam ayat di atas. Namun oleh kerana kita tidak sering merujuk kepada sumber perundangan Islam, muncul pelbagai saranan mengenai penyelesaian sesuatu perkara.

Yang lebih teruk lagi ialah apabila sesuatu perkara itu dirujuk kepada agama, timbul suara-suara yang mempertikaikan peranan agama di dalam mengawal moral atau akhlak manusia. Tidak keterlaluan juga dikatakan, ada sesetengah golongan meletakkan hak asasi manusia pada tempat terlalu tinggi sehingga menjangkaui kedudukan sebenar.

Bukanlah saya ingin mengetepikan hak asasi manusia, namun hak itu perlu diimbangi dengan tanggungjawab manusia khususnya umat Islam sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Berbalik kepada persoalan penyelesaian kemelut pembuangan bayi itu, sudah seharusnya kita berbalik kepada hukum Islam yang menjadi paksi dan jati diri kepada masyarakat Malaysia sesuai dengan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Islam mementingkan keadilan, keadilan di dalam Islam bukan saja diberikan kepada mangsa jenayah, malah juga kepada keluarga mangsa dan pesalah itu sendiri. Mangsa dan keluarga mangsa jenayah umpamanya dalam hal tertentu boleh mendapat ganti rugi atau ‘diyat’ daripada pesalah atau keluarga pesalah, malah kuasa mengampun pesalah juga ada pada mangsa serta keluarga mangsa berbeza dengan undang-undang sivil yang kuasa pengampunan berada di tangan ketua negara.

Sifat hukuman di dalam Islam iaitu mendidik dan menghalang perlakuan jenayah diulangi, berjaya menurunkan kadar jenayah di negara yang mengamalkan undang-undang Islam seperti Arab Saudi. Oleh hal yang demikian amatlah penting bagi kita merenung kembali apakah kaedah penyelesaian yang perlu kita sarankan bagi menangani gejala sosial di negara kita ini.

Dalam menggarap formula menangani gejala seksual yang berleluasa dan masalah sosial yang tidak nampak kesudahannya ini, amatlah penting bagi kita semua memahami bahawa kemampuan akal fikiran manusia adalah terbatas. Janganlah terlalu teruja dengan logik akal kerana akal itu sendiri adalah makhluk Allah.

Bukanlah saya tidak bersimpati atau prihatin nasib malang bayi yang dibuang itu, namun jalan penyelesaian yang dicari hendaklah dapat merungkai permasalahan sebenar hingga ke akar umbinya. Tidak ada hati yang gembira apabila melihat gambar bayi yang dibuang itu terpapar di dada akhbar.

Ibu bapa yang membuang bayi itu lebih teruk daripada haiwan yang menjaga dan mempertahankan anak-anaknya. Sistem perundangan Islam adalah jalan penyelesaian terbaik segala permasalahan yang sedang dan akan kita hadapi.

About these ads

6 Respons to “Cara Islam tangani zina dan buang bayi”

  1. setuju sangat…
    apa2 pun, kena kembali kepada perintah Allah swt…
    inilah akibatnya bila akal dan nafsu manusia mengatasi hukuman yang Allah swt tetapkan..

  2. usuffendi said

    patotla seluruh nusantara ditimpa tsunami..hukum ALLAH dibelakangkan…apa-apa pun,balik kepada asas…Kalam-Kalam Allah lebih benar dari akal fikiran …

    • SA said

      harus mengharamkan tempat2 atau pusat2 dicso ataupun pusat hiburan…dan harus memperbanyakkan masjid di negara kita..dan sentiasa….menyiarkan rancangan yang berunsurkan agama semata-mata…tetapi rancangan kartun juga harus diperbanyakkan…..kerana…kartun seronok..tmbah2 power rangers..

  3. pkah said

    sya bersetuju dgn cadangan d ats…tp,hukum hudut adalh akan lbh berkesn..org y brzina hars di rejam shgga mti…Allah S.W.T tlah menyatakn hukm ini dalam Al-quran,,tpi knpa kta tdk mengikt perintah-Nya…peranan ibu bapa jga pntg bagi menangani mslah sosial ini..

  4. afiz said

    asslmualaikum….ini semua sikap manusia yang tidak bertamadun.Mengikut ibn khaldun,mksud tamadun itu ialah “Pencapain Manusia YG Sudah Melebihi Keperluan Asasi Manusia”.Sedangkan bekas perdana menteri berusaha untuk memajukan umat islam,dengan megemukakan “islam hadhari”.Oleh itu pihak kerajaan perlu melaksanakan hukum mengikut islam..Kita boleh lihat bagaimana kerajaaan islam seperti kerajaan abbasiyyah,bani umaiyyah dan sebagainya….

  5. lee said

    oleh itu pilih lah pemimpin yg beriman dan taat kepada perintah Allah S.W.T daripada kamu…

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 16,186 other followers

%d bloggers like this: