Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Punca dan cara atasi buang bayi

Posted by epondok di April 22, 2010


Oleh Marlina Amir Hamzah

Semua pihak perlu kerjasama bendung masalah jejas imej generasi muda masa depan

SEBELUM ini kita sering memperkatakan permasalahan seks bebas, pergaulan bebas, minum arak, penagihan dadah, bohsia, bohjan, mat rempit, sumbang mahram, rogol, pencabulan, penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan pelbagai lagi permasalahan masyarakat.

Kini kita dikejutkan pula dengan permasalahan pembuangan bayi yang semakin berleluasa sehingga melangkaui norma kemanusiaan yang tidak dapat diterima akal. Ia boleh terjadi dalam masyarakat Malaysia yang terkenal dengan nilai ketimuran dan ajaran Islam yang menjadi pegangan. Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, satu kajian di Lembah Klang mendapati seorang bayi dibuang setiap 10 hari dan yang lebih membimbangkan kejadian ini bukan hanya berlaku di bandar besar sebaliknya semakin menular di desa dan luar bandar. Ini jelas terbukti apabila sejak akhir-akhir ini, kes pembuangan bayi dilaporkan berlaku di luar bandar.

Sebanyak 304 kes buang bayi dilaporkan antara 2004 hingga 2007, membabitkan 117 bayi lelaki, 96 bayi perempuan manakala bakinya tidak diketahui jantina kerana mayat reput. Menurut statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008 dengan pasangan Melayu mencatat jumlah tertinggi iaitu 36 peratus.

Statistik di atas jelas menunjukkan betapa nazak dan dahsyatnya permasalahan buang bayi yang melanda masyarakat kita saban hari tanpa menunjukkan kadar penurunan.

Pelbagai saranan dan cadangan diutarakan pelbagai pihak untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi dan menangani permasalahan ini yang jelas bertentangan nilai yang ada dalam Islam khasnya dan norma kemanusiaan sejagat amnya.
Di antaranya dengan menubuhkan pusat menerima bayi daripada perbuatan zina, menyediakan rumah perlindungan perempuan yang mengandung tanpa ikatan perkahwinan dan memberi pendidikan seks kepada pelajar sekolah.

Namun timbul persoalan di sini iaitu sejauh manakah penyelesaian yang dicadangkan mampu menangani gejala buang bayi secara keseluruhannya.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara bagi 2000 hingga 2008, 257,000 kanak-kanak didaftarkan tidak mempunyai nama bapa dan yang lebih menyedihkan lagi bagi tempoh 1999 hingga 2003 saja, 44 peratus anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan.

Cuba bayangkan dalam keadaan cadangan penyelesaian di atas belum dilaksanakan sepenuhnya, sudah ada 257,000 kanak-kanak yang didaftarkan tanpa nama bapa, apatah lagi sekiranya cadangan penyelesaian itu dilaksanakan sepenuhnya, pasti jumlah tersebut akan bertambah berlipat kali ganda yang seterusnya membawa kepada permasalahan yang lain.

Penulis amat tertarik dengan saranan Timbalan Dekan, Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, yang mengatakan: “Jika semua pihak terutama kerajaan serius dalam menangani isu pembuangan bayi yang saban hari dilaporkan, tumpuan perlu diberi kepada usaha membersihkan masyarakat daripada sumber yang mendedahkan mereka kepada faktor yang merosakkan nilai murni.”

Satu usaha bersepadu dan berterusan haruslah diambil secepat mungkin oleh semua pihak seperti agensi kerajaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagi memastikan segala punca kepada berlakunya masalah pembuangan bayi ini dapat dikenal pasti dan dihapuskan daripada terus menghantui masyarakat pada hari ini.

Firman Allah dalam Surah al-Anfal ayat 20-22 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (perintah-perintahnya dan janganlah kamu menjadi sebagai orang munafik yang berkata: “Kami mendengar, pada hal mereka tidak mendengar. Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk di sisi Allah ialah orang yang pekak dan tuli (tidak mendengar atau memahami kebenaran iaitu orang yang tidak mengerti).”

Perlakuan seks bebas, pergaulan bebas, minum arak, penagihan dadah, bohsia, bohjan, mat rempit, sumbang mahram, rogol, pencabulan dan pelbagai lagi permasalahan yang melanda masyarakat wajar dibanteras secara bersepadu dengan berpandukan kepada panduan Illahi bukan hanya berlandaskan akal semata-mata dan penyelesaian jangka pendek yang hanya mengundang masalah selanjutnya yang tidak berkesudahan.

Masalah pembuangan bayi adalah salah satu natijah buruk yang terhasil akibat pelbagai masalah masyarakat yang melanda dan kini menjadi barah yang semakin merebak dalam masyarakat kita.

Justeru, cara sewajarnya bagi menangani permasalahan buang bayi adalah membanteras segala punca yang menjadi sebab kepada permasalahan ini.

Kepincangan pendidikan, persekitaran, perundangan dan institusi keluarga harus diperbetulkan demi melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai murni yang membawa kepada terlahirnya generasi muda yang mempunyai daya tahan tinggi bagi menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang di zaman yang serba canggih dan moden ini.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 15,500 other followers

%d bloggers like this: